PANDUAN HUKUM : Darah Wanita (Mazhab Syafi'i).
Alyasak Berhan
Terdapat beberapa jenis darah wanita iaitu;
A) Haid (الحيض)
Darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim
wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa apa-apa sebab pada
waktu-waktu yang tertentu.
Sekurang-kurang haid adalah sehari semalam (24 jam),
sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam dan kebiasaannya adalah 6/7 hari.
Hukum;
1) Haram dan tidak sah solat sama ada solat fardhu atau
sunat (termasuk solat jenazah) dan tidak perlu diqadha'
2) Haram dan tidak sah melakukan sujud tilawah
3) Haram dan tidak sah melakukan sujud syukur
4) Haram dan tidak sah melakukan tawaf sama ada tawaf fardhu
atau sunat
5) Haram dan tidak sah puasa sama ada puasa fardhu atau
sunat. Namun puasa Ramadhan wajib diqadha'
6) Haram iktikaf/duduk di dalam masjid
7) Haram masuk/lalu (tanpa berhenti/duduk) di dalam masjid
jika bimbang mengotori masjid
8) Haram membaca al-Quran dengan niat sebagai bacaan
al-Quran
9) Haram menyentuh mushaf
10) Haram dan tidak sah mandi wajib dan berwuduk sebelum
darah berhenti (suci)
11) Haram disetubuhi oleh suami walaupun berlapik
12) Haram digauli (berseronok-seronok) oleh suami di antara
pusat dan lutut tanpa berlapik
13) Haram bagi suami menceraikan isteri ketika sedang haid.
Namun talak tersebut jatuh/sah. (Al-Ihatoh, al-Taqrirot 161, 172-176)
B) Nifas (النفاس)
Darah yang keluar selepas bersihnya rahim daripada kandungan
iaitu darah yang keluar selepas bayi/kandungan keluar dengan sempurna (habis
keluar), dengan syarat darah tersebut keluar sebelum berlalunya tempoh 15 hari suci selepas sesuatu kelahiran atau keguguran.
Sekurang-kurang nifas adalah satu lahzah (sedetik),
sebanyak-banyak nifas adalah 60 hari 60 malam dan kebiasaannya adalah 40 hari.
Hukum;
Ulamak telah sepakat tentang hukum nifas adalah sama dengan
semua hukum yang berkaitan haid. (Al-Bujairimi 504/1, Al-Fiqh al-Manhaji 82/1, al-Taqrirot
163-164).
C) Istihadhoh (الإستحاضة)
Darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas. Ia
merupakan darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali
sebagai 'azil.
Hukum;
Darah istihadhoh tidak mewajibkan mandi, bahkan wajib
bersolat dan berpuasa. Perempuan istihadhoh hendaklah melakukan perkara-perkara
berikut sekiranya ingin mendirikan solat iaitu;
1) Membasuh darah tersebut
2) Memakai lampin/pad dan seumpamanya
3) Bersegera untuk berwuduk. Disyaratkan wuduk tersebut
dilakukan setiapkali solat fardhu, dilakukan selepas waktu solat itu masuk dan
muwalat (berturut-turut)
4) Wajib segera bersolat selepas perkara-perkara di atas
dilaksanakan.(Al-Fiqh al-Manhaji 89/1, al-Ihatoh, al-Taqrirot 167, 171).
D) Tolq (الطَلْق)
Darah yang keluar semasa meneran atau bersama-sama kelahiran
(termasuk air ketuban) iaitu sebelum bayi keluar sempurna dengan syarat darah
tersebut tidak bersambung dengan darah haid yang sebelumnya.
Hukum;
Darah ini tidak dianggap nifas tetap ia adalah darah kotor.
Justeru, solat diwajibkan ke atasnya semasa meneran atau melahirkan anak iaitu
sebelum bayi keluar sempurna sekalipun dirinya berdarah. Oleh itu, solat
tersebut wajib diqadha' sekiranya tidak dapat mengerjakannya ketika
itu.(Bughyah al-Mustarsyidin 32, Al-Fiqh al-Manhaji 82/1, Tuhfah al-A'izza'
261).
اليسع
Wallahu a'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan