Khamis, 2 Jun 2016

10 Fakta PUASA yang Patut Anda Ketahui


10 Fakta PUASA yang Patut Anda Ketahui
Alyasak bin Berhan

1. Mandi ketika berpuasa untuk menyegarkan badan.

Fakta: Mandi MENYELAM ketika puasa hukumnya adalah makruh kerana dikhuatiri boleh menyebabkan air masuk ke dalam rongga sehingga boleh membatalkan puasa walaupun ketika mandi wajib. Justeru, terdapat dua keadaan sekiranya seseorang yang berpuasa itu mandi iaitu;

1.1 Mandi yang dituntutkan oleh syarak sama ada mandi wajib mahupun mandi sunat. Maka puasa tidak batal sekiranya air masuk ke dalam rongganya TANPA disengajakan ketika mandi jika dia mandi dengan cara jirusan biasa. Walaubagaimanapun, sekiranya dia mandi dengan cara menyelam/berendam sehingga menyebabkan air masuk ke dalam rongganya, maka puasa menjadi batal.

1.2 Mandi yang tidak dituntutkan oleh syarak seperti mandi untuk menyejukkan badan atau untuk membersihkan badan. Maka batal puasanya sekiranya air masuk ke dalam rongga walaupun TANPA disengajakan ketika mandi sama ada mandi dengan cara jirusan biasa mahupun dengan cara menyelam/berendam (al-Taqrirat al-Sadidah 447, 453-454).

2. Korek hidung, telinga atau rongga-rongga yang berlubang.

Fakta: Memasukkan apa saja benda ke dalam rongga yang berlubang adalah membatalkan puasa menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan qias (Al-Feqh al-Manhaji 342/1).

3. Penetapan waktu imsak iaitu kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Fakta: Sunat (bukan wajib) untuk berhenti makan dan minum sebelum masuk waktu (imsak) sebagai langkah berjaga-jaga. Ia berdasarkan perbuatan Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu;

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً 
Diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit radhiallahu anhu, beliau berkata: "Kami telah makan sahur bersama-sama Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam, kemudian baginda bangun mengerjakan sembahyang. Anas radhiallahu anhu bertanya kepada Zaid radhiallahu anhu; "Berapa tempohnya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur itu ?" Dia menjawab: "Kira-kira sekadar membaca 50 ayat.”(Riwayat al-Bukhari no. 1921)

4. Makanan yang disunnahkan berbuka dengannya.

Fakta: Disunatkan untuk berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air berdasarkan perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam. Sekiranya tiada, dianjurkan juga berbuka dengan benda-benda yang manis (al-Taqrirat al-Sadidah 444). Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu;

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَصَحَّحَهُ الدَّارَقُطْنِيُّ
"Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam apabila berbuka, baginda makan beberapa biji kurma masak. Sekiranya tiada, baginda makan beberapa biji kurma kering. Jika tiada juga, baginda meneguk beberapa teguk air." (Riwayat Abi Daud no. 2356 dan al-Tirmizi no. 696)

5. Merasai makanan dengan lidah.

Fakta: Makruh bagi orang yang berpuasa merasai makanan tanpa keperluan kerana dikhuatiri akan tertelan minuman atau makanan tersebut. Adapun merasai makanan kerana hajat, hukumnya tidaklah makruh selagimana ia tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan)(al-Taqrirat al-Sadidah 447).

6. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub.

Fakta: Sunat bagi seseorang yang berjunub mandi wajib sebelum waktu subuh. Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam, sedangkan baginda kemudiannya mandi, bersolat dan meneruskan puasa seperti biasa. Diceritakan oleh Marwan, sesungguhnya Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu anhuma memberitahunya;

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ 
“Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam pernah berkeadaan junub pada waktu Subuh lantaran hubungan kelamin. Kemudian baginda mandi junub dan berpuasa. (Riwayat al-Bukhari no. 1925)

7. Bolehkah bercumbu-cumbuan dengan isteri ketika puasa?

Fakta: Haram bercumbu-cumbuan semasa melaksanakan puasa wajib sekiranya ia dilakukan sehingga menaikkan syahwat (puasa sunat tidak haram). Namun, sekiranya ia dilakukan tanpa menaikkan syahwat hukumnya adalah khilaful aula (makruh ringan). Walaubagaimanapun, puasanya tidak terbatal melainkan jika berlakunya inzal (keluar air mani) disebabkan cumbuan tersebut (al-Taqrirat al-Sadidah 455). Diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُنِي وَهُوَ صَائِمٌ ، وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ 
"Rasulullah mengucupku sedangkan dia berpuasa. Siapakah di kalangan kamu yang memiliki kemampuan mengawal nafsunya sebagaimana Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam miliki?"(Riwayat Muslim no. 1860).

8. Menggosok gigi ketika sedang berpuasa.

Fakta: Makruh bersiwak/menggosok gigi selepas gelincir matahari. Namun, menurut pendapat Imam al-Nawawi, hukumnya tidak makruh walaupun ia dilakukan selepas gelincir matahari (al-Taqrirat al-Sadidah 455). Memakai ubat gigi ketika menggosok gigi hukumnya adalah harus selagimana ia tidak ditelan (Fatwa Darul Ifta Mesir no. 1199).http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=1199&LangID=5&MuftiType=0

9. Lafaz niat puasa.

Fakta: Wajib untuk berniat puasa pada setiap malam menurut Mazhab Syafi'i. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya pada waktu malam hari, bahawa dia akan berpuasa pada keesokan harinya, maka itu sudah memadai baginya. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, Rasululllah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ 
"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar (subuh), maka tiada puasa baginya." (Riwayat al-Daraqutni no. 2213 dan al-Baihaqi no. 7989. Menurut al-Daraqutni; semua perawinya adalah thiqah)

Syarat niat bagi puasa adalah;

9.1 Tabyit- Meniatkan pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar bagi puasa wajib. Manakala bagi puasa sunat pula diharuskan untuk berniat sebelum gelincir matahari selagimana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda kepadanya;

هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ غَدَاءٍ ؟ "، ... وَإِنْ قُلْنَا : لا , قَالَ : " إِنِّي صَائِمٌ.  قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ هَذاَ إسْنَادٌ صَحِيْحٌ 
"Adakah pada kamu apa-apa untuk makan tengah hari?." Jika kami menjawab; "Tiada." Lalu baginda bersabda; "Kalau begitu aku berpuasa."(Riwayat al-Daraqutni no. 2236).

9.2 Ta'yin- Menentukan jenis puasa yang ingin dilaksanakan seperti Ramadhan.

9.3 Tikrar (berulang-ulang)- Meniatkan puasa pada setiap malam untuk berpuasa keesokan hari berikutnya (Al-Feqh al-Manhaji 340-341/1).

Manakala LAFAZ niat iaitu seperti ucapan; “nawaitu sauma ghadin…”, hukumnya adalah sunat bagi membantu niat di dalam hati. Ia diqiaskan dengan lafaz niat ihram ketika melaksanakan ibadat haji bertujuan untuk membantu niat di dalam hati.

Justeru, bagi yang tidak berniat, maka puasanya tidak sah kerana setiap perkara dimulakan dengan niat berdasarkan hadis riwayat Umar al-Khattob radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى 
"Hanyasanya setiap amalan adalah dengan niat dan seseorang hanya mendapat apa yang diniatkannya..."(Riwayat al-Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).

10. Tidur ketika sedang berpuasa.

Fakta: Memang benar terdapat beberapa hadis yang menyebut bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa, diriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ ، وَذَنْبُهُ مَغْفُورٌ 
“Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, senyapnya adalah tasbih, amalannya berganda, doanya mustajab dan dosanya diampuni.”(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman no. 3652).

Sungguhpun demikian, memperBANYAKkan tidur adalah merupakan salah satu daripada perkara yang dimakruhkan ketika berpuasa kerana ia boleh menghilangkan faedah puasa (al-Taqrirat al-Sadidah 448).
اليسع
Wallahu'alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan