PANDUAN HUKUM: HUKUM PAKAI
INHALER SEMASA PUASA
Alyasak bin Berhan
Di antara soalan yang
seringkali diajukan setiap kali masuknya bulan Ramadhan adalah berkaitan hukum
menggunakan inhaler semasa puasa, adakah ianya membatalkan puasa atau tidak?
Jawapan kami :
Satu-satu inhaler mengandungi
10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan
mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian
dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan.
Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya
akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan
tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut (Mufattirat
al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 18).
Sehubungan itu, jika kandungan
inhaler yang digunakan itu sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung
sekalipun sedikit, maka ia akan membatalkan puasa. Sebaliknya, jika tidak
sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka ia tidak membatalkan puasa.
Dinyatakan oleh Imam Ibn
al-Naqib al-Misri :
وضابط المفطر وصول
عين وإن قلت من منفذ مفتوح إلى جوف
"Dan dhabit (penanda aras) bagi perkara yang membatalkan puasa adalah sampainya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit daripada lubang tubuh yang terbuka ke dalam jauf (rongga)."(‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik).
Disebutkan dalam Fath al-Mu‘in
:
و يفطر بدخول عين وإن
قلت إلى ما يسمى جوفا
"Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga)."
Fatwa Kontemporari
Di antara ulama yang pernah
memfatwakan bahawa batal puasa seseorang yang menggunakan inhaler ini adalah;
1) Fatwa Dar al-Ifta' Mesir (http://dar-alifta.org/ ViewFatwa.aspx?ID=557&LangID= 5&MuftiType=).
- rujuk juga Kitab al-Siyam
terbitan Dar al-Ifta' Mesir hal. 85.
2) Fatwa Dar al-Ifta' Jordan
(http://aliftaa.jo/Article. aspx?ArticleId=164).
(http://aliftaa.jo/Question. aspx?QuestionId=1389#. WSzjAeCwrqA).
(http://aliftaa.jo/Question.
- rujuk juga Mukhtasar Ahkam
al-Siyam terbitan Dar al-Ifta' Jordan hal. 11.
3) Fatwa Darul Fatwa Australia
(http://www.darulfatwa.org.au/ ar/%D9%85%D8%A7-%D8%AD%D9%83% D9%85-%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8% B9%D9%85%D8%A7%D9%84-%D8%A8% D8%AE%D8%A7%D8%AE-%D8%A7%D9% 84%D8%B1%D8%A8%D9%88-%D9%81% D9%8A-%D9%86%D9%87%D8%A7%D8% B1-%D8%B1%D9%85%D8%B6%D8%A7% D9%86/).
4) Fatawa Syar‘iyyah yang
dikeluarkan oleh Bahagian Fatwa dan Penyelidikan, Dairah al-Syuun al-Islamiyyah,
Dubai, United Arab Emirates hal. 114/1.
5) Syeikh Omar al-Khatib
Singapura (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Panduan Ilmu Fiqh Syeikh Omar
al-Khatib hal. 26 Bab Puasa.
6) Syeikh ‘Atiyyah Saqr,
mantan ketua Lajnah Fatwa al-Azhar al-Syarif di dalam himpunan fatwa beliau
berjudul Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam hal. 19/2.
7) Dr. Muhammad Jabr al-Alfi
al-Misri (bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab Mufattirat al-Soim fi Dhau'i al-Mustajiddah
al-Tibbiyyah hal. 102.
8) Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas
(bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab al-Tibyan wa al-Ithaf fi Ahkam al-Siyam wa
al-Iktikaf hal. 115.
9) Syeikh Muhammad Mukhtar
al-Sulami, mantan mufti Tunisia (bermazhab Maliki) sepertimana yang dicatatkan
dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.
10) Dr. Ali Jumaah, mantan
mufti Mesir (bermazhab Syafi‘i) di dalam himpunan fatwa beliau berjudul
al-Kalim al-Tayyib hlm 109.
11) Habib Omar bin Muhammad
bin Salim bin Hafiz al-Husaini (bermazhab Syafi'i) (http://www. alhabibomar.com/Fatwa.aspx? SectionID=5&RefID=42).
12) Dr. Wahbah al-Zuhaili
(bermazhab Syafi'i) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah
hal. 15.
13) Syeikh Muhammad Taqi
al-Uthmani (bermazhab Hanafi) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat
al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.
14. Dr. Ahmad al-Hajji bin
Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad ‘Assaf al-Kurdi al-Halabi (bermazhab
Hanafi) di dalam fatwa beliau no.108 bertarikh 22-11-2005 (https://www.islamic-fatwa. com/fatwa/108).
15) Dr. Zain bin Muhammad bin
Husain al-‘Aidarus (bermazhab Syafi'i) di dalam kitab Ithaf al-Anam bi Ahkam
al-Siyam hlm 71.
16) Sayyid Muhammad Amin bin
Idrus Ba ‘Alawi al-Husaini yang merupakan murid al-Habib Zein bin Ibrahim bin
Sumait (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Marhaban Ya Ramadhan hlm 90.
17) Garis Panduan Berpuasa
Bagi Pesakit (JAKIM) hlm 7. (http://www.e-fatwa.gov.my/…/garis_panduan_berpuasa_bagi_pes…)
Kesimpulan
Walaupun terdapat khilaf berkaitan
hukum penggunaan inhaler semasa puasa ini, namun kami lebih cenderung kepada
pendapat yang mengatakan bahawa ia akan membatalkan puasa kerana kandungan
inhaler akan masuk ke dalam rongga melalui mulut. Ia selaras dengan pendapat
tokoh-tokoh ulama yang menjadi rujukan ummah masa kini dan juga merupakan keputusan
badan-badan yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum. Justeru, pendapat ini merupakan
pandangan yang lebih cermat.
Sehubungan itu, apabila
pesakit terpaksa menggunakan inhaler semasa berpuasa, maka haruslah baginya
berbuka dan hendaklah dia mengqadha' puasanya setelah dia sembuh. Namun, jika
sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka pesakit tersebut
tidak diwajibkan berpuasa. Walau bagaimanapun, dia hendaklah membayar fidyah
dengan memberi makan kepada orang fakir atau miskin sebanyak hari yang dia
tidak berpuasa itu. Firman Allah Taala:
ۚ
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ
"...maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin..."(Surah al-Baqarah 184).
اليسع
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan