Khamis, 12 November 2015

Ihdad (Berkabung)




PANDUAN HUKUM : Ihdad (Berkabung)
Alyasak Berhan

Ihdad (berkabung) bermaksud;
تَرْكُ لُبْسِ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ وَإِنْ خَشُنَ
Meninggalkan pakaian warna-warni yang bertujuan untuk berhias sekalipun ia tebal (Minhaj al-Tolibin 449)
Hukum berkabung (ihdad) menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang kematian suami (Nihayah al-Muhtaj 148/7, Tuhfah al-Muhtaj 254-255/8, Mughni al-Muhtaj 522/3, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 104/2, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 660-661/7).

Terdapat beberapa dalil daripada hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang berkaitan kewajipan berkabung. Antara dalil-dalil tersebut adalah:

i. Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (5334) dan Muslim (1486);

لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
"Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari."
ii. Hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (307) dan Muslim (938), daripada Ummu `Atiyyah radhiallahu anha, katanya:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلَا نَكْتَحِلَ وَلَا نَطَّيَّبَ وَلَا نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ وَكُنَّا نُنْهَى عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ
"Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni melainkan ‘asbun (sejenis pakaian wanita arab). Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenar menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang mengiringi jenazah."
iii. Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ei (3536) :

لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تَحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ وَلَا تَكْتَحِلُ وَلَا تَخْتَضِبُ وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا
"Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni."
Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu. Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya. Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah Taala.

Hukum Semasa Dalam Tempoh Iddah Kematian Suami

Bagi wanita yang beriddah kerana kematian suami, Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjang mereka berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:

1) Haram menerima pinangan lelaki ajnabi secara jelas (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 194/19).

2) Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi berdasarkan ijmak. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 653-654/7). Firman Allah Taala;

وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ
Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu.”(Surah al-Baqarah 235)
3) Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja (al-Baijuri 257/2, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 656/7, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 112/2). Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah sekiranya dia ingin berihram selepas berlaku kematian tersebut (al-Baijuri 258/2, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 111-112/2). Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam kepada Furai’ah, seorang wanita yang kematian suaminya;

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ
"Tinggallah di rumahmu sehingga selesai masa iddahmu."(Abu Daud no. 2300, al-Tirmizi no. 1204, al-Nasa’i no. 3530 dan Ibn Majah no. 2031)
Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah adalah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab dalam ihdad seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan bukan pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah radhiyallahu ‘anhu ;

طُلِّقَتْ خَالَتِي، فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا، فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ، فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي، أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا
"Makcikku telah diceraikan oleh suaminya, lalu dia ingin memetik buah kurma, namun dia dilarang oleh seorang lelaki untuk keluar rumah." Setelah itu isteriku mendatangi Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam untuk menanyakan hal itu, maka Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam menjawab; "Ya, boleh! Petiklah buah kurmamu, semoga kamu dapat bersedekah atau berbuat kebajikan." (Muslim no. 1483)

أولا (عدة الطلاق) ج : ملازمة البيت الذي تعتد فيه فلا تخرج منه إلا لحاجة كأن تحتاج إلى طعام ونحوه أو تحتاج إلى بيع متاع لها تتكسب منه وليس ثمة من يقوم مقامهما أو كانت موظفة في عمل ولا يسمح لها بإبقاء في بيتها مدة عدتها أو كانت تضطر إزالة لوحشتها أن تسمر عند جارة لها فلا يحرم خروجها من بيتها لمثل ذلك
ثانيا (عدة الوفاة) ب: يجب عليها ملازمة بيتها الذي تعتد فيه فلا تخرج إلا لحاجة كالتي ذكرناها بالنسبة للمعتدة من الطلاق- الفقه المنهجي الجزء الثاني صـ 156-160
"Isteri hendaklah mendiami rumah yang disediakan suaminya dalam tempoh iddah. Dia tidak boleh meninggalkan rumah melainkan ada keperluan. Contohnya dia memerlukan makanan dan seumpamanya, atau menjual barang kepunyaannya untuk mendapatkan hasil, sedangkan TIADA yang sesiapa yang akan melakukan kerja tersebut bagi pihaknya. Ataupun, dia pekerja dalam sesuatu pekerjaan yang tidak membenarkannya tinggal di rumah berterusan sepanjang tempoh iddah atau isteri itu terpaksa menghilangkan kesunyiannya dengan berbual-bual dengan jirannya. Dalam keadaan ini, isteri tidak haram meninggalkan rumahnya untuk tujuan tersebut (al-Fiqh al-Manhaji 2/156-160).
ومنها إذا احتاجت إلى شراء طعام أو قطن أو بيع غزل ونحوه...فيجوز للمعتدة عن وفاة الخروج لهذه الحاجات نهارا وكذا لها أن تخرج بالليل إلى دار بعض الجيران للغزل والحديث لكن لا تبيت عندهم بل تعود إلى مسكنها للنوم-روضة الطالبين 393/6
"Di antara keperluan tersebut (yang diharuskan keluar rumah) adalah apabila dia perlu membeli makanan, cotton (pakaian) dan menjual hasil tenunan dan sebagainya...maka harus bagi wanita yang sedang beriddah kematian untuk keluar bagi memenuhi keperluan tersebut pada waktu SIANG. Begitu juga harus baginya keluar ke rumah sesetengah jirannya pada waktu MALAM untuk tenunan dan berbual-bual. Walaubagaimanapun, dia hendaklah kembali ke rumahnya untuk tidur."
Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam keperluan tersebut adalah seperti keluar untuk berziarah, melawat orang sakit, ziarah kubur termasuklah untuk menziarahi kubur suaminya dan mengiringi jenazah suami atau bapanya (Al-Bujairimi 427/4, al-Baijuri 258/2).

4) Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi (Nihayah al-Muhtaj 156-157/7, Tuhfah al-Muhtaj 262/8, Mughni al-Muhtaj 529/3, al-Bujairimi 427/4, al-Baijuri 258/2, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 110/2). Berdasarkan firman Allah;

لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنْ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ
Janganlah kalian keluarkan mereka (wanita–wanita dalam masa iddah) dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) keluar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang” (Surah al-Talaq : 1)
5) Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ei (3536) bermaksud:

لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تَحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ وَلَا تَكْتَحِلُ وَلَا تَخْتَضِبُ وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا
"Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni."
Termasuk dalam larangan berhias ini adalah:

a) Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang dengan tujuan untuk berhias sama ada pada waktu siang atau malam (Nihayah al-Muhtaj 149-150/7, Tuhfah al-Muhtaj 256/8, Al-Baijuri 255/2).

b) Memakai barang-barang kemas sama ada yang diperbuat daripada emas, perak atau permata pada waktu siang. Adapun memakai barang-barang kemas pada waktu malam, hukumnya adalah harus. Namun, sekiranya ia dipakai tanpa apa-apa keperluan maka hukumnya adalah makruh (Nihayah al-Muhtaj 150-151/7, Tuhfah al-Muhtaj 256-257/8, Mughni al-Muhtaj 524/3, al-Baijuri 254-255/2, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 661/7). 

c) Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian sama ada pada waktu siang atau malam melainkan sedikit setelah suci daripada haid atau nifas (Nihayah al-Muhtaj 151/7, Tuhfah al-Muhtaj 257/8, Mughni al-Muhtaj 524/3, al-Baijuri 256/2).

d) Bersolek, memakai celak (bertujuan untuk berhias dan yang mempunyai wangian), berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat (Nihayah al-Muhtaj 151-152/7, Tuhfah al-Muhtaj 257-258/8, Mughni al-Muhtaj 524-525/3, al-Baijuri 255-256/2).
Sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

الْمُتَوَفَّى عَنْهَا زَوْجُهَا لَا تَلْبَسُ الْمُعَصْفَرَ مِنْ الثِّيَابِ وَلَا الْمُمَشَّقَةَ وَلَا الْحُلِيَّ وَلَا تَخْتَضِبُ وَلَا تَكْتَحِلُ
Perempuan yang kematian suami janganlah memakai baju yang dicelup warna kuning atau merah (warna-warni), memakai barangan kemas, memakai inai dan memakai celak.”(Riwayat Abi Daud no. 2304, al-Nasaei no. 3534)
Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya. Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka perlu menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh iddah dan berkabung itu (Nihayah al-Muhtaj 152/7, Tuhfah al-Muhtaj 258/8, Mughni al-Muhtaj 526/3, al-Baijuri 255/2).
اليسع
Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan