Ahad, 26 Mac 2017

Kenali Kitab Nihayah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin atau Jamaluddin Muhammad bin Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i. Beliau mula menyusun Kitab Nihayah al-Muhtaj pada bulan Zulkaedah tahun 963H dan selesai pada malam Jumaat 19 Jamadil Akhir tahun 973H. Beliau adalah seorang yang faqih dan mufti Mesir yang digelar “al-Syafi‘i al-Saghir”. Dikenali juga dengan gelaran “al-Ramli al-Saghir”, manakala bapanya dikenali dengan “al-Ramli al-Kabir”. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Shihabuddin al-Ramli, Syeikh al-Islam al-Qadhi Zakaria al-Ansari, Syeikh Burhanuddin bin Abu al-Syarif, Syeikh Sa‘duddin Muhammad bin Muhammad al-Zahabi dan lain-lain lagi. Beliau lahir pada tahun 919H di Kaherah dan meninggal dunia tahun 1004H. Antara karyanya yang masyhur adalah seperti Nihayah al-Muhtaj dan Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Raslan. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) م ر.

Kedudukan Kitab

Kitab Nihayah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab ini pernah dipelajari daripada pengarangnya sendiri oleh sejumlah tidak kurang daripada empat ratus orang ulama al-Muhaqqiqin sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Mesir seperti al-Zayyadi, al-Halabi, al-Syaubari, al-‘Inani, al-Qalyubi, al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi, al-Rasyidi, al-Jamal, al-Bujairimi, al-Syarqawi, al-Baijuri dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, jika berlaku perselisihan pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini dengan Kitab Syarh al-Idhah berkaitan permasalahan haji, maka pendapat beliau di dalam Kitab Syarh al-Idhah lebih dipegang (muktamad) berbanding pendapat beliau di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Hal ini adalah kerana, Kitab Syarh al-Idhah lebih terkemudian dikarang oleh beliau berbanding Kitab Nihayah al-Muhtaj.


Hasyiah Kitab

Antara ulama yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Nihayah al-Muhtaj ini adalah:

1. Syeikh Nuruddin Ali bin Yahya al-Zayyadi al-Misri (1024H).

2. Syeikh Muhammad bin Abdul Mun'im al-Taifi (1052H).

3. Syeikh Nuruddin Ali bin Ali al-Shabramallisi al-Qahiri (1087H).

4. Syeikh Ahmad bin Abdul Razzaq al-Maghribi yang dikenali dengan panggilan al-Rasyidi (1096H).

5. Syeikh Sulaiman bin Umar al-'Ajili al-Misri yang dikenali dengan panggilan al-Jamal (1204H).

6. Syeikh Khalid bin Husain al-Syahrazuri al-'Uthmani (1242H).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Anbabi al-Azhari (1313H) berjudul Taqrir al-Anbabi 'ala Nihayah al-Muhtaj li al-Ramli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Nihayah al-Muhtaj ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Shabramallisi dan Hasyiah Syeikh al-Rasyidi (8 jilid). Sungguhpun demikian, di zaman ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Jumaat, 3 Februari 2017

HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT
Alyasak bin Berhan

Mengutip dan memberi derma semasa khatib sedang berkhutbah hukumnya adalah MAKRUH kerana ia termasuk dalam perkara yang lagha dan boleh mengganggu tumpuan jemaah untuk mendengar khutbah. Hal ini adalah berdasarkan;

عَنْ أبي هريرةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله - صلى الله عليه وسلم -: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أَتَى الجُمعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْن الجُمُعَةِ وَزِيادَةُ ثَلاثَةِ أيَّامٍ، وَمَنْ مَسَّ الحَصَا فَقَدْ لَغَا. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya, kemudian dia menghadiri solat Jumaat, lalu dia mendengar dan diam (meneliti khutbah), akan diampunkan baginya antara Jumaat itu dan Jumaat yang satu lagi serta tambahan 3 hari. Dan sesiapa yang menyentuh anak batu (bermain-main dengannya), maka sesungguhnya ia telah lagha.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal:

وَيُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ وَدَوْرَانُ الْإِبْرِيقِ وَالْقِرَبِ لِسَقْيِ الْمَاءِ وَتَفْرِقَةُ الأَوْرَاقِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِمْ لأَنَّهُ يُلْهِي النَّاسَ عَنْ الذِّكْرِ وَاسْتِمَاعِ الْخُطْبَةِ اهـ

“Dan makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta, mengedarkan kendi (termasuk juga tabung derma) dan qirbah (bekas air minuman yang diperbuat daripada kulit kambing) untuk minuman air dan membahagikan kertas-kertas serta memberi sedekah kepada mereka kerana yang demikian boleh melalaikan jemaah daripada berzikir dan mendengar khutbah.”(Futuhat al-Wahhab).

Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi pula menyatakan:

...يُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ أَوْ غَيْرِهِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِ اهـ

“...makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta atau selainnya serta memberikan sedekah padanya.”(Hasyiah al-Qalyubi).

Fatwa Mufti Negeri Sembilan

Soalan:

Apakah hukumnya memungut derma ketika imam sedang membaca khutbah?

Jawapan:

Hukumnya makruh, qias kepada hukum berkata-kata pada masa imam membaca khutbah (Himpunan fatwa Dato’ Haji Abu Hasan bin Haji Sail, Mufti ke-2 Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan).

Hukum Berkata-kata Semasa Khutbah Jumaat.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَالْجَدِيْدُ أَنَّهُ لَا يَحْرُمُ عَلَيْهِمُ الْكَلَامُ وَيُسَنُّ الإِنْصَاتُ

“Menurut qaul jadid (fatwa Imam Syafi‘i setelah berada di Mesir), bahawa tidak haram ke atas mereka berkata-kata. Dan disunatkan diam (dan mendengar khutbah dengan teliti)...”

Syeikh al-Ramli berkata:

نَعَمْ يُكْرَهُ الْكَلَامُ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ إذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ فَقَدْ لَغَوْتَ
"Bahkan, makruh berkata-kata ketika itu (khutbah) berdasarkan hadis riwayat Muslim;
 
"Apabila engkau berkata kepada temanmu padahal imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat dengan perkataan, 'diam', maka telah sia-sialah engkau (meninggalkan adab)..."(Nihayah Muhtaj).

SOLUSI :

1) Kutipan derma dan tabung digerakkan sebelum khutbah.

2) kutipan derma dan tabung digerakkan sejurus selepas solat Jumaat.

3) Sediakan banyak tabung di laluan dan pintu-pintu utama masjid. Individu yang ingin menderma tidak perlu tunggu tabung datang kepadanya, bahkan dia yang akan pergi ke tabung untuk menderma.
اليسع
Wallahu a‘lam.






Khamis, 26 Januari 2017

PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA


PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA
Alyasak bin Berhan

Terdapat perbezaan antara kelembapan faraj (air basahan faraj) dan cecair keputihan sepertimana berikut;

1. Kelembapan atau basahan faraj (رطوبة الفرج) terhasil daripada cecair jernih iaitu, antara warna air mazi dan peluh. Dikatakan bahawa basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh yang datang dari had zahir faraj wanita. Bandingannya adalah seperti air liur yang terdapat di dalam mulut manusia. Maka ia menjadikan faraj wanita sentiasa lembap untuk membantu mengelakkan kulit faraj daripada kering dan melekat. Justeru, basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita ini dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.

Had zahir faraj adalah bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung.

2. Keputihan pula adalah cecair yang datang dari bahagian batin faraj yang keluar seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Menurut penelitian, ia menyerupai gam pekat yang berwarna putih dan kadang-kadang warnanya bercampur ke arah kekuningan atau sedikit hijau. Justeru, keputihan ini adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari bahagian dalaman rongga faraj iaitu, bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib.

Had batin faraj adalah bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian dalaman rongga faraj.

Kesimpulannya, cecair atau kelembapan faraj ada yang keluar dari zahir dan ada yang keluar dari batinnya. Oleh itu, hukumnya dibahagikan kepada 3 iaitu;

1) Suci - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung (had zahir). Ia adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.

2) Najis - cecair atau kelembapan yang keluar dari batin faraj iaitu, bahagian dalaman rongga faraj yang tidak boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia adalah najis dan membatalkan wuduk.

3) Khilaf - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, tempat yang boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia boleh membatalkan wuduk. 

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan berkaitan kesuciannya sepertimana berikut:

a) Menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, ia adalah suci. 

b) Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk, Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh al-Irsyad, al-Khatib al-Syirbini dan Syeikh al-Ramli, ia adalah najis kerana dikira sebagai cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian dalaman rongga faraj
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah I‘anah al-Talibin 
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
Izalah al-Iltibas
- al-Ibanah wa al-Ifadhah
Tuhfah al-A‘izza'  

Ahad, 15 Januari 2017

Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i

PANDUAN HUKUM: Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i
Alyasak bin Berhan

Definisi Fasiq

Fasiq adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau orang yang sering melakukan dosa-dosa kecil dan kebaikan tidak melebihi maksiatnya, atau kedua-duanya (dosa dan kebaikan) sama banyak, maka orang tersebut dihukumkan sebagai fasiq.

Definisi Adil

Adil menurut bahasa adalah menuntut istiqamah (konsisten) dan lurus.

Adapun menurut ‘uruf pula adalah; memiliki naluri yang boleh menegah seseorang daripada melakukan dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil yang dipandang hina seperti mencuri beberapa suap makanan dan mencuri sedikit buah. Juga menegah daripada perbuatan-perbuatan harus yang dipandang buruk (dari segi ‘uruf) seperti berjalan tanpa menutup kepala dan makan di pasar.

Syarat Wali

Disyaratkan wali nikah tidak fasiq kerana adil tidak disyaratkan pada wali nikah. Oleh kerana itulah, apabila seseorang kanak-kanak yang sudah baligh dan dia tidak melakukan dosa-dosa besar serta tidak melazimi dosa-dosa kecil, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta walaupun dia bukanlah seorang yang adil dan bukan juga seorang yang fasiq. Begitu juga seseorang wali yang kafir apabila memeluk Islam, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta.

Disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Syatiri ;

شُرُوْطُ وَلِيِّ النِّكَاحِ ثَمَانِيَةٌ: الاخْتِيَارُ, وَالْحُرِّيِّةُ, وَالذُّكُوْرَةُ, وَالتَّكْلِيْفُ, وَعَدَمُ الْفِسْقِ, وَعَدَمُ اخْتِلَالِ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ, وَعَدَمُ الْحَجْرِ بِالسَّفَهِ, وَعَدَمُ الإِحْرَامِ
Yang bermaksud, “Syarat-syarat wali nikah ada 8 perkara iaitu; pilihan sendiri (tidak dipaksa), merdeka, lelaki, mukallaf, tidak fasiq, tiada kecacatan fikiran sama ada dengan sebab terlalu tua atau rosak fikiran (sakit), tidak terhalang urusan hartanya kerana safih (سفيه) dan tidak berihram.”

Sehubungan itu, orang yang fasiq tidak sah mewalikan nikah mengikut pendapat yang muktamad di sisi Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini secara mutlak. Justeru, hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali ab‘ad.

Namun, apabila wali yang fasiq bertaubat ketika ingin mengakadkan nikah iaitu dengan meninggalkan dosa-dosa yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya dan akan memulangkan hak orang yang dizaliminya jika berkesempatan, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta. Oleh kerana itulah, wali yang fasiq perlu ditaubatkan ketika ingin melaksanakan akad nikah agar akad tersebut sah.

Walaubagaimanapun, menurut apa yang zahir daripada perkataan Syeikh Ibn Hajar, wali fasiq harus mewalikan nikah sekiranya hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali hakim yang melakukan perkara-perkara fasiq yang sejenis atau lebih daripada yang dilakukan oleh wali fasiq tersebut. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Ghazali, al-Nawawi  di dalam Kitab al-Raudhah, Ibn al-Solah, al-Azra‘ei, al-Subki dan merupakan pendapat yang dipilih oleh segolongan ulamak lain.
اليسع

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Zaitunah al-Ilqah
- Hasyiah al-Baijuri
- I‘anah al-Talibin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
- Al-Yaqut al-Nafis
- Bughyah al-Najah

- Al-Dalil al-Nassah
-          
Wallahu a‘lam.



Rabu, 21 Disember 2016

Buku “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”

Buku “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”

Alhamdulillah, telah terbit buku terbaru susunan al-faqir berjudul “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus dengan diberikan kata-kata aluan oleh Yb SS Dato' Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (salah seorang penyemak). Buku yang mengandungi 38 muka surat bercetak ini, disusun bertujuan menerangkan pembaca, cara-cara dan perkara-perkara yang dianjurkan kepada pasangan semasa menyambut kelahiran bayi berdasarkan panduan al-Quran, Sunnah Nabi sollallahu alaihi wa sallam, ulamak ‘amilin serta daripada amalan-amalan Salafus Soleh agar kegembiraan di saat menyambut bayi ini diwarnai dengan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Taala.

Buku ini memaparkan 12 perkara-perkara yang dianjurkan semasa semasa menyambut kelahiran bayi secara ringkas dan padat. Kemudian ia diakhiri dengan kesimpulan ringkas berkaitan perkara-perkara tersebut. Justeru, buku ini amat sesuai ditatap dan dimiliki oleh pasangan-pasangan yang bakal menimang cahaya mata. Malah, ia sesuai juga dijadikan sebagai hadiah dan cenderahati berbentuk ilmiah kepada pasangan-pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.

Mudah-mudahan sedikit maklumat yang dikongsikan di dalam buku ini mampu meraih keredhaan Allah Taala dan dapat memberi manfaat kepada semua umat Islam dalam usaha membina generasi yang unggul.

Buku ini boleh diperolehi dengan harga RM 6 senaskah di alamat berikut:

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan,
Tingkat 1 (kedai buku JMKNNS),
Bangunan SUK Lama, Jalan Dato' Hamzah,
70990 Seremban,
Negeri Sembilan.
Tel : 06-7652416

Fax : 06-7652427

Jumaat, 25 November 2016

HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I

PANDUAN HUKUM: HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I
Alyasak bin Berhan

Secara umumnya, haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dengan niat sebagai al-Quran walaupun dibaca separuh ayat atau satu ayat, atau satu huruf sekalipun. Sama ada dibaca secara perlahan (sir) atau secara nyaring (jahr).

Diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma, daripada Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

" لَا تَقْرَأِ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْءَانِ"

"Janganlah orang yang haid dan berjunub itu membaca sesuatu daripada al-Quran."(Riwayat al-Tirmizi no.131, Ibn Majah no.595, al-Daraqutni no.419 dan al-Baihaqi).

Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini telah didhaifkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Baihaqi. Namun, ia mempunyai riwayat sokongan (mutaba‘ah) yang boleh menampung dan mengangkat kedhaifannya. Bahkan al-Munziri telah menilainya sebagai hasan. Malah, ianya telah dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi sollallahu alaihi wa sallam seperti Saidina Umar, Ali, Jabir radhiallahu 'anhum dan para tabi‘in serta mereka yang selepasnya seperti al-Hasan al-Basri, Qatadah, 'Ata', Abu al-'Aliyyah, al-Nakha‘ei, Said bin Jubair, al-Zuhri, Ishaq, Abu Thur, Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak, serta satu riwayat daripada Malik, Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal. Justeru, mereka berpegang bahawa haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dan inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dalam mazhab al-Syafi‘i. 

Keharaman ini juga diqiaskan dengan hukum orang yang berjunub membaca al-Quran. Sehubungan itu, perbuatan Aisyah radhiallahu anha membaca al-Quran semasa haid tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara ini jika ditakdirkan ianya sahih sekalipun, kerana para sahabat selainnya telah menyelisihinya tentang hal ini. Oleh itu, apabila berlaku perselisihan dalam kalangan sahabat, maka hendaklah kita rujuk kepada qias (anologi).

SYARAT-SYARAT BACAAN MENJADI HARAM

Terdapat 6 syarat yang perlu dipenuhi sebelum bacaan al-Quran bagi wanita haid dan nifas dihukumkan sebagai haram iaitu:

  1. Pembaca adalah seorang yang mukallaf. Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  2. Ayat yang dibaca adalah terdiri daripada ayat al-Quran. Oleh itu, Taurat, Injil dan ayat-ayat yang telah dimansuhkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  3. Bacaan tersebut adalah pada bacaan sunat. Adapun pada bacaan yang wajib seperti bacaan Surah al-Fatihah ketika solat bagi seseorang yang ketiadaan air dan tanah untuk bersuci tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  4. Bacaan tersebut dilafazkan. Oleh itu, seseorang yang hanya sekadar membacanya di dalam hati tanpa dilafazkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  5. Bacaan tersebut didengari oleh diri sendiri. Oleh itu, seseorang yang membaca dalam keadaan tidak didengari oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang normal tanpa apa-apa halangan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  6. Niat semata-mata sebagai bacaan al-Quran atau meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir atau meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya.


Sehubungan itu, diharamkan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran dalam 3 keadaan iaitu;

  1. Apabila dia hanya meniatkan sebagai bacaan al-Quran
  2. Apabila dia meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir
  3. Apabila dia meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya menurut pendapat yang muktamad

Walaubagaimanapun, terdapat 2 keadaan yang diharuskan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran selagimana tidak meniatkannya beserta bacaan al-Quran iaitu;

  1. Apabila membaca ayat al-Quran tanpa meniatkan apa-apa (mutlak)
  2. Dengan niat sebagai zikir, peringatan, cerita, perlindungan, pendinding, perubatan atau doa.

Bagaimanapun, menurut Syeikh al-Ramli, Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Khatib al-Syirbini, keharusan ini adalah meliputi doa-doa atau zikir-zikir daripada ayat al-Quran yang mempunyai aturan daripada al-Quran (ayat-ayat al-Quran yang sememangnya diamalkan sebagai doa atau zikir pada waktu-waktu tertentu) mahupun yang tidak mempunyai aturan daripada al-Quran.

HUKUM WANITA HAID MENGAJAR AL-QURAN

Jika tujuan wanita haid itu membaca al-Quran bukan dengan niat sebagai bacaan al-Quran. Tetapi tujuannya adalah sekadar untuk mengajar atau membetulkan bacaan yang salah, maka dalam keadaan seperti ini ia diharuskan.

Disebutkan oleh al-Sayyid Abdurrahman Ba ’Alawi:

“Dan haram membaca al-Quran bagi seumpama orang junub dengan niat sebagai bacaan (al-Quran) walaupun disertai dengan niat lainnya. Tidak haram dengan secara mutlak (tiada niat apa-apa) menurut pendapat yang rajih (kuat). Dan juga tidak haram dengan niat selain bacaan (al-Quran) seumpama niat membetulkan bacaan yang tersalah, pembelajaran (ta‘lim), mendapat keberkatan (tabarruk) dan doa…”.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
Hasyiah Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj 
- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Hasyiah al-Bujairimi 
- Hasyiah al-Syarqawi
Sabil al-Muhtadin 
- Bughyah al-Tullab 
- Hasyiah al-Baijuri 
- Nihayah al-Zain 
- Busyra al-Karim 
- Fath al-‘Allam 
Bughyah al-Mustarsyidin
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Isnin, 7 November 2016

Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca “بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ” dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.


PANDUAN HUKUM : Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.
Alyasak Berhan

Hukum Membaca Takbir Semasa Khatam al-Quran.

Hukum bertakbir semasa mengkhatamkan al-Quran adalah sunat. Ianya adalah merupakan bacaan ahli Mekah yang terdiri daripada para fuqaha’ (ulamak feqah), para qurra’ (ulamak qiraat- khususnya yang mengikut qiraat Ibn Kathir) dan para muhaddithinnya (ulamak hadis). Bahkan, sebahagian ulamak qiraat seperti Abu al-Hasan al-Khabbazi, Abu al-Fadhl al-Razi, al-Huzali dan Abu al-‘Ala’ berpegang bahawa takbir ini dianjurkan juga oleh kesemua imam-imam qiraat termasuk riwayat Hafs (melalui tariq Tayyibah) dan inilah yang diamalkan.

Imam Ibn al-Jazari berkata:
وَوُرِيَ               عَنْ كُلِّهِمْ أَوَّلَ كُلٍّ يَسْتَوِيْ
“Dan diriwayatkan juga (takbir di antara surah) daripada mereka semua (qurra’) pada semua awal surah sama sahaja.”

Permulaan Takbir dan Pengakhirannya.

Menurut sebahagian ulamak, takbir bermula pada akhir Surah al-Dhuha dan berakhir pada akhir Surah al-Nas sepertimana yang dipegang oleh al-Dani di dalam kitab al-Taisir, Ibn Ghalbun di dalam kitab al-Tazkirah, al-Huzali di dalam kitab al-Kamil, Abu al-Karam al-Syahrazuri di dalam kitab al-Misbah, Ibn Khalf di dalam kitab al-‘Unwan dan lain-lain. Inilah pendapat yang rajih dan selalu diamalkan. Pendapat ini juga adalah pegangan majoriti ulamak al-Magharibah yang berpegang bahawa sesungguhnya takbir tersebut berada di akhir setiap surah.

Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ Selepas Selesai Membaca Akhir Surah Al-Tin dan Melakukan sujud tilawah selepas selesai membaca akhir Surah al-‘Alaq.

Antara perkara yang dianjurkan ketika pembaca selesai membaca akhir Surah al-Tin adalah membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ yang bermaksud: “Bahkan aku dalam kalangan orang-orang yang menyaksikan perkara tersebut”, sama ada di dalam solat ataupun di luar solatnya. Selain itu, dianjurkan juga melakukan sujud tilawah sama ada di luar solat mahupun di dalam solat ketika pembaca selesai membaca akhir Surah al-‘Alaq.

Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.

Justeru, bagi seseorang yang ingin melakukan sujud tilawah dan berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa takbir tersebut berada di akhir setiap surah sepertimana yang diamalkan, maka hendaklah dia bertakbir di akhir Surah al-‘Alaq sebelum bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tilawah tersebut. Kemudian apabila dia hendak menyambung bacaannya semula selepas daripada itu (membaca Surah al-Qadr), maka hendaklah dimulai dengan Basmalah tanpa diiringi dengan takbir.

Hal ini adalah sama sebagaimana seseorang yang ingin membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ setelah selesai membaca akhir Surah al-Tin dan berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa takbir tersebut berada di akhir setiap surah sepertimana yang diamalkan, maka hendaklah dia bertakbir di akhir Surah al-Tin sebelum membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ.

Inilah tertib bacaan yang telah dinukilkan dalam beberapa buah kitab rujukan kami. Mudah-mudahan menjadi petunjuk kepada mereka yang ingin melaksanakan majlis khatam al-Quran. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku “Khatam al-Quran dan Permasalahan yang berkaitan dengannya”.http://tolibilmi.blogspot.my/2015/11/buku-khatam-al-quran-dan-permasalahan.html
اليسع
Wallahu a’lam.