Rabu, 27 Julai 2016

Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Quran kepada Arwah Menurut Pandangan Ulamak Mazhab Syafi’i.


Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Quran kepada Arwah Menurut Pandangan Ulamak Mazhab Syafi’i.
Alyasak Berhan

Permasalahan ini merupakan salah satu daripada masalah-masalah khilafiyyah yang tidak disepakati oleh ulamak-ulamak terdahulu. Secara kesimpulannya, terdapat dua pendapat ulamak Mazhab Syafi’i berkaitannya sepertimana berikut;

Pendapat pertama

Menurut pendapat al-Masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i, pahala bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada arwah. Walaubagaimanapun, pendapat ini merupakan pendapat yang dhaif di sisi ulamak mutaakkhirin Mazhab al-Syafi’i.

Maklumat berkaitan Qaul al-Masyhur ini boleh dirujuk pada link; 

Pendapat kedua.

Menurut pandangan sebahagian besar ulamak Mazhab al-Syafi’i mengatakan harus menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada arwah. Pendapat ini adalah merupakan pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi’i.

Antara ulamak Mazhab al-Syafi’i yang berpegang dengan pendapat ini adalah seperti Ibn Solah, al-Muhib al-Tobari, al-Subki, Ibn Abi al-Dam, pengarang al-Zakhair dan Ibn Abi ‘Asrun. Sesungguhnya Imam al-Syafi’i telah menganjurkan supaya dibacakan al-Quran di sisi mayat dan berdoa selepas bacaan tersebut supaya pahala bacaan al-Quran sampai kepada arwah. Ini kerana berdoa ketika itu adalah lebih diharapkan penerimaannya serta diharapkan juga supaya arwah akan memperolehi keberkatan daripada bacaan tersebut sepertimana yang diperolehi oleh orang yang masih hidup.

Oleh kerana ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa doa kepada arwah adalah harus dan dapat memberi manfaat kepadanya (sampai kepada arwah), maka sayugialah kepada pembaca supaya berdoa selepas bacaan al-Quran tersebut agar pahalanya sampai kepada arwah seperti contoh:
اللَّهُمَّ أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُ لِفُلاَنٍ ...
“Ya Allah, sampaikanlah pahala (sepertimana pahala) apa yang telah aku bacakan ini bagi (kepada) fulan…..”
Ulamak Mazhab al-Syafi’i mengihtimalkan (mengandaikan) pendapat al-Masyhur Mazhab al-Syafi’i yang menghukumkan pahala bacaan al-Quran tersebut tidak sampai kepada arwah adalah sekiranya;

a)      Ia dibaca bukan di sisi mayat atau 
b)      pembaca tidak meniatkan pahala bacaan tersebut dihadiahkan kepada arwah atau
c)   pembaca hanya meniatkan pahala tersebut sampai kepada arwah tanpa berdoa selepasnya.

Oleh itu, menurut Syeikh al-Ramli pahala bacaan al-Quran boleh memberi manfaat kepada arwah (sampai pahala bacaannya) jika terdapat salah satu daripada tiga perkara iaitu;

a)      Pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya.
b)   Berdoa untuk arwah sesudah membaca al-Quran yakni memohon agar disampaikan pahala bacaan tersebut kepada arwah (walaupun jauh daripada mayat atau kubur).
c)      Meniatkan pahala bacaan itu sampai kepada arwah.

Menurut Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari pula, pahala bacaan al-Quran tidak boleh memberi manfaat (tidak sampai pahala bacaannya) kepada arwah  jika terdapat salah satu daripada dua perkara iaitu;

a)      Pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya tanpa meniatkan pahala tersebut untuk arwah atau
b)     pembacaan dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya serta pembaca hanya berniat sahaja supaya pahala sampai kepada arwah tanpa berdoa sesudah membaca al-Quran tersebut.

Justeru itu, berdasarkan pendapat Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ini pahala bacaan al-Quran hanya boleh memberi manfaat kepada arwah (sampai pahala bacaannya) jika;

a)      Sekiranya pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya, maka pembaca mestilah meniatkan pahala tersebut untuk arwah.
b)      Sekiranya  pembacaan dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya, maka pembaca mestilah berniat dan berdoa sesudah membaca al-Quran tersebut supaya pahala bacaan sampai kepada arwah.


Oleh itu, sekiranya pembacaan dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya dan pembaca hanya meniatkan pahala tersebut untuk arwah tanpa diiringi dengan doa, maka menurut Syeikh al-Ramli pahala bacaan al-Quran boleh memberi manfaat kepada arwah (sampai pahala bacaannya). Menurut Syeikh Ibn Hajar pula, hanya hasil pahala manfaat sahaja (disempurnakan rahmat daripada bacaan al-Quran tersebut) bukannya pahala bacaan (kepada arwah).
اليسع
ًWallahu A'lam.

Rujukan;

Khatam al-Quran dan Permasalahan yang berkaitan dengannya. (Julai, 2014) http://tolibilmi.blogspot.my/2015/11/buku-khatam-al-quran-dan-permasalahan.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan