Selasa, 4 April 2023

PANDUAN HUKUM: WAQAF PADA أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ KETIKA SOLAT


PANDUAN HUKUM: WAQAF PADA
عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ KETIKA SOLAT

Alyasak Berhan


1) Ilmu Fawasil

Menurut perbincangan Ilmu Fawasil (pengiraan ayat al-Quran), ulama ‘Adad (ilmu Fawasil) telah bersepakat mengatakan bahawa jumlah ayat dalam Surah al-Fatihah ada tujuh ayat.

 

Disebutkan oleh Imam al-Syatibi :

وأمُّ القرءان الكلُّ سبعًا يعدُّها

ولكن عليهم أولًا يُسْقطُ المُثْر

Surah al-Fatihah semua ulama mengiranya 7 ayat,

namun عليهم yang pertama al-Makki dan al-Kufi (المُثْر) tidak mengiranya satu ayat.”

 

# المُثْر  ialah rumuz (akronim) bagi ulama ‘Adad Mekah dan Kufah.

 

Walau bagaimanapun, mereka berselisih pendapat berkaitan tempat kiraan ayat-ayat tersebut. Disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Mutawalli :

بسملة للمكِّ والكوفي تُعَدْ

غيرُهما عليهمُ الأوَّلُ عَدْ

Basmalah (Bismillah) dikirakan oleh al-Makki dan al-Kufi satu ayat,

selain mereka berdua pula mengira عليهم yang pertama satu ayat.”

 

Sehubungan dengan itu, menurut ulama ‘Adad Mekah (al-Makki) dan Kufah (al-Kufi), ayat pertama Surah al-Fatihah ialah Basmalah (Bismillah) dan ayat ketujuh Surah al-Fatihah pula ialah :

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Manakala menurut ulama ‘Adad Madinah (al-Madani), Basrah (al-Basri) dan Syam (al-Syami) pula, ayat pertama Surah al-Fatihah ialah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ dan ayat keenam ialah :

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

dan ayat ketujuh pula ialah :

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Justeru, bilangan ayat dalam Surah al-Fatihah berjumlah 7 ayat mengikut kesepakatan ulama ‘Adad. Oleh hal yang demikian, bilangan ayat ini tidak berubah kendatipun seseorang waqaf pada kalimah عَلَيْهِمْ  أَنْعَمْتَ .

 

2) Waqaf dan Ibtida’

Menurut Imam Abu Amru al-Dani waqaf (berhenti) pada kalimah عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ dikategorikan sebagai Waqaf Hasan. Manakala Imam al-Asymuni dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari pula mengkategorikannya sebagai Waqaf Jaiz. Namun, kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang sama, iaitu kalimah yang elok waqaf padanya serta tidak elok ibtida' (memulakan bacaan) pada kalimah selepasnya kerana ia mempunyai perkaitan secara langsung dari sudut lafaz dan makna dengan kalimah sebelumnya.

 

3) Fiqah Mazhab Syafi‘i

Menurut pandangan ulama fiqah Mazhab Syafi‘i, hukum waqaf (berhenti) pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ adalah khilaf al-awla (bercanggah dengan yang lebih utama). Justeru, sunat bagi seseorang yang solat tidak waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ .Namun, jika dia waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,maka solatnya tidak batal.

 

Disebutkan dalam Fath al-Muin :

والأولى أن لا يقف على (أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ) لأنه ليس بوقف ولا منتهى آية عندنا فإن وقف على هذا لم تسن الإعادة من أول الآية.

Dan yang lebih utama, bahawa tidak diwaqafkan pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,kerana sesungguhnya ia bukanlah tempat waqaf dan bukan penghabisan ayat di sisi kita (Mazhab Syafi‘i). Maka jika seseorang telah waqaf padanya, tidak disunatkan mengulanginya dari permulaan ayat.”

 

Bahkan, yang lebih utama (awla) baginya adalah menyambung ayat seterusnya dan tidak sunat mengulangi ayat tersebut dari awal sekalipun waqaf di situ tidak elok mengikut uruf (kebiasaan yang diamalkan) qurra' (ulama qiraat). Hal ini bagi meraikan pandangan sebilangan ulama yang mengatakan ia termasuk dalam perbuatan mengulangi sebahagian rukun qauli (bacaan) yang boleh membatalkan solat menurut mereka. 

اليسع

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan

- Tuhfah al-Muhtaj

- Nihayah al-Muhtaj

- Mughni al-Muhtaj

- Hasyiah al-Syabramallisi

- Hasyiah I‘anah al-Talibin

- Nihayah al-Zain 

- Fath al-‘Allam 

- Al-Syams al-Munirah 

- Al-Muktafa 

- Manar al-Huda 

- Al-Maqsi

- Al-Qawl al-Wajiz 

- Al-Muharrar al-Wajiz 

- Basyir al-Yusr 

- Taudhih al-Adillah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan