Isnin, 17 April 2023

PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID

 


PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID

Alyasak Berhan

 

Secara asasnya, solat sunat hari raya harus dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan tentang tempat yang paling afdal untuk melaksanakannya.

 

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i yang muktamad, melaksanakan solat sunat hari raya di masjid adalah awla (lebih utama) dan afdal berbanding tanah lapang jika masjid tersebut masih mampu menampung jemaah. Inilah pandangan yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam Kitab al-Umm, pandangan Imam al-Syirazi, majoriti al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq), Imam al-Baghawi dan lain-lain.


Bahkan, melaksanakannya di tempat selain masjid hukumnya adalah khilaf al-awla (bertentangan dengan yang lebih utama).

 

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi :

وَفِعْلُهَا بِالْمَسْجِدِ أَفْضَلُ

Melakukannya (solat sunat hari raya) di masjid adalah afdal."

 

Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat lain sepertimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا

Tempat yang paling dikasihi oleh Allah di sesuatu negeri ialah masjidnya dan tempat yang paling dimurkai oleh Allah di sesuatu negeri ialah pasarnya."(Riwayat Muslim).

 

Diriwayatkan daripada Ibn Umar radiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

وَإِنَّ خَيْرَ الْبِقَاعِ الْمَسَاجِدُ وَشَرَّ الْبِقَاعِ الأَسْوَاقُ

Sesungguhnya sebaik-baik tempat ialah masjid-masjid dan seburuk-buruk tempat ialah pasar-pasar.”(Riwayat Ibn Hibban, al-Tabarani, al-Hakim).

 

Meskipun Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pernah melaksanakan solat hari raya di tanah lapang, namun ia adalah disebabkan keadaan masjidnya yang sempit dan tidak mampu menampung para jemaah ketika itu. Sedangkan sebagaimana yang dimaklumi, bahawa solat sunat hari raya disyariatkan kepada lelaki, perempuan dan semua mukallaf dilakukan secara berjemaah.

 

Justeru, apabila sesuatu masjid mempunyai keluasan yang masih mampu menampung jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan solat sunat hari raya di tanah lapang tidak lagi bermakna.

 

Selain daripada itu, para jemaah yang bersolat di masjid juga akan berpeluang memperolehi pahala beribadat dan beriktikaf di dalam masjid. Malah, ia bertujuan memberikan keselesaan dan kemudahan bagi jemaah untuk menghadirinya. Ia juga untuk mengelakkan hujan dan seumpamanya. Oleh kerana itu, makruh melakukan solat raya di kawasan tanah lapang jika berlaku hujan dan seumpamanya.

 

Menurut Imam al-Ardabili, solat sunat hari raya sunat dihimpunkan di satu tempat. Hal ini kerana makruh berbilang-bilang solat sunat hari raya tanpa apa-apa keperluan. Bahkan, pihak pemerintah berhak menegah berbilang-bilang solat sunat hari raya di satu tempat tanpa apa-apa keperluan.

اليسع

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan

 

- Al-Majmuk

- Al-Anwar 

- Asna al-Matalib 

- Tuhfah al-Muhtaj 

- Nihayah al-Muhtaj 

- Mughni al-Muhtaj 

- ‘Umdah al-Salik 

- Hasyiah al-Bujairimi 

- Hasyiah al-Jamal 

- Hasyiah al-Syarqawi 

- Hasyiah al-Baijuri 

- Busyra al-Karim 

- Nihayah al-Amal 

- Hasyiah al-Tarmasi 

- Al-Fiqh al-Manhaji 


Selasa, 4 April 2023

PANDUAN HUKUM: WAQAF PADA أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ KETIKA SOLAT


PANDUAN HUKUM: WAQAF PADA
عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ KETIKA SOLAT

Alyasak Berhan


1) Ilmu Fawasil

Menurut perbincangan Ilmu Fawasil (pengiraan ayat al-Quran), ulama ‘Adad (ilmu Fawasil) telah bersepakat mengatakan bahawa jumlah ayat dalam Surah al-Fatihah ada tujuh ayat.

 

Disebutkan oleh Imam al-Syatibi :

وأمُّ القرءان الكلُّ سبعًا يعدُّها

ولكن عليهم أولًا يُسْقطُ المُثْر

Surah al-Fatihah semua ulama mengiranya 7 ayat,

namun عليهم yang pertama al-Makki dan al-Kufi (المُثْر) tidak mengiranya satu ayat.”

 

# المُثْر  ialah rumuz (akronim) bagi ulama ‘Adad Mekah dan Kufah.

 

Walau bagaimanapun, mereka berselisih pendapat berkaitan tempat kiraan ayat-ayat tersebut. Disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Mutawalli :

بسملة للمكِّ والكوفي تُعَدْ

غيرُهما عليهمُ الأوَّلُ عَدْ

Basmalah (Bismillah) dikirakan oleh al-Makki dan al-Kufi satu ayat,

selain mereka berdua pula mengira عليهم yang pertama satu ayat.”

 

Sehubungan dengan itu, menurut ulama ‘Adad Mekah (al-Makki) dan Kufah (al-Kufi), ayat pertama Surah al-Fatihah ialah Basmalah (Bismillah) dan ayat ketujuh Surah al-Fatihah pula ialah :

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Manakala menurut ulama ‘Adad Madinah (al-Madani), Basrah (al-Basri) dan Syam (al-Syami) pula, ayat pertama Surah al-Fatihah ialah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ dan ayat keenam ialah :

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

dan ayat ketujuh pula ialah :

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Justeru, bilangan ayat dalam Surah al-Fatihah berjumlah 7 ayat mengikut kesepakatan ulama ‘Adad. Oleh hal yang demikian, bilangan ayat ini tidak berubah kendatipun seseorang waqaf pada kalimah عَلَيْهِمْ  أَنْعَمْتَ .

 

2) Waqaf dan Ibtida’

Menurut Imam Abu Amru al-Dani waqaf (berhenti) pada kalimah عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ dikategorikan sebagai Waqaf Hasan. Manakala Imam al-Asymuni dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari pula mengkategorikannya sebagai Waqaf Jaiz. Namun, kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang sama, iaitu kalimah yang elok waqaf padanya serta tidak elok ibtida' (memulakan bacaan) pada kalimah selepasnya kerana ia mempunyai perkaitan secara langsung dari sudut lafaz dan makna dengan kalimah sebelumnya.

 

3) Fiqah Mazhab Syafi‘i

Menurut pandangan ulama fiqah Mazhab Syafi‘i, hukum waqaf (berhenti) pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ adalah khilaf al-awla (bercanggah dengan yang lebih utama). Justeru, sunat bagi seseorang yang solat tidak waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ .Namun, jika dia waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,maka solatnya tidak batal.

 

Disebutkan dalam Fath al-Muin :

والأولى أن لا يقف على (أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ) لأنه ليس بوقف ولا منتهى آية عندنا فإن وقف على هذا لم تسن الإعادة من أول الآية.

Dan yang lebih utama, bahawa tidak diwaqafkan pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,kerana sesungguhnya ia bukanlah tempat waqaf dan bukan penghabisan ayat di sisi kita (Mazhab Syafi‘i). Maka jika seseorang telah waqaf padanya, tidak disunatkan mengulanginya dari permulaan ayat.”

 

Bahkan, yang lebih utama (awla) baginya adalah menyambung ayat seterusnya dan tidak sunat mengulangi ayat tersebut dari awal sekalipun waqaf di situ tidak elok mengikut uruf (kebiasaan yang diamalkan) qurra' (ulama qiraat). Hal ini bagi meraikan pandangan sebilangan ulama yang mengatakan ia termasuk dalam perbuatan mengulangi sebahagian rukun qauli (bacaan) yang boleh membatalkan solat menurut mereka. 

اليسع

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan

- Tuhfah al-Muhtaj

- Nihayah al-Muhtaj

- Mughni al-Muhtaj

- Hasyiah al-Syabramallisi

- Hasyiah I‘anah al-Talibin

- Nihayah al-Zain 

- Fath al-‘Allam 

- Al-Syams al-Munirah 

- Al-Muktafa 

- Manar al-Huda 

- Al-Maqsi

- Al-Qawl al-Wajiz 

- Al-Muharrar al-Wajiz 

- Basyir al-Yusr 

- Taudhih al-Adillah


Ahad, 1 November 2020

HUKUM MAKAN DAGING MUSANG



PANDUAN HUKUM: HUKUM MAKAN DAGING MUSANG MENURUT PANDANGAN ULAMA ALAM MELAYU (NUSANTARA)

Alyasak Berhan

 

Allah Taala berfirman:

 

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

 

 

"...dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk

..."(Surah al-A‘raf 157).

 

Menurut Imam al-Qurtubi, kalimah al-Khabaith dalam ayat di atas adalah lafaz umum yang merujuk kepada segala benda-benda yang diharamkan oleh syarak dan benda-benda yang kotor. Oleh kerana itu, diharamkan memakan kala jengking, kelawar, cicak dan seumpamanya.

 


Hukum Makan Musang

 

Antara ulama Alam Melayu yang telah memfatwakan haram memakan musang adalah seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri (ulama Aceh kurun ke-17M), Syeikh Arsyad al-Banjari (ulama kurun ke-19M yang berasal dari Banjarmasin), Syeikh Daud al-Fatani (ulama kurun ke-19M yang berasal dari Patani), Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal) (ulama kurun ke-20M yang berasal dari Patani), Syeikh Muhammad Soleh bin Murid al-Rawi (ulama keturunan Rawa), Dato' Syed Alawi bin Tahir al-Haddad (Mantan Mufti Johor. Berasal dari Hadhramaut), Syeikh Omar al-Khatib (Ulama Singapura. Berasal dari Hadhramaut) dan T.G. Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi.

 

Sehubungan dengan itu, menurut Syeikh Muhd Idris Abdul Rauf al-Marbawi, tha‘lab yang halal dimakan adalah merujuk kepada spesis binatang yang pernah dilihatnya di taman unggas dan mergastua di Mesir. Rupanya seperti anjing berwarna kemerah-merahan dan mempunyai hujung ekor yang berbulu lebat (lihat gambar).

Tha‘lab


Oleh kerana itu, Syeikh Arsyad al-Banjari telah membezakan hukum memakan tha‘lab dan musang, iaitu tha‘lab halal dimakan dan musang pula haram dimakan. Ini jelas menunjukkan bahawa tha‘lab dan musang adalah dua haiwan yang berbeza spesis dan hukum memakannya juga berbeza. Manakala musang jebat (قط الزباد) pula, dikategorikan oleh Syeikh Muhd Idris Abdul Rauf al-Marbawi sebagai binatang yang haram dimakan.

اليسع

Wallahu a‘lam.


   
Musang Jebat

Musang Jebat (Viverra Zibetha)

 


Selasa, 30 Jun 2020

Ratib al-Attas & Ratib al-Haddad




RATIB AL-ATTAS


Ratib al-Attas ialah sebuah himpunan zikir-zikir daripada ayat-ayat al-Quran, doa Nabawi dan zikir orang-orang soleh.



Ratib ini disusun oleh Habib Umar bin Abdul Rahman al-Attas (wafat 1072 Hijriah).


Ratib al-Attas memiliki nama popular yang lain, iaitu Aziz al-Manal Wa Fathu Bab al-Wisal (sesuatu yang sukar diperolehi dan kunci bagi pintu penghubung).

Kebiasaannya ratib ini dibaca selepas Isyak atau Maghrib secara beramai-ramai. Namun, ia boleh juga dibaca ketika pagi dan petang/malam bagi individu yang mampu dan mempunyai semangat beramal yang tinggi.

Amalan membaca Ratib al-Attas dengan ikhlas dan istiqamah dapat membantu pengamalnya mendekatkan diri kepada Allah dan melindungi diri daripada pelbagai perkara yang tidak diingini dengan izin Allah Taala.

Download PDF (saiz A5):


RATIB Al-HADDAD

Ratib al-Haddad ialah sebuah himpunan zikir-zikir daripada ayat al-Quran, doa nabawi dan zikir orang-orang soleh.

Dinamakan Ratib wal-Haddad bersempena nama penyusunnya, iaitu Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad (wafat 1132 Hijriah).

Ratib ini disusun pada malam Lailatul Qadar, 27 Ramadan tahun 1071 Hijriah (bersamaan 26 Mei 1661).

Ia disusun atas permintaan sebilangan muridnya agar beliau menyusun suatu wirid dan zikir untuk amalan penduduk kampung mereka. Hal ini dilakukan dengan harapan agar ia dapat mempertahankan dan menyelamatkan diri dan akidah mereka daripada ajaran sesat yang sedang melanda Hadhramaut ketika itu.

Ratib ini kebiasaannya dibaca selepas Isyak atau Maghrib secara beramai-ramai. Dinukilkan daripada penyusunnya, bahawa sesiapa yang ingin membaca kedua-dua ratib ini (Ratib al-Attas & Ratib al-Haddad), maka sepatutnya didahulukan bacaan Ratib al-Attas sebelum membaca Ratib al-Haddad.

Download PDF (saiz A5):


Rabu, 6 November 2019

Hukum Makan Siput Gondang


PANDUAN HUKUM: HUKUM MAKAN SIPUT GONDANG 
Alyasak Berhan

Menurut Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), secara umumnya semua jenis siput yang hanya hidup di dalam air halal dimakan selagi ia tidak memabukkan atau beracun.

Namun, ulama Alam Melayu berbeza pandangan tentang hukum makan siput gondang. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, siput gondang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang hidup dua alam. Hal ini kerana ia boleh hidup kekal di darat.

Adapun menurut Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang yang boleh hidup dua alam.

Hal ini kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, ketentuan haiwan hidup dua alam yang haram dimakan ialah haiwan yang hidup di dalam air dan di atas darat serta ia pandai mencari makanan di air dan di darat.

Oleh itu, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak pandai mencari makanan di atas darat sepertimana ia mencari makanan di dalam air. 

Walaupun siput gondang ini boleh hidup lama di darat, namun hal ini adalah disebabkan ada basahan dan cecair di dalam kulitnya. Justeru, apabila siput gondang  ini diterbalikkan ke atas, nescaya ia akan cepat mati.

Bahkan, siput gondang ini juga mampu hidup di dalam tanah dalam tempoh masa yang lama sehingga tanah tersebut kembali berair sebelum ia keluar semula. Namun, keadaan hidupnya di dalam tanah tersebut hanya sebagai harakat mazbuh (berkeadaan lemah dan seolah-olah sudah mati, iaitu tiada lagi padanya suara, penglihatan dan pergerakan mengikut kehendaknya) sahaja.

Inilah pandangan Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah mengikut fatwa beberapa ulama besar di Mesir seperti Syeikh Abdul Hadi al-Anbar al-Misri kerana dikiaskan dengan halal memakan kerang. Sedangkan Syeikh al-Ramli telah memfatwakan secara jelas tentang keharusan memakan kerang.

Selain itu, dikiaskan juga dengan halal memakan sejenis siput yang terdapat di negara Mesir yang menyerupai siput gondang, namun saiznya kecil sedikit.

Begitu juga halal memakan siput yang bersaiz lebih kecil daripada gondang serta mempunyai rupa bentuk dan tabiat sepertimana siput gondang ini. 
اليسع
Wallahu a'lam.

Ahad, 9 Jun 2019

Adakah Matan Safinatun Najah Muktamad?


MATAN SAFINATUN NAJAH
Alyasak bin Berhan

Menurut Syeikh Muhammad bin Abu Bakr bin Abdullah Bazib, Safinah al-Najah adalah sebuah matan yang tersangat masyhur dalam bab ibadat hingga bab zakat.

Menurut Syeikh Ahmad al-Hadhrawi al-Makki, di dalam Safinah al-Najah ini telah dihimpunkan ilmu-ilmu dan teras-teras fiqah mazhab Syafi‘i.

ADAKAH MATAN SAFINATUN NAJAH TERMASUK DALAM KITAB MUKTAMAD MAZHAB?

Para ulama Mazhab Syafi‘i telah menjadikan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai dua buah kitab rujukan dan sandaran utama dalam berfatwa. Hal ini kerana pengarang kedua-dua kitab tersebut telah menjadikan pandangan-pandangan muktamad yang disebutkan di dalam kitab-kitab karangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Rafi‘ei sebagai pegangan fatwa. Asas ini telah menjadikan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai kitab yang paling utama berbanding kitab-kitab lain.

Menurut Syeikh Sulaiman al-Kurdi, para ulama Mazhab Syafi‘i telah meneliti kandungan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj ini. Lalu mereka mendapati isi kandungan kedua-dua kitab tersebut sebagai teras atau intisari (‘umdah) berfatwa mengikut Mazhab Syafi‘i radhiallahu anhu. Sehinggakan mereka yang menguasai kedua-dua pendapat dalam kedua-dua kitab tersebut akan memantapkannya tanpa tarjih lagi.

Sehubungan dengan itu, semua permasalahan hukum fiqah yang terkandung dalam Matan Safinah al-Najah adalah berdasarkan pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafi‘i melainkan pada dua (2) masalah hukum sahaja.

Walau bagaimanapun, terdapat lima (5) permasalahan hukum yang masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli yang terkandung dalam Matan Safinah al-Najah ini. Tiga (3) daripadanya selari dengan pandangan Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Manakala dua (2) daripadanya pula, selari dengan pandangan Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Adapun di dalam bab puasa melalui tambahan Matan Safinah al-Najah oleh Syeikh Nawawi al-Bantani pula, terdapat tiga (3) permasalahan hukum yang masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli. Dua (2) daripadanya selari dengan pandangan Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Manakala satu (1) daripadanya pula, selari dengan pandangan Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Fath al-Jawwad.

Oleh itu, semua pendapat daif dan perselisihan pandangan seperti yang tersebut di atas telahpun kami nyatakan pada nota kaki dalam Terjemahan Kitab Safinatun Najah susunan kami. Justeru, sesiapa yang ingin mengetahui perincian berkaitannya, bolehlah rujuk di dalam terjemahan tersebut.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Sabtu, 1 Jun 2019

Terjemahan Safinatun Najah



Kitab Terbaru!!!
Terjemahan Matan Safinah al-Najah

Kategori: Fiqah
Pengarang : Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami

Penterjemah : Us. Alyasak bin Berhan

Ukuran : 6in x 9in
Tebal : 114 hlm
Penerbit : Persatuan Alumni Huffaz Negeri Sembilan
ISBN : 978-967-17193-0-5
Harga : RM12.00

Antara kelainan yang terdapat dalam terjemahan ini:

1. Memulakan terjemahan dengan pengenalan kitab dan biografi pengarang kitab.
2. Menterjemahkan teks asal kitab ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan terjemahan makna secara bebas tanpa terikat dengan terjemahan lama dan mengabaikan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis asal kitab.
3. Memberikan makna ringkas dan menyatakan perbezaan baris bacaan bagi kosa kata (perbendaharaan kata) yang difikirkan perlu.
4. Meletakkan tajuk yang sesuai bagi setiap perbincangan hukum supaya lebih mudah difahami.
5. Mengemukakan perbezaan pendapat antara ulama mutaakkhirin (terkemudian) tentang perbincangan hukum fiqah yang telah disebutkan oleh pengarang, terutamanya perbezaan pendapat antara Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli.
6. Mengemukakan ukuran moden berdasarkan Unit Sistem Antarabangsa (SI) pada kenyataan pengarang tentang 2 qullah, 300 hasta dan 2 marhalah.
7. Menyertakan tambahan bab puasa yang telah disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Stok terhad...

Dapatkan segera selagi stok masih ada.

Whatsapp kami :-

Selamat membaca!!!