Selasa, 7 Mei 2019

Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin



Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin 
Alyasak bin Berhan

Biodata Ringkas Pengarang

Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari. Beliau lahir di Kaherah pada bulan Syawal tahun 791 hijriah bersamaan tahun 1389 masihi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Jalaluddin al-Mahalli, iaitu dinisbahkan kepada Mahallah Kubra, wilayah Gharbiyyah, Mesir.

Imam Ibn al-‘Imad pernah menggelar beliau dengan gelaran ‘Taftazani Arab’ lantaran kecerdikan dan kefahaman yang dimilikinya. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad al-Mahalli (salah seorang faqih Mazhab Syafi‘i), Imam Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Anbasi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam Abu Hafs al-Bulqini, Imam Abu Zur‘ah Waliyuddin al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain lagi.

Antara ulama yang pernah menimba ilmu daripada beliau adalah seperti Imam Ibn ‘Atif al-Yamani, Imam Ibn al-Farra’ al-Hanafi, Imam al-Sakhawi, Imam al-Suyuti, Imam al-Asymuni, Imam Abu al-Fath al-Qalqashandi, Imam Ibn Abi al-Syarif dan seumpamanya.

Antara karyanya yang masyhur adalah seperti sebahagian Tafsir al-Jalalain (tafsir surah al-Fatihah serta sebahagian awal surah al-Baqarah dan dari surah al-Kahfi hingga akhir al-Quran), al-al-Badr al-Tali‘ Syarh Jam‘ al-Jawami‘, Syarh al-Waraqat, Syarh Minhaj al-Talibin dan lain-lain lagi. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) al-Syarih (dengan Alif serta Lam) atau al-Syarih al-Muhaqqiq.

Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari telah wafat pada hari Sabtu pertama tahun 864 hijriah. Al-Fatihah.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin adalah salah satu karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan di antara rujukan utama ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i. Kitab ini disusun oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli selama lebih kurang sepuluh tahun bagi menghuraikan Matan Minhaj al-Talibin, karya Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Kitab ini masyhur dengan nama Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin.

Namun, ulama berbeza pandangan tentang individu yang telah memberikan nama tersebut. Menurut salah seorang ulama Empayar Uthmaniah pada kurun ke-11 hijriah, iaitu Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah), individu yang  telah memberikan nama tersebut ialah pengarangnya sendiri.

Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Ahmad Maiqari Syumailah al-Ahdal pula, Imam Jalal al-Din al-Mahalli tidak pernah menamakan kitab tersebut dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Malah, tidak ditemui juga dalam kalangan murid-murid pengarang seperti Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuti yang pernah menyebut judul berkenaan. Oleh kerana itu, ramai tok-tok guru lama hanya menamakan kitab ini dengan nama “Syarh Mahalli” sahaja.

Sungguhpun demikian, kitab ini tetap masyhur dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Barangkali ia berasal daripada pandangan Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah) di atas, yang cukup dikenali sebagai salah seorang ulama yang luas telaah dan penelitiannya terhadap karya-karya manuskrip. Secara tidak langsung ia bertepatan dengan kaedah “الْمُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفْيِ(pensabitan didahulukan ke atas nafi).

Antara faktor yang menjadikan kitab ini istimewa dalam kalangan ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i adalah:

1. Kehebatan pengarangnya, iaitu Imam Jalaluddin al-Mahalli yang terkenal dengan penguasaan ilmu Naqliyyah dan ‘Aqliyyah.
2. Pengarang telah menghuraikan dan menjelaskan Matan Minhaj al-Talibin dengan penjelasan yang ringkas dan tidak menjela-jela mengikut kehendak pengarang asal matan. Selain itu, beliau juga telah mengemukakan beberapa faedah tambahan untuk menyempurnakan huraiannya.
3. Kitab ini menghimpunkan fiqah, dalil-dalil dan alasan-alasan hukum (‘illat) bagi setiap permasalahan fiqah yang dihuraikannya. 
4. Mengkritik sesetengah permasalahan fiqah dalam Matan Minhaj al-Talibin secara beradab menonjolkan lagi penguasaan dan kekuatan ilmu yang dimilikinya.
5. Mengemukakan beberapa pandangan di dalam Mazhab Syafi‘i tentang sesuatu perbahasan hukum fiqah selain pandangan yang kuat di sisi Mazhab Syafi‘i.


Disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hasan al-Attas, bahawa sesiapa yang ingin tahqiq tentang sesuatu masalah fiqah, maka hendaklah dia merujuk kepada Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini. 

Kitab ini biasanya digunakan sebagai silibus pengajian fiqah Mazhab Syafi‘i peringkat tinggi di beberapa pusat pengajian Islam seperti di al-Azhar, Mesir, di Yaman (seperti di Al-Marawi‘ah dan Tareem), Iraq, Madrasah al-Sawlatiyyah, Mekah dan pondok-pondok di nusantara.


Antara ulamak yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini adalah:

1. Syeikh Muhammad bin Abdul Rahman bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Bakri (891h) berjudul al-Ibtihaj bi Hawasyi al-Minhaj.

2. Syeikh Ali bin Hasan bin Yusuf al-Arbali al-Haskafi (Ibn al-Suyufi) (925h).

3. Syeikh Abdul Haq bin Muhammad al-Sunbati (931h), iaitu salah seorang guru kepada Syeikh Ibn Hajar.

4. Syeikh Ahmad al-Barallusi al-Misri (‘Amirah) (957h).

5. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Ghuzzi al-‘Amiri (984h).

6. Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (994h).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Kurkhi (1006h).

8. Syeikh Zainuddin bin Abdul Rauf al-Munawi al-Qahiri (1022h).

9. Syeikh Nuruddin Ali bin Ibrahim al-Halabi (1044h).

10. Syeikh Muhammad bin al-Naqib al-Bairuti (1064h) berjudul Fath al-Tajalli ‘ala al-Minhaj wa al-Mahalli.

11. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (1069h).

12. Syeikh Abdul Bar bin Abdullah al-Ajhuri (1070h).

13. Syeikh Ali al-Munir (ulama kurun ke-11 hijriah) berjudul al-Kasyf al-Majalli li Kalam al-Minhaj wa al-Syarih al-Mahalli.

14. Syeikh Muhammad bin Khalf bin Muhammad al-Misri al-Syazuli.

15. Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad al-Syirbini (1326h), iaitu Taqrirat bagi Syarh Jalal al-Din al-Mahalli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Qalyubi dan Hasyiah Syeikh ‘Amirah.
اليسع
Wallahu a‘lam.