PANDUAN HUKUM: Hukum Mengucapkan Sayyidina Ketika Tasyahhud Menurut Ulama Mazhab Syafi‘i.
Alyasak bin Berhan
Ulama Mazhab Syafi‘i berbeza pandangan mengenai hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud sepertimana berikut;
1) Menurut pendapat Syeikh al-Khatib al-Syirbini, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak sunat kerana mengikut lafaz asal yang didatangkan (warid) dalam hadis.
2) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh Ba Fadhl dan Syeikh Zainuddin al-Malibari, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak mengapa (harus).
3) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam al-I‘ab, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah lebih utama (awla) berbanding tidak mengucapkannya.
4) Menurut Syeikh Jalaluddin al-Mahalli dan Syeikh al-Ramli, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah sunat (afdal) kerana meraikan adab dan sopan santun kepada Nabi sollallahu alaihi wa sallam. Pendapat inilah yang telah dipegang oleh kebanyakan ulama mutaakkhirin seperti Syeikh al-Zayyadi, Syeikh al-Halabi, Syeikh al-Jamal, Syeikh al-Baijuri, Syeikh al-Jurdani, Syeikh al-Syarwani dan lain-lain.
Bahkan, menurut Syeikh Sa‘id Ba ‘Asyan, sayugia juga ditambah lafaz sayyidina ketika mengucapkan nama Nabi Ibrahim alaihhissalam semasa tasyahhud akhir.
Justeru, berdasarkan pendapat-pendapat di atas dapat difahami bahawa tiada seorang pun daripada ulama Mazhab Syafi‘i yang mengatakan bahawa menambah sayyidina semasa tasyahhud hukumnya haram atau makruh, jauh sekali yang mengatakan ianya bidaah. Malah, menurut kebanyakan ulama Mazhab Syafi‘i ia termasuk dalam perkara-perkara yang dianjurkan semasa berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam ketika tasyahhud.
Ini bertepatan dengan kenyataan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;
أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ ءَادَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
“Saya adalah sayyid (penghulu) anak adam pada hari kiamat. Orang yang pertama bangkit dari kubur, yang pertama memberikan syafaat dan yang pertama kali diberi hak untuk memberikan syafaat.” (Riwayat Muslim).
اليسع
Wallahu a‘lam.
Rujukan
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah al-Jamal
- Ibn Qasim al-‘Abbadi
- Ibn Qasim al-‘Abbadi
- Busyra al-Karim
- Tarsyih al-Mustafidin
- Fath al-‘Ali
- Hasyiah al-Tarmasi
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
- Hasyiah al-Baijuri
- Fath al-‘Allam
- Hasyiah al-Syarwani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan