Sabtu, 14 November 2015

Hukum Lelaki Memakai Inai

Hukum Lelaki Memakai Inai

Ulama Mazhab Syafii berbeza pandangan berkaitan hukum lelaki memakai inai sepertimana berikut;

1) Telah dinukilkan daripada Imam al-Nawawi berkaitan keharaman lelaki memakai inai tanpa apa-apa keperluan. Inilah pendapat yang muktamad di sisi Syeikh Ibn Hajar, Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini.

Justeru, menurut Syeikh Jamaluddin Muhammad bin Abdul Rahman al-Ahdal, di antara keperluan yang diharuskan adalah bagi tujuan kebersihan untuk menyambut hari raya, majlis perkahwinan (walimah) dan seumpamanya (termasuk atas alasan perubatan).

Keharaman tersebut hanya meliputi pemakaian inai di jari tangan dan kaki sahaja serta ia tidak termasuk pemakaian inai di badan. Hal ini adalah kerana, ia termasuk dalam pengertian 'menyerupai wanita'.

Pendapat inilah yang telah dipegang dan diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 berkaitan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak iaitu;
"Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan."
2) Sebahagian ulama Mazhab Syafii seperti Imam al-Mawardi, Imam al-Imrani iaitu pengarang Kitab al-Bayan, Imam al-Rafiei dan sebahagian ulama Yaman mengatakan bahawa hukum lelaki memakai inai adalah harus secara mutlak (tanpa dikaitkan dengan apa-apa keperluan). Inilah pendapat yang terpilih di sisi pengarang Kitab al-Ubab, iaitu Syeikh al-Muzajjad.
اليسع
Rujukan;
- Tuhfah al-Muhtaj 
- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Ghayah Talkhis al-Murad
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Umdah al-Mufti wa al-Mustafti 
Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan