Rabu, 30 Ogos 2017

ANJURAN DOA PADA HARI ARAFAH


ANJURAN DOA PADA HARI ARAFAH

Terdapat dua perkara yang perlu diketahui berkaitan doa pada hari Arafah sebagaimana berikut;

1. Tempat iaitu Padang Arafah. Ia merupakan salah satu daripada 15 tempat yang mustajab doa sepertimana yang disebut oleh Imam al-Hasan al-Basri.

Justeru, kelebihan tempat mustajab doa ini hanya diperolehi oleh orang yang hadir di Arafah khususnya pada hari Wuquf (9 Zulhijjah).

2. Waktu iaitu hari Arafah (9 Zulhijjah) setiap tahun.

Diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah radhiallahu ‘anha, bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو، ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمِ الْمَلَائِكَةَ، فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ؟

“Tiada daripada hari yang lebih banyak Allah Taala membebaskan seseorang hamba daripada neraka selain hari Arafah. Dia akan mendekati mereka (dengan rahmatNya), lalu Allah berbangga dengan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?”(Riwayat Muslim).

Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya, sesungguhnya Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat al-Tirmidzi. Kata beliau: hadis hasan gharib).

Menurut Imam al-Ghazali, hari Arafah merupakan salah satu daripada waktu-waktu mulia yang dianjurkan untuk memperbanyakkan doa. Bahkan, menurut Imam Ibn Allan, sesungguhnya doa hari Arafah lebih diharapkan penerimaannya sama ada bagi jemaah haji atau selainnya.

Imam al-Murtadha al-Zabidi pula mengatakan bahawa kemuliaan ini boleh diperolehi oleh setiap muslim sama ada bagi mereka yang berada di Padang Arafah mahupun bukan.

Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk memperbanyakkan doa dan munajat ke hadrat Allah Taala di sepanjang hari Arafah ini. Hal ini kerana, sepanjang pengetahuan kami, belum pernah lagi kami ketahui atau temui bahawa adanya batasan waktu mustajab doa yang khusus pada hari Arafah ini khususnya bagi mereka yang tidak mengerjakan haji di Mekah.

Mudah-mudahan Allah Taala mempermudahkan kita untuk menyibukkan diri dengan memperbanyakkan doa pada hari Arafah ini. Sekurang-kurangnya peruntukkanlah sedikit waktu antara selepas solat Asar dan Maghrib hari tersebut untuk bermunajat kepada Allah Taala. 

Berkata 'Ata' bin Abi Muslim al-Khurasani (seorang tabi'in),


"Jika engkau mampu bersendirian pada petang hari Arafah, maka lakukanlah."


Petang yang dimaksudkan adalah antara selepas solat Asar dan Maghrib.
اليسع

Wallahu a‘lam.

Isnin, 7 Ogos 2017

HUKUM MENGULANGI SOLAT JENAZAH BAGI YANG TELAH MELAKSANAKANNYA & KEDUDUKAN KEPALA JENAZAH LELAKI

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGULANGI SOLAT JENAZAH BAGI YANG TELAH MELAKSANAKANNYA & KEDUDUKAN KEPALA JENAZAH LELAKI
Alyasak Berhan

Hukum Mengulangi Solat Jenazah Bagi Yang Telah Melaksanakannya

Terdapat sekurang-kurangnya 4 pendapat tentang hukum mengulangi solat jenazah bagi seseorang yang telah melaksanakannya kali pertama iaitu;

1. Harus mengulanginya secara berjemaah sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Syabramallisi.

2. Sunat sepertimana solat lainnya (qil).

3. Makruh.

4. Khilaful Awla kerana tiada tuntutan syarak untuk mengulanginya. Inilah pendapat yang lebih sahih (asoh) sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan inilah pandangan yang dipegang oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari.

Justeru, menurut pendapat ini, tidak sunat mengulangi solat jenazah bagi seseorang yang telah melaksanakannya kali pertama sama ada secara bersendirian mahupun secara berjemaah. Namun, sekiranya ia diulang, maka solat jenazah tersebut sah sebagai solat sunat.

Sungguhpun begitu, wajib juga diniatkan fardhu (fardhiyyah) ketika mengulanginya di sisi Syeikh Said Ba ‘Asyan dan al-Sayyid al-Bakri. Manakala menurut Syeikh al-Bujairimi di dalam Hasyiah Syarh al-Manhaj pula, tidak wajib meniatkan fardhu ketika mengulanginya.

Kedudukan Kepala Jenazah Lelaki

Menurut ulama Hadhramaut seperti Syeikh Abdullah Ba Sudan dan selainnya, afdhalnya kedudukan kepala jenazah lelaki adalah di sebelah kanan imam. Bahkan, Syeikh Ismail Uthman Zain al-Yamani pernah menyusun sebuah risalah ringkas berjudul 'Tahqiq al-Maqam fi Mawqif al-Musolli 'ala al-Janazah bi al-Nisbah li al-Munfarid wa al-Imam' khusus untuk mendokong pendapat ini.

Manakala Syeikh al-Syabramallisi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Syeikh Sulaiman al-Jamal dan selainnya daripada hawasyi al-Misriyyin (ulama mutaakkhirin Mesir) berpandangan bahawa, afdhalnya kedudukan kepala jenazah lelaki adalah di sebelah kiri imam supaya kebanyakan jasad jenazah berkenaan berada di sebelah kanan imam ketika ia disolatkan. Justeru, inilah pendapat yang telah dipilih oleh ulama-ulama nusantara kita seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani, Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fatani, Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Ahmad al-Fatani dan TG Hj. Chik al-Qadahi.

Sehubungan itu, sunat bagi imam atau seseorang yang solat bersendirian, berdiri berhampiran kepala jenazah lelaki berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi serta beliau menghasankannya. Manakala bagi jenazah wanita pula, sunat berdiri di bahagian punggungnya berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

وَيَقِفُ عِنْدَ رَأْسِ الرَّجُلِ وَعَجُزِهَا

"(Imam atau yang solat sendirian) berdiri di sisi kepala jenazah lelaki dan di sisi punggung jenazah wanita..."
 اليسع

Wallahu a‘lam.