PANDUAN HUKUM: Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i
Alyasak bin Berhan
Definisi Fasiq
Fasiq adalah orang yang melakukan
dosa-dosa besar atau orang yang sering melakukan dosa-dosa kecil dan kebaikan
tidak melebihi maksiatnya, atau kedua-duanya (dosa dan kebaikan) sama
banyak, maka orang tersebut dihukumkan sebagai fasiq.
Definisi Adil
Adil menurut bahasa adalah
menuntut istiqamah (konsisten) dan lurus.
Adapun menurut ‘uruf pula adalah;
memiliki naluri yang boleh menegah seseorang daripada melakukan dosa-dosa
besar, dosa-dosa kecil yang dipandang hina seperti mencuri beberapa suap
makanan dan mencuri sedikit buah. Juga menegah daripada perbuatan-perbuatan
harus yang dipandang buruk (dari segi ‘uruf) seperti berjalan tanpa menutup
kepala dan makan di pasar.
Syarat Wali
Disyaratkan wali nikah tidak
fasiq kerana adil tidak disyaratkan pada wali nikah. Oleh kerana itulah,
apabila seseorang kanak-kanak yang sudah baligh dan dia tidak melakukan
dosa-dosa besar serta tidak melazimi dosa-dosa kecil, maka ketika itu dia layak
menjadi wali serta-merta walaupun dia bukanlah seorang yang adil dan bukan juga
seorang yang fasiq. Begitu juga seseorang wali yang kafir apabila memeluk
Islam, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta.
Disebutkan oleh Syeikh Ahmad
al-Syatiri ;
شُرُوْطُ وَلِيِّ النِّكَاحِ ثَمَانِيَةٌ: الاخْتِيَارُ,
وَالْحُرِّيِّةُ, وَالذُّكُوْرَةُ, وَالتَّكْلِيْفُ, وَعَدَمُ الْفِسْقِ, وَعَدَمُ
اخْتِلَالِ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ, وَعَدَمُ الْحَجْرِ بِالسَّفَهِ,
وَعَدَمُ الإِحْرَامِ
Yang bermaksud, “Syarat-syarat wali nikah ada 8 perkara iaitu; pilihan sendiri (tidak dipaksa), merdeka, lelaki, mukallaf, tidak fasiq, tiada kecacatan fikiran sama ada dengan sebab terlalu tua atau rosak fikiran (sakit), tidak terhalang urusan hartanya kerana safih (سفيه) dan tidak berihram.”
Sehubungan itu, orang yang fasiq
tidak sah mewalikan nikah mengikut pendapat yang muktamad di sisi Syeikh
al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini secara mutlak. Justeru, hak perwalian
tersebut akan berpindah kepada wali ab‘ad.
Namun, apabila wali yang fasiq
bertaubat ketika ingin mengakadkan nikah iaitu dengan meninggalkan dosa-dosa
yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya dan akan memulangkan hak
orang yang dizaliminya jika berkesempatan, maka ketika itu dia layak menjadi
wali serta-merta. Oleh kerana itulah, wali yang fasiq perlu ditaubatkan ketika
ingin melaksanakan akad nikah agar akad tersebut sah.
Walaubagaimanapun, menurut apa
yang zahir daripada perkataan Syeikh Ibn Hajar, wali fasiq harus mewalikan
nikah sekiranya hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali hakim yang
melakukan perkara-perkara fasiq yang sejenis atau lebih daripada yang dilakukan
oleh wali fasiq tersebut. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Ghazali,
al-Nawawi di dalam Kitab al-Raudhah, Ibn
al-Solah, al-Azra‘ei, al-Subki dan merupakan pendapat yang dipilih oleh
segolongan ulamak lain.
اليسع
Rujukan:
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Zaitunah al-Ilqah
- Hasyiah al-Baijuri
- I‘anah al-Talibin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
- Al-Yaqut al-Nafis
- Bughyah al-Najah
-
Al-Dalil al-Nassah
-
Wallahu a‘lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan