Khamis, 16 Jun 2016

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Alyasak Berhan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
Diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata : “Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah iaitu satu gantang daripada kurma, atau satu gantang daripada sya’ir (gandum), ke atas setiap hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan besar daripada kaum muslimin. Baginda juga memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum manusia keluar menunaikan solat (sunat Aidul Fitri) (Riwayat al-Bukhari no. 1503)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata : “Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa dari daripada perbuatan sia-sia dan perkataan keji, serta untuk memberi makan kepada orang miskin. Barangsiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (sunat Aidul Fitri), maka ia merupakan zakat yang diterima dan barangsiapa yang mengeluarkannya sesudah solat (sunat Aidul Fitri), maka ia merupakan satu sedekah daripada sedekah-sedekah (sedekah biasa). (Riwayat Abi Daud no. 1609, Ibn Majah no. 1927 dan al-Daraqutni)

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5 waktu, iaitu:

1. Waktu Wajib.

Dengan memperolehi sebahagian waktu daripada bulan Ramadhan dan sebahagian waktu daripada bulan Syawal; iaitu seseorang yang hidup dan memenuhi syarat-syarat wajib zakat ketika tenggelam matahari malam hari raya (1 Syawal).

2. Waktu fadhilah (sunnah).

Hari raya (1 Syawal) setelah terbit fajar (subuh) dan sebelum menunaikan solat hari raya Aidul Fitri. Paling afdhalnya adalah waktu selepas solat subuh.

3. Waktu Harus.

Iaitu, mulai dari awal bulan Ramadhan.

4. Waktu Makruh.

Iaitu, setelah solat Aidul Fitri sehingga tenggelamnya matahari 1 Syawal melainkan kerana kemaslahatan seperti menanti kerabat atau orang fakir yang soleh (maka hukumnya tidak makruh).

5. Waktu haram.

Melambatkan zakat fitrah sehingga tenggelam matahari hari raya (1 Syawal) melainkan kerana keuzuran. Maka harus melewatkan zakat kerana keuzuran seperti menunggu hartanya yang tiada (bersamanya) atau tidak menemui orang yang berhak menerima zakat ketika itu. Justeru, zakat tersebut diambilkira sebagai zakat qadha' dan dia tidak berdosa (kerana ada keuzuran).
اليسع
Wallahu Alam...

Rujukan;

Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah 


Ahad, 5 Jun 2016

PERSOALAN TADARUS & KHATAM AL-QURAN

PERSOALAN TADARUS & KHATAM AL-QURAN 
Alyasak Berhan

Bacaan al-Quran secara tadarus dinamakan sebagai (قراءة الإدارة). Ia merujuk kepada kaedah membaca al-Quran beramai-ramai secara bergilir-gilir iaitu seseorang membaca al-Quran di dalam sesuatu kumpulan dan disemak oleh ahli kumpulan yang lain untuk diperbaiki bacaan dan penguasaan tajwid secara amali kemudian dia memberhentikan bacaan. Seterusnya bacaan tersebut disambung pula oleh ahli kumpulan yang lainnya sehinggalah akhir majlis. Bacaan al-Quran secara bertadarus sepertimana yang disebutkan di atas hukumnya adalah harus sepertimana yang dipilih oleh Imam Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah. Manakala menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh (فيض الرحمن: 460-461). Bahkan, bacaan al-Quran secara berkumpulan ini bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim (no. 2700 & 2699), sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فَيْمَنْ عِنْدَهُ
“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah Taala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ 
"Tiada berhimpun satu kaum di mana-mana masjid Allah sedang mereka membaca kitab Allah (al-Quran) dan bertadarus sesama mereka melainkan akan diturunkan ke atas mereka ketenangan, akan dilimpahi rahmat dan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat serta Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”
Justeru, khatam al-Quran secara bertadarus ini hanya sesuai diistilahkan sebagai khatam secara kumpulan@jamaah. Namun dari segi pengistilahan sebenar, cara itu tidaklah dikirakan sebagai khatam secara individu. Hal ini kerana khatam yang sebenar adalah apabila seseorang membaca al-Quran secara tertib (susunan) mushaf bermula daripada Surah al-Fatihah sehingga Surah al-Nas (معجم علوم القرءان: 137). Malah kelebihan mengkhatamkan al-Quran secara individu juga berbeza berbanding mengkhatamkan al-Quran secara berkumpulan.

Namun demikian, tidaklah salah menggalakkan umat Islam agar membaca al-Quran sekalipun hanya beberapa helaian dalam khatam secara kumpulan@jamaah ini kerana masing-masing akan memperolehi ganjaran berdasarkan kadar ayat yang dibacakan. Bahkan, tadarus sebegini juga merupakan peluang terbaik untuk pembaca al-Quran dapat saling menegur serta memperbaiki kesalahan masing-masing, dan bukan sekadar membaca untuk khatam semata-mata.

Hal ini juga hampir sama dengan aktiviti mengedarkan juzuk-juzuk al-Quran kepada orang-orang yang hadir dalam sesuatu majlis perhimpunan. Di mana setiap orang daripada mereka akan membaca satu hizb daripada al-Quran misalnya. Perbuatan seperti ini juga tidaklah dikira setiap orang dari mereka telah mengkhatamkan al-Quran. Namun setiap ahli kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya. Hal ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim (1/472), sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam;
أجرُك على قَدْرِ نصَبِك
“Ganjaranmu adalah berdasarkan kepada kadar keletihanmu.”
Disebutkan dalam kaedah fiqh;

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا ، كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا (قاعدة التاسعة العشر,الأشباه والنظائر: 143)
“Apa yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak kelebihan.”
اليسع

Wallahua'lam.

LAILATUL QADR

LAILATUL QADR
Alyasak Berhan

(FAEDAH)
Ulamak berbeza pendapat dalam menentukan bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Al-Hafiz Ibn Hajar (4/309) telah menghikayatkan bahawa terdapat lebih daripada 40 pandangan mengenainya. Namun, menurut pendapat yang paling rajih, Lailatul Qadr lebih diharapkan berlaku pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan (4/312-313).

Justeru, berdasarkan pendapat tersebut, Imam al-Ghazali dan lainnya telah menyusun satu kaedah untuk mengetahui bilakah terjadinya malam Lailatul Qadr sepertimana berikut; "Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadr diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23."

Sesetengah daripada mereka telah menyusunnya dalam bentuk nazam (syair) iaitu;

يَا سائليْ عن ليلة القدر الّتي      في عشر رمضانَ الأخير حلّتِ
فإنّهــــا في مفـــــــــــردات العَشـــــــــــر      تُعْرَفُ من يوم ابتداء الشـــــــهر
فبِالأحَدْ والأربعـــا فالتاســــــــعةْ      وجمعــــــــةٍ مع الثلاثا الســـــــابعـــــة
وإنْ بدا الخميسَ فهْي الخامسة    وإن بدا بالسبت فهْي الثالثة
وإن بدا الإثنينَ فهْي الحاديْ    هــــــــذا عن الصــــــــوفـــــــيّة الزّهّـــــــــاد

"Wahai yang bertanya kepadaku tentang malam Lailatul Qadr yang,
berlaku di 10 terakhir Ramadhan,
Sesungguhnya ia berada di salah satu malam yang 10 itu,
Ia diketahui daripada hari permulaan Ramadhan,
Jika ia bermula hari Ahad dan Rabu, maka ia malam ke-29,
Dan (jika ia bermula) dengan hari Jumaat dan Selasa, maka ia malam ke-27,
Dan jika ia bermula hari Khamis, maka ia malam ke-25,
Dan jika ia bermula hari Sabtu, maka ia malam ke-23,
Dan jika ia bermula hari Isnin, maka ia malam ke-21, 
Inilah yang dinukil daripada ahli sufi yang zuhud."


Syeikh Abu al-Hasan al-Bakri telah berkata; "Semenjak aku mencapai usia dewasa, aku tidak pernah terluput malam Lailatul Qadr dengan berpandukan kaedah tersebut."

Kaedah ini telah disebutkan di dalam kitab Hasyiah al-Qalyubi (2/75-76), al-Bujairimi 'ala Syarh al-Manhaj (1/833), al-Jamal 'ala Syarh al-Manhaj (2/357) dan al-Jauhar al-Mauhub (153).

Di dalam kitab Hasyiah al-Birmawi 'ala Ibn Qasim (1/283-284), al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (3/162) dan al-Jauhar al-Mauhub (152) disebutkan bahawa sesetengah ulamak sufi termasuklah Syeikh Abu Bakar al-Maghribi dan lainnya telah membuat dhabit (panduan); jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadr diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21. Sesetengah daripada mereka telah menyusunnya dalam bentuk nazam (syair) iaitu;

وَأَنَّا جَمِيعًا إنْ نَصُمْ يَوْمَ جُمُعَةٍ فَفِي تَاسِعِ الْعِشْرِينَ خُذْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ    
وَإِنْ كَانَ يَوْمُ السَّبْتِ أَوَّلَ صَوْمِنَا فَحَادِي وَعِشْرِينَ اعْتَمِدْهُ بِلَا عُذْرِ    
وَإِنْ هَلَّ يَوْمُ الصَّوْمِ فِي أَحَدٍ فَفِي سَابِعِ الْعِشْرِينَ مَا رُمْت فَاسْتَقْرِ    
وَإِنْ هَلَّ فِي الِاثْنَيْنِ فَاعْلَمْ بِأَنَّهُ يُوَافِيك نَيْلُ الْوَصْلِ فِي تَاسِعِ الْعَشْرِيّ    
وَيَوْمُ الثُّلَاثَاءِ إنْ بَدَأَ الشَّهْرُ فَاعْتَمِدْ عَلَى خَامِسِ الْعِشْرِينَ تَحْظَى بِهَا فَادْرِ    
وَفِي الْأَرْبَعَا إنْ هَلَّ يَا مَنْ يَرُومُهَا فَدُونَك فَاطْلُبْ وَصْلَهَا سَابِعَ الْعَشْرِيّ    
وَيَوْمَ الْخَمِيسِ إنْ بَدَا الشَّهْرُ فَاجْتَهِدْ تُوَافِيك بَعْدَ الْعَشْرِ فِي لَيْلَةِ الْوِتْرِ


“Jika awal Ramadhan hari Jumaat, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 29,
Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 21,
Jika awal Ramadhan hari Ahad, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 27,
Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 29,
Jika awal Ramadhan hari Selasa, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 25,
Jika awal Ramadhan hari Rabu, maka Lailatul Qadr adalah pada malam 27,
Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka Lailatul Qadrnya adalah pada malam-malam ganjil setelah malam 20.”
اليسع
Wallahu a'lam

Khamis, 2 Jun 2016

10 Fakta PUASA yang Patut Anda Ketahui


10 Fakta PUASA yang Patut Anda Ketahui
Alyasak bin Berhan

1. Mandi ketika berpuasa untuk menyegarkan badan.

Fakta: Mandi MENYELAM ketika puasa hukumnya adalah makruh kerana dikhuatiri boleh menyebabkan air masuk ke dalam rongga sehingga boleh membatalkan puasa walaupun ketika mandi wajib. Justeru, terdapat dua keadaan sekiranya seseorang yang berpuasa itu mandi iaitu;

1.1 Mandi yang dituntutkan oleh syarak sama ada mandi wajib mahupun mandi sunat. Maka puasa tidak batal sekiranya air masuk ke dalam rongganya TANPA disengajakan ketika mandi jika dia mandi dengan cara jirusan biasa. Walaubagaimanapun, sekiranya dia mandi dengan cara menyelam/berendam sehingga menyebabkan air masuk ke dalam rongganya, maka puasa menjadi batal.

1.2 Mandi yang tidak dituntutkan oleh syarak seperti mandi untuk menyejukkan badan atau untuk membersihkan badan. Maka batal puasanya sekiranya air masuk ke dalam rongga walaupun TANPA disengajakan ketika mandi sama ada mandi dengan cara jirusan biasa mahupun dengan cara menyelam/berendam (al-Taqrirat al-Sadidah 447, 453-454).

2. Korek hidung, telinga atau rongga-rongga yang berlubang.

Fakta: Memasukkan apa saja benda ke dalam rongga yang berlubang adalah membatalkan puasa menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan qias (Al-Feqh al-Manhaji 342/1).

3. Penetapan waktu imsak iaitu kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Fakta: Sunat (bukan wajib) untuk berhenti makan dan minum sebelum masuk waktu (imsak) sebagai langkah berjaga-jaga. Ia berdasarkan perbuatan Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam sepertimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu;

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً 
Diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit radhiallahu anhu, beliau berkata: "Kami telah makan sahur bersama-sama Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam, kemudian baginda bangun mengerjakan sembahyang. Anas radhiallahu anhu bertanya kepada Zaid radhiallahu anhu; "Berapa tempohnya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur itu ?" Dia menjawab: "Kira-kira sekadar membaca 50 ayat.”(Riwayat al-Bukhari no. 1921)

4. Makanan yang disunnahkan berbuka dengannya.

Fakta: Disunatkan untuk berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air berdasarkan perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam. Sekiranya tiada, dianjurkan juga berbuka dengan benda-benda yang manis (al-Taqrirat al-Sadidah 444). Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu;

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَصَحَّحَهُ الدَّارَقُطْنِيُّ
"Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam apabila berbuka, baginda makan beberapa biji kurma masak. Sekiranya tiada, baginda makan beberapa biji kurma kering. Jika tiada juga, baginda meneguk beberapa teguk air." (Riwayat Abi Daud no. 2356 dan al-Tirmizi no. 696)

5. Merasai makanan dengan lidah.

Fakta: Makruh bagi orang yang berpuasa merasai makanan tanpa keperluan kerana dikhuatiri akan tertelan minuman atau makanan tersebut. Adapun merasai makanan kerana hajat, hukumnya tidaklah makruh selagimana ia tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan)(al-Taqrirat al-Sadidah 447).

6. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub.

Fakta: Sunat bagi seseorang yang berjunub mandi wajib sebelum waktu subuh. Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam, sedangkan baginda kemudiannya mandi, bersolat dan meneruskan puasa seperti biasa. Diceritakan oleh Marwan, sesungguhnya Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu anhuma memberitahunya;

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ 
“Sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam pernah berkeadaan junub pada waktu Subuh lantaran hubungan kelamin. Kemudian baginda mandi junub dan berpuasa. (Riwayat al-Bukhari no. 1925)

7. Bolehkah bercumbu-cumbuan dengan isteri ketika puasa?

Fakta: Haram bercumbu-cumbuan semasa melaksanakan puasa wajib sekiranya ia dilakukan sehingga menaikkan syahwat (puasa sunat tidak haram). Namun, sekiranya ia dilakukan tanpa menaikkan syahwat hukumnya adalah khilaful aula (makruh ringan). Walaubagaimanapun, puasanya tidak terbatal melainkan jika berlakunya inzal (keluar air mani) disebabkan cumbuan tersebut (al-Taqrirat al-Sadidah 455). Diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُنِي وَهُوَ صَائِمٌ ، وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ 
"Rasulullah mengucupku sedangkan dia berpuasa. Siapakah di kalangan kamu yang memiliki kemampuan mengawal nafsunya sebagaimana Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam miliki?"(Riwayat Muslim no. 1860).

8. Menggosok gigi ketika sedang berpuasa.

Fakta: Makruh bersiwak/menggosok gigi selepas gelincir matahari. Namun, menurut pendapat Imam al-Nawawi, hukumnya tidak makruh walaupun ia dilakukan selepas gelincir matahari (al-Taqrirat al-Sadidah 455). Memakai ubat gigi ketika menggosok gigi hukumnya adalah harus selagimana ia tidak ditelan (Fatwa Darul Ifta Mesir no. 1199).http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=1199&LangID=5&MuftiType=0

9. Lafaz niat puasa.

Fakta: Wajib untuk berniat puasa pada setiap malam menurut Mazhab Syafi'i. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya pada waktu malam hari, bahawa dia akan berpuasa pada keesokan harinya, maka itu sudah memadai baginya. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, Rasululllah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ 
"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar (subuh), maka tiada puasa baginya." (Riwayat al-Daraqutni no. 2213 dan al-Baihaqi no. 7989. Menurut al-Daraqutni; semua perawinya adalah thiqah)

Syarat niat bagi puasa adalah;

9.1 Tabyit- Meniatkan pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar bagi puasa wajib. Manakala bagi puasa sunat pula diharuskan untuk berniat sebelum gelincir matahari selagimana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda kepadanya;

هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ غَدَاءٍ ؟ "، ... وَإِنْ قُلْنَا : لا , قَالَ : " إِنِّي صَائِمٌ.  قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ هَذاَ إسْنَادٌ صَحِيْحٌ 
"Adakah pada kamu apa-apa untuk makan tengah hari?." Jika kami menjawab; "Tiada." Lalu baginda bersabda; "Kalau begitu aku berpuasa."(Riwayat al-Daraqutni no. 2236).

9.2 Ta'yin- Menentukan jenis puasa yang ingin dilaksanakan seperti Ramadhan.

9.3 Tikrar (berulang-ulang)- Meniatkan puasa pada setiap malam untuk berpuasa keesokan hari berikutnya (Al-Feqh al-Manhaji 340-341/1).

Manakala LAFAZ niat iaitu seperti ucapan; “nawaitu sauma ghadin…”, hukumnya adalah sunat bagi membantu niat di dalam hati. Ia diqiaskan dengan lafaz niat ihram ketika melaksanakan ibadat haji bertujuan untuk membantu niat di dalam hati.

Justeru, bagi yang tidak berniat, maka puasanya tidak sah kerana setiap perkara dimulakan dengan niat berdasarkan hadis riwayat Umar al-Khattob radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى 
"Hanyasanya setiap amalan adalah dengan niat dan seseorang hanya mendapat apa yang diniatkannya..."(Riwayat al-Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).

10. Tidur ketika sedang berpuasa.

Fakta: Memang benar terdapat beberapa hadis yang menyebut bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa, diriwayatkan bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ ، وَذَنْبُهُ مَغْفُورٌ 
“Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah, senyapnya adalah tasbih, amalannya berganda, doanya mustajab dan dosanya diampuni.”(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman no. 3652).

Sungguhpun demikian, memperBANYAKkan tidur adalah merupakan salah satu daripada perkara yang dimakruhkan ketika berpuasa kerana ia boleh menghilangkan faedah puasa (al-Taqrirat al-Sadidah 448).
اليسع
Wallahu'alam