Isnin, 17 April 2023

PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID

 


PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID

Alyasak Berhan

 

Secara asasnya, solat sunat hari raya harus dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan tentang tempat yang paling afdal untuk melaksanakannya.

 

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i yang muktamad, melaksanakan solat sunat hari raya di masjid adalah awla (lebih utama) dan afdal berbanding tanah lapang jika masjid tersebut masih mampu menampung jemaah. Inilah pandangan yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam Kitab al-Umm, pandangan Imam al-Syirazi, majoriti al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq), Imam al-Baghawi dan lain-lain.


Bahkan, melaksanakannya di tempat selain masjid hukumnya adalah khilaf al-awla (bertentangan dengan yang lebih utama).

 

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi :

وَفِعْلُهَا بِالْمَسْجِدِ أَفْضَلُ

Melakukannya (solat sunat hari raya) di masjid adalah afdal."

 

Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat lain sepertimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا

Tempat yang paling dikasihi oleh Allah di sesuatu negeri ialah masjidnya dan tempat yang paling dimurkai oleh Allah di sesuatu negeri ialah pasarnya."(Riwayat Muslim).

 

Diriwayatkan daripada Ibn Umar radiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

وَإِنَّ خَيْرَ الْبِقَاعِ الْمَسَاجِدُ وَشَرَّ الْبِقَاعِ الأَسْوَاقُ

Sesungguhnya sebaik-baik tempat ialah masjid-masjid dan seburuk-buruk tempat ialah pasar-pasar.”(Riwayat Ibn Hibban, al-Tabarani, al-Hakim).

 

Meskipun Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pernah melaksanakan solat hari raya di tanah lapang, namun ia adalah disebabkan keadaan masjidnya yang sempit dan tidak mampu menampung para jemaah ketika itu. Sedangkan sebagaimana yang dimaklumi, bahawa solat sunat hari raya disyariatkan kepada lelaki, perempuan dan semua mukallaf dilakukan secara berjemaah.

 

Justeru, apabila sesuatu masjid mempunyai keluasan yang masih mampu menampung jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan solat sunat hari raya di tanah lapang tidak lagi bermakna.

 

Selain daripada itu, para jemaah yang bersolat di masjid juga akan berpeluang memperolehi pahala beribadat dan beriktikaf di dalam masjid. Malah, ia bertujuan memberikan keselesaan dan kemudahan bagi jemaah untuk menghadirinya. Ia juga untuk mengelakkan hujan dan seumpamanya. Oleh kerana itu, makruh melakukan solat raya di kawasan tanah lapang jika berlaku hujan dan seumpamanya.

 

Menurut Imam al-Ardabili, solat sunat hari raya sunat dihimpunkan di satu tempat. Hal ini kerana makruh berbilang-bilang solat sunat hari raya tanpa apa-apa keperluan. Bahkan, pihak pemerintah berhak menegah berbilang-bilang solat sunat hari raya di satu tempat tanpa apa-apa keperluan.

اليسع

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan

 

- Al-Majmuk

- Al-Anwar 

- Asna al-Matalib 

- Tuhfah al-Muhtaj 

- Nihayah al-Muhtaj 

- Mughni al-Muhtaj 

- ‘Umdah al-Salik 

- Hasyiah al-Bujairimi 

- Hasyiah al-Jamal 

- Hasyiah al-Syarqawi 

- Hasyiah al-Baijuri 

- Busyra al-Karim 

- Nihayah al-Amal 

- Hasyiah al-Tarmasi 

- Al-Fiqh al-Manhaji 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan