Ahad, 29 November 2015

HADIS JARIAH

Hadis Jariah (hamba perempuan).

قَالَ: وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: ائْتِنِي بِهَا فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ
"Mu’awiyah ibn al-Hakam al-Salami berkata : “Aku memiliki seorang hamba perempuan yang mengembala kambing-kambingku di sekitar Uhud dan Jawwaniyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing daripada gembalaannya. Aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Nabi sollallahu alaihi wa sallam dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (menampar muka jariah tersebut). Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah perlu aku merdekakan dia?” Baginda bersabda, “Bawa dia ke mari!” Maka aku bawa dia mengadap baginda. Baginda bertanya kepadanya, “Di mana Allah?” Dia menjawab, “Di langit.” Nabi bertanya lagi; Siapa aku?, jawabnya; ‘Engkau Rasulullah’. Maka Baginda bersabda, “Merdekakan dia! Sesungguhnya dia seorang mukminah.”(Riwayat Muslim, no. 537).

Komentar Ulamak Berkaitan Lafaz Hadis Jariah

1) Al-Baihaqi mengatakan :

قَدْ أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ مُقَطَّعًا مِنْ حَدِيثِ الْأَوْزَاعِيِّ وَحَجَّاجٍّ الصَّوَّافِ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ دُونَ قِصَّةِ الْجَارِيَةِ، وَأَظُنُّهُ إِنَّمَا تَرَكَهَا مِنَ الْحَدِيثِ لِاخْتِلَافِ الرُّوَاةِ فِي لَفْظِهِ. وَقَدْ ذَكَرْتُ فِي كِتَابِ الظِّهَارِ مِنَ السُّنَنِ مُخَالَفَةَ مَنْ خَالَفَ مُعَاوِيَةَ بْنَ الْحَكَمِ فِي لَفْظِ الْحَدِيثِ
“Imam Muslim telah meriwayatkannya dengan memotong (tidak keseluruhan) daripada hadis  al-Auza’i dan Hajjaj al-Sawwaf daripada Yahya ibn Abi Kathir tanpa menyebut kisah Jariyah. Mungkin dia meninggalkannya (kisah jariah) dalam hadis itu disebabkan perselisihan para perawi dalam lafaznya. Saya telah menyebutkan dalam kitab al-Sunan pada bab al-Zihar berkaitan perselisihan perawi yang menyalahi Mu’awiyah ibn Hakam pada lafaz hadis tersebut.”(al-Asma' wa al-Sifat, Maktabah Syamilah, Juz. 2, Hal. 325).

2) Disebutkan oleh al-Haithami;

  قَالَ الْبَزَّارُ: وَهَذَا قَدْ رُوِيَ نَحْوُهُ بِأَلْفَاظٍ مُخْتَلِفَةٍ.
“Al-Bazar mengatakan, (hadis al-jariah) ini  telah diriwayatkan seumpamanya dengan lafaz-lafaz yang berbeza.”(Kasyf al-Astar, Maktabah Syamilah, Juz. 1, Hal. 14).

3) Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika memberi komentar berkaitan hadis al-jariah ini, mengatakan :


وَفِي اللَّفْظِ مُخَالَفَةٌ كَثِيرَةٌ
“Pada lafaznya terdapat banyak perbezaan.”(Talkhis al-Habir, Maktabah Syamilah, Juz. 3, Hal. 448).

Huraian Ulamak Berkaitan Hadis Jariah

1) Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, berkata:

هذا الحديث من أحاديث الصفات وفيها مذهبان تقدم ذكرهما مرات في كتاب الايمان: أحدهما : الايمان به من غير خوض في معناه مع اعتقاد أن الله تعالى ليس كمثله شئ وتنزيهه عن سمات المخلوقات، والثاني : تأويله بما يليق به ، فمن قال بهذا قال: كان المراد امتحانُها هل هي موحدة تقر بأن الخالق المدبر الفعال هو الله وحده وهو الذي إذا دعاه الداعي استقبل السماء كما إذا صلى المصلي استقبل الكعبة وليس ذلك لانه منحصر في السماء كما أنه ليس منحصرا في جهة الكعبة، بل ذلك لان السماء قبلة الداعين كما أن الكعبة قبلة المصلين، أو هي من عبدة الاوثان العابدين للاوثان التي بين أيديهم فلما قالت في السماء علم أنها موحدة وليست عابدة للاوثان.
“Hadis ini termasuk hadis-hadis sifat. Padanya ada dua aliran (penafsiran), telah disebut berulang kali keterangan tentangnya dalam Kitab al-Iman iaitu,
Pertama : Beriman dengannya tanpa menelusuri maknanya beserta keyakinan bahawa Allah Taala tiada sesuatu yang menyerupaiNya, dan menyucikanNya daripada sifat-sifat makhluk.
Kedua : mentakwilkannya dengan makna yang layak bagiNya.
Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadis tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah Nabi sollallahu alaihi wa sallam menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tauhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang bersolat dia menghadap kaabah, dan bukanlah perlakuan sedemikian ini (menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang bersolat. Atau jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: "Di langit," diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tauhid dan bukannya seorang penyembah berhala (jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).”(Syarh Muslim, Muassisah Qurtubah, Juz. 5, Hal. 33-34).

2) Qadhi ‘Iyadh mengatakan:

 لا خلاف بين المسلمين قاطبة فقيههم ومحدثهم ومتكلمهم ونظارهم ومقتدهم أن الظواهر الواردة بذكر الله تعالى في السماء كقول الله تعالى ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الارض ونحوه ليست على ظاهرها
“Tiada perselisihan pendapat dalam kalangan kaum Muslimin, baik ahli fekah, ahli hadis, ahli teologi, ahli fikir dan pengikut mereka bahawa zahir-zahir nas yang menyebut Allah di langit seperti firman Allah: “Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu?” dan yang seumpamanya itu tidak diertikan secara zahirnya.”(Syarh Muslim, Muassisah Qurtubah, Juz. 5, Hal. 34).

3) Al-Hafiz Ibn al-Jauzi ketika mengomentari hadis jariah mengatakan :

قلت : قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والارض ولا تضمه الاقطار وإنما عرف بإشارتها تعظيم الخالق عندها .
“Aku berkata, ‘Telah tetap di kalangan para ulama bahawa Allah Taala tidak diliputi oleh langit dan bumi dan tidak pula dihimpun oleh penjuru, akan tetapi hanya dikenaliNya dengan isyarat hamba perempuan itu ke arah langit kerana pengagungan Zat Maha Pencipta.”(Daf’u Syubhah, Dar al-Imam al-Rawas, Beirut, Hal. 189).

4) Imam al-Subki dalam kitab al-Saif al-Soqil Fi al-Raddi ‘ala Ibni Zafil mengatakan :

أقول: أما القول: فقوله صلى الله عليه وسلم للجارية  "أين الله ؟" قالت: "في السماء" وقد تكلم الناس عليه قديما وحديثا والكلام عليه معروف ولا يقبله ذهن هذا الرجل
“ِAku berkata: ‘Adapun ucapannya: Sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam kepada hamba perempuan, ‘Di mana Allah?’ dan jawabannya, ‘Di langit.’ Ketahulilah bahawa para ulamak sejak dahulu hingga sekarang telah banyak membicarakan berkenaan hadis tersebut. Perbicaraan tentangnya sangat makruf, dan orang ini (Ibn Zafil) tidak menerimanya (dengan berpendapat Allah berada di langit).”(al-Saif al-Saqil Fi al-Raddi ‘ala Ibni Zafil, Maktabah al-Azhariyyah lil Turath, Hal. 82-83).

KESIMPULAN

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa hadis al-Jariah tersebut tidak boleh ditafsirkan menurut makna zahirnya. Akan tetapi wajib diserahkan maksudnya kepada Allah Taala tanpa menelusuri maknanya dengan mengiktiqadkan bahawa Allah Maha Suci daripada mempunyai tempat dan arah (mazhab tafwidh). Atau menafsirkannya sesuai dengan sifat yang layak bagi Allah Taala sebagaimana tafsiran sebahagian ulamak yang telah kita kemukakan di atas.

Wallahu a'lam.

Khamis, 26 November 2015

IMAM SYAFI’I MENGANJURKAN BACAAN AL-QURAN UNTUK MAYYIT???

IMAM SYAFI’I MENGANJURKAN BACAAN AL-QURAN UNTUK MAYYIT???
Alyasak Berhan
Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkata di dalam Kitab al-Um (hal. 645, jil. 2, Dar al-Wafa’: 2001);
وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت
“Dan saya suka jikalau dibacakan al-Quran di sisi kubur dan didoakan bagi mayyit.” 
 Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Ma’rifah al-Sunan (7746, hal.333, juz. 5, Dar Qutaibah: 1991); 

قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت
Berkata Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala: “Dan saya suka jikalau dibacakan al-Quran di sisi kubur dan didoakan bagi mayyit.”
Kitab Ma’rifah al-Sunan (Ma’rifah al-Sunan wal Athar ‘an al-Imam Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi’i Mukharraj ‘ala Mukhtasar Abi Ibrahim Ismail bin Yahya al-Muzani) adalah merupakan takhrij kepada Mukhtasar Imam al-Muzani rahimallahu Taala, iaitu salah seorang murid Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam Riyadh al-Solihin bab
 (دعاء للميت بعد دفنه والقعود عند قبره ساعة والإستغفار والقراءة); 

قَالَ الشَّافِعِى رَحِمَهُ الله تعالى: وَيستحب أن يقرأ عنده شىء من القرأن وإن ختموا القرأن كله كان حسنا
“Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkata; “Disunnatkan bahawa dibacakan di sisinya (mayyit) sesuatu (sedikit) daripada al-Quran, dan jika mereka mengkhatamkan seluruh al-Quran, adalah lebih bagus.”
Disebutkan di dalam Kitab al-Majmuk (hal. 260, juz 5, Maktabah al-Irsyad: t.t): 

 يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب قالوا ويستحب أن يستحب أن يمكث على القبر بعد الدفن ساعة يدعو للميت ويستغفر له نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب قالوا ويستحب أن يقرأ  عنده شئ  من القرءان وإن ختموا القرءان كان أفضل
“Disunatkan duduk sebentar di sisi kubur selepas pengkebumian, berdoa dan memohon keampunan bagi mayyit. Hal ini telah diNASkan (menyebut dengan terang/ jelas) oleh Imam al-Syafi’i. Para ashab juga telah sependapat pada permasalahan ini. Mereka (para ashab) berkata; “Disunnatkan bahawa dibacakan di sisinya (mayyit) sesuatu (sedikit) daripada al-Quran, dan jika mereka mengkhatamkan seluruh al-Quran, adalah lebih afdhal.”

Disebutkan juga di dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab (hal. 286, juzuk 5, Maktabah al-Irsyad: t.t):

 وَيستحب أن يقرأ من القرءان ما تيسر ويدعو لهم عقبها نص عليه الشافعى واتفق عليه الأصحاب  
“Disunnatkan bagi orang yang menziarahi kubur, membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan untuk mereka (yang mati) selepas bacaan (al-Quran). Telah diNASkan (menyebut dengan terang/ jelas) oleh Imam al-Syafi’i berkaitannya. Ashab (juga) telah sependapat (pada masalah ini). ”
Disebutkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam Kitab Ruh (hal. 23, Dar ‘Alam al-Fawaid: 1432H) dan Imam al-Suyuti di dalam kitab Syarh al-Sudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur (hal. 311, Dar al-Madani: 1985):

قَالَ الحَسَن بِنْ الصَّبَاحِ الزَّعْفَرَنِى : سَأََلْتُ الَّشَافِعِى عَنِ الْقِرَأَةِ عِنْدَ الْقَبْرِ؟ . فَقَالَ : لاَ بَأْسَ بِهَا
Al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada Imam al-Syafi’i tentang membaca al-Quran di kubur dan beliau berkata; “Tidak mengapa dengannya (bacaan al-Quran diberi pahalanya kepada si mayyit ).”
Siapakah al-Za’faran? Beliau adalah murid kepada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala sendiri.
Telah diriwayatkan bahawa Imam Syafi'i rahimahullah Taala pernah menziarahi makam Imam Laits bin Sa’ad dan membaca al-Quran di makam tersebut;

 وقد تواتر أن الشافعي زار الليث بن سعد وأثني خيرا وقرأ عنده ختمة وقال أرجو أن تدوم فكان الأمر كذلك
“Sudah popular diketahui ramai bahawa Imam Syafi'i pernah menziarahi makam Imam Laits bin Sa’ad. Beliau memujinya dan membaca al-Quran sekali khatam di sisi makamnya. Lalu beliau berkata, “Saya berharap semoga hal ini terus berlanjutan dan sentiasa dilakukan” (al-Zakhirah al-Thaminah li Ahli al-Istiqamah, hal. 64 karya K.H. Muhammad Syarwani Abdan Bangil al-Banjari. Juga disebutkan dalam al-Qaul bi al-Ihsan al-‘Amim fi Intifa’ al-Mayyit bi al-Quran al-‘Azim karya Ibn al-Qattan al-‘Asqalani)

 QAUL MASYHUR
Penjelasan terdapatnya dua Qaul atau dua pendapat yang diriwayatkan daripada Imam al- Syafi’i rahimullahu Taala berkaitan permasalahan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada mayyit. Perkara ini boleh kita telili di dalam beberapa buah kitab Mazhab al-Syafi’i yang muktabar. Pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala telah dicatitkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, SYARAH MUSLIM sepertimana berikut:
وأما قراءة القرءان فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت
"Adapun bacaan al-Quran, maka menurut Qaul Masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i, adalah tidak sampai………
Dalil Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala dan mereka yang sependapat dengannya adalah firman Allah Taala yang bermaksud, "Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya sendiri (al-Najm: 39)", dan sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang bermaksud, “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (laki-laki/perempuan) yang berdoa untuknya (si mati)." (al-Nawawi, SYARAH MUSLIM, hal. 90, juz 1, al-Matba’ah al-Misriyyah: 1929)
Permasalahannya, adakah kita telah benar-benar memahami istilah sesuatu bidang ilmu? Sehingga dituduh ulamak sesuatu mazhab itu tak mengikut Imamnya sendiri? Pokoknya adakah kita telah benar-benar memahami masyrabnya, mustalahahnya, turuq khilafnya, selok-belok mazhab dan sebagainya yang berkenaan sesuatu mazhab khasnya “Mazhab al-Syafi’i”?

Maksud 'masyhur' itu sendiri sebagaimana yang telah diistilahkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Minhaj al-Talibin beliau, dan telah disyarahkan (dihuraikan) oleh Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (hal. 50, juz. 1, Matba’ah Mustafa Muhammad: t.t) adalah;
( فَالمَشْهُور) هُوَ الذَّى أَعْبَرَ بِهِ لإِءشْعَارِهِ بِخَفَاءِ مُقَابِلِهِ وَيَقَعُ لِلْمُؤَلِّفِ تَنَاقُضٌ بَيْنَ كُتُبِهِ فِى التَّرْجِيْحِ يَنْشَأُ عَنْ تَغَيُّرِ إِجْتِهَادِهِ فَالْيَعْتَنَّ بِتَحْرِيْرِهِ ذَلِكِ مَنْ يُرِيْدُ تَحْقِيْقَ الأَشْيَاء عَلَى وَجْهِهَا.
"Maka 'qaul masyhur', adalah yang diibaratkan oleh pengarang (al-Nawawi) dengannya, bagi tujuan memberitahu bahawa terdapat kesamaran muqobilnya (pertentangan) sesuatu pendapat (fatwa) tersebut. Dan bagi pengarang (al-Nawawi), terjadi pentarjihan yang berlawanan di antara kitab-kitab beliau, yang terbit (disebabkan) berubah ijtihad (sama ada Imam al-Syafi’i sendiri atau mujtahid mazhab atau mujtahid tarjih). Maka hendaklah diamati dengan menghuraikan perkara tersebut bagi mereka yang mahu (mampu) mentahqiqkan (meneliti dalil-dalilnya) mengikut jalan-jalannya (kaedah).”
Maksudnya, Qaul masyhur tersebut boleh dibuat penelitian lagi oleh mereka yang berkemampuan terhadap fatwa-fatwa mazhab yang mana kedudukannya hanya di tahap masyhur sahaja. Jelasnya, Qaul Masyhur adalah satu istilah yang dipopularkan oleh Imam Nawawi dan para Mujtahid Tarjih di kalangan Ulamak Mazhab Syafi’i dan ia bukan istilah Imam al-Syafi’i sendiri. Bukan juga seperti sangkaan mereka yang membantah dengan mengatakan “Qaul Masyhur” bermaksud qaul atau pendapat yang terkenal daripada riwayat Imam al-Syafi’i. Menurut Imam al-Nawawi, sememangnya terdapat 2 Qaul di sisi Imam al-Syafi’i dalam permasalahan ini jika dipandang dari sudut istilah “masyhur” yang dicatitkan di dalam semua kitab –kitab yang menuqilkan masalah sampai pahala kepada mayyit.  

Cuba kita perhatikan apakah pengertian sebenar “Qaul Masyhur” di sini?. Hal ini sebenarnya telah dijelaskan lagi di dalam kitab Majmu' Kutub al-Saba'h al-Mufidah (hal. 37, Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi: t.t):
وقد تتبع من جاء بعدهما كلامهما وبينوا المعتمد من غيره بحسب ما ظهر لهم
“Dan sesungguhnya mereka (ulamak) yang terkemudian telah menyelidiki dan membahaskan fatwa-fatwa kedua Syeikh al-Mazhab (al-Rafi’i dan al-Nawawi), dan mereka telah menerangkan yang mana muktamad (yang dipegang/difatwakan) dengan yang tidak muktamad, menurut perkiraan (penilaian) mereka.”
Maksudnya: Masih boleh berlaku penilaian semula terhadap sesuatu pendapat atau pentarjihan yang telah dilakukan oleh kedua mahaguru mazhab ini (al-Rafi’ie dan al-Nawawi) amnya dan khasnya terhadap qaul-qaul Masyhur yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala.
 
Ringkasnya, dalam masalah ini, kita dapati sekalipun dikatakan Imam al-Syafi’i sendiri pada satu pendapat beliau menyatakan bahawa tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati, namun ianya tidaklah qat'iy (pasti) begitu saja untuk diwartakan sebagai fatwa mazhab al-Syafi’i. Hal ini adalah kerana ianya adalah qaul “Masyhur” sebagaimana yang telah dinyatakan. 

Istilah Sahih, Ashah, Masyhur, Qodim, Jadid dan seumpamanya adalah merupakan istilah Imam Nawawi dan para pentarjih fatwa dalam Mazhab Syafi’i. Kalau dikatakan “mengapa pula begitu?”. Sebabnya adalah kerana penyusunan kitab-kitab beliau (Imam al-Syafi’i) telah diselidiki daripada pelbagai aspek berdasarkan keteguhan dalil, tahqiq perbahasan, kesemua kitab dan fatwa tersebut, lalu hasillah tertib sebagaimana yang tersebut. Lantaran itu kita dapati pengikut mazhab al-Syafi’i di kalangan ulamaknya, mentarjihkan dan memuktamadkan sampai pahala bacaan al-Quran kepada mayyit. Jelasnya, mereka mentarjihkan dan memuktamadkan Qaul Imam al-Syafi’i YANG KEDUA. Oleh yang demikian, tidak benarlah jika dikatakan bahawa pendapat tersebut hanya semata-mata Ijtihad pengikut Mazhab al-Syafi’i (terutamanya para Ashab) sahaja. Ini bermaksud bahawa sememangnya terdapat qaul yang menjadi lawan kepada qaul masyhur atau Muqobil Masyhur. Qaul Masyhur atau Muqobilnya memang kedua-duanya diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i sendiri walaupun sebahagian daripada mereka yang kontra mengatakan bahawa tiada Qaul lain yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i, yang ada hanya Qaul Masyhur sahaja. 

Sebagai satu buktinya, terdapat Qaul lain yang diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala berkenaan permasalahan ini. Menurut Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa al-Kubra (hal. 27, juz. 2, Dar al-Fikr: 1983): 

ولما يرون المتأخرون يرون وصول القراءة للميت على تفصيل فيه مقرر في محله
“Adalah ulamak mutaakkhirin berijtihad, bahawa sampai pahala bacaan kepada mayyit secara pentafsilan (penghuraian/penjelasan) yang ditaqrirkan (dibahas dalil dan kaedahnya) di tempatnya (di tempat perbahasannya).”

Beliau menegaskan lagi di muka surat yang sama:
وكلام الشافعي رضي الله في قراءة عقبها دعاء وهذه يصل ثوابها إليه فلا تنافي بل في كلام الشافعي رضي الله هذا تأييد للمتأخرين في حملهم مشهور المذهب على ما إذا لم يكن بحضرة الميت أو لم يدع عقبها
"Dan kalam Imam al-Syafi’i rahimahullah Taala pada bacaan diiringi doa selepasnya, ini adalah sampai pahalanya kepada mayyit. Maka tiada bernafi-nafian (tiada berlawanan di antara perkataan Imam Syafi’i yang terdahulu [tidak sampai] itu dengan yang akhir ini). Bahkan kalam Imam al-Syafi’i ini menguatkan ijtihad mutaakkhirin yang mengihtimalkan (mengandaikan) Qaul Masyhur iaitu pada keadaan jikalau ia bukan bacaan di hadapan mayyit atau tidak didoakan selepas bacaan tersebut.”
Di antara golongan terdahulu daripada Imam al-Nawawi yang berpegang dengan QAUL KEDUA ini adalah seperti; Imam Ibn Solah, Imam Muhib al-Tabari, al-Mawardi, Ibn Abi al-Dam, al-Qadhi Abu Ma’ali Mujalli, Ibn Abi Asrun dan seumpamanya. Antara golongan terkemudian pula adalah seperti Imam al-Subki, Imam al-Suyuti dan lain-lain. Begitu juga Ibn Abbdissalam dalam satu riwayat, beliau telah merubah pendapatnya setelah wafat dengan dimimpikan orang berjumpa beliau dan beliau mengakui bahawa sampainya pahala bacaan kepada arwah.  

Sekali lagi ditegaskan, bahawa Qaul Masyhur adalah merujuk kepada pendapat yang kurang jelas Muqobilnya (lawan atau sebaliknya) dan ia bukan bermakna qaul yang terkenal diriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i. Maka apabila disebut sahaja Qaul Masyhur, bererti lawan atau sebalik daripada pendapat yang Masyhur tersebut adalah suatu yang tidak jelas kedudukannya. Maka ia perlu ditahqiq semula oleh para ulamak terkemudian selepas Imam al-Syafi’I. Oleh itu, berdasarkan beberapa nukilan tersebut (QAUL KEDUA) jelas menunjukkan kepada sesuatu perkara yang berlainan atau berlawanan dengan Qaul Masyhur Imam al-Syafi’i yang mengatakan tidak sampai dan tidak bermanfaatnya mayyit dengan bacaan orang hidup, dan keadaan ini menunjukkan kesahihah bahawa terdapat dua Qaul Imam al-Syafi’I berkaitan permasalahan ini. Inilah yang dimaksudkan dengan Muqobil Masyhur, sebagaimana takrif dan penghuraian maksudnya yang telah dibincangkan dahulu. Tidak sampai pahala kepada mayyit adalah Qaul Masyhur daripada Imam al-Syafi’i dan anjuran sunat membaca al-Quran dan mendoakannya yang akan memahamkan kepada kita bahawa; ‘Sampai pahala bacaan kepada mayyit adalah merupakan Qaul Muqobil Masyhur daripada Imam al-Syafi’i juga.’ Ini kerana jikalau tidak sampai pahala dan disunatkan pula bacaan tersebut, akan membawa kepada melakukan perbuatan sia-sia yang dilarang. Justeru, pentahqiqan bahawa sampainya pahala bacaan al-Quran kepada mayyit oleh ulamak mutaakkhirin Mazhab al-Syafi’i ini bertepatan dengan kaedah;
 "المُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفِي"
“Penetapan didahulukan terhadap penafian”
Wallahu a’lam
اليسع برهان

Khamis, 19 November 2015

Suara Wanita Aurat?



 
Suara Wanita
Alyasak Berhan

Perlulah diketahui bahawa menurut pendapat yang lebih sahih (qaul al-asah) dalam Mazhab Syafi'i, suara perempuan bukan aurat. Oleh itu, harus mendengar suara perempuan terutamanya dalam konteks pembelajaran selagimana ia tidak menimbulkan fitnah atau menaikkan syahwat (Asna al-Matalib 464-465/4, Hasyiah al-Qalyubi 209/3, Hasyiah al-Bujairimi 105/4).


Bagaimanapun, suara perempuan sememangnya boleh mendatangkan fitnah apabila ia diucapkan dengan penuh manja dan merdu di hadapan lelaki ajnabi. Justeru itu, mereka perlulah berbicara dengan nada yang tegas, bersopan dan tidak berlenggok-lenggok (gedik-gedik) supaya fitnah tersebut dapat dielakkan. Firman Allah Taala;

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."(Surah al-Ahzab 32)

Hukum Wanita Membaca al-Quran di Hadapan Ajnabi

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulamak muaakkhirin Mazhab Syafi'i berkaitan hukum perempuan membaca al-Quran dengan suara yang kuat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram). Menurut Syeikh al-Ramli, tidak haram bagi perempuan membaca al-Quran dengan suara yang kuat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Walaubagaimanapun, di dalam solat hukumnya adalah makruh kerana dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Manakala menurut Syeikh al-Khatib al-Syirbini pula, haram bagi perempuan membaca al-Quran dengan suara yang kuat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) (Nihayah al-Muhtaj 407-408/1, Mughni al-Muhtaj 210/1, Al-Manhal al-Naddhakh 80).


Hukum Wanita Bernasyid

Harus bagi perempuan memperdengarkan nyanyian (nasyid) di hadapan lelaki ajnabi selagimana nyanyian itu terhindar daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan menaikkan syahwat. Walaubagaimanapun, hukum lelaki ajnabi mendengar nyanyian perempuan tersebut adalah makruh sekalipun ianya aman daripada fitnah (Nihayah al-Muhtaj 407/1, Mughni al-Muhtaj 210/1). Sehubungan itu, adab-adab serta batasan syarak hendaklah dipelihara dan diambil perhatian yang sewajarnya agar nyanyian tersebut terhindar daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak. Justeru, keputusan fatwa Negeri Pulau Pinang di bawah boleh dijadikan panduan dalam perkara ini iaitu;

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil 2 / 2012 yang telah bersidang pada Mac 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Bernasyid. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :-

Bersetuju untuk mewartakan hukum wanita bernasyid seperti berikut :

1) Suara wanita bukan aurat. Ini bererti mereka bebas bersuara, mengajar, belajar, berjual beli, berbual dan sebagainya.

a. Hukum wanita menyanyi adalah tidak haram.

b. Hukum mendengar nyanyian wanita adalah makruh dan tidak digalakkan sekalipun dijamin aman dari fitnah.

c. Nyanyian yang disertai dengan gaya yang menghairahkan, tarian dan solekan yang melampau apatah lagi mendedahkan aurat jika ditontoni oleh lelaki yang ajnabi adalah haram.


2) Lantaran itu jika kaum wanita hendak bernasyid, maka bolehlah mengambil panduan berikut:

a. Mesti menjaga adab-adab iaitu menutup aurat, tidak mengerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah, tidak bersolek dan berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita muslimah.

b. Hendaklah memastikan suasana majlis tiada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

c. Persembahan hendaklah atas tujuan untuk berdakwah dan menanam diadakan tazkirah atau zikir kepada Allah. Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam yang syumul.

اليسع

Wallahu a'lam

Rabu, 18 November 2015

Tuntutan Membuang Bulu Ari-ari dan Ketiak

Tuntutan Membuang Bulu Ari-ari dan Ketiak
Alyasak Berhan


ِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْفِطْرَةُ خَمْسٌ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الْإِبْطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu daripada Nabi sollallahu 'alaihi wasallam baginda bersabda; "(Sunat) fitrah itu ada lima iaitu; khitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, mencukur kumis dan memotong kuku." (Al-Bukhari, no. 5823)

Mencukur bulu kemaluan dan mencabut bulu ketiak telah disepakati kesunahannya oleh ulamak.”(al-Majmuk 1/341-342).

Namun, menurut ulamak Mazhab Syafi'i dan Maliki, hukum membuang bulu kemaluan bagi perempuan akan berubah menjadi wajib jika suami mengarahkannya (Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah 3/216).

Tempoh Membuang Bulu Ari-ari dan Ketiak
 


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ أَنَسٌ وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً (رواه مسلم 379 ،258)

Diriwayatkan daripada Anas radhiallahu anhu katanya; "Nabi sollallahu alaihi wa salam telah menetapkan tempoh kepada kami untuk mengerat misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan supaya tidak melebihi 40 hari."
Disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatwanya:

وَمِنْ ثَمَّ قَالَ الأَئِمَّةُ فِي حَلْقِ الْعَانَةِ وَالإِبْط ِوَالْقَلْمِ وَقَصِّ الشَّارِبِ : أَنَّ ذَلِكَ لا يَتَقَيَّدُ بِمُدَّةٍ بَلْ يَخْتَلِفُ بِاخْتِلافِ الأَبَدَانِ وَالْمَحَالِّ فَيُعْتَبَرُ وَقْتُ الْحَاجَةِ إلَى إزَالَةِ ذَلِكَ فِي حَقِّ كُلِّ أَحَدٍ بِمَا يُنَاسِبُهُ

"Oleh sebab itulah para imam-imam (tokoh-tokoh ulama) berkata dalam hal mencukur bulu kemaluan, ketiak, memotong kuku dan kumis, “Yang demikian tidaklah dibatasi dengan masa tertentu, namun sebenarnya ia berbeza mengikut tubuh badan dan situasi masing-masing. Maka yang menjadi pertimbangan dalam kesunahannya adalah berdasarkan keperluan untuk menghilangkannya bagi setiap individu mengikut kesesuaiannya.”

Kaedah Membuang bulu

Imam al-Nawawi menyebut di dalam Syarh Muslim;

أما نتف الإبط فسنة بالاتفاق والأفضل فيه النتف لمن قوي عليه ويحصل أيضاً بالحلق وبالنورة. وحكي عن يونس بن عبد الأعلى قال: دخلت على الشافعي رحمه الله وعنده المزين يحلق إبطه فقال الشافعي: علمت أن السنة النتف ولكن لا أقوى على الوجع. ويستحب أن يبدأ بالإبط الأيمن

"Adapun dalam mencabut bulu ketiak maka hukumnya adalah sunat mengikut kesepakatan ulama, yang utama adalah mencabutnya bagi orang yang kuat (menahan sakitnya). Namun kesunahannya juga dapat diperolehi dengan cara dicukur dan dihilangkan dengan menggunakan kapur. Dihikayatkan daripada Yunus Bin Abd al-A’la; “Aku mendatangi al-Syafi’i dan di sisinya adalah al-Muzin yang sedang mencukur bulu ketiaknya. Al-Syafi’i berkata; “Aku tahu bahawa yang sunat adalah mencabutnya namun aku tidak tahan sakit."
Sunat dimulai dengan bulu ketiak sebelah kanan."

Ini berdasarkan hadis;


عنْ عائشةَ رَضِيَ اللَّهُ عنهَا قَالتْ:كانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَيُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ في تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفي شَأْنِهِ كُلِّهِ. رواه البخاري و مسلم

Aisyah radhiallahu anha berkata, "Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam menyukai tayammun (mendahulukan yang kanan) dalam memakai sandal, menyisir rambut, dan ketika bersuci serta pada setiap perkara." (al-Bukhari dan Muslim)

Disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini;

وأن يحلق العانة ويقلم الظفر وينتف الإبط، ويجوز حلق الإبط ونتف العانة ويكون آتياً بأصل السنة. قال المصنف في تهذيبه: والسنة في الرجل حلق العانة، وفي المرأة نتفها والخنثى مثلـها كما بحثه شيخنا. والعانة الشعر النابت حول الفرج والدبر

"Dan hendaknya dicukur bulu kemaluan, dipotong kuku, dicabut bulu ketiak. Harus juga bulu ketiak dicukur, bulu kemaluan dicabut dan yang demikian itu dikirakan telah melakukan asal sunah (membuang bulu). Pengarang (Imam al-Nawawi) berkata dalam kitab al-Tahzib; “Yang disunatkan bagi lelaki adalah mencukur bulu kemaluan, bagi wanita pula adalah mencabutnya. Khunsa pula adalah seperti wanita sebagaimana yang telah dibahas oleh guru kami”.' Ari-ari adalah bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan dan dubur."
Berkaitan bulu ari-ari ini, sunat bagi lelaki bulu tersebut dicukur dan bagi perempuan pula ianya dicabut. Hal ini adalah kerana, pada umumnya tabiat syahwat lelaki biasanya dhaif. Maka, mencukur adalah lebih afdhal baginya kerana ia boleh menguatkan syahwat. Sedangkan tabiat syahwat perempuan biasanya kuat. Oleh sebab itu, mencabut adalah afdhal baginya kerana ia boleh mengurangkan syahwat (Al-Baijuri 328/1).

ويفترق الحكم في نتف الإبط وحلق العانة أيضاً بأن نتف الإبط وحلقه يجوز أن يتعاطاه الأجنبي، بخلاف حلق العانة فيحرم إلا في حق من يباح له المس والنظر كالزوج والزوجة

"Dan dibezakan hukum antara mencabut bulu ketiak dengan mencukur bulu kemaluan iaitu; mencabut dan mencukur bulu ketiak boleh dilakukan oleh orang lain berbeza dengan mencukur bulu kemaluan. Maka haram dilakukan orang lain kecuali bagi orang yang diharuskan memegang serta melihatnya seperti sepasang suami isteri."(Fath al-Bari 11/52)
اليسع
Wallahu a'lam.