Rabu, 21 Disember 2016

Buku “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”

Buku “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”

Alhamdulillah, telah terbit buku terbaru susunan al-faqir berjudul “Anakku Soleh : Menyambut Kelahiran Bayi”. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus dengan diberikan kata-kata aluan oleh Yb SS Dato' Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (salah seorang penyemak). Buku yang mengandungi 38 muka surat bercetak ini, disusun bertujuan menerangkan pembaca, cara-cara dan perkara-perkara yang dianjurkan kepada pasangan semasa menyambut kelahiran bayi berdasarkan panduan al-Quran, Sunnah Nabi sollallahu alaihi wa sallam, ulamak ‘amilin serta daripada amalan-amalan Salafus Soleh agar kegembiraan di saat menyambut bayi ini diwarnai dengan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Taala.

Buku ini memaparkan 12 perkara-perkara yang dianjurkan semasa semasa menyambut kelahiran bayi secara ringkas dan padat. Kemudian ia diakhiri dengan kesimpulan ringkas berkaitan perkara-perkara tersebut. Justeru, buku ini amat sesuai ditatap dan dimiliki oleh pasangan-pasangan yang bakal menimang cahaya mata. Malah, ia sesuai juga dijadikan sebagai hadiah dan cenderahati berbentuk ilmiah kepada pasangan-pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.

Mudah-mudahan sedikit maklumat yang dikongsikan di dalam buku ini mampu meraih keredhaan Allah Taala dan dapat memberi manfaat kepada semua umat Islam dalam usaha membina generasi yang unggul.

Buku ini boleh diperolehi dengan harga RM 6 senaskah di alamat berikut:

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan,
Tingkat 1 (kedai buku JMKNNS),
Bangunan SUK Lama, Jalan Dato' Hamzah,
70990 Seremban,
Negeri Sembilan.
Tel : 06-7652416

Fax : 06-7652427

Jumaat, 25 November 2016

HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I

PANDUAN HUKUM: HUKUM WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN MENURUT MAZHAB SYAFI‘I
Alyasak bin Berhan

Secara umumnya, haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dengan niat sebagai al-Quran walaupun dibaca separuh ayat atau satu ayat, atau satu huruf sekalipun. Sama ada dibaca secara perlahan (sir) atau secara nyaring (jahr).

Diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma, daripada Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

" لَا تَقْرَأِ الْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْءَانِ"

"Janganlah orang yang haid dan berjunub itu membaca sesuatu daripada al-Quran."(Riwayat al-Tirmizi no.131, Ibn Majah no.595, al-Daraqutni no.419 dan al-Baihaqi).

Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini telah didhaifkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Baihaqi. Namun, ia mempunyai riwayat sokongan (mutaba‘ah) yang boleh menampung dan mengangkat kedhaifannya. Bahkan al-Munziri telah menilainya sebagai hasan. Malah, ianya telah dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi sollallahu alaihi wa sallam seperti Saidina Umar, Ali, Jabir radhiallahu 'anhum dan para tabi‘in serta mereka yang selepasnya seperti al-Hasan al-Basri, Qatadah, 'Ata', Abu al-'Aliyyah, al-Nakha‘ei, Said bin Jubair, al-Zuhri, Ishaq, Abu Thur, Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak, serta satu riwayat daripada Malik, Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal. Justeru, mereka berpegang bahawa haram bagi wanita haid dan nifas membaca al-Quran dan inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dalam mazhab al-Syafi‘i. 

Keharaman ini juga diqiaskan dengan hukum orang yang berjunub membaca al-Quran. Sehubungan itu, perbuatan Aisyah radhiallahu anha membaca al-Quran semasa haid tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara ini jika ditakdirkan ianya sahih sekalipun, kerana para sahabat selainnya telah menyelisihinya tentang hal ini. Oleh itu, apabila berlaku perselisihan dalam kalangan sahabat, maka hendaklah kita rujuk kepada qias (anologi).

SYARAT-SYARAT BACAAN MENJADI HARAM

Terdapat 6 syarat yang perlu dipenuhi sebelum bacaan al-Quran bagi wanita haid dan nifas dihukumkan sebagai haram iaitu:

  1. Pembaca adalah seorang yang mukallaf. Oleh itu, kanak-kanak dan orang gila tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  2. Ayat yang dibaca adalah terdiri daripada ayat al-Quran. Oleh itu, Taurat, Injil dan ayat-ayat yang telah dimansuhkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  3. Bacaan tersebut adalah pada bacaan sunat. Adapun pada bacaan yang wajib seperti bacaan Surah al-Fatihah ketika solat bagi seseorang yang ketiadaan air dan tanah untuk bersuci tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  4. Bacaan tersebut dilafazkan. Oleh itu, seseorang yang hanya sekadar membacanya di dalam hati tanpa dilafazkan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  5. Bacaan tersebut didengari oleh diri sendiri. Oleh itu, seseorang yang membaca dalam keadaan tidak didengari oleh dirinya sendiri dengan pendengaran yang normal tanpa apa-apa halangan tidak termasuk dalam keharaman tersebut
  6. Niat semata-mata sebagai bacaan al-Quran atau meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir atau meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya.


Sehubungan itu, diharamkan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran dalam 3 keadaan iaitu;

  1. Apabila dia hanya meniatkan sebagai bacaan al-Quran
  2. Apabila dia meniatkan sebagai bacaan al-Quran bersama niat zikir
  3. Apabila dia meniatkan salah satu (al-Quran atau zikir) tanpa ditentukannya menurut pendapat yang muktamad

Walaubagaimanapun, terdapat 2 keadaan yang diharuskan bagi wanita yang haid dan nifas membaca al-Quran selagimana tidak meniatkannya beserta bacaan al-Quran iaitu;

  1. Apabila membaca ayat al-Quran tanpa meniatkan apa-apa (mutlak)
  2. Dengan niat sebagai zikir, peringatan, cerita, perlindungan, pendinding, perubatan atau doa.

Bagaimanapun, menurut Syeikh al-Ramli, Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Khatib al-Syirbini, keharusan ini adalah meliputi doa-doa atau zikir-zikir daripada ayat al-Quran yang mempunyai aturan daripada al-Quran (ayat-ayat al-Quran yang sememangnya diamalkan sebagai doa atau zikir pada waktu-waktu tertentu) mahupun yang tidak mempunyai aturan daripada al-Quran.

HUKUM WANITA HAID MENGAJAR AL-QURAN

Jika tujuan wanita haid itu membaca al-Quran bukan dengan niat sebagai bacaan al-Quran. Tetapi tujuannya adalah sekadar untuk mengajar atau membetulkan bacaan yang salah, maka dalam keadaan seperti ini ia diharuskan.

Disebutkan oleh al-Sayyid Abdurrahman Ba ’Alawi:

“Dan haram membaca al-Quran bagi seumpama orang junub dengan niat sebagai bacaan (al-Quran) walaupun disertai dengan niat lainnya. Tidak haram dengan secara mutlak (tiada niat apa-apa) menurut pendapat yang rajih (kuat). Dan juga tidak haram dengan niat selain bacaan (al-Quran) seumpama niat membetulkan bacaan yang tersalah, pembelajaran (ta‘lim), mendapat keberkatan (tabarruk) dan doa…”.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
Hasyiah Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj 
- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Hasyiah al-Bujairimi 
- Hasyiah al-Syarqawi
Sabil al-Muhtadin 
- Bughyah al-Tullab 
- Hasyiah al-Baijuri 
- Nihayah al-Zain 
- Busyra al-Karim 
- Fath al-‘Allam 
Bughyah al-Mustarsyidin
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Isnin, 7 November 2016

Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca “بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ” dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.


PANDUAN HUKUM : Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.
Alyasak Berhan

Hukum Membaca Takbir Semasa Khatam al-Quran.

Hukum bertakbir semasa mengkhatamkan al-Quran adalah sunat. Ianya adalah merupakan bacaan ahli Mekah yang terdiri daripada para fuqaha’ (ulamak feqah), para qurra’ (ulamak qiraat- khususnya yang mengikut qiraat Ibn Kathir) dan para muhaddithinnya (ulamak hadis). Bahkan, sebahagian ulamak qiraat seperti Abu al-Hasan al-Khabbazi, Abu al-Fadhl al-Razi, al-Huzali dan Abu al-‘Ala’ berpegang bahawa takbir ini dianjurkan juga oleh kesemua imam-imam qiraat termasuk riwayat Hafs (melalui tariq Tayyibah) dan inilah yang diamalkan.

Imam Ibn al-Jazari berkata:
وَوُرِيَ               عَنْ كُلِّهِمْ أَوَّلَ كُلٍّ يَسْتَوِيْ
“Dan diriwayatkan juga (takbir di antara surah) daripada mereka semua (qurra’) pada semua awal surah sama sahaja.”

Permulaan Takbir dan Pengakhirannya.

Menurut sebahagian ulamak, takbir bermula pada akhir Surah al-Dhuha dan berakhir pada akhir Surah al-Nas sepertimana yang dipegang oleh al-Dani di dalam kitab al-Taisir, Ibn Ghalbun di dalam kitab al-Tazkirah, al-Huzali di dalam kitab al-Kamil, Abu al-Karam al-Syahrazuri di dalam kitab al-Misbah, Ibn Khalf di dalam kitab al-‘Unwan dan lain-lain. Inilah pendapat yang rajih dan selalu diamalkan. Pendapat ini juga adalah pegangan majoriti ulamak al-Magharibah yang berpegang bahawa sesungguhnya takbir tersebut berada di akhir setiap surah.

Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ Selepas Selesai Membaca Akhir Surah Al-Tin dan Melakukan sujud tilawah selepas selesai membaca akhir Surah al-‘Alaq.

Antara perkara yang dianjurkan ketika pembaca selesai membaca akhir Surah al-Tin adalah membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ yang bermaksud: “Bahkan aku dalam kalangan orang-orang yang menyaksikan perkara tersebut”, sama ada di dalam solat ataupun di luar solatnya. Selain itu, dianjurkan juga melakukan sujud tilawah sama ada di luar solat mahupun di dalam solat ketika pembaca selesai membaca akhir Surah al-‘Alaq.

Mendahulukan Takbir Sebelum Membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ dan Sujud Sajdah Semasa Khatam al-Quran.

Justeru, bagi seseorang yang ingin melakukan sujud tilawah dan berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa takbir tersebut berada di akhir setiap surah sepertimana yang diamalkan, maka hendaklah dia bertakbir di akhir Surah al-‘Alaq sebelum bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tilawah tersebut. Kemudian apabila dia hendak menyambung bacaannya semula selepas daripada itu (membaca Surah al-Qadr), maka hendaklah dimulai dengan Basmalah tanpa diiringi dengan takbir.

Hal ini adalah sama sebagaimana seseorang yang ingin membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ setelah selesai membaca akhir Surah al-Tin dan berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa takbir tersebut berada di akhir setiap surah sepertimana yang diamalkan, maka hendaklah dia bertakbir di akhir Surah al-Tin sebelum membaca بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِيْنَ.

Inilah tertib bacaan yang telah dinukilkan dalam beberapa buah kitab rujukan kami. Mudah-mudahan menjadi petunjuk kepada mereka yang ingin melaksanakan majlis khatam al-Quran. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku “Khatam al-Quran dan Permasalahan yang berkaitan dengannya”.http://tolibilmi.blogspot.my/2015/11/buku-khatam-al-quran-dan-permasalahan.html
اليسع
Wallahu a’lam.



Selasa, 11 Oktober 2016

Sebab Perpindahan Wali Nasab

PANDUAN HUKUM : Sebab Perpindahan Wali Aqrab kepada Wali Ab’ad (Wali Nasab)
Alyasak bin Berhan

Wali Nasab terbahagi kepada dua iaitu wali aqrab dan wali ab'ad.

Wali aqrab adalah wali yang paling hampir berbanding wali yang jauh turutannya (wali ab’ad). Wali aqrab ini pula terbahagi kepada dua iaitu wali mujbir dan wali ikhtiyar/ghair mujbir.

Wali ab’ad adalah wali yang jauh turutannya berbanding wali yang paling hampir (wali aqrab).

Sebab Perpindahan Wali Nasab.

Disebutkan oleh Ibn ‘Imad dalam sebuah nazamnya (syair);

وَعَشْرَةٌ سَوَالِبُ الْوِلَايَهْ                                كُفْرٌ وفِسْقٌ وَالصِّبَا لِغَايَةْ     
رِقٌّ جُنُوْنٌ مُطْبِقٌ أَوِ الْخَبَلْ                            وَأَخْرَسٌ جَوَابُهُ قَدِ اقْتَفَلْ
ذُوْ عَتَهٍ نَظِيْرُهُ مُبَرْسَمُ                                 وَأَبْلَهٌ لَا يَهْتَدِيْ وَأَبْكَمُ
“Sepuluh perkara yang menyebabkan berpindah wali iaitu; kafir, fasiq, kanak-kanak (belum baligh), hamba, gila berterusan, rosak mental, bisu yang tidak mengerti (isyarat atau tulisan), kurang akal (dungu), kurang akal (البِرْسَام), dan “أبْلَه ” (dikuasai kelalaian sehingga tidak dapat membezakan antara sekufu dan bukan).”
Secara ringkasnya, terdapat 12 sebab yang menyebabkan perpindahan wali aqrab kepada wali ab’ad iaitu;

1.      Wali kafir
2.      Wali murtad
3.      Wali merupakan seorang hamba
4.      Wali belum baligh
5.      Wali hilang akal (gila)
6.      Wali yang terhalang urusan hartanya (المحجور عليه) kerana safih (سفيه) (dungu atau mereka yang membazirkan hartanya kepada perkara-perkara yang haram)
7.      Wali kurang akal / nyanyuk (walaupun sedikit)
8.      Wali khunsa musykil
9.      Wali bisu serta pekak dan tidak mengetahui bahasa isyarat serta tidak tahu menulis
10.  Wali mati
11.  Wali  fasiq

12.   Wali pengsan atau koma melebihi tiga hari menurut Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini 
اليسع
Wallahu a'lam.

Jumaat, 30 September 2016

Syarat-Syarat Wali Nikah


PANDUAN HUKUM : Syarat-Syarat Wali Nikah
Alyasak bin Berhan

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ
“Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” (Riwayat Abi Daud (2085), al-Tirmizi (1126), Ibn Majah (1881), Ahmad (19518) dan Ibn Hibban dalam Sahihnya (4077).

Oleh kerana wali merupakan salah satu rukun nikah, maka syarat-syarat sah menjadi wali perlulah dipenuhi. Disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Syatiri;
شُرُوْطُ وَلِيِّ النِّكَاحِ ثَمَانِيَةٌ: الاخْتِيَارُ, وَالْحُرِّيِّةُ, وَالذُّكُوْرَةُ, وَالتَّكْلِيْفُ, وَعَدَمُ الْفِسْقِ, وَعَدَمُ اخْتِلَالِ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ, وَعَدَمُ الْحَجْرِ بِالسَّفَهِ, وَعَدَمُ الإِحْرَامِ
“Syarat-syarat wali nikah ada 8 perkara iaitu; pilihan sendiri (tidak dipaksa), merdeka, lelaki, mukallaf, tidak fasiq, tiada kecacatan fikiran sama ada dengan sebab tua atau rosak fikiran (sakit), tidak terhalang urusan hartanya kerana safih (سفيه) dan tidak berihram.”
Justeru, wali nikah mestilah memenuhi 8 syarat-syarat berikut;

1.      Kerelaan Sendiri (tidak dipaksa)
2.      Merdeka (bukan hamba)
3.      Lelaki
4.      Mukallaf
4.1      Baligh
4.2      Berakal (waras)
4.3      Islam
4.4      Sejahtera pancaindera (سلامة الحواس)
5.      Tidak Fasiq
6.      Tiada Kecacatan Fikiran atau Mental (walaupun sedikit)
7.      Tidak Terhalang Urusan Hartanya Kerana Safih (سفيه) (dungu atau mereka yang membazirkan hartanya kepada perkara-perkara yang haram)

8.      Tidak Berihram 
اليسع
Wallahu a'lam.

Jumaat, 23 September 2016

Iddah Wanita yang Putus Haid Sebelum Mencapai Umur Ya’si (menopaus)

