PANDUAN HUKUM: TEMPAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Alyasak bin Berhan
Tempat Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah
Secara asasnya, tempat mengeluarkan zakat
fitrah adalah di tempat seseorang itu berada ketika tenggelam matahari akhir
Ramadhan (malam 1 Syawal). Justeru, wajib ke atas seseorang yang berada di
sesuatu tempat ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) mengeluarkan
zakat fitrah di tempat berkenaan kepada golongan yang berhak menerimanya
mengikut makanan asasi tempat itu. Hal ini adalah kerana tidak harus
memindahkan zakat melainkan pemerintah mengikut pendapat yang muktamad.
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam,
ketika baginda mengutuskan Muaz radhiallahu anhu ke Yaman:
فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً
فِي أَمْوَالِهِمْ، تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ
"…khabarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah Taala mewajibkan zakat pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka…"(Riwayat al-Bukhari).
Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah radhiallahu
anhu bahawa dia berkata:
قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا
“Telah datang wakil Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat dari kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami.”(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Khuzaimah dan al-Daraqutni. Kata al-Tirmizi: hadis hasan).
Justeru, seseorang yang tinggal di Kuala Lumpur,
tetapi menyambut Hari Raya (ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan/malam 1 Syawal) di Negeri Sembilan sebagai contoh. Maka
zakat fitrahnya wajiblah dibayar di Negeri Sembilan jika dia belum lagi membayar
zakat fitrah di Kuala Lumpur semasa bulan Ramadhan berlangsung.
Berzakat di Tempat Lain, Beraya di Tempat Lain
Seseorang yang menyegerakan bayaran zakat
fitrah di sesuatu tempat, kemudian dia berada di tempat lain pula ketika
matahari tenggelam akhir Ramadhan (malam 1 Syawal). Maka zakat fitrah yang
dikeluarkannya itu adalah memadai (sah) dan dia tidak wajib lagi untuk
mengeluarkannya bagi kali kedua sepertimana yang telah dinukilkan oleh Syeikh
al-Hafni daripada Syeikh al-Shabramallisi.
Justeru, seseorang yang tinggal di Kuala Lumpur,
tetapi menyambut Hari Raya (ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan/malam 1 Syawal) di Negeri Sembilan sebagai contoh. Namun,
semasa bulan Ramadhan berlangsung dia telahpun membayar zakat fitrah di Kuala
Lumpur. Maka dia tidak wajib lagi mengulangi pembayaran zakat fitrahnya di Negeri
Sembilan.
Disebutkan oleh Tuan Guru Haji Chik al-Qadahi;
"Jika seorang ia beri fitrahnya pada satu negeri dan tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) ia berada pada negeri yang lain seperti ia beri fitrahnya di Kuala Lumpur dan tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) ia berada di Kedah, maka iaitu khilaf ulama. Maka kata setengah ulama, tiada memada (tidak memadai), wajib diberi pula fitrahnya di tempat yang ia berada tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal). Dan kata setengah ulama, memada (memadai), tiada wajib diberi pula di tempat yang ia ada sewaktu jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal)."
Mereka yang Di Bawah Tanggungan Berada Di
Tempat Lain.
Disebutkan Syeikh Zainuddin al-Malibari :
وهي صاعٌ...من
غالبِ قوتِ بَلَدِهِ أي بَلَدِ المؤدَّى عنه. فلا تجزىء من غيرِ غالبِ قوتِهِ، أو قوتِ
مُؤَدٍّ، أو بلدِهِ، لتشوُّفِ النفوسِ لذلك. ومن ثم وجبَ صرفُها لفقراءِ بلده مؤدَّى
عنه
"Zakat fitrah itu adalah segantang...daripada makanan asasi yang ghalib pada negeri orang yang dibayarkan zakat untuknya. Maka tidak memadai fitrah itu daripada selain makanan asasinya atau makanan asasi pembayar atau negerinya (pembayar) kerana orang yang berhak berkeinginan kepada yang demikian itu. Oleh kerana itu wajib mengeluarkannya kepada fakir-fakir di negeri orang yang dibayarkan zakat untuknya."
Bagi mereka yang di bawah tanggungan seperti
isteri, hamba, ibubapa dan anak-anak pula, zakat fitrah bagi pihak mereka
mestilah dikeluarkan di tempat mereka berada ketika matahari tenggelam akhir
Ramadhan (malam 1 Syawal) mengikut makanan asasi tempat berkenaan berdasarkan
pendapat yang muktamad. Misalnya seorang isteri atau hamba yang berada di
sebuah negeri, walhal suami atau tuannya berada di sebuah negeri yang lain. Maka zakat fitrah bagi pihak mereka mestilah dikeluarkan di negeri tempat
mereka berada mengikut makanan asasi tempat berkenaan. Salah satu caranya
adalah dengan suami atau tuannya itu mewakilkan kepada seseorang untuk mengeluarkan zakat bagi
pihak mereka yang di bawah tanggungannya di tempat mereka berada. Hal ini berdasarkan kepada pendapat
yang mengatakan bahawa kewajipan tersebut adalah ke atas orang yang dibayarkan
zakat untuknya sejak awal lagi.
Adapun
menurut pendapat kedua dalam mazhab kita, zakat fitrah mereka memadai dan sah dikeluarkan
kepada penerima zakat yang ada di tempat pembayar zakat mengikut makanan asasi
di tempat pembayar zakat itu. Di sisi pendapat ini, yang diambil kira adalah
tempat pembayar zakat kerana ia berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan
bahawa kewajipan tersebut adalah ke atas pembayar zakat sejak awal lagi. Namun,
pendapat ini adalah merupakan pendapat yang marjuh (lemah).
Disebutkan oleh Tuan Guru Haji Chik al-Qadahi;
"Orang yang memberi fitrahnya (pembayar zakat fitrah) berada pada suatu negeri dan orang yang diberi fitrahnya (orang yang dibayarkan zakat untuknya) berada pada negeri yang lain seperti anak isterinya berada di Mekah dan suaminya berada di Malaysia, dan orang Mekah makan gandum dan orang Malaysia makan beras. Maka wajib atas suaminya beri fitrah anak isterinya yang berada di Mekah itu dengan gandum dan diberi kepada mustahiq (penerima zakat) yang ada di Mekah seperti dikirim surat ke Mekah kata kepada isterinya "aku izin akan dikau beri fitrah engkau dan fitrah anak-anak aku dengan gandum". Maka tiada memada (memadai) dan tiada sah diberi fitrah anaknya dan isterinya yang berada di Mekah itu dengan beras dan tiada memada (memadai) lagi tiada sah diberi fitrah anaknya dan isterinya yang berada di Mekah itu kepada mustahiq (penerima zakat) di tempat suaminya walaupun dengan gandum. Dan kata setengah ulama, memada (memadai) dan sah diberi fitrah anak isterinya yang berada di Mekah itu diberi dengan beras kepada mustahiq (penerima zakat) yang ada di tempat suaminya."
اليسع
Wallahu a‘lam.
Rujukan:
-
Nihayah al-Muhtaj
-
Mughni al-Muhtaj
-
Fath al-Muin
-
Hasyiah al-Shabramallisi
-
Hasyiah Ibn Qasim al-‘Abbadi
-
Hasyiah al-Jamal
-
Hasyiah al-Syarqawi
-
Fath al-‘Allam
-
Hasyiah al-Syarwani
-
Sullam al-Sibyan
Alhamdulillah, sesuatu yg bermanfaat.
BalasPadamJemput ziarah http://fekah.blogspot.my
Alhamdulillah, sesuatu yg bermanfaat.
BalasPadamJemput ziarah http://fekah.blogspot.my