PANDUAN HUKUM: NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN
Alyasak bin Berhan
Niat Puasa Menurut Mazhab
Syafi'i
Menurut pandangan ulama Mazhab
Syafi'i, wajib untuk berniat puasa pada setiap malam. Bahkan niat itu tempatnya
di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya pada waktu malam hari, bahawa
dia akan berpuasa yang tertentu pada keesokan harinya, maka itu sudah memadai
baginya. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha,
Rasululllah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ
الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَصِيَامَ لَهُ
"Sesiapa yang tidak
berniat puasa sebelum terbit fajar (subuh), maka tiada puasa baginya."
(Riwayat al-Daraqutni no. 2213 dan al-Baihaqi no. 7989. Menurut al-Daraqutni,
semua perawinya adalah thiqah)
Syarat niat bagi puasa adalah;
1. Tabyit- Meniatkan pada
waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar bagi puasa wajib. Manakala bagi puasa
sunat pula diharuskan untuk berniat sebelum gelincir matahari selagimana tidak
melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan hadis riwayat
Aisyah radhiallahu anha, sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda
kepadanya;
هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ
غَدَاءٍ ؟ "، ... وَإِنْ قُلْنَا : لا , قَالَ : " إِنِّي صَائِمٌ. قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ هَذاَ إسْنَادٌ صَحِيْحٌ
"Adakah pada kamu apa-apa
untuk makan tengah hari?." Jika kami menjawab; "Tiada." Lalu
baginda bersabda; "Kalau begitu aku berpuasa."(Riwayat al-Daraqutni
no.2236).
2. Ta'yin- Menentukan jenis
puasa yang ingin dilaksanakan seperti puasa Ramadhan.
3. Tikrar (berulang-ulang)-
Meniatkan puasa pada setiap malam untuk berpuasa keesokan hari berikutnya (Al-Fiqh
al-Manhaji 340-341/1, al-Muktamad 174-176/2).
Sehubungan itu, menurut ulama
Mazhab Syafi‘i, berniat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada setiap malam kerana
ibadat puasa pada setiap hari itu dianggap ibadat yang berasingan di antara
satu hari dengan hari yang lain. Oleh itu, jika seseorang berniat pada malam
pertama bulan Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh, maka niat sedemikian hanya
sah bagi hari pertamanya sahaja. Disebutkan oleh Ibn al-Muqri;
ولو نوى صوم الشهر
كفاه لليوم الأول
"Jikalau seseorang
berniat puasa untuk sebulan, nescaya ia memadai untuk puasa hari
pertama..."(Raudhah al-Talib 225/2).
Selain itu, tidak memadai niat
puasa jika hanya sekadar berniat untuk berpuasa esok hari sahaja, seperti niat
"sahaja aku berpuasa esok hari". Hal ini kerana, sekurang-kurang niat
yang memadai bagi puasa Ramadhan adalah, "sahaja aku berpuasa
Ramadhan" walaupun tanpa diniatkan "FARDHU" Ramadhan menurut
pendapat yang muktamad sepertimana yang telah disahihkan oleh Imam al-Nawawi di
dalam Kitab al-Majmuk kerana mengikut pendapat kebanyakan ulama (Hasyiah I'anah
al-Talibin 350/2, Bughyah al-Mustarsyidin 111).
Manakala berLAFAZ niat,
hukumnya adalah sunat bagi membantu niat di dalam hati. Ia diqiaskan dengan
lafaz niat ihram ketika melaksanakan ibadat haji bertujuan untuk membantu niat
di dalam hati seperti lafaz niat:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ
عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku puasa esok
hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah
Taala."
Justeru, bagi yang tidak
berniat, maka puasanya tidak sah kerana setiap perkara dimulakan dengan niat
berdasarkan hadis riwayat Umar al-Khattab radhiallahu anhu, Rasulullah
sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ
بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
"Hanyasanya setiap amalan
adalah dengan niat dan seseorang hanya mendapat apa yang
diniatkannya..."(Riwayat al-Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).
Niat Puasa Menurut Mazhab
Maliki
Menurut pandangan ulama Mazhab
Maliki pula, harus berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang
wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan. Hal ini
adalah kerana, di sisi mereka puasa tersebut dianggap seolah-olah seperti
ibadat yang satu dari segi keterikatan sebahagiannya dengan sebahagian yang
lain dan dari segi ia tidak harus dipisah-pisahkan. Justeru, niat tersebut
harus dilakukan pada malam pertama puasa sahaja.
Disebutkan dalam Mukhtasar
Khalil (kitab Mazhab Maliki);
وَكَفَتْ نِيَّةٌ لِمَا
يَجِبُ تَتَابُعُهُ لَا مَسْرُودٍ وَيَوْمٍ مُعَيَّنٍ ، وَرُوِيَتْ عَلَى الِاكْتِفَاءِ
فِيهِمَا ، لَا إنْ انْقَطَعَ تَتَابُعُهُ بِكَمَرَضٍ ، أَوْ سَفَرٍ
"Memadai satu niat bagi
puasa yang wajib dikerjakan secara berturutan (seperti Ramadhan). Tidak harus
bagi puasa yang tidak wajib dikerjakan secara berturutan (seperti puasa qadha)
dan untuk puasa yang tertentu (seperti puasa Isnin dan Khamis). Diriwayatkan (iaitu pendapat
yang lemah dalam Kitab al-Mudawwanah) atas memadai niat yang satu pada
kedua-dua puasa tersebut. Tidak memadai jika terputus berturut-turutnya
seperti sakit atau musafir..."
Sungguhpun demikian, jika
puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu terputus kerana sesuatu
sebab, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syarak atau tidak, maka niat
tersebut tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Justeru,
niat puasa tersebut perlulah diperbaharui semula apabila tiada lagi perkara
yang menghalangnya daripada berpuasa.
Sebab-sebab yang boleh
memutuskan puasa yang berturutan menurut Mazhab Malik adalah:
1) Berlaku sesuatu yang
mengharuskan seseorang itu berbuka seperti sakit atau musafir, walaupun dia
tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa) mengikut pendapat yang muktamad.
2) Berlaku sesuatu yang
membatalkan puasa seperti kedatangan haidh, nifas, gila, pengsan dan mabuk.
3) Sengaja tidak berpuasa
tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak (Hasyiah al-Dusuqi 521/1, Minah
al-Jalil 128-129/2).
Taklid Mazhab Lain Dalam
Masalah Niat Puasa
Demi menjaga kemaslahatan dan
sebagai langkah berhati-hati kerana dikhuatiri terlupa berniat puasa pada
setiap malam hari, maka ramai di antara ulama mazhab Syafi'i menghukumkan sunat
juga berniat puasa sebulan dengan bertaqlid kepada Mazhab Maliki. Antara mereka
adalah Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim
al-Birmawi, Syeikh Ahmad al-Qalyubi, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Arsyad
al-Banjari, Syeikh Sulaiman al-Jamal, Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id
Ba 'Asyan, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdullah
al-Jurdani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid
al-Syarwani, Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh
Muhd Ismail al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal), Syeikh
Husain Kedah.
Manakala, sebahagian mereka
pula mengharuskannya. Antaranya adalah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikh Muhd
Ismail al-Fatani (Matla' al-Badrain), Syeikh Muhd Nur al-Fatani dan Syeikh Muhd
al-Syatiri.
Malah, sebahagian ulama
menghukumkan sunat bagi seseorang yang lupa berniat puasa sebelum masuk waktu
Subuh untuk bertaklid kepada Mazhab Hanafi kerana menurut mazhab ini, harus dan
sah puasa seseorang jika dia berniat setelah waktu Subuh dan sebelum waktu
Zuhur. Antara mereka adalah Imam al-Nawawi, Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh
Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim al-Birmawi, Syeikh Sulaiman al-Jamal,
Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id Ba 'Asyan, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi,
Syeikh Abdullah al-Jurdani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid al-Syarwani,
Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Muhd Ismail
al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal).
Disebutkan oleh Syeikh Hasan
al-Syurunbulali (ulama Mazhab Hanafi);
فيصح بنية من الليل
إلى ما قبل نصف النهار على الأصح ونصف النهار من طلوع الفجر إلى وقت الضحوة الكبرى
"Maka sah puasa dengan
niat bermula dari malam hingga sebelum waktu setengah hari menurut pendapat
yang lebih sahih. Waktu setengah hari adalah daripada terbit fajar hingga waktu
dhuha kubra (gelincir matahari)...(Nur al-Idhah).
Perkara yang Membatalkan
Puasa Menurut Mazhab Maliki
Terdapat beberapa perbezaan di
sisi Mazhab Maliki berkaitan perkara-perkara yang membatalkan puasa, berbeza dengan Mazhab
Syafi'i. Ia seharusnya diketahui dan diraikan juga oleh orang berniat puasa
sebulan kerana bertaklid kepada Mazhab Maliki agar puasa mereka sah di sisi
mazhab yang ditaklid (Maliki), antaranya:
1. Pengsan ketika terbit fajar
hari puasa (Mukhtasar Khalil 130/2).
2. Mengeluarkan air mazi
ketika jaga (Mukhtasar Khalil 131/2).
3. Memasukkan sesuatu ke dalam
mata kerana di sisi Mazhab Maliki, mata termasuk dalam rongga yang terbuka
(Mukhtasar Khalil 133/2).
Walaubagaimanapun, menurut apa
yang telah kami nukilkan daripada syeikhuna, Syeikh Dr. Muhammad bin Abdullah
bin Ali Muhyiddin al-Qurasyi al-Syafi‘i (murid Syeikh Abdullah al-Nakhibi
al-Yafi'ei al-Syafi‘i) daripada SEBAHAGIAN guru-gurunya. Jikalau seseorang
terlupa berniat pada malam-malam berikutnya, padahal dia telah bertaklid kepada
Mazhab Maliki dengan berniat sebulan Ramadhan pada malam pertama, maka sahlah
puasanya sekalipun dia tidak mengikut sepenuhnya puasa dalam Mazhab Maliki
kerana memberi keringanan dan kemudahan kepada orang-orang yang berpuasa.
Faedah Bertaklid Kepada
Mazhab Maliki
Terdapat sekurang-kurangnya 2
faedah bagi seseorang yang bertaklid dengan niat sebulan berdasarkan Mazhab
Maliki ini, iaitu;
1. Sah puasa bagi hari yang
dia lupa berniat pada malamnya di sisi Mazhab Maliki.
2. Akan memperolehi pahala
puasa yang sempurna seandainya dia meninggal dunia sebelum sempurna bulan
Ramadhan kerana mengambilkira niatnya (al-Taqrirat al-Sadidah 440).
Lafaz Niat Puasa Sebulan Penuh
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ
رَمَضَانِ كُلِّهِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku puasa sebulan
Ramadhan sekaliannya tahun ini (bertaklid kepada Mazhab Maliki) kerana Allah Taala."
اليسع
Wallahu a'lam.
"SELAMAT MENJALANI IBADAT
PUASA"
رمضان كريم
كل عام وأنتم بخير