PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGAHWINI WANITA/ GADIS MENGANDUNG DARIPADA ZINA.
Alyasak Berhan
Disebutkan dalam sebuah hadis :
الْوَلَدُ
لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ
“Anak itu dinasabkan kepada suami yang sah, manakala bagi yang berzina adalah hukuman rejam dengan batu.” (Riwayat al-Bukhari, no.2053 dan Muslim, no. 1457)
1- Haram mengahwini wanita hamil yang berada dalam iddah
perkahwinan yang sah berdasarkan Surah al-Talaq ayat 4.
2- Harus mengahwini wanita yang hamil daripada zina (sekiranya
dia bukannya isteri orang). Bahkan, pernikahan tersebut juga sah jika memenuhi syarat dan rukun nikah, namun hukumnya
adalah makruh. Hal ini kerana hubungan zina tersebut tiada kemuliaan di sisi syarak. Sehubungan itu, anak zina berkenaan dinasabkan kepada ibu dan bukan kepada lelaki yang telah menyebabkan wanita tersebut hamil.
Abu Ishaq al-Syirazi menyatakan;
ويجوز
نكاح الحامل من الزنا لأن حملها لا يلحق بأحد فكان وجوده كعدمه
“Dan harus menikahi wanita hamil daripada perbuatan zina kerana kehamilannya tidak dihubungkan dengan seseorang (tidak dinasabkan kepada seseorang lelaki), seolah-olah kewujudannya seperti tiada.” (Al-Muhazzab 348/17)
Imam al-Nawawi menyatakan;
فرع
: لو نكح حاملا من الزنا, صح نكاحه بلا خلاف
“Cabang permasalahan : sekiranya seorang lelaki menikahi seorang wanita yang hamil daripada perbuatan zina, nikahnya adalah sah tanpa ada khilaf.”(Raudhah al-Talibin 351/6)
Ibn Hajar al-Haitami menyatakan;
وأما نكاح
الحامل من الزنا ففيه خلاف منتشر أيضا بين أئمتنا وغيرهم والصحيح عندنا الصحة وبه قال
أبو حنيفة رضي الله تعالى عنه لأنها ليست في نكاح ولا عدة من الغير وعن مالك رضي الله
تعالى عنه قول بخلافه
“Adapun hukum menikahi wanita hamil daripada perbuatan zina, terjadi khilaf yang tersebar di kalangan imam-imam kita dan selainnya. Yang sahih di sisi kita (mazhab Syafi‘i) adalah sah. Pendapat ini juga telah dinyatakan oleh Imam Abu Hanifah r.a., kerana wanita itu bukan dalam pernikahan dan bukan juga dalam iddah orang lain. Diriwayatkan daripada Imam Malik r.a satu qaul (pendapat) yang mengatakan sebaliknya”.(al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah 93-94/4)
Syeikh Najib al-Muti‘i mengatakan :
فإن كانت حائلا جاز للزاني ولغيره عقد النكاح عليها
وإن حملت من الزنا فيكره نكاحها قبل وضع الحمل
“Maka sekiranya wanita yang berzina tersebut tidak hamil, maka harus bagi penzina dan selainnya melakukan akad nikah dengannya. Sekiranya dia hamil daripada perbuatan zina itu, maka makruh menikahinya sebelum dia melahirkan anak.” (Takmilah Majmuk Syarah al-Muhazzab 348-349/17).
Menurut keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan;
"Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram baginya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya."
Nasab anak zina
Sayyid al-Bakri menyatakan;
قوله ويقول في ولد الزنا إلخ أي لأنه لا ينسب إلى أب وإنما
ينسب إلى أمه
“Kata pengarang; dan dikatakan pada anak zina….iaitu kerana anak zina tersebut tidak dinasabkan kepada bapa, dan dia hanya dinasabkan kepada ibunya.” (Hasyiah I‘anah al-Talibin 128/2).
Manakala menurut keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, anak luar nikah dibinkan kepada Abdullah.
"Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah."
3- Perempuan yang berzina juga tidak diwajibkan untuk beriddah.
Syeikh Najib al-Muti’i mengatakan :
إذا زنت المرأة لم يجب عليها العدة، سواء كانت حائلا
أو حاملا
“Apabila seorang wanita berzina, maka tidak wajib ke atasnya beriddah, sama ada dia tidak hamil ataupun hamil.” (Takmilah Majmuk Syarah al-Muhazzab 348-349/17).
4- Harus menyetubuhi wanita yang hamil daripada zina
tersebut setelah menikahinya walaubagaimanapun hukumnya adalah makruh.
Imam al-Nawawi menyatakan;
وهل له وطؤها قبل الوضع؟ وجهان أصحهما نعم إذ لا حرمة
له, ومنعه ابن الحداد
“Adakah harus bagi seorang lelaki (yang bernikah dengan perempuan yang hamil daripada zina tersebut) menyetubuhi perempuan tersebut sebelum dia melahirkan anak?
Terdapat dua pendapat berkaitannya. Pendapat yang paling sahih antara keduanya adalah harus (menyetubuhinya) kerana tiada kehormatan baginya, manakala Ibn al-Haddad pula menegahnya.” (Raudhah al-Talibin 351-352/6).
Imam al-Rafi‘i menyatakan :
قال الرافعي أنه لا حرمة لحمل الزنا ولو منع الوطء لمنع النكاح
كوطء الشبهة
“Sesungguhnya tiada kehormatan bagi kandungan zina. Kalau terlarang menyetubuhinya, maka terlarang juga menikahinya sepertimana persetubuhan syubhat” . (Al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah 94/4).
Sayyid Abdullah bin Umar dan Syeikh Muhammad al-Asykhar
al-Yamani mengatakan :
مسألة : ي ش : يجوز نكاح الحامل من الزنا سواء الزاني
وغيره ووطؤها حينئذ مع الكراهة
“Harus nikah wanita hamil kerana zina, sama ada oleh penzina itu sendiri ataupun lainnya dan harus disetubuhi ketika itu, namun hukumnya makruh”.(Bughyah al-Murtarsyidin 201).
Wallahu a‘lam
ULASAN-ULASAN BERKAITAN PERMASALAHAN YANG DIBANGKITKAN OLEH
SESETENGAH PIHAK.
MEREKA MENYATAKAN;
Soalan 1 :
Apakah langkah yang sewajarnya
sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?
Gadis
itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 2 :
Sekiranya
lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka
bernikah?
Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
ULASAN KAMI;
Menurut fuqaha’ Mazhab Syafi‘i, harus bagi
seseorang wanita yang hamil hasil daripada zina untuk bernikah, sama ada bernikah dengan
zani (lelaki yang berzina dengannya) ataupun dengan lelaki yang lain. Harus
juga lelaki yang bernikah dengannya itu mewati’ (bersetubuh) dengan wanita yang
berzina tersebut. Namun hukumnya adalah makruh (harus serta makruh). Sila rujuk
kitab Hasyiah al-Bajuri 246/2, Bugyah
al-Mustarsyidin 201, Raudhah al-Talibin 351/6 dan sebagainya.
Menurut ulama Mazhab Syafi‘i juga, wanita yang
berzina tersebut tidak diwajibkan untuk beriddah kerana ianya tiada kehormatan
(hasil daripada hubungan yang tidak diiktiraf).
MEREKA MENYATAKAN;
Soalan 3 :
Adakah pernikahan itu sah
sekiranya mereka berkawin?
Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak
boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah
kepada bayi yang dikandung itu.
Soalan 4 :
Sekiranya mereka bernikah, apakah
tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Mereka mesti berpisah. Perempuan
itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung,
barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.
Soalan 5 :
Bagaimana
sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Maka mereka akan hidup di dalam zina
kerana pernikahan itu tidak sah.
ULASAN KAMI.
Pernikahan tersebut adalah sah jika memenuhi
syarat-syarat dan rukun-rukun nikah. Ini kerana zina tidak menghalang sahnya sesuatu
pernikahan itu. Zina juga tidak mewajibkan iddah menurut mazhab Syafi‘i kerana
ianya tiada kehormatan. Kesimpulannya, pernikahan tersebut sah dan harus. Namun, makruh bagi lelaki yang menikahinya mewathi’ wanita yang hamil tersebut tanpa
menunggu kelahiran bayi yang dikandungnya (rujuk kenyataan di atas).
MEREKA MENYATAKAN;
Soalan 6 :
Apakah hak seorang anak luar
nikah?
Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut
apa-apa daripada ayahnya.
Soalan 7 :
Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan
ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak
perempuannya sendiri?
Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
ULASAN KAMI.
Anak yang hasil perzinaan;
- Haram dinasabkan kepada empunya air mani tersebut (lelaki
yang berzina).
- Hubungan anak zina dengan empunya air mani (lelaki yang berzina) tersebut,
dihukumkan sebagai hubungan ajnabi (perempuan asing dan lelaki asing yang halal
bernikah). Malahan harus bagi lelaki empunya air mani tersebut bernikah dengan
anak hasil zinanya walaupun hukumnya makruh. Ini bagi meraikan pendapat Mazhab
Hanafi yang berpendapat bahawa haram bagi lelaki tersebut menikahi anak hasil
zinanya. Selain diharuskan menikahi anak zinanya itu, terdapat juga
hukum-hakam lain yang berkaitannya seperti masalah batal wuduk, masalah
aurat, bersunyi-sunyian (khalwah), pandangan antara satu sama lain, hukuman
hudud dan sebagainya yang akan berlaku sepertimana hubungan ajnabi juga.
Hukum ini berlaku sekiranya lelaki yang berzina tersebut tidak bernikah dengan
wanita yang dizinanya.
- Anak hasil zina akan menjadi mahram muabbad
(selama-lamanya) sekiranya lelaki yang berzina tersebut (empunya air mani)
bernikah dengan wanita yang dizinanya yang kemudian melahirkan anak
hasil zina mereka. Hubungan mahram tersebut terjadi hasil daripada pernikahan
yang sah kerana anak zina itu dikirakan sebagai hubungan anak tiri dan bapa
tiri dengan syarat lelaki tersebut telah menyetubuhi wanita yang dizinanya
itu selepas daripada akad nikah yang sah dilangsungkan (sekurang-kurangnya
melepasi hasyafah). Maka hubungan mahram muabbad iaitu anak tiri dan abah tiri
ini terhasil adalah kesan daripada pernikahan yang sah (persemendaan) dan bukannya daripada
hubungan zina.
- Mereka tidak boleh saling mewarisi harta pusaka kerana
di antara mereka tiada apa-apa hubungan kekeluargaan yang diharuskan untuk waris-mewarisi.
- Anak zina juga dikategorikan sebagai anak yatim kerana
mereka tidak mempunyai bapa yang diiktiraf oleh syarak. Mereka juga layak
menerima harta Ghanimah (harta rampasan perang) kerana mereka termasuk di dalam
takrifan anak yatim menurut syarak (sila rujuk kitab Hasyiah al-Baijuri, Hasyiah I‘anah al-Talibin,
Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib bab Nikah dan Ghanimah serta lain-lain kitab Syafi‘iyyah).
MEREKA MENYATAKAN;
Soalan 8 :
Sekiranya seorang lelaki Muslim
dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah
bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Mereka mesti tinggal berasingan
segera dan menunggu sehingga perempuan itu haidh satu kali sebelum mereka boleh
bernikah.
ULASAN KAMI.
Sekira kedua-duanya muslim, maka mereka boleh terus
bernikah tanpa menunggu wanita itu haid. Namun mereka perlu melalui prosedur yang
telah ditetapkan berdasarkan undang-undang syariah yang berkuatkuasa di negeri masing-masing. Sekiranya seorang muslim dan seorang lagi non-muslim (bukan
ahli kitab), non muslim tersebut perlulah diIslamkan terlebih dahulu. Kemudian mereka bolehlah bernikah
setelah melalui prosedur-prosedur yang telah ditetapkan.
MEREKA MENYATAKAN;
Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu
seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau
lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
Anda wajib memberitahu, kerana itu
sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya.. Mereka harus diberi peluang
untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir
dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.>>
Tolong jangan abaikan email ini. Ini merupakan satu perkara yang serious jadi,
fahami dan dalami betul-betul dan bincanglah dengan Imam/ustaz sekiranya
perlu.Mafhumnya: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan
ibadatku,hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam".
ULASAN KAMI.
Tindakan yang perlu dilaksanakan;
- Ajak mereka supaya bertaubat
- Peringatkan mereka supaya
berubah dan insaf
- Terangkan permasalahan, implikasi dan risiko yang bakal
dihadapi
- Perjelaskan tentang syarat-syarat dan konsep taubat yang sebenar.
Pintu taubat masih terbuka
- Beri peluang kepada mereka untuk berubah
- Bimbing
mereka untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih positif
- Doakan mereka
Rujuk juga:
Anak Luar Nikah
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan