Khamis, 17 Mei 2018

Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa


PANDUAN HUKUM: Ringkasan Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa.
Alyasak Berhan

Ulama berbeza pandangan mengenai hukum menggunakan jarum suntikan bagi orang yang sedang berpuasa sepertimana berikut:

Pendapat Pertama.

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa secara mutlak tanpa dibezakan antara suntikan melalui otot (intramuscular) atau suntikan melalui pembuluh darah (intravena). Ini kerana, setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga melalui lubang yang terbuka atau yang baru terbuka dikira sebagai perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Salim Sa‘id Bukayyir Ba Ghithan (Mantan Ketua Majlis Fatwa Tareem, Hadhramaut), Syeikh Muhammad Najib al-Muti‘ei (pengarang Takmilah al-Majmuk), Syeikh Muhammad ‘Awadh Ba Wazir dan Syeikh Ahmad Sa‘id al-Suyuti.

Pendapat Kedua.

Menggunakan jarum suntikan tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga bukan melalui lubang yang terbuka tidak membatalkan puasa. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam perkara yang boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga). Ini adalah pandangan Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘ei al-Hanafi (Mantan Mufti Mesir), Syeikh Abdul Rahman Taj (Mantan Syeikh al-Azhar), Syeikh Abdullah ‘Awadh Bukayyir al-Kindi (Mantan Qadhi Hadhramaut), al-Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad bin Salim al-Kidadi al-Baihawi, Syeikh Mahmud Syaltut (Mantan Syeikh al-Azhar), Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi, Dr. Muhammad Hasan Hito al-Azhari, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dar Ifta' Mesir.

Menurut al-faqir, pendapat kedua ini lebih mudah untuk diamalkan berbanding pendapat-pendapat yang lain.  

Pendapat Ketiga. 

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa jika suntikan tersebut dilakukan melalui pembuluh darah (intravena) sama ia boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga) atau hanya digunakan sebagai ubat.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan melalui otot (intramuscular), maka ia tidak membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (Mantan Qadhi Hadhramaut), al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait, al-Sayyid Hasan bin Ahmad al-Kaf, Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Hasan Ba Harun dan Dar Ifta' Jordan.

Menurut al-faqir, pendapat ketiga ini lebih cermat (ihtiyat) untuk diamalkan dan hujahnya juga lebih jelas.

Pendapat Keempat.

Jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan perubatan sama ada melalui otot (intramuscular) atau melalui pembuluh darah (intravena), maka ia tidak membatalkan puasa.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan mengenyangkan (menghasilkan tenaga) kepada orang yang berpuasa, maka ia boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan fatwa Bahagian Fatwa dan Penyelidikan Kementerian Wakaf Emiriah Arab Bersatu.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan