PANDUAN HUKUM : Bubur Asyura'
Alyasak Berhan
KEUTAMAAN ASYURA'
Disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Mukasyafah al-Qulub:
"Dan telah datang athar yang banyak pada keutamaan hari Asyura', antaranya diterima taubat Nabi Adam alaihissalam, diciptakan Nabi Adam, Adam alaihissalam dimasukkan ke dalam syurga, Arasy, Kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan, Nabi Ibrahim alaihissalam dilahirkan dan diselamatkan daripada api Raja Namrud, selamatnya Nabi Musa alaihissalam dan pengikutnya dari (dikejar firaun), tenggelamnya firaun dan tenteranya, Nabi Isa alaihissalam dilahirkan dan diangkatkan ke langit, Nabi Idris alaihissalam diangkat ke tempat yang tinggi, berlabuhnya bahtera Nabi Nuh alaihissalam di atas bukit Judi, dikurniakan kepada Nabi Sulaiman alaihissalam sebuah kerajaan yang besar, dikeluarkan Nabi Yunus alaihissalam dari perut ikan, dikembalikan penglihatan Nabi Yaakub alaihissalam (yang kabur sebelumnya), dikeluarkan Nabi Yusuf alaihissalam dari telaga, disembuhkan penyakit Nabi Ayyub alaihissalam dan hujan yang pertama diturunkan dari langit ke bumi."
Manakala disebutkan dalam Kitab Hasyiah I‘anah al-Talibin, antara peristiwa-peristiwa yang terjadi pada
hari Asyura' adalah ;
"Nabi Adam alaihissalam bertaubat kepada Allah Taala dan taubat baginda diterima, Nabi Idris alaihissalam diangkat oleh Allah Taala ke tempat yang tinggi, Nabi Nuh alaihissalam diselamatkan Allah Taala keluar dari perahunya, Nabi Ibrahim alaihissalam diselamatkan Allah Taala daripada api Raja Namrud, Allah Taala menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa alaihissalam, Nabi Yusuf alaihissalam dibebaskan daripada penjara, penglihatan Nabi Yaakub alaihissalam yang kabur dipulihkan Allah Taala kembali, Nabi Ayyub alaihissalam disembuhkan Allah Taala daripada penyakitnya, Nabi Yunus alaihissalam selamat keluar dari perut ikan Nun, kesalahan Nabi Daud alaihissalam diampunkan oleh Allah Taala, Nabi Sulaiman alaihissalam dikurniakan kerajaan yang besar, hari pertama Allah Taala menciptakan alam, hari pertama Allah Taala menurunkan rahmat ke bumi, hari pertama Allah Taala menurunkan hujan dari langit, Allah Taala menjadikan Arasy, Allah Taala menjadikan Luh Mahfuz, Allah Taala menjadikan Qalam, Allah Taala menjadikan malaikat Jibril alaihissalam, Nabi Isa alaihissalam diangkat ke langit ………"
ASAL-USUL BUBUR ASYURA' MASYARAKAT MELAYU
Salah satu tradisi yang diadakan di kampung-kampung setiap kali menjelang bulan Muharram adalah membuat bubur Asyura'. Adapun mengenai tradisi ini, disebut di dalam kitab Risalah al-Musalsal al-Amiriyyah yang dicetak bersama-sama syarahannya;
“Begitu juga apa yang dilakukan oleh sebahagian daripada orang memasak bubur (pada hari Asyura') adalah merupakan suatu perkara bidaah. Asal-usulnya adalah bersandarkan kepada apa yang berlaku kepada Nabi Nuh alaihissalam tatkala baginda keluar dari kapal pada hari Asyura’. Orang-orang yang bersama baginda telah mengadu kelaparan. Lalu dikumpulkan saki baki bekalan mereka yang terdiri daripada pelbagai bijiran-bijiran seperti beras, kacang dal dan sebagainya. Setelah itu mereka pun memasak biji-bijiran tersebut di dalam periuk lalu mereka pun makan sehingga ia menyenyangkan mereka. Oleh itu, ia adalah merupakan makanan yang pertama dimasak di atas muka bumi selepas berlakunya taufan. Maka berdasarkan peristiwa ini, manusia telah menjadikan ianya sebagai suatu anjuran pada hari tersebut (Asyura’). Hal ini TIDAK MENGAPA dilakukan terutamanya perbuatan memberi makan kepada orang-orang fakir dan miskin adalah merupakan sebahagian tausi‘ah (meluaskan belanja) bagi mereka yang mampu dan tidak mampu. Maka perluaskankanlah akhlaknya bersama kaum kerabat dan keluarga serta maafkanlah orang-orang yang menzaliminya kerana terdapat athar berkaitan hal tersebut.”
Hal ini juga telah disebutkan di dalam Kitab Jam‘u al-Fawaid
wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fatani:
“(Dan kata) Syeikh Ajhuri dan aku lihat bagi orang yang lain nasnya bahawasanya (Nabi) Nuh alaihissalam tatkala turunnya dari safinah (bahtera) dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahawa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful (pol) dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun (kacang kuda) hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari Asyura', maka mengucap Nabi Nuh alaihissalam dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh alaihissalam. Firman Allah Taala:
قِيلَ يَا
نُوحُ اهْبِطْ بِسَلَامٍ مِنَّا وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ وَعَلَىٰ أُمَمٍ مِمَّنْ مَعَكَ
ۚ وَأُمَمٌ سَنُمَتِّعُهُمْ
"(Maksudnya) Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada kami dan berkat atasmu dan atas umam (umat-umat) sertamu dan umam (umat-umat) yang kami sukakan mereka itu." (Surah Hud: 48)
(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makanan yang dimasakkan di atas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari Asyura' dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi makan segala fuqara' (orang-orang yang fakir) dan masakin (orang-orang yang miskin), maka dinamakan bubur Asyura'. Dan jika bidaah sekalipun, (maka ia) bidaah hasanah dengan qasad itu."
Disebutkan oleh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Rahman al-Usfuri dan Syeikh Daud al-Fatani;
"Bahawasanya tatkala bahtera Nabi Nuh alaihissalam berlabuh di bukit Judi pada hari Asyura', maka berkatalah baginda kepada umatnya :
"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih. Maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthah hingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak"Maka berkata Nabi Nuh alaihissalam; "Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang."
Maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin
menjadikan makanan mereka itu daripada biji-bijian yang dinamakan BUBUR ASYURA'
(bubur yang dimasak sempena hari kesepuluh dalam bulan Muharam). Itulah masakan
yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan
taufan yang melanda bumi.
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani bersyair dengan katanya;
في يوم عاشوراء
سبع تهرس بر أرز ثم ماش عدس
وحمص ولوبيا
والفول هذا هو الصحيح والمنقول
"Pada Hari Asyura' terdapat tujuh bijirin yang dimakan iaitu Gandum (tepung), Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang dal).Dan Kacang Himmas (kacang putih) dan Kacang Lubia ( sejenis kacang panjang) dan kacang Ful. Inilah kata-kata yang sahih dan manqul (yang dinukil daripada kata-kata ulamak)."
Daripada apa yang dibahaskan di atas, maka difahami bahawa
sejarah BUBUR ASYURA' ini diambil daripada peristiwa arahan dan perintah Nabi
Nuh alaihissalam kepada umatnya suatu ketika dahulu.
Sungguhpun demikian, perkara ini bukanlah termasuk dalam hukum hakam yang ada nasakhnya dalam Syariat Islam. Ianya hanya sekadar kisah dan peristiwa yang perlu diambil iktibar dan dihayati oleh umat manusia dan seterusnya beriman dan menghampirkan diri kepada Allah Taala dengan sebenar-benar taqwa.
Andai arahan tadi merupakan suatu perintah, maka kita
mengatakan ia merupakan al-Syar‘u Man Qablana iaitu perkara syariat yang
berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang tidak dinasakhkan untuk menjadikan
iktibar dan panduan hidup berterusan umat akan datang. Maka BUBUR ASYURA' merupakan salah satu daripada perkara
yang disebutkan sebagai al-Syar‘u Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam
kehidupan kita dan ia tidaklah di anggap sebagai suatu BIDAAH YANG TERCELA atau perkara yang
bertentangan dengan kehendak syariat.
Tanggapan sebahagian orang yang mengatakan perkara ini
BIDAAH YANG TERCELA dan hanya sekadar adat semata-mata adalah tidak benar. Adat juga boleh menjadi ibadah
andai perkara seperti memasak BUBUR ASYURA' ini kita jadikan sebagai amalan
untuk mengingati dan menghayati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh
alaihissalam. Malah, tidak salah kita adakan Majlis Memasak BUBUR ASYURA'
dengan penghayatan tersebut dan bertujuan untuk memberi makan kepada keluarga,
fakir miskin yang sangat memerlukan dan menjamu orang yang berbuka puasa dan
sebagainya. Ia akan dihitung sebagai Ibadah yang mulia di sisi Allah Taala, Insya Allah.
Hal ini juga bertepatan dengan sebuah riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dan
Imam al-Baihaqi yang telah meriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Abu Hurairah, Jabir dan Ibn Mas‘ud radhiallahu anhum, bahawa Rasulullah solallahu alaihi wa sallam bersabda:
"Sesiapa yang memberi keluasan/kelapangan (keluasan rezeki) kepada keluarganya pada hari Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun tersebut."
Para muhaddisin (ahli hadis) berbeza pendapat
berkaitan status sanad riwayat ini, ada yang mensabitkan dan ada yang mendhaifkannya. Imam
al-Suyuti dalam al-Durar al-Muntathirah menyatakan
hadis ini sebagai thabit dan sahih.
Imam Ibn Rejab menulis dalam Lataif al-Ma‘arif, bahawa Imam Sufyan bin ‘Uyainah berkata:
"Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, maka tidak kami lihat melainkan kebaikan.”
اليسع
والله أعلمStatus Hadis Meluaskan Belanja Kaum Keluarga Pada Hari 'Asyura' (Ditakhrij oleh Us. Hafidz Soroni):
حديث رسول
الله -صلى الله عليه وسلم- : « من وسع على عياله فى يوم عاشوراء وسع الله عليه فى سنته
كلها » وفي رواية: من وسَّعَ على عياله في النفقة يومَ عاشوراء ، وسَّعَ الله عليه
سائر سَنَتِهِ. قال سفيان: إنا قد جربناه، فوجدناه كذلك.
Terjemahan hadis Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam: "Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kaum keluarganya pada hari Asyura', maka Allah akan melapangkannya pada tahun tersebut seluruhnya". Dalam satu riwayat: "Barangsiapa yang meluaskan nafkah kaum keluarganya pada hari Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut".
Kata Sufyan: Sesungguhnya kami telah mengujinya, lalu kami
dapati ianya benar.
Hadis ini berdasarkan kajian, didapati telah diriwayatkan
oleh lima orang sahabat Nabi sollallahu alaihi wa sallam, iaitu:
1. Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu anhu: iaitu riwayat Ibn
Abi al-Dunya dalam al-’Iyal (no. 385), al-Hakim al-Tirmizi (3/14), al-Tabarani
dalam al-Awsat (no. 9302), dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3794).
Dalam sanadnya ada Muhammad bin Isma’il al-Ja’fari yang munkar al-hadith
(al-Haythami, 3/189).
2. Ibn Mas’ud radhiallahu anhu: iaitu riwayat Ibn ’Adi
(5/211), al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3792), dan Ibn Hibban dalam
al-Du’afa’ (3/97), serta al-Tabarani dalam al-Kabir (no. 10,007) dengan lafaz:
(من وسع على
عياله يوم عاشوراء لم يزل فى سعة سائر سنته)
dan dalam sanadnya ada al-Haysam bin al-Syaddakh yang sangat
daif (al-Haythami, 3/189).
3. Jabir radhiallahu anhu : iaitu riwayat al-Bayhaqi dalam
Syu’ab al-Iman (no. 3791), kata beliau: Isnadnya dhaif. Juga diriwayatkan dalam
al-Istizkar oleh Ibn ’Abd al-Barr dengan lafaz:
(من وسع على
نفسه وأهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته)
dan al-Hafiz Ahmad al-Ghumari menyatakan bahawa
perawi-perawi sanadnya adalah perawi-perawi al-Sahih.
4. Abu Hurairah radhiallahu anhu : iaitu riwayat Ibn ’Adi
dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3795).
5. Ibn ’Umar radhiallahu anhu : iaitu riwayat al-Daraqutni
dalam al-Afrad dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Ruwat Malik.
Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam kitabnya
al-Marwiyyat fi Fadl Laylah al-Nisf min Sya’ban wa al-Tawsi’ah ’ala al-’Iyal
Yaum ’Asyura’ fi Mizan al-Naqd al-Hadithi (hlm. 115) merumuskan bahawa hadis
ini berdasarkan jalan-jalan riwayatnya adalah hasan li-ghairih. Hukum beliau
ini bersepakatan dengan ramai ulama hadis yang tidak menolak hadith ini seperti
al-'Iraqi, al-Sakhawi, al-’Ajluni, al-Suyuti, al-Munawi, Ibn 'Arraq dan
lain-lain. Sebelum Dr. Abu al-Laith, al-Hafiz al-'Allamah Sayyid Ahmad
al-Ghumari رحمه الله sebenarnya telahpun
membincangkan takhrij hadis ini secara detail dan menghukumnya sebagai sahih di
dalam risalah beliau:
(هدية الصغراء
بتصحيح حديث التوسعة يوم عاشوراء)
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan