Jumaat, 29 Disember 2017

10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR SURAH AL-KAHFI BENTENG DAJJAL

AMALKAN 10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR DARIPADA SURAH AL-KAHFI SEBAGAI BENTENG DARIPADA FITNAH DAJJAL.
Alyasak Berhan

1) Hafaz 10 ayat awal Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa menghafaz sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada (fitnah) dajjal.”(Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam‘an radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sollallahualaihi wa sallam bersabda :

فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ 
“Barangsiapa di antara kamu mendapati zamannya (dajjal), maka bacakan ke atasnya pendahuluan (awal) Surah al-Kahfi.”(Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

2) Baca 10 ayat akhir Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada akhir Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada fitnah dajjal.”(Riwayat Ibn Hibban dan Ahmad).

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu anhu, dia berkata, Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

وَمَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِهَا،ثُمَّ خَرَجَ الدَّجَّالُ لَمْ يُسَلِّطْ عَلَيْهِ 
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat daripada akhirnya (Surah al-Kahfi), kemudian dajjal keluar, nescaya ia (dajjal) tidak akan dapat menguasainya (pembaca).”(Riwayat al-Hakim, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra. Ia dinilai sahih oleh Imam al-Hakim atas syarat Imam Muslim dan dipersetujui oleh Imam al-Zahabi).

Imam al-Nawawi berkata : 
"Dikatakan sebab yang demikian itu adalah kerana di awal surahnya terkandung perkara-perkara yang menakjubkan dan tanda-tanda kekuasaan Allah Taala. Justeru, sesiapa yang mentadabburkannya, nescaya dia tidak akan terkena fitnah dajjal. Begitu juga yang terdapat pada 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ; 
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ

“Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil (hamba-hamba Ku menjadi penolong selain Aku)”(Surah al-Kahfi : 102)."

Mudah-mudahan kita terpelihara daripada fitnah dajjal tersebut.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-dajjal”.(Riwayat Muslim).

PERINGATAN:

a) Menurut pengiraan ulama Hijazi (Madani Awwal, Madani Akhir dan Makki), sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِلْكَافِرِينَ عَرْضًا
(Surah al-Kahfi ayat 100).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai satu ayat yang sama, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

b) Menurut pengiraan ulama Syami (Dimasyqi dan Himsi) dan Iraqi (Basri dan Kufi) pula, sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَنْ ذِكْرِي وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 101).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai dua ayat yang berlainan, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
(Surah al-Kahfi ayat 103).

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 104).

Hal ini disebutkan oleh Imam Abu al-Qasim al-Syatibi dalam nazamnya :

وَلِلصَّدْرِ أَعْمَالًا فَدَعْهُ لَدَى الْخَسْرِ
“Dan bagi ulama Hijazi (صدر) padaأَعْمَالًاyang di sisinya adaبِالْأَخْسَرِينَ(Surah al-Kahfi ayat 103), maka mereka tidak mengiranya satu ayat.”

Syeikh Muhammad al-Mutawalli juga berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا العِرَاقِ مَعْ شَامِيِّ
“Pada أَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Iraqi serta Syami mengiranya satu ayat.”

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا الشَّامِي مَعَ الْعِرَاقِ عَدْ
“Padaأَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Syami serta Iraqi mengiranya satu ayat.”

Justeru, saya berpandangan bahawa adalah lebih cermat pendapat yang pertama (Hijazi) di atas diamalkan demi untuk meraikan perbezaan kiraan 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ini. Sekaligus, kedua-dua perbezaan ini dapat dirangkumkan.  
اليسع
Wallahu a'lam.

Jom kita amalkan...


Isnin, 30 Oktober 2017

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i, jumlah penyusuan yang memenuhi syarat seseorang bayi boleh dihukumkan sebagai anak susuan kepada wanita yang menyusukannya adalah sebanyak 5 kali penyusuan yang berasingan. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna Aisyah Radhiallahu anha, katanya:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْءَانِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ. ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْءَانِ
“Ayat al-Quran yang turun adalah 10 kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian dimansuhkan dengan 5 kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam wafat, ayat yang dimansuhkan ini masih dibaca sebagai sebahagian daripada ayat al-Quran.”(Riwayat Muslim).

Namun, sering terdengar daripada mulut beberapa tokoh-tokoh agamawan negara tatkala mereka menyebut tentang penyusuan yang mensabitkan mahram; “nak jadi anak susuan, mestilah bayi tersebut menyusu sebanyak 5 kali kenyang.” Malah, lebih membingungkan ada antara pihak-pihak berautoriti dalam bidang fatwa pun senada dengan ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini.

Timbul persoalan, benarkah ‘kenyang’ menjadi prasyarat seseorang bayi itu boleh disabitkan sebagai anak susuan???

Sehingga kini, kami masih tercari-cari rujukan muktabar Mazhab Syafi‘i yang menjadikan ‘kenyang’ sebagai salah satu syarat dalam setiap penyusuan tersebut.

Jika dirujuk kalam beberapa tokoh ulama Mazhab Syafi‘i seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, beliau berkata :

"Penanda aras 5 kali susuan itu adalah berdasarkan uruf (adat), SEKALIPUN TIDAK KENYANG..."

Syeikh Ibrahim al-Baijuri (Syeikh al-Azhar ke-19) berkata : 

"…diambilkira iaitu, sekalipun tempoh penyusuan tersebut terlalu lama atau terlalu singkat, sekalipun dalam setiap penyusuan tersebut tidak terhasil melainkan setitik. Maka TIDAK disyaratkan keadaannya mengenyangkan."

Disebutkan oleh Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz al-‘Alawi (ayahanda Habib Omar):

"Ukuran 5 kali susuan (yang berasingan) tersebut adalah berdasarkan uruf SEKALIPUN TIDAK MENGENYANGKAN."

Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata :

“…maka kaifiatnya dirujukkan kepada uruf, dengan seumpama keadaannya satu susuan yang sempurna WALAUPUN SUSUAN TERSEBUT TIDAK MENGEYANGKAN…” 

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf pula menyatakan :

TIDAK DISYARATKAN KENYANG DI SINI (bab penyusuan). Justeru, yang diambilkira adalah susu tersebut sampai ke dalam rongga bayi walaupun 5 titik yang berasingan.”

Berdasarkan beberapa kenyataan di atas, nyata dan terang disebut bahawa ‘kenyang’ bukanlah prasyarat dalam setiap 5 susuan tersebut. Bahkan, seandainya susu yang diminum oleh bayi berkenaan hanya sekadar setitik bagi setiap penyusuan tersebut sekalipun. Ia sudah cukup untuk menjadikan bayi itu sebagai anak susuan wanita yang menyusukannya.

Justeru, kami mempersilakan tok-tok guru dan asatizah yang pernah terjumpa ibarat kitab-kitab muktabar yang menyokong ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini, mohon jasabaik tuan-tuan untuk memaklumkan kami supaya tulisan ringkas ini dapat diperbetulkan dan ditambahbaik. Namun, jika sebaliknya maka diharapkan agar tulisan ini dapat dipanjang-panjangkan. Mudah-mudahan kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini dapat diperbetulkan. Sekian.
اليسع

Wallahu a‘lam.

Isnin, 11 September 2017

HUKUM MEMBURU DENGAN SENJATAPI

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMBURU DENGAN SENJATAPI
Alyasak Berhan

Hukum Memburu Menggunakan Senjatapi

Menurut ulama Mazhab Syafi'i, menembak binatang dengan menggunakan senjatapi hukumnya adalah haram kerana ia boleh menyebabkan kebinasaan terhadap binatang tersebut. Malah ia dikira sebagai perbuatan membunuh binatang secara sia-sia, walhal hukumnya adalah haram. 

Selain itu, peluru senjatapi juga tidak termasuk dalam kategori senjata tajam yang harus digunakan untuk menyembelih dan memburu. 

Disebutkan dalam Fath al-Muin;

فيحرم ما مات بثقل ما أصابه من محدد أو غيره كبندقة وإن أنهر الدم وأبان الرأس

"Maka haram apa yang mati dengan sebab berat apa yang menimpanya, daripada benda tajam atau selainnya seperti peluru sekalipun ia boleh mengalirkan darah dan memutuskan kepala..."
ويحرم قطعا رمي الصيد بالبندق المعتاد الآن - وهو ما يصنع بالحديد ويرمى بالنار - لانه محرق مذفف سريعا غالبا
قال شيخنا: نعم، إن علم حاذق أنه إنما يصيب نحو جناح كبير: فيشقه فقط، احتمل الجواز

"Haram secara pasti menembak binatang buruan dengan peluru yang biasa sekarang ini. Ianya adalah apa yang diperbuat daripada besi dan dilontarkan dengan api (senjatapi) kerana ia membakar lagi mengeluarkan nyawa dengan cepat pada ghalibnya. Kata syeikh kami, bahkan jika seorang yang cekap mengetahui bahawa ia hanya mengenai umpama kepak yang besar (hanya mencederakan), maka ia mengoyakkannya sahaja, ditanggungkan harusnya."
Walau bagaimanapun, jika penembak tersebut seorang yang mahir dan mengetahui bahawa tembakannya itu hanya mencederakan binatang tersebut sehingga ia dapat disembelih dalam keadaan masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap), maka hukumnya adalah harus.

Justeru, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi jika binatang tersebut masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap) selepas ia ditembak dan sempat disembelih. Misalnya seperti binatang itu besar dan tidak segera mati selepas ia ditembak atau ia ditembak di bahagian yang hanya mencederakan dan tidak terus mematikannya.



Status Binatang yang Ditembak

Jika binatang yang ditembak didapati masih mempunyai hayat mustaqirrah kemudian ia disembelih mengikut syarak, maka binatang buruan tersebut halal dimakan.

Sebaliknya, jika didapati binatang tersebut tidak mempunyai hayat mustaqirrah lagi, maka ia tidak halal dimakan. Hal ini kerana, binatang yang ditembak peluru senapang dan mati disebabkan tembakan peluru itu, ia dikira sebagai bangkai dan tidak halal dimakan.

Menurut Syeikh al-Azhar ke-19, Syeikh Ibrahim al-Baijuri, binatang buruan yang ditembak dengan senapang semata-mata, tidak halal dimakan, kerana binatang itu mati dengan sebab dihempap oleh peluru itu. Walhal peluru berkenaan bukan alat yang tajam seperti mata pisau dan binatang buruan itu mati dengan sebab peluru itu adalah bangkai yang dinamakan bangkai mauquzah (yang mati dipukul atau dihempap).

Manakala menurut pendapat ulama Mazhab Maliki pula, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi dan binatang buruan tersebut halal dimakan dengan syarat penembak bertasmiah (menyebut nama Allah) ketika menembaknya. Namun, jika penembak meninggalkan tasmiah (menyebut nama Allah) kerana terlupa, nescaya ia halal dimakan sepertimana yang telah difatwakan oleh Syeikh Husain bin Ibrahim al-Maliki al-Azhari, Mufti Mazhab Maliki di Mekah pada zamannya (salah seorang murid Syeikh Ibrahim al-Baijuri).

Berdasarkan kenyataan di atas, adalah disarankan agar pemburu-pemburu bertaklid kepada pendapat Mazhab Maliki ini semasa memburu menggunakan senjatapi. Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian dan pengetahuan kami, kebiasaannya binatang yang diburu menggunakan senjatapi seperti senapang patah, seringkali didapati tidak mempunyai hayat mustaqirrah setelah ia ditembak. Bahkan, hakikat ini seringkali juga sukar dielak lebih-lebih lagi jika peluru yang digunakan mempunyai kuasa tembakan yang kuat, jarak tembakan yang hampir atau binatang tersebut terdiri daripada binatang-binatang kecil seperti burung, ayam, kancil dan pelanduk. Justeru, dalam keadaan dan situasi tersebut, kami berpendapat bahawa pendapat Mazhab Maliki ini lebih sesuai untuk ditaklid dan diamalkan. 
اليسع
Wallahu a'lam.

Rujukan:

- Hasyiah al-Baijuri 
- Hasyiah I'anah al-Talibin 
- Tarsyih al-Mustafidin 
- Fatwa Dato' Said Alwe bin Tahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Negeri Johor
- Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei siri 30/1987 

Jumaat, 1 September 2017

Hukum Pindah Daging Korban

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMINDAHKAN DAGING KORBAN
Alyasak Berhan


Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu adalah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan di negeri tersebut.

Berikut adalah perincian berkaitannya menurut pandangan ulama Mazhab Syafi'i.

1. Orang yang berkorban/Wakil

1.1 Korban Wajib 

Haram bagi orang yang berkorban wajib, memindahkan kesemua daging korbannya ke tempat lain sepertimana hukum memindahkan zakat. Justeru, daging tersebut wajiblah diagihkan kepada fakir miskin di mana korban tersebut dilaksanakan (jika ada).

1.2 Korban Sunat

Hanya haram memindahkan daging ke tempat lain sekadar yang wajib disedekahkan kepada fakir/miskin (sedikit sahaja) dan bukan kesemuanya. Adapun, selebihnya harus dipindahkan ke tempat lain.

2. Penerima Daging Korban

2.1 Fakir/Miskin

Harus bagi mereka memindahkan daging korban yang diterima kerana pemberian berkenaan merupakan sedekah kepada mereka dan ia memberi faedah pemilikan (tamlik). Maka haruslah bagi mereka menguruskan pemberian sedekah tersebut mengikut cara yang sewajarnya.

2.2 Orang Kaya

Harus bagi mereka memindahkan daging korban yang diterima walaupun pemberian berkenaan atas dasar hadiah kepada mereka. Tambahan lagi, mereka hanya layak untuk menerima daging korban sunat sahaja, iaitu lebihan daripada kadar yang wajib disedekahkan kepada fakir/miskin. 

HUKUM MENGIRIM WANG UNTUK BERKORBAN DI TEMPAT LAIN

Memindahkan wang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban serta disembelih dan dibahagi-bahagikan di negeri tersebut hukumnya adalah harus

Al-Sayyid al-Bakri berkata,

“Adapun memindahkan wang dirham dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.”
Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya: 

“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (nusantara) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekah untuk dijadikan akikah dan korban sedangkan orang yang hendak berakikah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami?"
Lalu dijawabnya: 
"Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan akikah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan berakikah itu...”
اليسع
Wallahu a'lam.

Rujukan:

Nihayah al-Muhtaj
Mughni al-Muhtaj
Al-Manhaj al-Qawim
Hasyiah al-Syabramallisi
Hasyiah al-Jamal
Fatawa al-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi
Sabil al-Muhtadin 
Hasyiah I'anah al-Talibin
Hasyiah al-Tarmasi
Hasyiah al-Syarwani

Rabu, 30 Ogos 2017

ANJURAN DOA PADA HARI ARAFAH


ANJURAN DOA PADA HARI ARAFAH

Terdapat dua perkara yang perlu diketahui berkaitan doa pada hari Arafah sebagaimana berikut;

1. Tempat iaitu Padang Arafah. Ia merupakan salah satu daripada 15 tempat yang mustajab doa sepertimana yang disebut oleh Imam al-Hasan al-Basri.

Justeru, kelebihan tempat mustajab doa ini hanya diperolehi oleh orang yang hadir di Arafah khususnya pada hari Wuquf (9 Zulhijjah).

2. Waktu iaitu hari Arafah (9 Zulhijjah) setiap tahun.

Diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah radhiallahu ‘anha, bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو، ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمِ الْمَلَائِكَةَ، فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ؟

“Tiada daripada hari yang lebih banyak Allah Taala membebaskan seseorang hamba daripada neraka selain hari Arafah. Dia akan mendekati mereka (dengan rahmatNya), lalu Allah berbangga dengan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?”(Riwayat Muslim).

Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya, sesungguhnya Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat al-Tirmidzi. Kata beliau: hadis hasan gharib).

Menurut Imam al-Ghazali, hari Arafah merupakan salah satu daripada waktu-waktu mulia yang dianjurkan untuk memperbanyakkan doa. Bahkan, menurut Imam Ibn Allan, sesungguhnya doa hari Arafah lebih diharapkan penerimaannya sama ada bagi jemaah haji atau selainnya.

Imam al-Murtadha al-Zabidi pula mengatakan bahawa kemuliaan ini boleh diperolehi oleh setiap muslim sama ada bagi mereka yang berada di Padang Arafah mahupun bukan.

Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk memperbanyakkan doa dan munajat ke hadrat Allah Taala di sepanjang hari Arafah ini. Hal ini kerana, sepanjang pengetahuan kami, belum pernah lagi kami ketahui atau temui bahawa adanya batasan waktu mustajab doa yang khusus pada hari Arafah ini khususnya bagi mereka yang tidak mengerjakan haji di Mekah.

Mudah-mudahan Allah Taala mempermudahkan kita untuk menyibukkan diri dengan memperbanyakkan doa pada hari Arafah ini. Sekurang-kurangnya peruntukkanlah sedikit waktu antara selepas solat Asar dan Maghrib hari tersebut untuk bermunajat kepada Allah Taala. 

Berkata 'Ata' bin Abi Muslim al-Khurasani (seorang tabi'in),


"Jika engkau mampu bersendirian pada petang hari Arafah, maka lakukanlah."


Petang yang dimaksudkan adalah antara selepas solat Asar dan Maghrib.
اليسع

Wallahu a‘lam.

Isnin, 7 Ogos 2017

HUKUM MENGULANGI SOLAT JENAZAH BAGI YANG TELAH MELAKSANAKANNYA & KEDUDUKAN KEPALA JENAZAH LELAKI

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGULANGI SOLAT JENAZAH BAGI YANG TELAH MELAKSANAKANNYA & KEDUDUKAN KEPALA JENAZAH LELAKI
Alyasak Berhan

Hukum Mengulangi Solat Jenazah Bagi Yang Telah Melaksanakannya

Terdapat sekurang-kurangnya 4 pendapat tentang hukum mengulangi solat jenazah bagi seseorang yang telah melaksanakannya kali pertama iaitu;

1. Harus mengulanginya secara berjemaah sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Syabramallisi.

2. Sunat sepertimana solat lainnya (qil).

3. Makruh.

4. Khilaful Awla kerana tiada tuntutan syarak untuk mengulanginya. Inilah pendapat yang lebih sahih (asoh) sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan inilah pandangan yang dipegang oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari.

Justeru, menurut pendapat ini, tidak sunat mengulangi solat jenazah bagi seseorang yang telah melaksanakannya kali pertama sama ada secara bersendirian mahupun secara berjemaah. Namun, sekiranya ia diulang, maka solat jenazah tersebut sah sebagai solat sunat.

Sungguhpun begitu, wajib juga diniatkan fardhu (fardhiyyah) ketika mengulanginya di sisi Syeikh Said Ba ‘Asyan dan al-Sayyid al-Bakri. Manakala menurut Syeikh al-Bujairimi di dalam Hasyiah Syarh al-Manhaj pula, tidak wajib meniatkan fardhu ketika mengulanginya.

Kedudukan Kepala Jenazah Lelaki

Menurut ulama Hadhramaut seperti Syeikh Abdullah Ba Sudan dan selainnya, afdhalnya kedudukan kepala jenazah lelaki adalah di sebelah kanan imam. Bahkan, Syeikh Ismail Uthman Zain al-Yamani pernah menyusun sebuah risalah ringkas berjudul 'Tahqiq al-Maqam fi Mawqif al-Musolli 'ala al-Janazah bi al-Nisbah li al-Munfarid wa al-Imam' khusus untuk mendokong pendapat ini.

Manakala Syeikh al-Syabramallisi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi, Syeikh Sulaiman al-Jamal dan selainnya daripada hawasyi al-Misriyyin (ulama mutaakkhirin Mesir) berpandangan bahawa, afdhalnya kedudukan kepala jenazah lelaki adalah di sebelah kiri imam supaya kebanyakan jasad jenazah berkenaan berada di sebelah kanan imam ketika ia disolatkan. Justeru, inilah pendapat yang telah dipilih oleh ulama-ulama nusantara kita seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani, Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fatani, Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Ahmad al-Fatani dan TG Hj. Chik al-Qadahi.

Sehubungan itu, sunat bagi imam atau seseorang yang solat bersendirian, berdiri berhampiran kepala jenazah lelaki berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi serta beliau menghasankannya. Manakala bagi jenazah wanita pula, sunat berdiri di bahagian punggungnya berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

وَيَقِفُ عِنْدَ رَأْسِ الرَّجُلِ وَعَجُزِهَا

"(Imam atau yang solat sendirian) berdiri di sisi kepala jenazah lelaki dan di sisi punggung jenazah wanita..."
 اليسع

Wallahu a‘lam.

Rabu, 14 Jun 2017

TEMPAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

PANDUAN HUKUM: TEMPAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Alyasak bin Berhan

Tempat Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah

Secara asasnya, tempat mengeluarkan zakat fitrah adalah di tempat seseorang itu berada ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal). Justeru, wajib ke atas seseorang yang berada di sesuatu tempat ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) mengeluarkan zakat fitrah di tempat berkenaan kepada golongan yang berhak menerimanya mengikut makanan asasi tempat itu. Hal ini adalah kerana tidak harus memindahkan zakat melainkan pemerintah mengikut pendapat yang muktamad.

Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam, ketika baginda mengutuskan Muaz radhiallahu anhu ke Yaman:

فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ، تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ
"…khabarkan kepada mereka, sesungguhnya Allah Taala mewajibkan zakat pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka…"(Riwayat al-Bukhari).

Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah radhiallahu anhu bahawa dia berkata:

قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا
“Telah datang wakil Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat dari kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami.”(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Khuzaimah dan al-Daraqutni. Kata al-Tirmizi: hadis hasan).

Justeru, seseorang yang tinggal di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya (ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan/malam 1 Syawal) di Negeri Sembilan sebagai contoh. Maka zakat fitrahnya wajiblah dibayar di Negeri Sembilan jika dia belum lagi membayar zakat fitrah di Kuala Lumpur semasa bulan Ramadhan berlangsung.

Berzakat di Tempat Lain, Beraya di Tempat Lain

Seseorang yang menyegerakan bayaran zakat fitrah di sesuatu tempat, kemudian dia berada di tempat lain pula ketika matahari tenggelam akhir Ramadhan (malam 1 Syawal). Maka zakat fitrah yang dikeluarkannya itu adalah memadai (sah) dan dia tidak wajib lagi untuk mengeluarkannya bagi kali kedua sepertimana yang telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hafni daripada Syeikh al-Shabramallisi.

Justeru, seseorang yang tinggal di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya (ketika tenggelam matahari akhir Ramadhan/malam 1 Syawal) di Negeri Sembilan sebagai contoh. Namun, semasa bulan Ramadhan berlangsung dia telahpun membayar zakat fitrah di Kuala Lumpur. Maka dia tidak wajib lagi mengulangi pembayaran zakat fitrahnya di Negeri Sembilan.

Disebutkan oleh Tuan Guru Haji Chik al-Qadahi;

"Jika seorang ia beri fitrahnya pada satu negeri dan tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) ia berada pada negeri yang lain seperti ia beri fitrahnya di Kuala Lumpur dan tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) ia berada di Kedah, maka iaitu khilaf ulama. Maka kata setengah ulama, tiada memada (tidak memadai), wajib diberi pula fitrahnya di tempat yang ia berada tatkala jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal). Dan kata setengah ulama, memada (memadai), tiada wajib diberi pula di tempat yang ia ada sewaktu jatuh matahari akhir Ramadhan (malam 1 Syawal)."

Mereka yang Di Bawah Tanggungan Berada Di Tempat Lain.

Disebutkan Syeikh Zainuddin al-Malibari :

وهي صاعٌ...من غالبِ قوتِ بَلَدِهِ أي بَلَدِ المؤدَّى عنه. فلا تجزىء من غيرِ غالبِ قوتِهِ، أو قوتِ مُؤَدٍّ، أو بلدِهِ، لتشوُّفِ النفوسِ لذلك. ومن ثم وجبَ صرفُها لفقراءِ بلده مؤدَّى عنه

"Zakat fitrah itu adalah segantang...daripada makanan asasi yang ghalib pada negeri orang yang dibayarkan zakat untuknya. Maka tidak memadai fitrah itu daripada selain makanan asasinya atau makanan asasi pembayar atau negerinya (pembayar) kerana orang yang berhak berkeinginan kepada yang demikian itu. Oleh kerana itu wajib mengeluarkannya kepada fakir-fakir di negeri orang yang dibayarkan zakat untuknya."

Bagi mereka yang di bawah tanggungan seperti isteri, hamba, ibubapa dan anak-anak pula, zakat fitrah bagi pihak mereka mestilah dikeluarkan di tempat mereka berada ketika matahari tenggelam akhir Ramadhan (malam 1 Syawal) mengikut makanan asasi tempat berkenaan berdasarkan pendapat yang muktamad. Misalnya seorang isteri atau hamba yang berada di sebuah negeri, walhal suami atau tuannya berada di sebuah negeri yang lain. Maka zakat fitrah bagi pihak mereka mestilah dikeluarkan di negeri tempat mereka berada mengikut makanan asasi tempat berkenaan. Salah satu caranya adalah dengan suami atau tuannya itu mewakilkan kepada seseorang untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka yang di bawah tanggungannya di tempat mereka berada. Hal ini berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan bahawa kewajipan tersebut adalah ke atas orang yang dibayarkan zakat untuknya sejak awal lagi.

Adapun menurut pendapat kedua dalam mazhab kita, zakat fitrah mereka memadai dan sah dikeluarkan kepada penerima zakat yang ada di tempat pembayar zakat mengikut makanan asasi di tempat pembayar zakat itu. Di sisi pendapat ini, yang diambil kira adalah tempat pembayar zakat kerana ia berdasarkan kepada pendapat yang mengatakan bahawa kewajipan tersebut adalah ke atas pembayar zakat sejak awal lagi. Namun, pendapat ini adalah merupakan pendapat yang marjuh (lemah).

Disebutkan oleh Tuan Guru Haji Chik al-Qadahi;

"Orang yang memberi fitrahnya (pembayar zakat fitrah) berada pada suatu negeri dan orang yang diberi fitrahnya (orang yang dibayarkan zakat untuknya) berada pada negeri yang lain seperti anak isterinya berada di Mekah dan suaminya berada di Malaysia, dan orang Mekah makan gandum dan orang Malaysia makan beras. Maka wajib atas suaminya beri fitrah anak isterinya yang berada di Mekah itu dengan gandum dan diberi kepada mustahiq (penerima zakat) yang ada di Mekah seperti dikirim surat ke Mekah kata kepada isterinya "aku izin akan dikau beri fitrah engkau dan fitrah anak-anak aku dengan gandum". Maka tiada memada (memadai) dan tiada sah diberi fitrah anaknya dan isterinya yang berada di Mekah itu dengan beras dan tiada memada (memadai) lagi tiada sah diberi fitrah anaknya dan isterinya yang berada di Mekah itu kepada mustahiq (penerima zakat) di tempat suaminya walaupun dengan gandum. Dan kata setengah ulama, memada (memadai) dan sah diberi fitrah anak isterinya yang berada di Mekah itu diberi dengan beras kepada mustahiq (penerima zakat) yang ada di tempat suaminya."
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

-          Nihayah al-Muhtaj
-          Mughni al-Muhtaj
-          Fath al-Muin
-          Hasyiah al-Shabramallisi
-          Hasyiah Ibn Qasim al-‘Abbadi
-          Hasyiah al-Jamal
-          Hasyiah al-Syarqawi
-          Fath al-‘Allam
-          Hasyiah al-Syarwani
-          Sullam al-Sibyan


Selasa, 6 Jun 2017

Buku Tatacara Akad Nikah Menurut Mazhab Syafi‘i




Buku Tatacara Akad Nikah Menurut Mazhab Syafi‘i

Buku terbaru terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Khusus membicarakan tentang salah satu rukun nikah yang lima (5 rukun di sisi Syeikh al-Ramli & al-Khatib al-Syirbini), iaitu sighah (lafaz akad) berdasarkan Mazhab Syafi‘i.

Buku yang mempunyai 31 halaman ini disusun sebagai panduan dalam urusan melaksanakan majlis akad nikah terutamanya kepada Pendaftar/Timb. Pendaftar/Pen. Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk di Negeri Sembilan. Pernah dibentangkan untuk Muzakarah Tafaqquh Munakahat Pen. Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Kariah Masjid Negeri Sembilan siri 1/2016 & siri 2/2016 anjuran Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, JHEAINS.


Isi Kandungan :

- Kata-kata Aluan Pengarah JHEAINS
- Kata-kata Aluan Mufti Kerajaan Negeri, N. Sembilan
- Pendahuluan
- Lafaz Akad Nikah (sighah)
 - Syarat-syarat Akad Nikah
- Akad Nikah Menurut Undang-undang Syariah
- Kesan Akad Yang Sah
- Perkara-perkara Yang Dianjurkan Semasa Akad Nikah
- Hukum-hakam Berkaitan
- Rujukan

Mudah-mudahan sedikit maklumat yang dikongsikan di dalam risalah kecil ini memberi faedah dan manfaat kepada masyarakat Islam umum khususnya individu-individu yang terlibat dengan proses akad nikah, Insyaallah.

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”(93:11).


Isnin, 5 Jun 2017

MEMBACA “صَدَقَ اللهُ الْعَظِيْمُ” SELEPAS MEMBACA AL-QURAN

PANDUAN HUKUM: MEMBACA صَدَقَ اللهُ الْعَظِيْمُ SELEPAS MEMBACA AL-QURAN
Alyasak bin Berhan

Membaca صَدَقَ اللهُ الْعَظِيْمُ selepas membaca al-Quran amat bersesuaian dengan perintah Allah Taala:

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Benarlah (Apa yang difirmankan oleh) Allah…” (Ali Imran 95).

 وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ قِيلًا
“Siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Surah al-Nisa’ 122).

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللَّهِ حَدِيثًا
"Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?"(Surah al-Nisa' 87).
Menurut al-Hakim al-Tirmizi, di antara kehormatan al-Quran adalah dengan membenarkan Tuhannya apabila selesai membaca al-Quran (al-Jami‘ li Ahkam al-Quran 50/1).

Justeru, mengucapkanصَدَقَ اللهُ الْعَظِيْمُ” setelah membaca al-Quran termasuk dalam ertikata membenarkan Kalamullah dan semestinya waktu yang paling sesuai untuk mengucapkannya adalah selepas membaca ayat-ayat al-Quran.

Sehubungan itu, Dar al-Ifta’, Mesir (2014), Dar al-Ifta’, Jordan (no. 867 tahun 2010), Fatwa United Arab Emirates (no. 6159 tahun 2009) dan Darul Fatwa Australia telah mengeluarkan ketetapan hukum tentang keharusan mengucapkannya setelah membaca al-Quran berdasarkan dalil umum ayat al-Quran di atas dan perbuatan Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang pernah mengucapkannya sepertimana yang telah direkodkan dalam riwayat Abu Daud (1109).

Malah, ucapan tersebut juga tidak membatalkan solat sekiranya ia diucapkan semasa solat (Hasyiah al-Ramli 'ala Asna al-Matalib 179/1, Hasyiah al-Syabramallisi 43/2, Hasyiah al-Qalyubi 189/1, Hasyiah al-Jamal 431/1, Hasyiah al-Bujairimi 267/2, Hasyiah al-Baijuri 264/1).

Oleh itu, mengucapkanصَدَقَ اللهُ الْعَظِيْمُ” selepas membaca al-Quran hukumnya adalah harus. Bahkan, ia termasuk dalam perkara-perkara yang dianjurkan selepas membaca al-Quran. Justeru, ucapan tersebut tidaklah termasuk dalam kategori bidaah yang sesat kerana ia mempunyai asas yang teguh untuk diucapkan.
اليسع
Wallahu a'lam.

- Fatwa Dar al-Ifta' Mesir
 فتاوى بحثية - حكم قول: «صدق الله العظيم» بعد الانتهاء من تلاوة القرآن الكريم  

- Fatwa Dar al-Ifta' Jordan
 دار الإفتاء - حكم قول "صدق الله العظيم" بعد الانتهاء من التلاوة


- Fatwa Darul Fatwa Australia