Khamis, 12 November 2015

KORBAN DENGAN CARA BERHUTANG

PANDUAN HUKUM: KORBAN DENGAN CARA BERHUTANG
Alyasak Berhan

Di antara syarat utama tuntutan ibadah korban adalah seseorang itu mampu melaksanakan ibadah korban, dan tidak dituntut bagi sesiapa yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban pada hari raya Aid adha dan hari-hari tashriq (11, 12 dan 12 Zulhijjah)(Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 3/601)

Adapun yang dimaksudkan dengan berkemampuan itu adalah orang yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang korban daripada keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya pada Hari Raya Aidul Adha dan hari-hari Tasyriq (Mughni al-Muhtaj 4/377)

Justeru, melakukan ibadah korban dengan cara berhutang itu tidak dinafikan bahawa ibadat tersebut adalah sah mengikut hukum syarak. Namun, memaksa diri untuk berhutang adalah satu tindakan yang tidak digalakkan oleh Islam apatah lagi memaksa diri untuk melakukan ibadat kerana tuntutan beribadat dalam agama itu bukanlah untuk membebankan manusia (Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei, 79).
Firman Allah Taala;
  ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَٰكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur."[Surah al-Maidah 6]

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا 
"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."[Surah al-Talaq 7]
Sabda Rasulullah s.a.w;

 عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : إِيَّاكُمْ وَالدَّيْنَ ، فَإِنَّهُ هَمٌّ بِاللَّيْلِ ، وَمَذَلَّةٌ بِالنَّهَارِ " (البيهقي في الشعب 5137)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda;
"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari."
Saidina Umar al-Khattob r.a. pernah berpesan;

وَإِيَّاكُمْ وَالدَّيْنَ فَإِنَّ أَوَّلَهُ هَمٌّ وَآخِرَهُ حَرْبٌ (رواه الإمام مالك، كتاب الوصية، باب جامع القضاء وكراهيته)

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, kerana sesungguhnya awalnya (hutang) adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya."

Oleh itu, tidak perlu kita memaksakan diri melakukan ibadah korban sehingga berhutang dan membebankan diri untuk melunaskannya. Lebih-lebih lagi jika hutang tersebut boleh menjejaskan keperluan hidup harian keluarga.
اليسع
Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan