Khamis, 12 November 2015

SOLAT ISYRAQ & DHUHA

 
SOLAT ISYRAQ & DHUHA
 Alyasak Berhan

Terdapat 2 pendapat ulama Mazhab Syafi'i berkaitan solat Isyraq, iaitu;

1) Menurut Syeikh Zakariya al-Ansari (Asna al-Matalib 1/418), Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa Kubra 1/188 dan Syarh 'Ubab (al-I'ab), dan Syeikh Ramli (Nihayah al-Muhtaj 2/116), solat Isyraq adalah solat Dhuha (2 solat yang sama) berdasarkan perkataan Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak;

"َأَنَّ صَلاَةَ الإِشْرَاقِ هِيَ صَلَاةُ الأَوَّبِيْن"

"Sesungguhnya solat Isyraq adalah solat Dhuha."

2) Menurut Imam al-Muzajjad ('Ubab 1/263), Imam al-Ghazali (Bidayah al-Hidayah 107), Syeikh Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah 2/237 dan al-Imdad, dan Ibn Ziyad di dalam fatwanya (Ghayah Talkhis al-Murad 94), solat Isyraq bukan solat Dhuha (2 solat yang berlainan) seperti yang disebutkan di dalam Surah Sad ayat 18 berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (586). Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam bersabda;

مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

“Barangsiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq), maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”
Justeru, berdasarkan pendapat ini, solat Isyraq memadai dilakukan dengan dua rakaat sahaja dan ia tidak dikaitkan dengan bilangan rakaat tertentu seperti solat Dhuha (Hasyiah I'anah al-Talibin 1/408).

Waktu Isyraq adalah merujuk kepada serakan cahaya matahari dengan kelihatan bulatan penuh matahari. Masuknya waktu solat Isyraq adalah ketika berakhirnya waktu makruh (tahrim), iaitu dengan masuknya waktu Dhuha (Asna al-Matalib 418/1, Tuhfah al-Muhtaj 238/2, Hasyiah I'anah al-Talibin 405-406/1).

Disebutkan oleh Syeikh Abd Samad al-Falimbani;
"Maka apabila terbit matahari sekira-kira segalah, maka hendaklah engkau sembahyang dua rakaat dinamakan dia sembahyang sunat Isyraq..."(Hidayah al-Salikin 20).
Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh al-Syamail dan Ibn Mufaddhal al-Wasiti al-Yamani, masuk waktu solat Isyraq adalah dengan terbit matahari (طلوع الشمس) sekalipun ia belum naik lagi (Umdah al-Mufti 178/1).

Terdapat tiga perkataan ulama berkaitan luputnya (berakhirnya) waktu solat Isyraq, iaitu;

1) Waktunya luput dengan berlalunya waktu syuruq dan naiknya matahari (Hasyiah I'anah al-Talibin 1/408).

2) Menurut al-Syarwani (237/2), ia diqiaskan dengan solat Dhuha ataupun ia luput dengan lamanya perceraian (berlalu waktu) mengikut 'uruf.

3) Disebutkan pula di dalam Kitab Fath al-'Allam (38/2), waktu solat Isyraq luput dengan tingginya hari siang (matahari).

Namun begitu, waktunya tidak berpanjangan sehingga gelincir matahari seperti solat Dhuha (Hasyiah I'anah al-Talibin 1/408, Fath al-'Allam 38/2).

Maklumat tambahan berkaitan permulaan waktu solat Dhuha.

Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Raudhah, waktu Dhuha bermula daripada terbit matahari. Terbit matahari (طلوع الشمس) merujuk kepada terbitnya matahari di ufuq timur atau disebut sebagai waktu Syuruq (شروق).

Manakala menurut Imam al-Rafi'ei dan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Tahqiq dan al-Majmuk pula, waktu Dhuha bermula daripada naik matahari sekadar rumh (tombak) atau anggaran segalah (Asna al-Matalib 415/1, Tuhfah al-Muhtaj 232/2, Nihayah al-Muhtaj 118/2).

Sehubungan itu, Dhuha bererti; terang benderang hasil daripada terbitnya matahari. Maka ia berpandukan nilai cahaya matahari dengan anggaran segalah atau kadar panjang lembing dari penglihatan mata menuju ke kedudukan matahari yang baru terbit di ufuq kaki langit timur, iaitu dengan kadar ukuran 8 hasta. Manakala 8 hasta dengan nilai darjah adalah 7 darjah. Oleh itu, setiap 1 darjah = 4 minit, maka 7 darjah = 28 minit. Justeru, 28 minit daripada waktu terbit matahari di semua tempat adalah awal waktu Dhuha mengikut kiraan ahli falak terkini. Walaubagaimanapun, menurut ahli falak terdahulu seperti Abu Yahya al-Habbak al-Tilimsani di dalam Kitab Nail al-Matlub fi al-'Amal bi Rub' al-Juyub, awal waktu Dhuha adalah 20 minit setelah berlalu waktu Syuruq. Adapun, mengikut Hasan al-Kaf pula, jarak waktu di antara terbit matahari sehingga matahari naik sekadar rumh (tombak) atau anggaran segalah adalah menyamai 16 minit (al-Taqrirat al-Sadidah 192).

Waktu Dhuha berpanjangan sehinggalah gelincir matahari.

Namun, waktu yang terpilih untuk melaksanakannya adalah setelah berlalunya seperempat waktu siang iaitu mengikut kiraan falak kira-kira 40@48 minit selepas Syuruq. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Muslim (748);

خرج النبي صلى الله عليه وسلم على أهل قباء وهم يصلون الضحى فقال: "صَلاَةُ الأَوَّبِيْنَ إِذَا رَمِضَتِ الْفِصَالُ."

Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam pergi ke Quba' dan mendapati penduduk di situ sedang bersolat Dhuha lalu baginda bersabda; "Solat Awwabin adalah tatkala anak unta mula berasa bahang panas matahari."
Rakaat Solat Dhuha

Sekurang-kurang rakaat solat Dhuha adalah 2 rakaat dan sekurang-kurang sempurna adalah 4 rakaat, kemudian 6 rakaat. Sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha di sisi Imam al-Rafi'ei, Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Talibin, al-Raudhah, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dan Ibn Hajar adalah 12 rakaat. Manakala di sisi Imam al-Nawawi di dalam al-Tahqiq, al-Majmuk, Syeikh Shihab al-Ramli, Syeikh Syams al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini pula, sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha adalah 8 rakaat sahaja. Oleh itu, sekiranya solat berkenaan dilaksanakan dengan niat solat Dhuha melebihi bilangan tersebut (8 atau 12), maka hukumnya adalah haram dan tidak sah (Asna al-Matalib 415/1, Tuhfah al-Muhtaj 232/2, Nihayah al-Muhtaj 117/2, Mughni al-Muhtaj 340/1, Hasyiah I'anah al-Talibin 406-407/1, al-Manhal al-Naddhakh 101).

Sehubungan itu, harus melakukan solat Dhuha lebih daripada 2 rakaat dengan satu salam walaupun dengan melakukan keseluruhannya (8 atau 12 rakaat) dengan satu salam, sama ada dengan satu tasyahhud pada rakaat terakhirnya sahaja atau bertasyahhud (awal) pada setiap bilangan rakaat yang genap. Walaubagaimanapun, sunat dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam (Hasyiah al-Qalyubi 214/1, Sabil al-Muhtadin 14/2, Busyra al-Karim 255, Fath al-'Allam 45/2).
اليسع
Wallahu a'lam

4 ulasan:

  1. Salam. Maksud ustaz mula waktu solat isyraq dan waktu solat dhuha adalah sama yakni sebaik saja seluruh bulatan matahari kelihatan? Terima kasih atas perhatian.

    BalasPadam
  2. Maksud naik matahari sekadar segalah ertinya masa bila seluruh bulatan matahari kelihatan, betulkah faham saya ni? Terima kasih.

    BalasPadam
  3. Salam. Hanya Allah yang berkuasa membalas kebaikan pada ustaz. Akhirnya hajat tercapai. Rasanya selepas lebih 20 tahun baru inilah saya dapat jawapan tepat makna naik matahari tinggi segalah yang biasa tertulis di kitab-kitab jawi. Terima kasih ustaz.

    BalasPadam