PANDUAN HUKUM: Iddah Wanita yang Putus Haid Sebelum Mencapai Umur Ya’si (menopaus).
Alyasak bin Berhan

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Tolibin;

وَمَنْ انْقَطَعَ دَمُهَا لِعِلَّةٍ كَرَضَاعٍ وَمَرَضٍ تَصْبِرُ حَتَّى تَحِيضَ أَوْ تَيْأَسَ فَبِالْأَشْهُرِ أَوْ لَا لِعِلَّةٍ فَكَذَا فِي الْجَدِيدِ وَفِي الْقَدِيمِ تَتَرَبَّصُ تِسْعَةَ أَشْهُرٍ وَفِي قَوْلٍ أَرْبَعَ سِنِينَ ثُمَّ تَعْتَدُّ بِالْأَشْهُرِ...

"Sesiapa yang darahnya terputus kerana sesuatu 'illat (sebab) seperti penyusuan dan sakit, hendaklah dia bersabar hingga dia berhaid atau mencapai umur ya’si (menopaus), maka kemudian beriddah dengan bulan. Atau bukan kerana sesuatu 'illat (sebab), maka seperti demikian itu menurut Qaul Jadid. Menurut Qaul Qadim, dia menunggu (beriddah) 9 bulan, dan menurut satu pendapat 4 tahun, kemudian dia beriddah dengan bulan...".

Justeru, iddah wanita yang pernah haid kemudian mengalami keputusan haid padahal dia belum mencapai umur ya’si (menopaus) terbahagi kepada dua keadaan iaitu;

Keadaan Pertama

Iaitu jika putus haid dengan sebab yang diketahui seperti kerana menyusukan anak, nifas, penyakit atau selainnya (yang diketahui puncanya) padahal dia belum mencapai umur ya’si (menopaus) lagi, maka hendaklah ditunggu hingga sebab tersebut hilang dan haidnya kembali semula. Kemudian hendaklah beriddah sebagaimana wanita normal yang kedatangan haid, iaitu beriddah 3 kali suci sekalipun terpaksa melalui tempoh yang lama. Inilah ketetapan yang telah difatwakan oleh Saidina Uthman radhiallahu anhu terhadap wanita yang menyusukan bayi pada zamannya sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi. Bahkan, menurut Abu Muhammad al-Juwaini, fatwa ini seolah-olah telah menjadi kesepakatan (ijmak sukuti) para sahabat radhiallahu anhum ketika itu. Justeru, pendapat inilah yang telah disepakati oleh ulamak mutaqaddimin dan mutaakkhirin mazhab Syafi’i sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Asykhor.

Walaubagaimanapun, jika wanita tersebut masuk umur ya’si (menopaus), maka hendaklah dia beriddah dengan 3 bulan.

Keadaan Kedua

Iaitu bagi wanita yang putus haid dan tidak diketahui sebabnya padahal dia belum mencapai umur ya’si (menopaus) dan dia juga telah dewasa, maka hendaklah ditunggu hingga haidnya kembali semula. Kemudian hendaklah beriddah sebagaimana wanita normal yang kedatangan haid, iaitu beriddah 3 kali suci. Namun, sekiranya haidnya tidak kembali semula selepas mengalami putus haid tersebut, maka terdapat 4 pendapat berkaitannya iaitu;

1. Qaul Jadid (pendapat Imam al-Syafi’i selepas beliau berada di Mesir)

Hendaklah dia bersabar (menunggu) hingga mencapai umur ya’si (menopaus), kemudian beriddah selama 3 bulan. Pendapat ini juga merupakan pendapat Mazhab Hanafi.

2. Qaul Qadim 1 (pendapat Imam al-Syafi’i sebelum beliau berada di Mesir) (9 bulan)

Hendaklah dia beriddah (menunggu) selama 6 bulan iaitu; tempoh paling singkat hamil (kemungkinan hamil) dan 3 bulan sebagaimana iddah yang ditetapkan bagi perempuan yang telah mencapai umur ya’si (menopaus). Hal ini adalah sekiranya dia tidak hamil. Namun, sekiranya dia hamil, maka iddahnya adalah hingga dia melahirkan anak atau keguguran.

3. Qaul Qadim 2 (pendapat Imam al-Syafi’i sebelum beliau berada di Mesir) (4 tahun 3 bulan)

Hendaklah dia beriddah (menunggu) selama 4 tahun iaitu; tempoh paling lama hamil (kemungkinan hamil) dan 3 bulan sebagaimana iddah yang ditetapkan bagi perempuan yang telah mencapai umur ya’si (menopaus). Hal ini adalah sekiranya dia tidak hamil. Namun, sekiranya dia hamil, maka iddahnya adalah hingga dia melahirkan anak atau keguguran.

4. Qaul Qadim 3 (pendapat Imam al-Syafi’i sebelum beliau berada di Mesir) (12 bulan)

Hendaklah dia beriddah (menunggu) selama setahun iaitu; 9 bulan untuk tempoh kebiasaan hamil (kemungkinan hamil) dan 3 bulan sebagaimana iddah yang ditetapkan bagi perempuan yang telah mencapai umur ya’si (menopaus). Hal ini adalah sekiranya dia tidak hamil. Namun, sekiranya dia hamil, maka iddahnya adalah hingga dia melahirkan anak atau keguguran.

Pendapat inilah yang telah difatwakan oleh Saidina Umar radhiallahu anhu. Ia juga merupakan pendapat yang telah dipilih oleh al-Bulqini, difatwakan oleh Ibn Abd Salam, al-Barizi, al-Hadhrami, Ibn Syakil, Ibn Kabban, Abu Hamisy dan Ibn Mutoir daripada kalangan ulamak mutaakkhirin Mazhab Syafi’i. Malah, pendapat ini juga merupakan pendapat Mazhab Maliki dan Hanbali.

Umur Ya'si (menopaus)

Terdapat sekurang-kurangnya tujuh pendapat berkaitan penetapan umur ya'si (menopaus) ini di sisi ulamak Mazhab Syafi’i sepertimana berikut;

1. 62 tahun hijri (Masyhur)
2. 60 tahun hijri
3. 50 tahun hijri
4. 70 tahun hijri
5. 85 tahun hijri
6. 90 tahun hijri
7. 50 tahun hijri bagi selain bangsa bangsa Arab dan 60 tahun hijri bagi bangsa Arab selain Quraisy.

Namun, berdasarkan pendapat yang masyhur, umur ya'si (menopaus) adalah 62 tahun hijri.
اليسع
Wallahu a’lam.

Rujukan;

- Tuhfah al-Muhtaj 236-237/8
- Nihayah al-Muhtaj 132-133/7
- Mughni al-Muhtaj 508-509/4
- Misykat al-Misbah 248-249
- Bughyah al-Mustarsyidin 236
- Al-Nuqul al-Sihah 248-250
- Ahkam al-'Iddah fi al-Islam 53-56

Rabu, 14 September 2016

Hukum Memberi Daging Korban Kepada Orang Kafir

PANDUAN HUKUM : HUKUM MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Alyasak bin Berhan

Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi`i, HARAM memberi daging korban, sama ada korban sunat atau korban wajib kepada kafir sekalipun kafir zimmi (Hasyiah al-Baijuri 451/2). Begitulah juga hukumnya dengan daging akikah. Malah, jika daging berkenaan diberikan juga kepada orang kafir, maka ia wajib diganti (Hasyiah al-Shabramallisi 141/8, al-Tarmasi 647/6).

(وَلَهُ ) أَيْ الْمُضَحِّي عَنْ نَفْسِهِ مَا لَمْ يَرْتَدَّ إذْ لَا يَجُوزُ لِكَافِرٍ الْأَكْلُ مِنْهَا مُطْلَقًا وَيُؤْخَذُ مِنْهُ أَنَّ الْفَقِيرَ وَالْمُهْدَى إلَيْهِ لَا يُطْعِمُهُ مِنْهَا وَيُوَجَّهُ بِأَنَّ الْقَصْدَ مِنْهَا إرْفَاقُ الْمُسْلِمِينَ بِأَكْلِهَا فَلَمْ يَجُزْ لَهُمْ تَمْكِينُ غَيْرِهِمْ مِنْهُ-تحفة المحتاج

"...dan harus bagi orang yang berkorban untuk dirinya (memakan sedikit daging korban) selagimana dia tidak murtad, kerana tidak harus (haram) bagi orang kafir memakan daging korban itu secara mutlak. Dan difahami daripada hal tersebut (tidak harus), sesungguhnya orang yang fakir dan orang yang mendapat hadiah korban (orang kaya) juga tidak harus memberi makan daging korbannya kepada orang kafir. Kerana tujuan daripada korban adalah menyantuni kaum muslimin dengan memberi makan. Maka tidak harus (haram) bagi mereka memberikannya kepada orang lain (orang kafir).”(Tuhfah al-Muhtaj 363/9)


وَخَرَجَ بِمَا مَرَّ مَا لَوْ ضَحَّى عَنْ غَيْرِهِ أَوْ ارْتَدَّ فَلَا يَجُوزُ لَهُ الْأَكْلُ مِنْهَا كَمَا لَا يَجُوزُ إطْعَامُ كَافِرٍ مِنْهَا مُطْلَقًا ، وَيُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ امْتِنَاعُ إعْطَاءِ الْفَقِيرِ وَالْمُهْدَى إلَيْهِ مِنْهَا شَيْئًا لِلْكَافِرِ ، إذْ الْقَصْدُ مِنْهَا إرْفَاقُ الْمُسْلِمِينَ بِالْأَكْلِ لِأَنَّهَا ضِيَافَةُ اللَّهِ لَهُمْ فَلَمْ يَجُزْ لَهُمْ تَمْكِينُ غَيْرِهِمْ مِنْهُ-نهاية المحتاج


"...dan keluar daripada penjelasan yang telah lalu (harus memakan sedikit daging korban untuk pemilik korban) iaitu jikalau seseorang menyembelih korban untuk orang lain atau orang yang menyembelih korban tersebut murtad, maka tidak harus (haram) baginya memakan daging korban itu sebagaimana tidak harus (haram) memberi makan orang kafir dengan daging korban tersebut secara mutlak. Dan difahami daripada hal tersebut iaitu tidak harus (haram) bagi orang yang fakir dan orang yang mendapat hadiah korban (orang kaya) memberikan korbannya kepada orang kafir pula. Kerana tujuan daripada korban adalah menyantuni kaum muslimin dengan memberi makan. Kerana korban itu adalah jamuan Allah bagi mereka, maka tidak harus (haram) bagi mereka memberikannya kepada orang lain (orang kafir).”(Nihayah al-Muhtaj 141/8)

فلا يجوز إعطاء شيء منها لكافر ولو من أضحية التطوع

"Maka tidak harus/tidak boleh (haram) memberikan sesuatu daripadanya (daging korban) kepada orang kafir walaupun daripada korban yang sunat."(Hasyiah al-Baijuri 452/2).


ويشترط فيهم أن يكونوا من المسلمين. أما غيرهم فلا يجوز إعطاؤهم منها شيئا

"...dan disyaratkan bahawa mereka yang menerima daging korban tersebut terdiri daripada orang-orang Islam. Adapun selain mereka (orang kafir) tidak harus diberikan sesuatu daripadanya (daging korban)."(Hasyiah I`anah al-Tolibin 379/2)


"......dan tiada harus (haram) memberikan dia (daging korban) bagi kafir......"(Sabil al-Muhtadin, 229/2).


"....Maka tiada harus (haram) diberi sesuatu daripada udhhiyyah kepada fakir dan miskin kafir zimmi hingga jikalau mengambil oleh fuqara' al-muslimin akan udhhiyyah atas jalan sedekah dan orang yang kayanya atas jalan hadiah, haram atas mereka itu bersedekah dan hadiah dengan sesuatu daripadanya (daripada udhhiyyah tadi) kepada kafir zimmi demikian lagi menjual kepada mereka itu."(Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Sofi 559).


“… haram hukumnya memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi”.(Matla’ al-Badrain 81).


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa tidak harus mengagih dan memberi makan daging Korban kepada orang bukan Islam.http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-korban



Hal ini disokong oleh sebuah hadis dhoif iaitu;


لَا تُطْعِمُوا الْمُشْرِكِينَ مِنْ لُحُومِ ضَحَايَاكُمْ -رواه ابن عدي في الكامل 1818/5 وهو ضعيف


"Janganlah engkau beri makan kepada orang-orang musyrik (kafir) daripada daging-daging korban kamu."

Pendapat Imam al-Nawawi

Walaubagaimanapun menurut Imam al-Nawawi harus daging korban sunat diberikan kepada orang kafir zimmi. Hal ini adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh beliau di dalam kitab al-Majmuk iaitu;


قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ أَجْمَعَتْ الْأُمَّةُ عَلَى جَوَازِ إطْعَامِ فُقَرَاءِ الْمُسْلِمِينَ مِنْ الْأُضْحِيَّةِ وَاخْتَلَفُوا فِي إطْعَامِ فُقَرَاءِ أَهْلِ الذِّمَّةِ فَرَخَّصَ فِيهِ الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَبُو ثَوْرٍ وَقَالَ مَالِكٌ غَيْرُهُمْ أَحَبُّ إلَيْنَا وَكَرِهَ مَالِكٌ أَيْضًا إعْطَاءَ النَّصْرَانِيِّ جِلْدَ الْأُضْحِيَّةِ أَوْ شَيْئًا مِنْ لَحْمِهَا وَكَرِهَهُ اللَّيْثُ قَالَ فَإِنْ طُبِخَ لَحْمُهَا فَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ الذِّمِّيِّ مَعَ الْمُسْلِمِينَ مِنْهُ هَذَا كَلَامُ ابْنِ الْمُنْذِرِ وَلَمْ أَرَ لِأَصْحَابِنَا كَلَامًا فِيهِ وَمُقْتَضَى الْمَذْهَبِ أَنَّهُ يَجُوزُ إطْعَامُهُمْ مِنْ ضَحِيَّةِ التَّطَوُّعِ دُونَ الْوَاجِبَةِ ا هـ

“Ibn al-Munzir berkata, “Telah disepakati oleh umat Islam bahawa harus memberikan daging korban kepada orang fakir miskin kaum muslimin. Tetapi mereka berbeza pendapat tentang hukum memberi makan kepada fakir miskin ahli zimmah (kafir zimmi). Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Thaur membolehkannya. Sedangkan Malik mengatakan, “Yang selain mereka (kafir zimmi) itu lebih kami sukai.” Malik juga tidak suka (memakruhkan) memberikan kulit haiwan korban kepada orang Nasrani atau sedikitpun daripada dagingnya. Begitupun al-Laith (juga memakruhkan), tapi dia mengatakan kalau dagingnya sudah dimasak maka tiada masalah orang kafir zimmi makan bersama kaum muslimin.”Ini adalah pernyataan Ibn al-Munzir. 
Namun saya (al-Nawawi) belum pernah melihat pernyataan daripada para ashab kami dalam hal ini. Dan menurut ketentuan mazhab, bahawa sesungguhnya harus memberikan makan kepada mereka (zimmi), daripada korban sunat bukan korban yang wajib."(al-Majmuk 404/8).


Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa, keharusan tersebut adalah merujuk kepada golongan kafir ZIMMI sahaja dan bukanlah kafir selainnya. Namun, pendapat ini merupakan pendapat yang dhaif dalam mazhab Syafi'i (Hasyiah al-Rasyidi 141/8, Hasyiah al-Syarwani 363/9).

Bahkan, dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini, 'non muslim' di sini tidak harus untuk diberikan daging korban atau akikah kerana mereka tidak memenuhi kriteria sebagai kafir zimmi menurut syarak. Hal ini kerana, menurut Syeikh Abdul Qadir al-Mandili zimmi adalah merujuk kepada golongan kafir yang diberikan keamanan atas darah dan harta mereka serta mereka dikehendaki membayar jizyah. Selain itu, tidak layak dikategorikan sebagai zimmi melainkan daripada golongan ahli kitab dan majusi (Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah 131-132, Islam Agama dan Kedaulatan 41-42).


Oleh kerana itulah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa tidak harus mengagih dan memberi makan daging Korban kepada orang bukan Islam.
اليسع

Wallahu a'lam.