Selasa, 10 Julai 2018

Hukum Mengucapkan Sayyidina Ketika Tasyahhud Menurut Ulama Mazhab Syafi‘i

PANDUAN HUKUM: Hukum Mengucapkan Sayyidina Ketika Tasyahhud Menurut Ulama Mazhab Syafi‘i.
Alyasak bin Berhan

Ulama Mazhab Syafi‘i berbeza pandangan mengenai hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud sepertimana berikut;

1) Menurut pendapat Syeikh al-Khatib al-Syirbini, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak sunat kerana mengikut lafaz asal yang didatangkan (warid) dalam hadis.

2) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh Ba Fadhl dan Syeikh Zainuddin al-Malibari, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak mengapa (harus).

3) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam al-I‘ab, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah lebih utama (awla) berbanding tidak mengucapkannya.

4) Menurut Syeikh Jalaluddin al-Mahalli dan Syeikh al-Ramli, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah sunat (afdal) kerana meraikan adab dan sopan santun kepada Nabi sollallahu alaihi wa sallam. Pendapat inilah yang telah dipegang oleh kebanyakan ulama mutaakkhirin seperti Syeikh al-Zayyadi, Syeikh al-Halabi, Syeikh al-Jamal, Syeikh al-Baijuri, Syeikh al-Jurdani, Syeikh al-Syarwani dan lain-lain.

Bahkan, menurut Syeikh Said Ba ‘Asyan, sayugia juga ditambah lafaz sayyidina ketika mengucapkan nama Nabi Ibrahim alaihhissalam semasa tasyahhud akhir.

Justeru, berdasarkan pendapat-pendapat di atas dapat difahami bahawa tiada seorang pun daripada ulama Mazhab Syafi‘i yang mengatakan bahawa menambah sayyidina semasa tasyahhud hukumnya haram atau makruh, jauh sekali yang mengatakan ianya bidaah. Malah, menurut kebanyakan ulama Mazhab Syafi‘i ia termasuk dalam perkara-perkara yang dianjurkan semasa berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam ketika tasyahhud.

Ini bertepatan dengan kenyataan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ ءَادَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

“Saya adalah sayyid (penghulu) anak adam pada hari kiamat. Orang yang pertama bangkit dari kubur, yang pertama memberikan syafaat dan yang pertama kali diberi hak untuk memberikan syafaat.” (Riwayat Muslim).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Hasyiah al-Jamal
- Ibn Qasim al-‘Abbadi 
- Busyra al-Karim 
- Tarsyih al-Mustafidin 
- Fath al-‘Ali 
- Hasyiah al-Tarmasi 
- Al-Manhal al-Nadhdhakh 
- Hasyiah al-Baijuri 
- Fath al-‘Allam 
- Hasyiah al-Syarwani 

Khamis, 17 Mei 2018

Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa


PANDUAN HUKUM: Ringkasan Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa.
Alyasak Berhan

Ulama berbeza pandangan mengenai hukum menggunakan jarum suntikan bagi orang yang sedang berpuasa sepertimana berikut:

Pendapat Pertama.

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa secara mutlak tanpa dibezakan antara suntikan melalui otot (intramuscular) atau suntikan melalui pembuluh darah (intravena). Ini kerana, setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga melalui lubang yang terbuka atau yang baru terbuka dikira sebagai perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Salim Sa‘id Bukayyir Ba Ghithan (mantan Ketua Majlis Fatwa Tareem, Hadhramaut), Syeikh Muhammad Najib al-Muti‘ei (pengarang Takmilah al-Majmuk), Syeikh Muhammad ‘Awadh Ba Wazir dan Syeikh Ahmad Sa‘id al-Suyuti.

Pendapat Kedua.

Menggunakan jarum suntikan tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga bukan melalui lubang yang terbuka tidak membatalkan puasa. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam perkara yang boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga). Ini adalah pandangan Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘ei al-Hanafi (mantan Mufti Mesir), Syeikh Abdul Rahman Taj (mantan Syeikh al-Azhar), Syeikh Abdullah ‘Awadh Bukayyir al-Kindi (mantan Qadhi Hadhramaut), Syeikh Ismail bin Abdullah al-Makhayi (mantan Mufti Bait al-Faqih, Tihamah), al-Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad bin Salim al-Kidadi al-Baihawi, Syeikh Mahmud Syaltut (mantan Syeikh al-Azhar), Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi, Dr. Muhammad Hasan Hito al-Azhari, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dar Ifta' Mesir.

Menurut al-faqir, pendapat kedua ini lebih mudah untuk diamalkan berbanding pendapat-pendapat yang lain.  

Pendapat Ketiga. 

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa jika suntikan tersebut dilakukan melalui pembuluh darah (intravena) sama ia boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga) atau hanya digunakan sebagai ubat.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan melalui otot (intramuscular), maka ia tidak membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (mantan Qadhi Hadhramaut), al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait, al-Sayyid Hasan bin Ahmad al-Kaf, Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Hasan Ba Harun dan Dar Ifta' Jordan.

Menurut al-faqir, pendapat ketiga ini lebih cermat (ihtiyat) untuk diamalkan dan hujahnya juga lebih jelas.

Pendapat Keempat.

Jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan perubatan sama ada melalui otot (intramuscular) atau melalui pembuluh darah (intravena), maka ia tidak membatalkan puasa.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan mengenyangkan (menghasilkan tenaga) kepada orang yang berpuasa, maka ia boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan fatwa Bahagian Fatwa dan Penyelidikan Kementerian Wakaf Emiriah Arab Bersatu.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Selasa, 15 Mei 2018

ZAKAT FITRAH DENGAN DUIT


PANDUAN HUKUM : Mengeluarkan Zakat Fitrah dalam Bentuk Duit
Alyasak Berhan

Mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan asasi adalah perintah asal yang telah disebutkan secara jelas di dalam hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam dan ini adalah pegangan majoriti fuqaha’ (ulama fiqah). Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

"Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah iaitu satu gantang daripada kurma, atau satu gantang daripada sya’ir (gandum), ke atas setiap hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan besar daripada kaum muslimin. Baginda juga memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum manusia keluar menunaikan solat (sunat Aidul Fitri)."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, terdapat juga sebahagian mereka yang mengharuskan pengeluaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang seperti ulama Mazhab Hanafi, sebahagian tabi‘in seperti al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz dan al-Thauri serta satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Manakala menurut Ishaq dan Abu Thaur, tidak harus mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang melainkan ketika darurat.

Justeru, mengeluarkan zakat fitrah dengan duit adalah tidak sah mengikut Mazhab Syafi‘i jika diniatkan duit itu sebagai zakat fitrah. Namun, makanan asasi tersebut harus digantikan dengan duit, dengan niat ‘sebagai ganti’ kepada makanan asasi yang wajib dikeluarkannya. Syeikh Syihab al-Ramli pernah menfatwakan bahawa harus bertaqlid kepada Mazhab Hanafi dalam masalah mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ‘sebagai ganti’ makanan asasi tersebut. Justeru, jika seseorang mengeluarkan zakat dalam bentuk duit, maka niatnya adalah seperti, 'ini duit ganti beras fitrah yang wajib atas diriku', 'inilah nilai harga beras fitrah yang wajib atas diriku'.

Selain itu, keharusan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk duit ‘sebagai ganti’ makanan asasi ini adalah kerana darurat (keperluan) dan kehendak daripada pemerintah. Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَمِنْ مَوَاضِعِ الضَّرُورَةِ الَّتِي تُجْزِئُ فِيهَا الْقِيمَةُ مَا إذَا أَلْزَمَهُمْ السُّلْطَانُ بِالْقِيمَةِ ، وَأَخَذَهَا مِنْهُمْ فَإِنَّهَا تُجْزِئُهُمْ

“Di antara tempat-tempat darurat yang memadai padanya nilaian matawang adalah apabila mereka diperintahkan oleh raja berzakat dengan nilaian matawang dan dipungutnya daripada orang ramai, maka sesungguhnya ia memadai daripada mereka itu (sah)…”.

Sehubungan itu, antara maslahat pembayaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ini dilaksanakan oleh pemerintah adalah:

  1. Asnaf yang lapan terutamanya golongan fakir dan miskin lebih gemar menerima duit berbanding beras.
  2. Kesukaran untuk menyimpan dan memelihara beras tersebut setelah ia telah dikumpulkan berbanding duit.
  3. Kos pemindahan dan penyimpanan yang diperlukan akan diambil daripada beras. Ini akan merugikan penerima zakat.
  4. Menyimpan duit lebih selamat daripada menyimpan beras.
  5. Beras akan menjadi rosak jika disimpan lama berbanding duit.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
- Al-Fatawa al-Ramli
- Al-Itharah 
- Kitab al-Siyam

Isnin, 7 Mei 2018

Syarat Sah Jemaah di Dalam Masjid


PANDUAN HUKUM: Ringkasan Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Masjid.
Alyasak bin Berhan

Berdasarkan ijmak ulama, salah satu syarat sah qudwah (mengikut imam) adalah mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya sama ada berjemaah di dalam masjid atau selainnya. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imam tersebut boleh terhasil melalui mendengar suara imam, atau melihat perbuatan imam. Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فِي حُجْرَتِهِ وَجِدَارُ الْحُجْرَةِ قَصِيرٌ فَرَأَى النَّاسُ شَخْصَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ أُنَاسٌ يُصَلُّونَ بِصَلَاتِهِ

"Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek (rendah), sehingga orang-orang dapat melihat Nabi sollallahu alaihi wa sallam, maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya..."(Riwayat al-Bukhari).

Selain itu, disyaratkan juga imam dan makmum tersebut berhimpun di sesuatu tempat. Disebutkan dalam Fath al-Muin:

وَمِنْهَا اجْتِمَاعُهُمَا أَيْ الإِمَامُ وَالْمَأْمُوْمُ بِمَكَانٍ كَمَا عُهِدَ عَلَيْهِ الجَمَاعَاتُ فِي الْعَصْرِ الْخَالِيَةِ

"Dan daripadanya (syarat sah qudwah) adalah berhimpun keduanya, iaitu imam dan makmum pada satu tempat sepertimana himpunan yang telah dilaksanakan oleh para jemaah pada zaman lalu..."

Sehubungan itu, antara syarat sah qudwah di dalam sesebuah masjid secara ringkasnya adalah sepertimana berikut;

a. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya berdasarkan ijmak ulama.

b. Disyaratkan tiada halangan untuk sampai kepada imam walaupun berbelok-belok (berkelok-kelok/berliku-liku) sehingga membelakangi kiblat sepertimana yang telah ditarjih oleh Ibn Qadhi dan yang telah disebutkan secara jelas dalam Hasyiah bagi Nihayah al-Muhtaj serta Hasyiah bagi Syarh al-Mahalli.

Selain itu, disyaratkan juga laluan tersebut boleh dilalui dengan berjalan biasa tanpa perlu melompat, menunduk sehingga sampai kepada had seseorang yang rukuk, berpaut atau jalan mengiring kerana laluan yang sempit.

Justeru, pintu yang ditutup atau dikunci tidak menjejaskan qudwah kecuali pintu yang dipaku atau dipateri. Hal ini kerana, disyaratkan bahawa dua binaan yang ada di dalam masjid mestilah boleh ditembusi atau dilalui antara keduanya walaupun pintu itu tertutup atau berkunci. Adapun, sudut masjid yang bersambung dan terbuka antara keduanya dihukumkan sebagai masjid yang satu. Justeru, ia tidak menjejaskan qudwah.

Selain itu, tidak disyaratkan juga makmum mesti nampak imam/makmum yang terakhir.

c. Tiada had jarak antara imam/makmum yang terakhir dengan makmum yang mengikut jemaah di belakang berdasarkan ijmak kaum muslimin. 

Walau bagaimanapun, jarak di antara imam dan saf pertama serta jarak antara tiap-tiap saf di belakangnya daripada jemaah lelaki sunat tidak melebihi 3 hasta (1 hasta bersamaan dengan 61.834 cm).
اليسع 
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah I‘anah al-Talibin
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Fath al-‘Allam
- Al-Fatawa al-Fataniyyah
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Jumaat, 23 Februari 2018

Syarat Sah Jemaah Dalam Bangunan Selain Masjid

PANDUAN HUKUM: Ringkasan Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Bangunan Selain Masjid.
Alyasak bin Berhan

Berikut adalah keterangan ringkas berkaitan syarat-syarat sah jemaah di dalam bangunan selain masjid:

a. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya berdasarkan ijmak ulama.

b. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa tanpa berbelok-belok (berkelok-kelok/berliku-liku) sehingga berpaling dari kiblat (membelakangi kiblat).

