Khamis, 12 November 2015

TAKBIR RAYA


 PANDUAN HUKUM: TAKBIR RAYA
Alyasak Berhan

Sunat bertakbir bermula terbenam matahari pada malam Aidul Fitri hinggalah imam mula bersolat hari raya. Ia dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan, di masjid dan di tempat awam sama ada bagi orang yang bermusafir atau bermukim (Nihayah al-Muhtaj 397/2, Tuhfah al-Muhtaj 51/3). Hal ini berdasarkan firman Allah Taala;

وَلِتُكْمِلُواْ ٱلْعِدِّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjukNya yang diberikan kepadamu dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)
Menurut Imam al-Syafi’I, maksud perkataan “ٱلْعِدَّةَ” (bilangan) adalah merujuk kepada bilangan puasa dan perkataan “mengagungkan Allah (bertakbir)” adalah ketika sempurna (puasa Ramadhan) (Nihayah al-Muhtaj 397/2).

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari;

وَكَانَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يُكَبِّرُ فِي قُبَّتِهِ بِمِنًى فَيَسْمَعُهُ أَهْلُ الْمَسْجِدِ فَيُكَبِّرُونَ وَيُكَبِّرُ أَهْلُ الْأَسْوَاقِ حَتَّى تَرْتَجَّ مِنًى تَكْبِيرًا وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُكَبِّرُ بِمِنًى تِلْكَ الْأَيَّامَ وَخَلْفَ الصَّلَوَاتِ وَعَلَى فِرَاشِهِ وَفِي فُسْطَاطِهِ وَمَجْلِسِهِ وَمَمْشَاهُ تِلْكَ الْأَيَّامَ جَمِيعًا
“Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma bertakbir di rumahnya di Mina lalu terdengar oleh jemaah di masjid. Mereka pun turut bertakbir dan diikuti pula oleh orang ramai yang berada di tempat awam hingga Mina gegak gempita dengan suara takbir. Ibn Umar telah bertakbir sepanjang masa beliau berada di Mina selepas solat, ketika berehat di rumahnya, ketika duduk dan ketika berjalan pada hari-hari tersebut.”(al-Bukhari, no. 12).
Disebutkan dalam sebuah hadis;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ " (الطبراني في الأوسط والصغير ، بسند ضعيف)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, beliau berkata; Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir.”(al-Tobarani di dalam al-Ausat, no. 4509).
Disunatkan juga untuk bertakbir pada hari raya Aidul Adha. Dalil bagi takbir mursal pada hari raya Aidul Adha, adalah berdasarkan qias (anologi) kepada takbir pada hari raya Aidul Fitri. Namun, bagi takbir muqayyad pada hari raya Aidul Adha adalah berdasarkan dalil sunnah (Nihayah al-Muhtaj 397/2). Menurut al-Syabramallisi (398/2), apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca Surah al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam.


Jenis dan Waktu Takbir

Terdapat dua jenis takbir raya iaitu;
1) Takbir Muqayyad adalah takbir yang dilafazkan mengiringi (selepas) solat sama ada solat fardhu, sunat, tunai, qadha’ dan solat jenazah.
Bagi hari raya Aidul Fitri, tidak disunatkan untuk bertakbir selepas melakukan solat. Namun begitu, tidak menafikan ianya disunatkan juga kerana (tuntutan) malam raya secara mutlaq (bertakbir pada bila-bila masa tanpa dikaitkan dengan solat) termasuklah selepas daripada solat. Oleh itu, mengikut pendapat yang muktamad ini, takbir yang dilakukan selepas solat pada malam hari raya Aidul Fitri adalah merupakan takbir mursal. Manakala mengikut pendapat Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Azkar dan al-Baihaqi dalam Kitab Fadhail al-Auqat, disunatkan juga bertakbir mengiringi (selepas) solat secara muqayyad.

Adapun takbir yang dilakukan selepas solat pada malam hari raya Aidul Adha pula adalah merupakan takbir mursal dan muqayyad. Oleh itu, bagi yang tidak mengerjakan haji, takbir raya bagi hari raya Aidul Adha bermula daripada Subuh 9 Zulhijjah sehingga Asar hari Tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah) berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi yang dipilih dalam Kitab al-Tashih, al-Majmuk, al-Azkar (Asah) dan Raudhah al-Talibin (Azhar). Pendapat inilah yang diamalkan. Disebutkan dalam sebuah hadis;

عَنْ عَلِيِّ وَعَمَّارٍ رضي الله عنهما أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلاةَ الْغَدَاةِ ، وَيَقْطَعُهَا صَلاةَ الْعَصْرِ ، آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ (رواه الحاكم وصححه وضعفه الذهبي من طريق أبي الطفيل, والبيهقي في المعرفة)
Diriwayatkan daripada Ali dan Ammar radhiallahu ‘anhuma, katanya; "Sesungguhnya Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bertakbir pada hari Arafah (9 Zulhijjah) selepas solat Subuh dan memberhentikannya selepas solat Asar akhir hari Tasyriq (13 Zulhijjah)."(al-Hakim, no. 1111, al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar, no. 7003).
Menurut Syeikh Ibn Hajar takbir muqayyad pada hari raya Aidul Adha ini bermula daripada selepas melakukan (perbuatan) solat Subuh 9 Zulhijjah sehingga selepas melakukan (perbuatan) solat Asar hari Tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Manakala menurut Syeikh al-Ramli pula, ia bermula daripada masuk waktu (masa) Subuh 9 Zulhijjah (walaupun sebelum melakukan solat Subuh) sehingga akhir waktu (masa) Asar hari Tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Sehubungan itu, sunat mendahulukan takbir muqayyad ini sebelum memulakan zikir selepas solat. Bahkan, menurut Syeikh al-Ramli tidak luput anjuran bertakbir selepas daripada solat ini sekalipun diselangi dengan tempoh waktu yang lama berbeza dengan pendapat Syeikh al-Qalyubi (Hasyiah al-Bujairimi 484/2).

2) Takbir Mursal adalah takbir yang dilakukan pada bila-bila masa tanpa dikaitkan dengan solat. Ia bermula daripada masuk waktu Maghrib malam hari raya (Aidul Fitri dan Aidul Adha) sehingga takbiratul ihram solat sunat hari raya iaitu bagi yang mengerjakan solat sunat hari raya. Adapun bagi yang tidak mengerjakan solat sunat hari raya, maka waktunya berterusan sehingga gelincir matahari (waktu Zuhur). Justeru, sunat mentakhirkan (kemudiankan) takbir mursal daripada zikir selepas solat.

Lafaz Takbir
Terdapat beberapa lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat Nabi, antaranya:
Dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah diriwayatkan daripada Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu bahawa beliau membaca lafaz berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ , اللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
“Allah Maha Besar sebenar-benar kebesaran, Allah Maha Besar sebenar-benar kebesaran, Allah benar-benar Maha Besar. Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah” (Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5692, 5701).
Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu dan Ali karramallahu wajhah pula membaca lafaz di bawah:

اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Allah Maha Besar, dan segala puji bagi Allah” (Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5679, 5697, 5699).
Lafaz takbir yang telah disebutkan oleh Imam al-Syafi’i di dalam Kitab al-Um (al-Um 520/2, al-Majmuk 46/5) adalah;

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْراً، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْراً، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الْدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ،
لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزاَبَ وَحْدَهُ
لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar yang Teramat Besar (agung), Segala Puji bagi Allah dengan pujian yang Teramat Banyak, Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tiada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir, tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.”
اليسع
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan