Rabu, 6 November 2019

Hukum Makan Siput Gondang


PANDUAN HUKUM: HUKUM MAKAN SIPUT GONDANG 
Alyasak Berhan

Menurut Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), secara umumnya semua jenis siput yang hanya hidup di dalam air halal dimakan selagi ia tidak memabukkan atau beracun.

Namun, ulama Alam Melayu berbeza pandangan tentang hukum makan siput gondang. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, siput gondang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang hidup dua alam. Hal ini kerana ia boleh hidup kekal di darat.

Adapun menurut Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang yang boleh hidup dua alam.

Hal ini kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, ketentuan haiwan hidup dua alam yang haram dimakan ialah haiwan yang hidup di dalam air dan di atas darat serta ia pandai mencari makanan di air dan di darat.

Oleh itu, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak pandai mencari makanan di atas darat sepertimana ia mencari makanan di dalam air. 

Walaupun siput gondang ini boleh hidup lama di darat, namun hal ini adalah disebabkan ada basahan dan cecair di dalam kulitnya. Justeru, apabila siput gondang  ini diterbalikkan ke atas, nescaya ia akan cepat mati.

Bahkan, siput gondang ini juga mampu hidup di dalam tanah dalam tempoh masa yang lama sehingga tanah tersebut kembali berair sebelum ia keluar semula. Namun, keadaan hidupnya di dalam tanah tersebut hanya sebagai harakat mazbuh (berkeadaan lemah dan seolah-olah sudah mati, iaitu tiada lagi padanya suara, penglihatan dan pergerakan mengikut kehendaknya) sahaja.

Inilah pandangan Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah mengikut fatwa beberapa ulama besar di Mesir seperti Syeikh Abdul Hadi al-Anbar al-Misri kerana dikiaskan dengan halal memakan kerang. Sedangkan Syeikh al-Ramli telah memfatwakan secara jelas tentang keharusan memakan kerang.

Selain itu, dikiaskan juga dengan halal memakan sejenis siput yang terdapat di negara Mesir yang menyerupai siput gondang, namun saiznya kecil sedikit.

Begitu juga halal memakan siput yang bersaiz lebih kecil daripada gondang serta mempunyai rupa bentuk dan tabiat sepertimana siput gondang ini. 
اليسع
Wallahu a'lam.