Sehubungan itu, jika terdapat halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya sekalipun ia tidak menghalang pandangan makmum tersebut seperti jendela, jaring-jaring, cermin dan seumpamanya, maka ia tetap tidak sah kerana di antara jemaah tersebut terdapat halangan yang menghalang untuk dilalui oleh makmum. Ia seumpama hukum dinding.

c. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir. Halangan tersebut termasuklah dinding, tirai atau tabir tebal yang dilabuhkan sehingga ia boleh menghalang pandangan makmum dan pintu yang tertutup sekalipun ia tidak dikunci serta boleh dilalui oleh makmum. Hal ini adalah kerana ia boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir.

Namun, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, jika tirai atau tabir tersebut jarang (nipis) sekira-kira ia tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir, maka sayugia dihukumkan sah qudwah (mengikut imam) tersebut. Ini kerana, ia tidak menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa, tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir dan tidak menghalang mereka daripada sempurna berhimpun di sesuatu tempat.

d. Menurut Syeikh Abdullah Basudan dan Syeikh al-Sayyid Abdul Rahman al-Masyhur, disyaratkan juga pandangan tersebut adalah dari tempat yang boleh dilalui oleh makmum.

e. Disyaratkan jarak mereka tidak terlalu jauh menurut majoriti ulama. Ditetapkan oleh Imam Syafi'i, jarak tersebut hendaklah tidak melebihi 3 ratus hasta (150 meter).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan;

Al-Majmuk
Hasyiah I‘anah al-Talibin
Bughyah al-Mustarsyidin
Fath al-‘Allam
Al-Fatawa al-Fataniyyah
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Jumaat, 29 Disember 2017

10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR SURAH AL-KAHFI BENTENG DAJJAL

AMALKAN 10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR DARIPADA SURAH AL-KAHFI SEBAGAI BENTENG DARIPADA FITNAH DAJJAL.
Alyasak Berhan

1) Hafaz 10 ayat awal Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa menghafaz sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada (fitnah) dajjal.”(Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam‘an radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sollallahualaihi wa sallam bersabda :

فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ 
“Barangsiapa di antara kamu mendapati zamannya (dajjal), maka bacakan ke atasnya pendahuluan (awal) Surah al-Kahfi.”(Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

2) Baca 10 ayat akhir Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada akhir Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada fitnah dajjal.”(Riwayat Ibn Hibban dan Ahmad).

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu anhu, dia berkata, Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

وَمَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِهَا،ثُمَّ خَرَجَ الدَّجَّالُ لَمْ يُسَلِّطْ عَلَيْهِ 
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat daripada akhirnya (Surah al-Kahfi), kemudian dajjal keluar, nescaya ia (dajjal) tidak akan dapat menguasainya (pembaca).”(Riwayat al-Hakim, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra. Ia dinilai sahih oleh Imam al-Hakim atas syarat Imam Muslim dan dipersetujui oleh Imam al-Zahabi).

Imam al-Nawawi berkata : 
"Dikatakan sebab yang demikian itu adalah kerana di awal surahnya terkandung perkara-perkara yang menakjubkan dan tanda-tanda kekuasaan Allah Taala. Justeru, sesiapa yang mentadabburkannya, nescaya dia tidak akan terkena fitnah dajjal. Begitu juga yang terdapat pada 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ; 
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ

“Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil (hamba-hamba Ku menjadi penolong selain Aku)”(Surah al-Kahfi : 102)."

Mudah-mudahan kita terpelihara daripada fitnah dajjal tersebut.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-dajjal”.(Riwayat Muslim).

PERINGATAN:

a) Menurut pengiraan ulama Hijazi (Madani Awwal, Madani Akhir dan Makki), sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِلْكَافِرِينَ عَرْضًا
(Surah al-Kahfi ayat 100).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai satu ayat yang sama, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

b) Menurut pengiraan ulama Syami (Dimasyqi dan Himsi) dan Iraqi (Basri dan Kufi) pula, sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَنْ ذِكْرِي وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 101).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai dua ayat yang berlainan, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
(Surah al-Kahfi ayat 103).

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 104).

Hal ini disebutkan oleh Imam Abu al-Qasim al-Syatibi dalam nazamnya :

وَلِلصَّدْرِ أَعْمَالًا فَدَعْهُ لَدَى الْخَسْرِ
“Dan bagi ulama Hijazi (صدر) padaأَعْمَالًاyang di sisinya adaبِالْأَخْسَرِينَ(Surah al-Kahfi ayat 103), maka mereka tidak mengiranya satu ayat.”

Syeikh Muhammad al-Mutawalli juga berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا العِرَاقِ مَعْ شَامِيِّ
“Pada أَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Iraqi serta Syami mengiranya satu ayat.”

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا الشَّامِي مَعَ الْعِرَاقِ عَدْ
“Padaأَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Syami serta Iraqi mengiranya satu ayat.”

Justeru, saya berpandangan bahawa adalah lebih cermat pendapat yang pertama (Hijazi) di atas diamalkan demi untuk meraikan perbezaan kiraan 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ini. Sekaligus, kedua-dua perbezaan ini dapat dihimpunkan dan diamalkan.  
اليسع
Wallahu a'lam.

Jom kita amalkan...


Isnin, 30 Oktober 2017

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i, jumlah penyusuan yang memenuhi syarat seseorang bayi boleh dihukumkan sebagai anak susuan kepada wanita yang menyusukannya adalah sebanyak 5 kali penyusuan yang berasingan. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna Aisyah Radhiallahu anha, katanya:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْءَانِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ. ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْءَانِ
“Ayat al-Quran yang turun adalah 10 kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian dimansuhkan dengan 5 kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam wafat, ayat yang dimansuhkan ini masih dibaca sebagai sebahagian daripada ayat al-Quran.”(Riwayat Muslim).

Namun, sering terdengar daripada mulut beberapa tokoh-tokoh agamawan negara tatkala mereka menyebut tentang penyusuan yang mensabitkan mahram; “nak jadi anak susuan, mestilah bayi tersebut menyusu sebanyak 5 kali kenyang.” Malah, lebih membingungkan ada antara pihak-pihak berautoriti dalam bidang fatwa pun senada dengan ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini.

Timbul persoalan, benarkah ‘kenyang’ menjadi prasyarat seseorang bayi itu boleh disabitkan sebagai anak susuan???

Sehingga kini, kami masih tercari-cari rujukan muktabar Mazhab Syafi‘i yang menjadikan ‘kenyang’ sebagai salah satu syarat dalam setiap penyusuan tersebut.

Jika dirujuk kalam beberapa tokoh ulama Mazhab Syafi‘i seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, beliau berkata :

"Penanda aras 5 kali susuan itu adalah berdasarkan uruf (adat), SEKALIPUN TIDAK KENYANG..."

Syeikh Ibrahim al-Baijuri (Syeikh al-Azhar ke-19) berkata : 

"…diambilkira iaitu, sekalipun tempoh penyusuan tersebut terlalu lama atau terlalu singkat, sekalipun dalam setiap penyusuan tersebut tidak terhasil melainkan setitik. Maka TIDAK disyaratkan keadaannya mengenyangkan."

Disebutkan oleh Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz al-‘Alawi (ayahanda Habib Omar):

"Ukuran 5 kali susuan (yang berasingan) tersebut adalah berdasarkan uruf SEKALIPUN TIDAK MENGENYANGKAN."

Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata :

“…maka kaifiatnya dirujukkan kepada uruf, dengan seumpama keadaannya satu susuan yang sempurna WALAUPUN SUSUAN TERSEBUT TIDAK MENGEYANGKAN…” 

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf pula menyatakan :

TIDAK DISYARATKAN KENYANG DI SINI (bab penyusuan). Justeru, yang diambilkira adalah susu tersebut sampai ke dalam rongga bayi walaupun 5 titik yang berasingan.”

Berdasarkan beberapa kenyataan di atas, nyata dan terang disebut bahawa ‘kenyang’ bukanlah prasyarat dalam setiap 5 susuan tersebut. Bahkan, seandainya susu yang diminum oleh bayi berkenaan hanya sekadar setitik bagi setiap penyusuan tersebut sekalipun. Ia sudah cukup untuk menjadikan bayi itu sebagai anak susuan wanita yang menyusukannya.

Justeru, kami mempersilakan tok-tok guru dan asatizah yang pernah terjumpa ibarat kitab-kitab muktabar yang menyokong ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini, mohon jasabaik tuan-tuan untuk memaklumkan kami supaya tulisan ringkas ini dapat diperbetulkan dan ditambahbaik. Namun, jika sebaliknya maka diharapkan agar tulisan ini dapat dipanjang-panjangkan. Mudah-mudahan kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini dapat diperbetulkan. Sekian.
اليسع

Wallahu a‘lam.