Khamis, 12 November 2015

HUKUM BERKONGSI DALAM SATU BAHAGIAN KORBAN

PANDUAN HUKUM: HUKUM BERKONGSI DALAM SATU BAHAGIAN KORBAN 
Alyasak Berhan

Hukum melakukan ibadat korban adalah sunat muakkad secara ‘ain iaitu sunat yang dituntut ke atas individu atau orang perseorangan. Hal ini adalah sekiranya dia tidak mempunyai ‘ahli bait’. Sebaliknya jika dia mempunyai ahli bait, maka hukum korban baginya bertukar kepada sunat muakkad secara kifayah iaitu sunat yang dituntut secara umum bagi sesebuah keluarga dalam sebuah rumah. Justeru, jika salah seorang daripada ahli bait berkenaan melakukan korban, maka gugurlah tuntutan sunat kifayah tersebut daripada anggota keluarganya yang lain.

Disebutkan di dalam Kitab Sabil al-Muhtadin;
"Dan adalah korban itu sunat kifayah bagi seorang JIKA ada baginya berbilang ahli bait dan JIKA tiada berbilang ahli bait, maka iaitu sunat ain.
Dan makruh meninggalkan korban kerana ikhtilaf ulamak pada wajibnya. Maka dari kerana ini (oleh sebab itulah) adalah korban itu terafdhal daripada sedekah sunat." (Sabil al-Muhtadin 224/2)
Maksud 'ahli bait' yang disebutkan di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj berkaitan bab korban ini terdapat tiga ihtimal (andaian) iaitu;

1) Segala kerabatnya termasuk lelaki dan perempuan sepertimana dalam bab wakaf

2) Segala yang di bawah tanggungan nafkahnya. Inilah yang telah disahihkan oleh Syeikh Syihab al-Ramli di dalam Hasyiah Asna al-Matolib

3) Segala orang yang duduk serumah walaupun tiada hubungan kerabat. Pendapat ini adalah merupakan pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh Irsyad dan pendapat Syeikh Tobalawi.(Sabil al-Muhtadin 224/2).

Sehubungan itu, sekiranya sesebuah organisasi atau kumpulan individu berkongsi dalam melakukan korban di dalam SATU BAHAGIAN korban, maka korban tersebut tidak dikirakan sebagai sembelihan korban. Bahkan ianya hanya dikirakan sebagai sembelihan biasa sahaja. Hal ini adalah kerana ibadah korban dituntut secara 'ainiyyah (sekiranya dia tidak mempunyai ahli bait) iaitu bagi orang perseorangan bukannya tuntutan ke atas sesuatu organisasi. Tambahan lagi, ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa satu bahagian korban tidak harus untuk dikongsikan melebihi daripada seorang individu. Begitu juga sekiranya seekor lembu atau kerbau atau unta yang dikongsi melebihi daripada tujuh individu, maka sembelihan tersebut juga tidak dikirakan sebagai sembelihan korban walaupun untuk salah seorang daripada mereka (Nihayah al-Muhtaj 133/8, Tuhfah al-Muhtaj 349/9).
“Ulamak telah BERSEPAKAT mengatakan bahawa seekor kambing tidak harus (tidak sah) dijadikan korban melainkan untuk seorang individu sahaja. Manakala seekor unta atau lembu pula harus dikorbankan bagi tujuh individu (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu 616/3).
Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Jabir radhiallahu anhu yang bermaksud;
“Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam di Hudaibiyyah iaitu seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu juga untuk tujuh orang.” (Muslim 1318).
 Syeikh Arsyad al-Banjari menyatakan;
“Dan memadai seekor seekor biri-biri atau kambing daripada seorang jua (sahaja) dengan muafakat (SEPAKAT) antara ulamak dan tiada memadai ia (korban) daripada dua orang atau lebih. Hingga jikalau menyembelih dua orang akan dua ekor kambing yang bersyarikat (melalui kontrak perkongsian) keduanya pada memiliki tiap-tiap kedua ekor kambing itu, nescaya tiadalah memadai kerana bahawasanya tiap-tiap (ekor) daripada keduanya tiada (tidak dikirakan) menyembelih ia (orang tersebut) akan seekor kambing.” (Sabil al-Muhtadin 225/2).
KORBAN BAITUL MAL

Sunat bagi pemerintah orang Islam melakukan ibadah korban bagi pihak kaum muslimin keseluruhannya yang diambil daripada harta Baitul Mal (al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i 489/2). Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha;
“Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam telah mengorbankan seekor kibasy (kambing biri-biri ekor besar) dan Baginda telah berdoa;
بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Dengan nama Allah, Ya Allah, mohon terima (korban) daripada Muhammad dan daripada keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.”(Riwayat Muslim 1967).
اليسع
Wallahu a’lam

Rujukan lain;

- ( سنة ) مؤكدة في حقنا على الكفاية ولو بمنى إن تعدد أهل البيت وإلا فسنة عين ، ومعنى كونها سنة كفاية مع كونها تسن لكل منهم سقوط الطلب بفعل الغير لا حصول الثواب لمن لم يفعل كصلاة الجنازة ، نعم ذكر المصنف في شرح مسلم أنه لو أشرك غيره في ثوابها جاز وأنه مذهبنا- نهاية المحتاج 
131/8
- ثم إن تعدد أهل البيت كانت سنة كفاية فتجزئ من واحد رشيد منهم لما صح عن أبي أيوب الأنصاري رضي الله عنه كنا نضحي بالشاة الواحدة يذبحها الرجل عنه وعن أهل بيته وإلا فسنة عين ويكره تركها للخلاف في وجوبها ومن ثم كانت أفضل من صدقة التطوع- تحفة المحتاج 
344/9
) -قوله: متأكدا) أي في حقنا، وأما في حقه - صلى الله عليه وسلم - فهي واجبة، وتأكدها على الكفاية.
فلو فعلها واحد من أهل البيت كفت عنهم وإن سنت لكل منهم فإن تركوها كلهم كره، هذا إن تعدد أهل البيت، وإلا فسنة عين.قال في التحفة: ومعنى كونها سنة كفاية مع كونها تسن لكل منهم سقوط الطلب بفعل الغير، لا حصول الثواب لمن لم يفعل. وفي تصريحهم بندبها لكل واحد من أهل البيت ما يمنع أن المراد بهم المحاجير.-حاشية إعانة الطالبين ٣٣٠/٢

Tiada ulasan:

Catat Ulasan