PERSOALAN TADARUS & KHATAM AL-QURAN
Alyasak Berhan
Bacaan al-Quran secara tadarus
dinamakan sebagai (قراءة الإدارة). Ia merujuk kepada
kaedah membaca al-Quran beramai-ramai secara bergilir-gilir iaitu seseorang
membaca al-Quran di dalam sesuatu kumpulan dan disemak oleh ahli kumpulan yang
lain untuk diperbaiki bacaan dan penguasaan tajwid secara amali kemudian dia memberhentikan
bacaan. Seterusnya bacaan tersebut disambung pula oleh ahli kumpulan yang lainnya
sehinggalah akhir majlis. Bacaan al-Quran secara bertadarus sepertimana yang
disebutkan di atas hukumnya adalah harus sepertimana yang dipilih oleh Imam
Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah. Manakala menurut pendapat yang
muktamad di dalam Mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh (فيض الرحمن: 460-461). Bahkan, bacaan al-Quran secara berkumpulan ini
bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim (no. 2700 & 2699), sabda Rasulullah
sollallahu alaihi wa sallam;
لَا يَقْعُدُ
قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ
، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فَيْمَنْ عِنْدَهُ
“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah Taala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ
تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ
عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
"Tiada berhimpun satu kaum di mana-mana masjid Allah sedang mereka membaca kitab Allah (al-Quran) dan bertadarus sesama mereka melainkan akan diturunkan ke atas mereka ketenangan, akan dilimpahi rahmat dan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat serta Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”
Justeru, khatam al-Quran secara
bertadarus ini hanya sesuai diistilahkan sebagai khatam secara kumpulan@jamaah.
Namun dari segi pengistilahan sebenar, cara itu tidaklah dikirakan sebagai khatam
secara individu. Hal ini kerana khatam yang sebenar adalah apabila seseorang
membaca al-Quran secara tertib (susunan) mushaf bermula daripada Surah
al-Fatihah sehingga Surah al-Nas (معجم علوم
القرءان: 137). Malah kelebihan mengkhatamkan al-Quran secara individu juga
berbeza berbanding mengkhatamkan al-Quran secara berkumpulan.
Namun demikian, tidaklah salah
menggalakkan umat Islam agar membaca al-Quran sekalipun hanya beberapa helaian
dalam khatam secara kumpulan@jamaah ini kerana masing-masing akan memperolehi ganjaran
berdasarkan kadar ayat yang dibacakan. Bahkan, tadarus sebegini juga merupakan
peluang terbaik untuk pembaca al-Quran dapat saling menegur serta memperbaiki kesalahan
masing-masing, dan bukan sekadar membaca untuk khatam semata-mata.
Hal ini juga hampir sama dengan
aktiviti mengedarkan juzuk-juzuk al-Quran kepada orang-orang yang hadir dalam
sesuatu majlis perhimpunan. Di mana setiap orang daripada mereka akan membaca
satu hizb daripada al-Quran misalnya. Perbuatan seperti ini juga tidaklah
dikira setiap orang dari mereka telah mengkhatamkan al-Quran. Namun setiap ahli
kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya. Hal
ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim (1/472), sabda Nabi sollallahu
alaihi wa sallam;
أجرُك على قَدْرِ نصَبِك
“Ganjaranmu adalah berdasarkan kepada kadar keletihanmu.”
Disebutkan dalam kaedah fiqh;
مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا ، كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا (قاعدة التاسعة
العشر,الأشباه والنظائر: 143)
“Apa yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak kelebihan.”
اليسع
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan