Khamis, 12 November 2015

Tempoh Minimum Hamil

Tempoh Minimum Hamil

Alyasak Berhan

Sekurang-kurang tempoh hamil adalah enam bulan (180 hari). Tempoh ini telah dipakati oleh para fuqaha’. Ianya adalah berdasarkan 2 ayat al-Quran iaitu firman Allah Taala;

... ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ

"Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan (2 tahun 6 bulan)..." [Surah al-Ahqaf 15]
Firman Allah Taala lagi;
...وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ...

"dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun..." [Surah Luqman 14]

Justeru, apabila jumlah tempoh mengandung dan menyusu tiga puluh bulan (2 tahun 6 bulan), dan tempoh menyusu sahaja adalah dua tahun. Maka, ini bermakna tempoh mengandung sahaja adalah enam bulan (180 hari) dan itulah tempoh minimumnya. Ini bermakna, wanita yang melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan selepas bernikah dan anak itu hidup, nasab anak tersebut kepada bapanya tidak thabit.

Sesungguhnya Saidina Uthman radhiallahu anhu pernah membawa kes seorang wanita yang telah melahirkan anak dalam tempoh 6 bulan untuk dibincangkan dengan para sahabat ketika itu bagi menentukan hukuman rejamnya.

Lantas Ibn Abbas radhiallahu anhuma menerangkan bahawa Allah Taala telah menurunkan ayat 15 Surah al-Ahqaf dan ayat 14 Surah Luqman. Menurutnya, berdasarkan ayat berkenaan tempoh menceraikan susu daripada bayi adalah dalam tempoh dua tahun, manakala tempoh mengandung pula adalah 6 bulan.

Lalu para sahabat telah merujuk perkataan Ibn Abbas radhiallahu anhuma ini untuk menentukan tempoh sekurang-kurang hamil hinggakan ia menjadi suatu ketetapan ijmak.

Oleh kerana itulah, ulama telah berijmak mengatakan bahawa wanita yang melahirkan anak kurang daripada tempoh 6 bulan daripada hari akad nikahnya, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada suami wanita tersebut.

Tempoh 6 bulan tersebut adalah berdasarkan kiraan hari iaitu sebanyak 180 hari sepertimana yang telah dibahaskan oleh Imam al-Bulqini dan bukan berdasarkan kiraan bulan hijriah. Selain itu, beserta tempoh 6 bulan tersebut disyaratkan juga adanya tempoh 2 lahzah lagi untuk menjadikan kesemua tempoh sekurang-kurang hamil adalah 6 bulan dan 2 lahzah iaitu, satu lahzah (detik) untuk wati' (persetubuhan) dan satu lahzah (detik) untuk bersalin.

Sehubungan itu, tempoh 6 bulan 2 lahzah ini bermula dari tempoh imkan (kemungkinan pasangan berhimpun) selepas sesuatu akad nikah dilaksanakan menurut pendapat yang muktamad di sisi ulama mutaakkhirin kerana mengikut apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Kitab Raudhah al-Talibin. Hal ini berbeza dengan zahir ungkapan Imam al-Nawawi di dalam Kitab Minhaj al-Talibin yang mengatakan bahawa tempoh tersebut bermula dari waktu akad nikahnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

-Al-Ijmak
-Fath al-Rahman
-Tuhfah al-Muhtaj 
-Nihayah al-Muhtaj 
-Mughni al-Muhtaj 
-Misykat al-Misbah
-Hasyiah I'anah al-Talibin
-Al-Mausuah al-Fiqhiyyah 
-Al-Fiqh al-Manhaji

Kaedah Pengiraan Tempoh Sekurang-kurang Hamil Berdasarkan Fatwa.

Berikut adalah kaedah hitungan 6 bulan 2 lahzah tersebut sepertimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan;

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 12 Januari 2002 telah memutuskan Fatwa Anak Luar Nikah (JMKNNS 209(01)914/1) :

1. Jika seorang bayi dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.

2. Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.

3. Wajib bagi suami tersebut menafikan bahawa bayi berkenaan adalah anaknya.

4. Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau menbintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang meyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan bahawa penetapan kaedah hitungan Tempoh Enam Bulan Dua Lahzah Mengikut Taqwim Hijri untuk penentuan status sah nasab adalah menggunakan hitungan 180 hari bagi tujuan lebih berhati-hati dalam menentukan nasab keturunan.

Rujuk;

Tiada ulasan:

Catat Ulasan