Tuntutan Membuang Bulu Ari-ari dan Ketiak
Alyasak Berhan
ِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْفِطْرَةُ خَمْسٌ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الْإِبْطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu daripada Nabi sollallahu 'alaihi wasallam baginda bersabda; "(Sunat) fitrah itu ada lima iaitu; khitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, mencukur kumis dan memotong kuku." (Al-Bukhari, no. 5823)
Mencukur bulu kemaluan dan mencabut bulu ketiak telah disepakati kesunahannya oleh ulamak.”(al-Majmuk 1/341-342).
Namun, menurut ulamak Mazhab Syafi'i dan Maliki, hukum membuang bulu kemaluan bagi perempuan akan berubah menjadi wajib jika suami mengarahkannya (Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah 3/216).
Tempoh Membuang Bulu Ari-ari dan Ketiak
عَنْ أَنَسِ
بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ أَنَسٌ وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ
وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ
لَيْلَةً (رواه مسلم 379 ،258)
Diriwayatkan daripada Anas radhiallahu anhu katanya; "Nabi sollallahu alaihi wa salam telah menetapkan tempoh kepada kami untuk mengerat misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan supaya tidak melebihi 40 hari."Disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatwanya:
وَمِنْ ثَمَّ
قَالَ الأَئِمَّةُ فِي حَلْقِ الْعَانَةِ وَالإِبْط ِوَالْقَلْمِ وَقَصِّ
الشَّارِبِ : أَنَّ ذَلِكَ لا يَتَقَيَّدُ بِمُدَّةٍ بَلْ يَخْتَلِفُ بِاخْتِلافِ
الأَبَدَانِ وَالْمَحَالِّ فَيُعْتَبَرُ وَقْتُ الْحَاجَةِ إلَى إزَالَةِ
ذَلِكَ فِي حَقِّ كُلِّ أَحَدٍ بِمَا يُنَاسِبُهُ
"Oleh sebab itulah para imam-imam (tokoh-tokoh ulama) berkata dalam hal mencukur bulu kemaluan, ketiak, memotong kuku dan kumis, “Yang demikian tidaklah dibatasi dengan masa tertentu, namun sebenarnya ia berbeza mengikut tubuh badan dan situasi masing-masing. Maka yang menjadi pertimbangan dalam kesunahannya adalah berdasarkan keperluan untuk menghilangkannya bagi setiap individu mengikut kesesuaiannya.”
Kaedah Membuang bulu
Imam al-Nawawi menyebut di dalam Syarh Muslim;
أما نتف الإبط فسنة بالاتفاق والأفضل فيه النتف
لمن قوي عليه ويحصل أيضاً بالحلق وبالنورة. وحكي عن يونس بن عبد الأعلى قال: دخلت على
الشافعي رحمه الله وعنده المزين يحلق إبطه فقال الشافعي: علمت أن السنة النتف ولكن
لا أقوى على الوجع. ويستحب أن يبدأ بالإبط الأيمن
"Adapun dalam mencabut bulu ketiak maka hukumnya adalah sunat mengikut kesepakatan ulama, yang utama adalah mencabutnya bagi orang yang kuat (menahan sakitnya). Namun kesunahannya juga dapat diperolehi dengan cara dicukur dan dihilangkan dengan menggunakan kapur. Dihikayatkan daripada Yunus Bin Abd al-A’la; “Aku mendatangi al-Syafi’i dan di sisinya adalah al-Muzin yang sedang mencukur bulu ketiaknya. Al-Syafi’i berkata; “Aku tahu bahawa yang sunat adalah mencabutnya namun aku tidak tahan sakit."Sunat dimulai dengan bulu ketiak sebelah kanan."
Ini berdasarkan hadis;
عنْ عائشةَ رَضِيَ اللَّهُ عنهَا قَالتْ:كانَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَيُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ في تَنَعُّلِهِ،
وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفي شَأْنِهِ كُلِّهِ. رواه البخاري و مسلم
Aisyah radhiallahu anha berkata, "Rasulullahsollallahu alaihi wa sallam menyukai tayammun (mendahulukan yang kanan) dalam memakai sandal, menyisir rambut, dan ketika bersuci serta pada setiap perkara." (al-Bukhari dan Muslim)
Disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini;
وأن يحلق العانة ويقلم الظفر وينتف الإبط، ويجوز
حلق الإبط ونتف العانة ويكون آتياً بأصل السنة. قال المصنف في تهذيبه: والسنة في الرجل
حلق العانة، وفي المرأة نتفها والخنثى مثلـها كما بحثه شيخنا. والعانة الشعر النابت
حول الفرج والدبر
"Dan hendaknya dicukur bulu kemaluan, dipotong kuku, dicabut bulu ketiak. Harus juga bulu ketiak dicukur, bulu kemaluan dicabut dan yang demikian itu dikirakan telah melakukan asal sunah (membuang bulu). Pengarang (Imam al-Nawawi) berkata dalam kitab al-Tahzib; “Yang disunatkan bagi lelaki adalah mencukur bulu kemaluan, bagi wanita pula adalah mencabutnya. Khunsa pula adalah seperti wanita sebagaimana yang telah dibahas oleh guru kami”.' Ari-ari adalah bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan dan dubur."Berkaitan bulu ari-ari ini, sunat bagi lelaki bulu tersebut dicukur dan bagi perempuan pula ianya dicabut. Hal ini adalah kerana, pada umumnya tabiat syahwat lelaki biasanya dhaif. Maka, mencukur adalah lebih afdhal baginya kerana ia boleh menguatkan syahwat. Sedangkan tabiat syahwat perempuan biasanya kuat. Oleh sebab itu, mencabut adalah afdhal baginya kerana ia boleh mengurangkan syahwat (Al-Baijuri 328/1).
ويفترق الحكم في نتف الإبط وحلق العانة أيضاً بأن
نتف الإبط وحلقه يجوز أن يتعاطاه الأجنبي، بخلاف حلق العانة فيحرم إلا في حق من يباح
له المس والنظر كالزوج والزوجة
"Dan dibezakan hukum antara mencabut bulu ketiak dengan mencukur bulu kemaluan iaitu; mencabut dan mencukur bulu ketiak boleh dilakukan oleh orang lain berbeza dengan mencukur bulu kemaluan. Maka haram dilakukan orang lain kecuali bagi orang yang diharuskan memegang serta melihatnya seperti sepasang suami isteri."(Fath al-Bari 11/52)اليسع
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan