Khamis, 26 November 2015

IMAM SYAFI’I MENGANJURKAN BACAAN AL-QURAN UNTUK MAYYIT???

IMAM SYAFI’I MENGANJURKAN BACAAN AL-QURAN UNTUK MAYYIT???
Alyasak Berhan
Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkata di dalam Kitab al-Um (hal. 645, jil. 2, Dar al-Wafa’: 2001);
وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت
“Dan saya suka jikalau dibacakan al-Quran di sisi kubur dan didoakan bagi mayyit.” 
 Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Ma’rifah al-Sunan (7746, hal.333, juz. 5, Dar Qutaibah: 1991); 

قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت
Berkata Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala: “Dan saya suka jikalau dibacakan al-Quran di sisi kubur dan didoakan bagi mayyit.”
Kitab Ma’rifah al-Sunan (Ma’rifah al-Sunan wal Athar ‘an al-Imam Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi’i Mukharraj ‘ala Mukhtasar Abi Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani) adalah merupakan takhrij kepada Mukhtasar Imam al-Muzani rahimallahu Taala, iaitu salah seorang murid Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam Riyadh al-Solihin bab
 (دعاء للميت بعد دفنه والقعود عند قبره ساعة والإستغفار والقراءة); 

قَالَ الشَّافِعِى رَحِمَهُ الله تعالى: وَيستحب أن يقرأ عنده شىء من القرأن وإن ختموا القرأن كله كان حسنا
“Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkata; “Disunnatkan bahawa dibacakan di sisinya (mayyit) sesuatu (sedikit) daripada al-Quran, dan jika mereka mengkhatamkan seluruh al-Quran, adalah lebih bagus.”
Disebutkan di dalam Kitab al-Majmuk (hal. 260, juz 5, Maktabah al-Irsyad: t.t): 

 يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب قالوا ويستحب أن يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب قالوا ويستحب أن يقرأ  عنده شئ  من القرءان وإن ختموا القرءان كان أفضل
“Disunatkan duduk sebentar di sisi kubur selepas pengkebumian, berdoa dan memohon keampunan bagi mayyit. Hal ini telah diNASkan (menyebut dengan terang/ jelas) oleh Imam al-Syafi’i. Para ashab juga telah sependapat pada permasalahan ini. Mereka (para ashab) berkata; “Disunnatkan bahawa dibacakan di sisinya (mayyit) sesuatu (sedikit) daripada al-Quran, dan jika mereka mengkhatamkan seluruh al-Quran, adalah lebih afdhal.”

Disebutkan juga di dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (hal. 286, juzuk 5, Maktabah al-Irsyad: t.t):

 وَيستحب أن يقرأ من القرءان ما تيسر ويدعو لهم عقبها نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب  
“Disunnatkan bagi orang yang menziarahi kubur, membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan untuk mereka (yang mati) selepas bacaan (al-Quran). Telah diNASkan (menyebut dengan terang/ jelas) oleh Imam al-Syafi’i berkaitannya. Ashab (juga) telah sependapat (pada masalah ini). ”
Disebutkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam Kitab Ruh (hal. 23, Dar ‘Alam al-Fawaid: 1432H) dan Imam al-Suyuti di dalam kitab Syarh al-Sudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur (hal. 311, Dar al-Madani: 1985):

قَالَ الحَسَن بِنْ الصَّبَاحِ الزَّعْفَرَنِى : سَأََلْتُ الَّشَافِعِى عَنِ الْقِرَأَةِ عِنْدَ الْقَبْرِ؟ . فَقَالَ : لاَ بَأْسَ بِهَا
Al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada Imam al-Syafi’i tentang membaca al-Quran di kubur dan beliau berkata; “Tidak mengapa dengannya (bacaan al-Quran diberi pahalanya kepada si mayyit ).”
Siapakah al-Za’faran? Beliau adalah murid kepada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala sendiri.
Telah diriwayatkan bahawa Imam Syafi'i rahimahullah Taala pernah menziarahi makam Imam Laits bin Sa’ad dan membaca al-Quran di makam tersebut;

 وقد تواتر أن الشافعي زار الليث بن سعد وأثني خيرا وقرأ عنده ختمة وقال أرجو أن تدوم فكان الأمر كذلك
“Sudah popular diketahui ramai bahawa Imam Syafi'i pernah menziarahi makam Imam Laits bin Sa’ad. Beliau memujinya dan membaca al-Quran sekali khatam di sisi makamnya. Lalu beliau berkata, “Saya berharap semoga hal ini terus berlanjutan dan sentiasa dilakukan” (al-Zakhirah al-Thaminah li Ahli al-Istiqamah, hal. 64 karya K.H. Muhammad Syarwani Abdan Bangil al-Banjari. Juga disebutkan dalam al-Qaul bi al-Ihsan al-‘Amim fi Intifa’ al-Mayyit bi al-Quran al-‘Azim karya Ibn al-Qattan al-‘Asqalani)

 QAUL MASYHUR
Penjelasan terdapatnya dua Qaul atau dua pendapat yang diriwayatkan daripada Imam al- Syafi’i rahimullahu Taala berkaitan permasalahan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada mayyit. Perkara ini boleh kita telili di dalam beberapa buah kitab Mazhab al-Syafi’i yang muktabar. Pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala telah dicatitkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, SYARAH MUSLIM sepertimana berikut:
وأما قراءة القرءان فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت
"Adapun bacaan al-Quran, maka menurut Qaul Masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i, adalah tidak sampai………
Dalil Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala dan mereka yang sependapat dengannya adalah firman Allah Taala yang bermaksud, "Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya sendiri (al-Najm: 39)", dan sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang bermaksud, “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (laki-laki/perempuan) yang berdoa untuknya (si mati)." (al-Nawawi, SYARAH MUSLIM, hal. 90, juz 1, al-Matba’ah al-Misriyyah: 1929)
Permasalahannya, adakah kita telah benar-benar memahami istilah sesuatu bidang ilmu? Sehingga dituduh ulamak sesuatu mazhab itu tak mengikut Imamnya sendiri? Pokoknya adakah kita telah benar-benar memahami masyrabnya, mustalahahnya, turuq khilafnya, selok-belok mazhab dan sebagainya yang berkenaan sesuatu mazhab khasnya “Mazhab al-Syafi’i”?

Maksud 'masyhur' itu sendiri sebagaimana yang telah diistilahkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Minhaj al-Talibin beliau, dan telah disyarahkan (dihuraikan) oleh Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (hal. 50, juz. 1, Matba’ah Mustafa Muhammad: t.t) adalah;
( فَالمَشْهُور) هُوَ الذَّى أَعْبَرَ بِهِ لإِءشْعَارِهِ بِخَفَاءِ مُقَابِلِهِ وَيَقَعُ لِلْمُؤَلِّفِ تَنَاقُضٌ بَيْنَ كُتُبِهِ فِى التَّرْجِيْحِ يَنْشَأُ عَنْ تَغَيُّرِ إِجْتِهَادِهِ فَالْيَعْتَنَّ بِتَحْرِيْرِهِ ذَلِكِ مَنْ يُرِيْدُ تَحْقِيْقَ الأَشْيَاء عَلَى وَجْهِهَا.
"Maka 'qaul masyhur', adalah yang diibaratkan oleh pengarang (al-Nawawi) dengannya, bagi tujuan memberitahu bahawa terdapat kesamaran muqobilnya (pertentangan) sesuatu pendapat (fatwa) tersebut. Dan bagi pengarang (al-Nawawi), terjadi pentarjihan yang berlawanan di antara kitab-kitab beliau, yang terbit (disebabkan) berubah ijtihad (sama ada Imam al-Syafi’i sendiri atau mujtahid mazhab atau mujtahid tarjih). Maka hendaklah diamati dengan menghuraikan perkara tersebut bagi mereka yang mahu (mampu) mentahqiqkan (meneliti dalil-dalilnya) mengikut jalan-jalannya (kaedah).”
Maksudnya, Qaul masyhur tersebut boleh dibuat penelitian lagi oleh mereka yang berkemampuan terhadap fatwa-fatwa mazhab yang mana kedudukannya hanya di tahap masyhur sahaja. Jelasnya, Qaul Masyhur adalah satu istilah yang dipopularkan oleh Imam Nawawi dan para Mujtahid Tarjih di kalangan Ulamak Mazhab Syafi’i dan ia bukan istilah Imam al-Syafi’i sendiri. Bukan juga seperti sangkaan mereka yang membantah dengan mengatakan “Qaul Masyhur” bermaksud qaul atau pendapat yang terkenal daripada riwayat Imam al-Syafi’i. Menurut Imam al-Nawawi, sememangnya terdapat 2 Qaul di sisi Imam al-Syafi’i dalam permasalahan ini jika dipandang dari sudut istilah “masyhur” yang dicatitkan di dalam semua kitab –kitab yang menuqilkan masalah sampai pahala kepada mayyit.  

Cuba kita perhatikan apakah pengertian sebenar “Qaul Masyhur” di sini?. Hal ini sebenarnya telah dijelaskan lagi di dalam kitab Majmu' Kutub al-Saba'h al-Mufidah (hal. 37, Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi: t.t):
وقد تتبع من جاء بعدهما كلامهما وبينوا المعتمد من غيره بحسب ما ظهر لهم
“Dan sesungguhnya mereka (ulamak) yang terkemudian telah menyelidiki dan membahaskan fatwa-fatwa kedua Syeikh al-Mazhab (al-Rafi’i dan al-Nawawi), dan mereka telah menerangkan yang mana muktamad (yang dipegang/difatwakan) dengan yang tidak muktamad, menurut perkiraan (penilaian) mereka.”
Maksudnya: Masih boleh berlaku penilaian semula terhadap sesuatu pendapat atau pentarjihan yang telah dilakukan oleh kedua mahaguru mazhab ini (al-Rafi’ie dan al-Nawawi) amnya dan khasnya terhadap qaul-qaul Masyhur yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala.
 
Ringkasnya, dalam masalah ini, kita dapati sekalipun dikatakan Imam al-Syafi’i sendiri pada satu pendapat beliau menyatakan bahawa tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati, namun ianya tidaklah qat'iy (pasti) begitu saja untuk diwartakan sebagai fatwa mazhab al-Syafi’i. Hal ini adalah kerana ianya adalah qaul “Masyhur” sebagaimana yang telah dinyatakan. 

Istilah Sahih, Ashah, Masyhur, Qodim, Jadid dan seumpamanya adalah merupakan istilah Imam Nawawi dan para pentarjih fatwa dalam Mazhab Syafi’i. Kalau dikatakan “mengapa pula begitu?”. Sebabnya adalah kerana penyusunan kitab-kitab beliau (Imam al-Syafi’i) telah diselidiki daripada pelbagai aspek berdasarkan keteguhan dalil, tahqiq perbahasan, kesemua kitab dan fatwa tersebut, lalu hasillah tertib sebagaimana yang tersebut. Lantaran itu kita dapati pengikut mazhab al-Syafi’i di kalangan ulamaknya, mentarjihkan dan memuktamadkan sampai pahala bacaan al-Quran kepada mayyit. Jelasnya, mereka mentarjihkan dan memuktamadkan Qaul Imam al-Syafi’i YANG KEDUA. Oleh yang demikian, tidak benarlah jika dikatakan bahawa pendapat tersebut hanya semata-mata Ijtihad pengikut Mazhab al-Syafi’i (terutamanya para Ashab) sahaja. Ini bermaksud bahawa sememangnya terdapat qaul yang menjadi lawan kepada qaul masyhur atau Muqobil Masyhur. Qaul Masyhur atau Muqobilnya memang kedua-duanya diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i sendiri walaupun sebahagian daripada mereka yang kontra mengatakan bahawa tiada Qaul lain yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i, yang ada hanya Qaul Masyhur sahaja. 

Sebagai satu buktinya, terdapat Qaul lain yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkenaan permasalahan ini. Menurut Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa al-Kubra (hal. 27, juz. 2, Dar al-Fikr: 1983): 

ولما يرون المتأخرون يرون وصول القراءة للميت على تفصيل فيه مقرر في محله
“Adalah ulamak mutaakkhirin berijtihad, bahawa sampai pahala bacaan kepada mayyit secara pentafsilan (penghuraian/penjelasan) yang ditaqrirkan (dibahas dalil dan kaedahnya) di tempatnya (di tempat perbahasannya).”

Beliau menegaskan lagi di muka surat yang sama:
وكلام الشافعي رضي الله في قراءة عقبها دعاء وهذه يصل ثوابها إليه فلا تنافي بل في كلام الشافعي رضي الله هذا تأييد للمتأخرين في حملهم مشهور المذهب على ما إذا لم يكن بحضرة الميت أو لم يدع عقبها
"Dan kalam Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala pada bacaan diiringi doa selepasnya, ini adalah sampai pahalanya kepada mayyit. Maka tiada bernafi-nafian (tiada berlawanan di antara perkataan Imam Syafi’i yang terdahulu [tidak sampai] itu dengan yang akhir ini). Bahkan kalam Imam al-Syafi’i ini menguatkan ijtihad mutaakkhirin yang mengihtimalkan (mengandaikan) Qaul Masyhur iaitu pada keadaan jikalau ia bukan bacaan di hadapan mayyit atau tidak didoakan selepas bacaan tersebut.”
Di antara golongan terdahulu daripada Imam al-Nawawi yang berpegang dengan QAUL KEDUA ini adalah seperti; Imam Ibn Solah, Imam Muhib al-Tabari, al-Mawardi, Ibn Abi al-Dam, al-Qadhi Abu Ma’ali Mujalli, Ibn Abi Asrun dan seumpamanya. Antara golongan terkemudian pula adalah seperti Imam al-Subki, Imam al-Suyuti dan lain-lain. Begitu juga Ibn Abbdissalam dalam satu riwayat, beliau telah merubah pendapatnya setelah wafat dengan dimimpikan orang berjumpa beliau dan beliau mengakui bahawa sampainya pahala bacaan kepada arwah.  

Sekali lagi ditegaskan, bahawa Qaul Masyhur adalah merujuk kepada pendapat yang kurang jelas Muqobilnya (lawan atau sebaliknya) dan ia bukan bermakna qaul yang terkenal diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i. Maka apabila disebut sahaja Qaul Masyhur, bererti lawan atau sebalik daripada pendapat yang Masyhur tersebut adalah suatu yang tidak jelas kedudukannya. Maka ia perlu ditahqiq semula oleh para ulamak terkemudian selepas Imam al-Syafi’I. Oleh itu, berdasarkan beberapa nukilan tersebut (QAUL KEDUA) jelas menunjukkan kepada sesuatu perkara yang berlainan atau berlawanan dengan Qaul Masyhur Imam al-Syafi’i yang mengatakan tidak sampai dan tidak bermanfaatnya mayyit dengan bacaan orang hidup, dan keadaan ini menunjukkan kesahihah bahawa terdapat dua Qaul Imam al-Syafi’I berkaitan permasalahan ini. Inilah yang dimaksudkan dengan Muqobil Masyhur, sebagaimana takrif dan penghuraian maksudnya yang telah dibincangkan dahulu. Tidak sampai pahala kepada mayyit adalah Qaul Masyhur daripada Imam al-Syafi’i dan anjuran sunat membaca al-Quran dan mendoakannya yang akan memahamkan kepada kita bahawa; ‘Sampai pahala bacaan kepada mayyit adalah merupakan Qaul Muqobil Masyhur daripada Imam al-Syafi’i juga.’ Ini kerana jikalau tidak sampai pahala dan disunatkan pula bacaan tersebut, akan membawa kepada melakukan perbuatan sia-sia yang dilarang. Justeru, pentahqiqan bahawa sampainya pahala bacaan al-Quran kepada mayyit oleh ulamak mutaakkhirin Mazhab al-Syafi’i ini bertepatan dengan kaedah;
 "المُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفِي"
“Penetapan didahulukan terhadap penafian”
Wallahu a’lam
اليسع برهان

Tiada ulasan:

Catat Ulasan