Ahad, 9 April 2017

Kenali Kitab Tuhfah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج بشرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Shihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami al-Sa‘di al-Ansari al-Syafi‘i. Beliau dilahirkan di perkampungan Abu al-Haitam, Mesir tahun 909H. Antara gurunya adalah seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, Syeikh Abdul Haq al-Sinbati, Syeikh Ibn ‘Arus al-Misri, Syeikh Shihab al-Ramli, Syeikh Muhammad bin Salim al-Tabalawi dan lain-lain. Berhijrah ke Mekah dan tinggal di sana selama lebih kurang 34 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia tahun 974H. Karyanya melebihi seratus buah karangan dalam pelbagai bidang ilmu. Antara karya fiqahnya yang terkenal ialah Tuhfah al-Muhtaj, Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, al-Imdad Syarh al-Irsyad, al-Manhaj al-Qawim, al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) حج.

Justeru, apabila disebut Ibn Hajar di dalam kitab-kitab fiqah Mazhab Syafi‘i, maka ia merujuk kepada beliau (Ibn Hajar al-Haitami), bukannya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, iaitu pengarang Fath al-Bari dalam bidang hadis, yang juga bermazhab Syafi‘i.  

Kedudukan Kitab

Beliau mula menyusun Kitab Tuhfah al-Muhtaj pada 12 Muharram tahun 958H dan selesai pada malam 27 Zulkaedah tahun 958H. Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab Tuhfahnya pernah dipelajari daripadanya oleh sejumlah ulama al-Muhaqqiqin yang tidak terhitung ramainya sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Hadhramaut, Syam, Akrad, Yaman, Hijaz dan Daghistan. Oleh kerana itulah, apabila berlakunya perbezaan pendapat Syeikh Ibn Hajar di antara kitab-kitab beliau, maka didahulukan pendapat beliau di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, kemudian Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Imdad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Manhaj al-Qawim Syarh Ba Fadhal, kemudian al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah.

Menurut pengkaji, penulisan beliau dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini banyak mengambil faedah daripada kitab hasyiah gurunya, iaitu Hasyiah Ibn Abdil Haq al-Sunbati bagi Syarh al-Mahalli. Selain itu juga, ibarat (gaya bahasa) yang digunapakai oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini lebih sulit difahami berbanding kitab gandingannya seperti Kitab Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj terutamanya dalam bab faraid.

Hasyiah Kitab

Terdapat tidak kurang daripada 20 lebih orang ulama yang pernah menghasyiahkan (menghuraikan) Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini. Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah tersebut hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini (10 jilid), iaitu Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi dan Hasyiah Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani (murid kepada Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan dialah yang dimaksudkan oleh al-Syarwani dengan ‘Syeikhuna’ dalam hasyiahnya ini). Bahkan, daripada sekalian hasyiah tersebut juga, Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi adalah hasyiah yang lebih didahulukan oleh para ulama berbanding hasyiah-hasyiah yang lain. Sungguhpun demikian, di nusantara ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan