PANDUAN HUKUM: KATEGORI KAFIR
Alyasak Berhan
Kafir terbahagi kepada empat kategori
iaitu;
1) Kafir zimmi:
Orang kafir yang mengadakan
perjanjian membayar jizyah (cukai kepala) dengan imam (pemerintah orang Islam)
atau naibnya dan patuh terhadap hukum-hukum Islam. Maka golongan zimmi ini
adalah merupakan kafir yang terpelihara di bawah hukum-hakam Islam. Dinamakan
zimmi sebagai penisbahan kepada zimmah iaitu jizyah yang dipungut setiap tahun
sebagai imbalan bolehnya mereka tinggal di negeri kaum muslimin (Kasyifah
al-Saja 142). Mereka yang diwajibkan membayar jizyah tersebut mestilah terdiri
daripada ahli kitab yang berakal, baligh, merdeka dan lelaki (al-Muktamad
99-101/5). Firman Allah Taala;
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ
وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ
مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ
صَاغِرُونَ
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri." [Surah al-Taubah 29]
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr,
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ قَتَلَ قَتِيلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ لَمْ يَجِدْ رِيحَ الْجَنَّةِ
وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
“Barangsiapa membunuh seorang kafir zimmi, maka dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan empat puluh tahun.” (Riwayat al-Nasa’ei, no. 8421).
2) Kafir mu’ahid/mu’ahad
Orang kafir harbi yang mengadakan
perjanjian damai dengan imam (pemerintah orang Islam) atau naibnya untuk
mengadakan gencatan senjata selama 4 bulan atau 10 tahun dengan adanya imbalan
atau lainnya daripada mereka yang sampai kepada kita (Kasyifah al-Saja 142). Diriwayatkan
dalam sebuah hadis;
أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا ، أَوِ انْتَقَصَهُ
، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ
، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ingatlah, sesiapa yang menzalimi seorang mu’ahid, merendahkannya, membebaninya di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa keridhaan dirinya, maka aku adalah lawan hujahnya pada hari kiamat” (Abu Daud, no.3052).
Justeru, selagimana mereka
mematuhi perundangan dan perjanjian dalam negara Islam itu maka mereka adalah
kafir mu’ahid. Umat Islam dilarang untuk
menyakiti mereka, mengambil harta dan hak mereka kerana mereka adalah orang
kafir yang telah mengikat perjanjian dengan pemerintah Islam. Firman Allah
Taala;
إِلَّا الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنْقُصُوكُمْ
شَيْئًا وَلَمْ يُظَاهِرُوا عَلَيْكُمْ أَحَدًا فَأَتِمُّوا إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ
إِلَىٰ مُدَّتِهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
"Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." [Surah al-Taubah 4]
كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ عَهْدٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعِنْدَ رَسُولِهِ
إِلَّا الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۖ فَمَا اسْتَقَامُوا
لَكُمْ فَاسْتَقِيمُوا لَهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
"Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid al-Haram. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." [Surah al-Taubah 7]
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr,
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ رِيحَهَا
تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
“Siapa yang membunuh kafir mu’ahad dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan empat puluh tahun.” (al-Bukhari no. 3166, 6914, al-Nasa`ei 8/25 dan Ibn Majah no. 2686)
Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah
berpendapat bahawa perkataan mu’ahad dalam hadis di atas mempunyai makna yang lebih
luas. Beliau berkata;
“Dan yang diinginkan dengan (Mu’ahad) adalah setiap kafir yang mempunyai perjanjian dengan kaum muslimin, sama ada dengan akad jizyah, perjanjian dengan pemerintah, atau jaminan keamanan daripada seorang muslim (Fath al-Bari 12/271).
3) Kafir Musta’man:
Orang kafir yang mengadakan
perjanjian aman dengan sebahagian orang Islam hanya dalam tempoh 4 bulan sahaja
(Kasyifah al-Saja 142) (menurut pendapat yang Azhar). Firman Allah Taala;
وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ
كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْلَمُونَ
“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Taubah 6)
Di dalam hadis Ali bin Abi Tolib radhiyallahu ‘anhu,
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam berpesan;
ذِمَّةُ الْمُسْلِمِيْنَ وَاحِدَةٌ يَسْعَى
بِهَا أَدْنَاهُمْ
“Zimmah (jaminan keamanan) kaum muslimin itu satu, (sekalipun) diusahakan oleh orang yang paling bawah kedudukannya dalam kalangan kamu.” (al-Bukhari no. 3179, 6755, 7300, Muslim no. 1370, Abu Daud no. 2034 dan al-Tirmizi no. 2132).
Imam al-Nawawi rahimahullah
menyatakan:
“Yang dikehendaki dengan zimmah di sini adalah Aman (jaminan keamanan). Maknanya bahawa jaminan keamanan kaum muslimin kepada orang kafir itu adalah sah (diakui). Maka sesiapa yang diberikan kepadanya jaminan keamanan daripada seseorang muslim (walaupun oleh orang yang paling bawah kedudukannya), maka haram atas (muslim) yang lainnya mengganggunya selagimana dia masih berada dalam jaminan keamanannya.”(Syarh Muslim 144/9).
4) Kafir harbi:
Orang kafir yang tiada perjanjian
damai dengan umat Islam (Kasyifah al-Saja 141). Firman Allah Taala;
وَإِنْ نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ مِنْ بَعْدِ
عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا فِي دِينِكُمْ فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ ۙ إِنَّهُمْ
لَا أَيْمَانَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنْتَهُونَ
"Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat)." [Surah al-Taubah 12]
اليسع
Wallallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan