Ahad, 5 Jun 2016

LAILATUL QADR

LAILATUL QADR
Alyasak Berhan

(FAEDAH)
Ulamak berbeza pendapat dalam menentukan bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Al-Hafiz Ibn Hajar (4/309) telah menghikayatkan bahawa terdapat lebih daripada 40 pandangan mengenainya. Namun, menurut pendapat yang paling rajih, Lailatul Qadr lebih diharapkan berlaku pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan (4/312-313).

Justeru, berdasarkan pendapat tersebut, Imam al-Ghazali dan lainnya telah menyusun satu kaedah untuk mengetahui bilakah terjadinya malam Lailatul Qadr sepertimana berikut; "Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadr diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23."

Sesetengah daripada mereka telah menyusunnya dalam bentuk nazam (syair) iaitu;

يَا سائليْ عن ليلة القدر الّتي      في عشر رمضانَ الأخير حلّتِ
فإنّهــــا في مفـــــــــــردات العَشـــــــــــر      تُعْرَفُ من يوم ابتداء الشـــــــهر
فبِالأحَدْ والأربعـــا فالتاســــــــعةْ      وجمعــــــــةٍ مع الثلاثا الســـــــابعـــــة
وإنْ بدا الخميسَ فهْي الخامسة    وإن بدا بالسبت فهْي الثالثة
وإن بدا الإثنينَ فهْي الحاديْ    هــــــــذا عن الصــــــــوفـــــــيّة الزّهّـــــــــاد

"Wahai yang bertanya kepadaku tentang malam Lailatul Qadr yang,
berlaku di 10 terakhir Ramadhan,
Sesungguhnya ia berada di salah satu malam yang 10 itu,
Ia diketahui daripada hari permulaan Ramadhan,
Jika ia bermula hari Ahad dan Rabu, maka ia malam ke-29,
Dan (jika ia bermula) dengan hari Jumaat dan Selasa, maka ia malam ke-27,
Dan jika ia bermula hari Khamis, maka ia malam ke-25,
Dan jika ia bermula hari Sabtu, maka ia malam ke-23,
Dan jika ia bermula hari Isnin, maka ia malam ke-21, 
Inilah yang dinukil daripada ahli sufi yang zuhud."


Syeikh Abu al-Hasan al-Bakri telah berkata; "Semenjak aku mencapai usia dewasa, aku tidak pernah terluput malam Lailatul Qadr dengan berpandukan kaedah tersebut."

Kaedah ini telah disebutkan di dalam kitab Hasyiah al-Qalyubi (2/75-76), al-Bujairimi 'ala Syarh al-Manhaj (1/833), al-Jamal 'ala Syarh al-Manhaj (2/357) dan al-Jauhar al-Mauhub (153).

Di dalam kitab Hasyiah al-Birmawi 'ala Ibn Qasim (1/283-284), al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (3/162) dan al-Jauhar al-Mauhub (152) disebutkan bahawa sesetengah ulamak sufi termasuklah Syeikh Abu Bakar al-Maghribi dan lainnya telah membuat dhabit (panduan); jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadr diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21. Sesetengah daripada mereka telah menyusunnya dalam bentuk nazam (syair) iaitu;

وَأَنَّا جَمِيعًا إنْ نَصُمْ يَوْمَ جُمُعَةٍ فَفِي تَاسِعِ الْعِشْرِينَ خُذْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ    
وَإِنْ كَانَ يَوْمُ السَّبْتِ أَوَّلَ صَوْمِنَا فَحَادِي وَعِشْرِينَ اعْتَمِدْهُ بِلَا عُذْرِ    
وَإِنْ هَلَّ يَوْمُ الصَّوْمِ فِي أَحَدٍ فَفِي سَابِعِ الْعِشْرِينَ مَا رُمْت فَاسْتَقْرِ    
وَإِنْ هَلَّ فِي الِاثْنَيْنِ فَاعْلَمْ بِأَنَّهُ يُوَافِيك نَيْلُ الْوَصْلِ فِي تَاسِعِ الْعَشْرِيّ    
وَيَوْمُ الثُّلَاثَاءِ إنْ بَدَأَ الشَّهْرُ فَاعْتَمِدْ عَلَى خَامِسِ الْعِشْرِينَ تَحْظَى بِهَا فَادْرِ    
وَفِي الْأَرْبَعَا إنْ هَلَّ يَا مَنْ يَرُومُهَا فَدُونَك فَاطْلُبْ وَصْلَهَا سَابِعَ الْعَشْرِيّ    
وَيَوْمَ الْخَمِيسِ إنْ بَدَا الشَّهْرُ فَاجْتَهِدْ تُوَافِيك بَعْدَ الْعَشْرِ فِي لَيْلَةِ الْوِتْرِ


“Jika awal Ramadhan hari Jumaat, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 29,
Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 21,
Jika awal Ramadhan hari Ahad, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 27,
Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 29,
Jika awal Ramadhan hari Selasa, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 25,
Jika awal Ramadhan hari Rabu, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 27,
Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka Lailatul Qadrnya adalah pada malam-malam ganjil setelah malam 20.”
اليسع
Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan