Jumaat, 25 November 2016

HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I

PANDUAN HUKUM: HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I
Alyasak bin Berhan

Secara umumnya, haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dengan niat sebagai al-Quran walaupun dibaca separuh ayat atau satu ayat, atau satu huruf sekalipun. Sama ada dibaca secara perlahan (sir) atau secara nyaring (jahr).

Diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma, daripada Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

" لَا تَقْرَأِ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْءَانِ"

"Janganlah orang yang haid dan berjunub itu membaca sesuatu daripada al-Quran."(Riwayat al-Tirmizi no.131, Ibn Majah no.595, al-Daraqutni no.419 dan al-Baihaqi).

Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini telah didhaifkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Baihaqi. Namun, ia mempunyai riwayat sokongan (mutaba‘ah) yang boleh menampung dan mengangkat kedhaifannya. Bahkan al-Munziri telah menilainya sebagai hasan. Malah, ianya telah dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi sollallahu alaihi wa sallam seperti Saidina Umar, Ali, Jabir radhiallahu 'anhum dan para tabi‘in serta mereka yang selepasnya seperti al-Hasan al-Basri, Qatadah, 'Ata', Abu al-'Aliyyah, al-Nakha‘ei, Said bin Jubair, al-Zuhri, Ishaq, Abu Thur, Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak, serta satu riwayat daripada Malik, Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal. Justeru, mereka berpegang bahawa haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dan inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dalam mazhab al-Syafi‘i. 

Keharaman ini juga diqiaskan dengan hukum orang yang berjunub membaca al-Quran. Sehubungan itu, perbuatan Aisyah radhiallahu anha membaca al-Quran semasa haid tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara ini jika ditakdirkan ianya sahih sekalipun, kerana para sahabat selainnya telah menyelisihinya tentang hal ini. Oleh itu, apabila berlaku perselisihan dalam kalangan sahabat, maka hendaklah kita rujuk kepada qias (anologi).

SYARAT-SYARAT BACAAN MENJADI HARAM

Terdapat 6 syarat yang perlu dipenuhi sebelum bacaan al-Quran bagi wanita haid dan nifas dihukumkan sebagai haram iaitu:

  1. Pembaca adalah seorang yang mukallaf. Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  2. Ayat yang dibaca adalah terdiri daripada ayat al-Quran. Oleh itu, Taurat, Injil dan ayat-ayat yang telah dimansuhkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  3. Bacaan tersebut adalah pada bacaan sunat. Adapun pada bacaan yang wajib seperti bacaan Surah al-Fatihah ketika solat bagi seseorang yang ketiadaan air dan tanah untuk bersuci tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  4. Bacaan tersebut dilafazkan. Oleh itu, seseorang yang hanya sekadar membacanya di dalam hati tanpa dilafazkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  5. Bacaan tersebut didengari oleh diri sendiri. Oleh itu, seseorang yang membaca dalam keadaan tidak didengari oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang normal tanpa apa-apa halangan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  6. Niat semata-mata sebagai bacaan al-Quran atau meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir atau meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya.


Sehubungan itu, diharamkan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran dalam 3 keadaan iaitu;

  1. Apabila dia hanya meniatkan sebagai bacaan al-Quran
  2. Apabila dia meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir
  3. Apabila dia meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya menurut pendapat yang muktamad

Walaubagaimanapun, terdapat 2 keadaan yang diharuskan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran selagimana tidak meniatkannya beserta bacaan al-Quran iaitu;

  1. Apabila membaca ayat al-Quran tanpa meniatkan apa-apa (mutlak)
  2. Dengan niat sebagai zikir, peringatan, cerita, perlindungan, pendinding, perubatan atau doa.

Bagaimanapun, menurut Syeikh al-Ramli, Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Khatib al-Syirbini, keharusan ini adalah meliputi doa-doa atau zikir-zikir daripada ayat al-Quran yang mempunyai aturan daripada al-Quran (ayat-ayat al-Quran yang sememangnya diamalkan sebagai doa atau zikir pada waktu-waktu tertentu) mahupun yang tidak mempunyai aturan daripada al-Quran.

HUKUM WANITA HAID MENGAJAR AL-QURAN

Jika tujuan wanita haid itu membaca al-Quran bukan dengan niat sebagai bacaan al-Quran. Tetapi tujuannya adalah sekadar untuk mengajar atau membetulkan bacaan yang salah, maka dalam keadaan seperti ini ia diharuskan.

Disebutkan oleh al-Sayyid Abdurrahman Ba ’Alawi:

“Dan haram membaca al-Quran bagi seumpama orang junub dengan niat sebagai bacaan (al-Quran) walaupun disertai dengan niat lainnya. Tidak haram dengan secara mutlak (tiada niat apa-apa) menurut pendapat yang rajih (kuat). Dan juga tidak haram dengan niat selain bacaan (al-Quran) seumpama niat membetulkan bacaan yang tersalah, pembelajaran (ta‘lim), mendapat keberkatan (tabarruk) dan doa…”.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
Hasyiah Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj 
- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Hasyiah al-Bujairimi 
- Hasyiah al-Syarqawi
Sabil al-Muhtadin 
- Bughyah al-Tullab 
- Hasyiah al-Baijuri 
- Nihayah al-Zain 
- Busyra al-Karim 
- Fath al-‘Allam 
Bughyah al-Mustarsyidin
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan