Suara Wanita
Alyasak Berhan
Perlulah diketahui bahawa menurut pendapat yang lebih sahih
(qaul al-asah) dalam Mazhab Syafi'i, suara perempuan bukan aurat. Oleh itu,
harus mendengar suara perempuan terutamanya dalam konteks pembelajaran
selagimana ia tidak menimbulkan fitnah atau menaikkan syahwat (Asna al-Matalib
464-465/4, Hasyiah al-Qalyubi 209/3, Hasyiah al-Bujairimi 105/4).
Bagaimanapun, suara perempuan sememangnya boleh mendatangkan
fitnah apabila ia diucapkan dengan penuh manja dan merdu di hadapan lelaki
ajnabi. Justeru itu, mereka perlulah berbicara dengan nada yang tegas, bersopan
dan tidak berlenggok-lenggok (gedik-gedik) supaya fitnah tersebut dapat
dielakkan. Firman Allah Taala;
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ
مِنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي
فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."(Surah al-Ahzab 32)
Hukum Wanita Membaca al-Quran di Hadapan Ajnabi
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulamak muaakkhirin
Mazhab Syafi'i berkaitan hukum perempuan membaca al-Quran dengan suara yang
kuat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram). Menurut Syeikh al-Ramli, tidak
haram bagi perempuan membaca al-Quran dengan suara yang kuat di hadapan lelaki
ajnabi (bukan mahram) sama ada di dalam solat mahupun di luar solat.
Walaubagaimanapun, di dalam solat hukumnya adalah makruh kerana dikhuatiri
boleh mendatangkan fitnah. Manakala menurut Syeikh al-Khatib al-Syirbini pula,
haram bagi perempuan membaca al-Quran dengan suara yang kuat di hadapan lelaki
ajnabi (bukan mahram) (Nihayah al-Muhtaj 407-408/1, Mughni al-Muhtaj 210/1,
Al-Manhal al-Naddhakh 80).
Hukum Wanita Bernasyid
Harus bagi perempuan memperdengarkan nyanyian (nasyid) di
hadapan lelaki ajnabi selagimana nyanyian itu terhindar daripada
perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan menaikkan syahwat.
Walaubagaimanapun, hukum lelaki ajnabi mendengar nyanyian perempuan tersebut
adalah makruh sekalipun ianya aman daripada fitnah (Nihayah al-Muhtaj 407/1,
Mughni al-Muhtaj 210/1). Sehubungan itu, adab-adab serta batasan syarak
hendaklah dipelihara dan diambil perhatian yang sewajarnya agar nyanyian
tersebut terhindar daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak.
Justeru, keputusan fatwa Negeri Pulau Pinang di bawah boleh dijadikan panduan
dalam perkara ini iaitu;
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil 2 /
2012 yang telah bersidang pada Mac 2012 telah membincangkan mengenai Hukum
Wanita Bernasyid. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :-
Bersetuju untuk mewartakan hukum wanita bernasyid seperti berikut :
1) Suara wanita bukan aurat. Ini bererti mereka bebas
bersuara, mengajar, belajar, berjual beli, berbual dan sebagainya.
a. Hukum wanita menyanyi adalah tidak haram.
b. Hukum mendengar nyanyian wanita adalah makruh dan tidak
digalakkan sekalipun dijamin aman dari fitnah.
c. Nyanyian yang disertai dengan gaya yang menghairahkan,
tarian dan solekan yang melampau apatah lagi mendedahkan aurat jika ditontoni
oleh lelaki yang ajnabi adalah haram.
2) Lantaran itu jika kaum wanita hendak bernasyid, maka
bolehlah mengambil panduan berikut:
a. Mesti menjaga adab-adab iaitu menutup aurat, tidak mengerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah, tidak bersolek dan berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita muslimah.
b. Hendaklah memastikan suasana majlis tiada percampuran
antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
c. Persembahan hendaklah atas tujuan untuk berdakwah dan
menanam diadakan tazkirah atau zikir kepada Allah. Peluang ini digunakan sebaik
mungkin untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam yang syumul.
اليسع
Wallahu a'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan