Rabu, 11 November 2015

JARI YANG DIANJURKAN PAKAI CINCIN BAGI KAUM LELAKI


JARI YANG DIANJURKAN PAKAI CINCIN BAGI KAUM LELAKI
Alyasak Berhan
Periwayatan Hadis.

Anas bin Malik radhiallahu anhu berkata: “Nabi sollallahu alaihi wa sallam membuat cincin dan bersabda: "Sesungguhnya kami membuat cincin dan kami adakan ukiran (nama baginda) padanya. Maka jangan seseorang membuat ukiran yang sama.” Kata Anas: “Aku melihat kilauan cincin itu di jari kelingking baginda.” (Riwayat al-Bukhari 5874, beliau juga menjadikan bab hadis ini sebagai: Bab Cincin di jari kelingking)

Daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu; Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam telah memakai cincin perak di tangan kanannya, padanya ada permata Habsyi. (Riwayat Muslim 2094)

Ali radhiallahu anhu menceritakan; “Sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam memakai cincinnya di tangan kanannya”. (Riwayat al-Tirmizi di dalam al-Syamail).

Hammad bin Salamah radhiallahu anhu menceritakan; “Aku telah melihat Abi Rafi’ radhiallahu anhu memakai cincin di tangan kanannya, maka aku bertanya kepadanya tentang hal tersebut. Lalu dia menjawab; ‘Kerana aku telah melihat Abdullah bin Jaafar radhiallahu anhu (seorang sahabat) memakai cincin di tangan kanannya dan dia (Abdullah) berkata kepadaku; ‘Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam memakai cincin di sebelah tangan kanannya’”. (Riwayat al-Tirmizi 1744, Ibn Majah 3647 dan Ahmad).

Daripada Anas radhiallahu anhu dan Ibn Umar radhiallahu anhuma keduanya menceritakan; “Adalah Nabi sollallahu alaihi wa sallam memakai cincin di tangan kirinya”. (Riwayat Muslim 2095 daripada Anas dan Abu Daud 4228 daripada Ibn Umar)

Daripada Jaafar bin Muhammad yang meriwayatkan daripada bapanya yang menceritakan; “Adalah Hasan dan Husain radhiallahu anhuma (cucu Nabi sollallahu alaihi wa sallam), kedua-dua mereka memakai cincin di tangan sebelah kiri mereka” (Riwayat al-Tirmizi 1743. Kata al-Tirmizi; hadis ini sahih).

Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu yang berkata: “Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam melarangku daripada memakai cincin di dua jari ini dan ini.” Seraya beliau mengisyaratkan pada jari tengah dan jari sebelahnya (jari telunjuk).” (Riwayat Muslim 2078)

Dinukil oleh Imam al-Suyuti daripada al-Hafiz Ibn Hajar, bahawa periwayatan yang meriwayatkan berkaitan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam memakai cincin di jari kanannya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh sembilan orang sahabat radhiallahu anhum, iaitu Ibn Umar radhiallahu anhuma di dalam Sahih al-Bukhari, Anas radhiallahu anhu di dalam Sahih Muslim, Ibn Abbas radhiallahu anhuma dan Abdullah bin Jaafar radhiallahu anhu di dalam Sunan al-Tirmizi, Jabir radhiallahu anhu di dalam al-Syamail, Ali radhiallahu anhu di dalam Sunan Abi Daud dan al-Nasaei, Aisyah radhiallahu anha di dalam Musnad al-Bazzar, Abu Umamah radhiallahu anhu di dalam Mu'jam al-Tabarani dan Abu Hurairah radhiallahu anhu di dalam Sunan Daraqutni.

Adapun periwayatan yang meriwayatkan tentang Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam memakai cincin di jari kirinya pula adalah melalui hadis riwayat Anas radhiallahu anhu di dalam Sahih Muslim, Ibn Umar radhiallahu anhuma di dalam Sunan Abi Daud dan al-Nasaei serta Abu Sa'id radhiallahu anhu di dalam al-Tabaqat Ibn Sa'd.

Terdapat juga suatu riwayat dhaif yang diriwayatkan oleh Ibn 'Addi di dalam al-Kamil dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah daripada hadis Ibn Umar radhiallahu anhuma yang menyatakan bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam pada awalnya memakai cincin di jari kanannya kemudian menukarkannya ke jari kirinya pula.

PANDANGAN MAZHAB.

1) Mazhab Hanafi 
Sebahagian daripada mereka menganjur pakai cincin di jari kelingking tangan kiri bukan di jari selainnya dan bukan di jari kelingking tangan kanan. Manakala sebahagian mereka pula mengharuskan pakai cincin di jari kelingking kanan. Menurut Imam Abu al-Laith, pakai cincin di jari kelingking kanan dan kiri sama-sama dianjurkan.

2) Mazhab Maliki
Mengikut pendapat yang terpilih, dianjurkan pakai cincin di jari kelingking tangan kiri dan makruh pakai cincin di jari kelingking tangan kanan.

3) Mazhab Syafi'i 
Menurut Imam al-Nawawi, telah menjadi ijmak kaum muslimin bahawa sesungguhnya sunat bagi kaum lelaki memakai cincin di jari kelingking. Bahkan, para fuqaha' bersepakat tentang keharusan memakai cincin di tangan kanan dan kiri (jari kelingking).
 
Walaubagaimanapun, memakai cincin di jari kelingking kanan adalah lebih afdhal mengikut pendapat yang sahih lagi masyhur. Adapun pakai cincin di jari tengah dan telunjuk pula, hukumnya adalah makruh.
 
Menurut pendapat yang rajih sepertimana yang disebutkan oleh al-Sayyid Abdul Rahman Ba 'Alawi, harus beserta makruh memakai cincin di jari selain daripada jari kelingking.

Namun, kaum wanita harus memakai cincin di mana-mana jari sekalipun.

4) Mazhab Hanbali
Pakai cincin di jari kelingking tangan kiri itu lebih afdhal berbanding di jari tangan kanan. Makruh pakai cincin di jari tengah dan telunjuk. Tidak makruh pakai cincin di jari manis dan ibu jari. 
 اليسع

Rujukan; 
Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim jil.14 
Al-Hawi li al-Fatawi jil.1 
Hasyiah I'anah al-Talibin jil.2 
Bughyah al- Mustarsyidin.
Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah jil.11 
Wallallahu a'lam
والله أعلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan