Isnin, 8 Mei 2017

HUKUM PEREMPUAN HAID MEMASUKI MASJID

PANDUAN HUKUM: HUKUM PEREMPUAN HAID MEMASUKI MASJID
Alyasak bin Berhan

Terdapat dua permasalahan utama berkaitan hukum perempuan haid memasuki masjid iaitu;

1.       LALU DI DALAM MASJID TANPA BERHENTI ATAU DUDUK DI DALAMNYA.

Hukumnya adalah harus dengan syarat darah haidnya itu tidak melumuri atau mengotori masjid. Disebutkan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari;

وعبور مسجد إن خافت تلويثه بالدم كسائر النجاسات الملوثة صيانة للمسجد. فإن أمنته كان لها العبور.

"(Haram dengan sebab haid)...dan melintas masjid jika dia takut melumurkannya dengan darah itu, sama seperti sekalian najis-najis yang melumurkan kerana memelihara masjid. Maka jika dia aman daripada melumurkan darah ke dalam masjid, maka harus baginya melintas masjid."(Tuhfah al-Tullab).

Namun, jika khuatir darahnya mengotori masjid, maka haram ke atasnya lalu di dalam masjid. Sebaliknya, jika tidak dikhuatiri darahnya mengotori masjid, maka makruh ke atasnya lalu di dalam masjid selagimana tiada keperluan untuknya berbuat demikian kerana berat hadasnya. Walaubagaimanapun, jika ada keperluan untuknya berbuat demikian, maka menurut Syeikh al-Ramli hukumnya adalah harus.

Selain itu, diharamkan juga ke atas perempuan haid berulang-alik di dalam masjid tanpa sebarang keuzuran. Imam Abdullah Ba Fadhl menyatakan;

...ومكث في المسجد وتردد فيه لغير عذر

"...dan haram menetap di dalam masjid dan berulang-alik di dalamnya dengan tanpa keuzuran..."(al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah).

Walaubagaimanapun, jika ada keuzuran maka harus baginya menetap di dalam masjid dan berulang-alik di dalamnya, seperti seseorang yang terkunci di dalam masjid, takut untuk keluar dari masjid kerana ada sesuatu yang merbahaya dan seumpamanya.

Justeru, kesimpulan mengenai hukum perempuan haid lalu di dalam masjid tanpa berhenti atau duduk di dalamnya adalah sepertimana berikut;

a.  Haram tanpa khilaf jika khuatir darahnya mengotori masjid.
b. Makruh jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid serta TIADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid.
c. Harus jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid serta ADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid menurut Syeikh al-Ramli.

Adapun menurut Syeikh Ibn Hajar pula, tidak ternafi hukum makruh (tetap dihukumkan makruh) bagi perempuan haid untuk lalu di dalam masjid jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid tersebut WALAUPUN ADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid.

2.       DUDUK DAN MENETAP DI DALAM MASJID TANPA SEBARANG KEUZURAN.

Hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan beberapa riwayat, antaranya;

فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

"...maka sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”Riwayat Abu Daud (201).

 إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلَا لِحَائِضٍ

“Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”Riwayat Ibn Majah (637).

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

يحرم على الحائض والنفساء مس المصحف وحمله واللبث في المسجد وكل هذا متفق عليه عندنا وتقدمت أدلته وفروعه الكثيرة مبسوطة في باب ما يوجب الغسل والحديث المذكور رواه أبو داود والبيهقي وغيرهما من رواية عائشة رضي الله عنها واسناده غير قوى وسبق بيانه هناك

“Haram ke atas perempuan haid dan nifas menyentuh mashaf dan membawanya, dan berdiam di dalam masjid. Semua itu telah disepakati di sisi kami (ulamak mazhab Syafi'i). Telah terdahulu disebutkan dalil-dalilnya, serta cabang masalahnya yang banyak juga telah dikemukakan panjang lebar pada bab Perkara Yang Mewajibkan Mandi. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Baihaqi dan selainnya daripada riwayat Aisyah radhiallahu anha dan sanadnya tidak kuat. Telah lepas penjelasannya di sana.”(Al-Majmuk).

Telah diputuskan oleh ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, bahawa haram ke atas perempuan haid berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan sepertimana berikut :

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran semata-mata. Muzakarah telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada / duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan."

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada / duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan."
اليسع

Wallahu a'lam.

Rujukan

- Al-Majmuk
- Al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah
- Tuhfah al-Tullab
- Hasyiah al-Jamal
- Busyra al-Karim
- Fath al-A'lam
- Ithmit al-‘Ainain 
- Al-Manhal al-Naddhakh

Rabu, 19 April 2017

Hukum Membaca Basmalah Sebelum Berwuduk

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMBACA BASMALAH SEBELUM BERWUDUK
Alyasak bin Berhan

Imam al-Syafi‘i rahimahullahu Taala berkata :

وَأُحِبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُسَمِّيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فِي ابْتِدَاءِ وُضُوئِهِ فَإِنْ سَهَا سَمَّى مَتَى ذَكَرَ وَإِنْ كَانَ قَبْلَ أَنْ يُكْمِلَ الْوُضُوءَ وَإِنْ تَرَكَ التَّسْمِيَةَ نَاسِيًا أَوْ عَامِدًا لَمْ يَفْسُدْ وُضُوءُهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Aku suka bagi seorang lelaki menyebut nama Allah 'Azza wa Jalla pada permulaan wuduknya. Maka jika dia lupa, diucapkannya bila dia ingat dan jika ada ia sebelum sempurna wuduknya (sebelum selesai wuduknya). Dan jika dia meninggalkan ucapan Basmalah dalam keadaan lupa atau sengaja, nescaya tidak rosak (tidak batal) wuduknya Insya Allah (Al-Um 67/2).

Sehubungan itu, hukum membaca Basmalah pada permulaan wuduk adalah sunat di sisi Mazhab Syafi'i, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan pendapat yang lebih jelas dalam Mazhab Hanbali. Justeru, jika seseorang meninggalkannya secara sengaja, maka wuduknya sah (Al-Majmuk 387/1).

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

تَوَضَّئُوْا بِسْمِ اللهِ...

"Berwuduklah kamu dengan nama Allah..."(Riwayat al-Nasaei, no. 78 dengan sanad yang jayyid).

Manakala menurut satu pendapat daripada ulamak Mazhab Hanbali pula, hukum membaca Basmalah pada permulaan wuduk adalah wajib berdasarkan riwayat;

لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

"Tiada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah..."(Riwayat Abu Daud no. 101, Ibn Majah no. 399 dan lain-lain).

Disebutkan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari;

(وسن) للمتوضئ - ولو بماء مغصوب على الأوجه - (تسمية أوله) أي أول الوضوء - للاتباع - وأقلها باسم الله، وأكملها بسم الله الرحمن الرحيم. وتجب عند أحمد

"Disunatkan bagi seseorang yang berwuduk walaupun dengan air yang dirampas menurut pandangan yang lebih berwajah (muktamad), membaca Basmalah pada awalnya iaitu awal wuduk kerana ittiba' (mengikut Nabi). Sekurang-kurangnya ;
بِسْمِ اللهِ

dan paling sempurnanya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Ianya wajib di sisi Imam Ahmad."

Walaubagaimanapun, ulamak Mazhab Syafi'i menolak pendapat yang mengatakan ia wajib dengan sekurang-kurangnya 4 alasan iaitu;

1. Sanad hadis tersebut dhaif (lemah). Imam al-Nawawi berkata :

وجاء في التسمية أحاديث ضعيفة ، وثبت عن أحمد بن حنبل رحمه الله أنه قال : لا أعلم في التسمية في الوضوء حديثاً ثابتاً

"Telah datang beberapa hadis yang dhaif pada bicara tentang tasmiyah (Basmalah sebelum wuduk) ini. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad, bahawa sesungguhnya beliau pernah mengatakan, “Tidak aku ketahui suatu hadis yang sabit (sahih) pada bicara tentang tasmiyah (Basmalah) ketika wuduk ini.” (al-Azkar, 71).

2. Ditanggungkan hadis tersebut dengan maksud "tidak sempurna wuduk" dan bukan dengan maksud "tidak sah wuduk."(Al-Majmuk 387/1, Asna al-Matalib 92/1, Tuhfah al-Tullab 12, I'anah al-Talibin 73/1).

3. Yang memalingkan perintah (al-amr) di sini dan selainnya adalah apa yang diriwayatkan, bahawa sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam telah bersabda kepada seorang badwi iaitu :

فَتَوَضَّأْ كَمَا أَمَرَكَ اللَّهُ

"...maka berwuduklah kamu sepertimana yang Allah telah perintahkan kamu."(Riwayat al-Tirmizi no. 302 dan beliau menghasankannya).

Sedangkan pada apa yang Allah Taala telah perintahkan itu, tidak terdapat sesuatupun mengenai kewajipan membaca Basmalah (Al-Majmuk 387/1, Tuhfah al-Tullab 111).

4. Menurut Rabi‘ah iaitu guru Imam Malik, al-Darimi, Qadhi Husain dan segolongan ulamak lainnya sepertimana yang telah dinukilkan oleh al-Khattabi, yang dimaksudkan dengan zikir (menyebut nama Allah) di dalam hadis :

لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

"Tiada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah..."(Riwayat Abu Daud no. 101, Ibn Majah no. 399 dan lain-lain).

Ini adalah niat (Al-Majmuk 387/1).
اليسع

Wallahu a'lam.

Ahad, 9 April 2017

Kenali Kitab Tuhfah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج بشرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Shihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami al-Sa‘di al-Ansari al-Syafi‘i. Beliau dilahirkan di perkampungan Abu al-Haitam, Mesir tahun 909H. Antara gurunya adalah seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, Syeikh Abdul Haq al-Sinbati, Syeikh Ibn ‘Arus al-Misri, Syeikh Shihab al-Ramli, Syeikh Muhammad bin Salim al-Tabalawi dan lain-lain. Berhijrah ke Mekah dan tinggal di sana selama lebih kurang 34 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia tahun 974H. Karyanya melebihi seratus buah karangan dalam pelbagai bidang ilmu. Antara karya fiqahnya yang terkenal ialah Tuhfah al-Muhtaj, Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, al-Imdad Syarh al-Irsyad, al-Manhaj al-Qawim, al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) حج.

Justeru, apabila disebut Ibn Hajar di dalam kitab-kitab fiqah Mazhab Syafi‘i, maka ia merujuk kepada beliau (Ibn Hajar al-Haitami), bukannya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, iaitu pengarang Fath al-Bari dalam bidang hadis, yang juga bermazhab Syafi‘i.  

Kedudukan Kitab

Beliau mula menyusun Kitab Tuhfah al-Muhtaj pada 12 Muharram tahun 958H dan selesai pada malam 27 Zulkaedah tahun 958H. Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab Tuhfahnya pernah dipelajari daripadanya oleh sejumlah ulama al-Muhaqqiqin yang tidak terhitung ramainya sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Hadhramaut, Syam, Akrad, Yaman, Hijaz dan Daghistan. Oleh kerana itulah, apabila berlakunya perbezaan pendapat Syeikh Ibn Hajar di antara kitab-kitab beliau, maka didahulukan pendapat beliau di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, kemudian Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Imdad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Manhaj al-Qawim Syarh Ba Fadhal, kemudian al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah.

Menurut pengkaji, penulisan beliau dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini banyak mengambil faedah daripada kitab hasyiah gurunya, iaitu Hasyiah Ibn Abdil Haq al-Sunbati bagi Syarh al-Mahalli. Selain itu juga, ibarat (gaya bahasa) yang digunapakai oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini lebih sulit difahami berbanding kitab gandingannya seperti Kitab Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj terutamanya dalam bab faraid.

Hasyiah Kitab

Terdapat tidak kurang daripada 20 lebih orang ulama yang pernah menghasyiahkan (menghuraikan) Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini. Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah tersebut hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini (10 jilid), iaitu Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi dan Hasyiah Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani (murid kepada Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan dialah yang dimaksudkan oleh al-Syarwani dengan ‘Syeikhuna’ dalam hasyiahnya ini). Bahkan, daripada sekalian hasyiah tersebut juga, Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi adalah hasyiah yang lebih didahulukan oleh para ulama berbanding hasyiah-hasyiah yang lain. Sungguhpun demikian, di nusantara ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Ahad, 26 Mac 2017

Kenali Kitab Nihayah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin atau Jamaluddin Muhammad bin Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i. Beliau mula menyusun Kitab Nihayah al-Muhtaj pada bulan Zulkaedah tahun 963H dan selesai pada malam Jumaat 19 Jamadil Akhir tahun 973H. Beliau adalah seorang yang faqih dan mufti Mesir yang digelar “al-Syafi‘i al-Saghir”. Dikenali juga dengan gelaran “al-Ramli al-Saghir”, manakala bapanya dikenali dengan “al-Ramli al-Kabir”. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Shihabuddin al-Ramli, Syeikh al-Islam al-Qadhi Zakaria al-Ansari, Syeikh Burhanuddin bin Abu al-Syarif, Syeikh Sa‘duddin Muhammad bin Muhammad al-Zahabi dan lain-lain lagi. Beliau lahir pada tahun 919H di Kaherah dan meninggal dunia tahun 1004H. Antara karyanya yang masyhur adalah seperti Nihayah al-Muhtaj dan Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Raslan. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) م ر.

Kedudukan Kitab

Kitab Nihayah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab ini pernah dipelajari daripada pengarangnya sendiri oleh sejumlah tidak kurang daripada empat ratus orang ulama al-Muhaqqiqin sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Mesir seperti al-Zayyadi, al-Halabi, al-Syaubari, al-‘Inani, al-Qalyubi, al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi, al-Rasyidi, al-Jamal, al-Bujairimi, al-Syarqawi, al-Baijuri dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, jika berlaku perselisihan pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini dengan Kitab Syarh al-Idhah berkaitan permasalahan haji, maka pendapat beliau di dalam Kitab Syarh al-Idhah lebih dipegang (muktamad) berbanding pendapat beliau di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Hal ini adalah kerana, Kitab Syarh al-Idhah lebih terkemudian dikarang oleh beliau berbanding Kitab Nihayah al-Muhtaj.


Hasyiah Kitab

Antara ulama yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Nihayah al-Muhtaj ini adalah:

1. Syeikh Nuruddin Ali bin Yahya al-Zayyadi al-Misri (1024H).

2. Syeikh Muhammad bin Abdul Mun'im al-Taifi (1052H).

3. Syeikh Nuruddin Ali bin Ali al-Shabramallisi al-Qahiri (1087H).

4. Syeikh Ahmad bin Abdul Razzaq al-Maghribi yang dikenali dengan panggilan al-Rasyidi (1096H).

5. Syeikh Sulaiman bin Umar al-'Ajili al-Misri yang dikenali dengan panggilan al-Jamal (1204H).

6. Syeikh Khalid bin Husain al-Syahrazuri al-'Uthmani (1242H).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Anbabi al-Azhari (1313H) berjudul Taqrir al-Anbabi 'ala Nihayah al-Muhtaj li al-Ramli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Nihayah al-Muhtaj ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Shabramallisi dan Hasyiah Syeikh al-Rasyidi (8 jilid). Sungguhpun demikian, di zaman ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Jumaat, 3 Februari 2017

HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT
Alyasak bin Berhan

Mengutip dan memberi derma semasa khatib sedang berkhutbah hukumnya adalah MAKRUH kerana ia termasuk dalam perkara yang lagha dan boleh mengganggu tumpuan jemaah untuk mendengar khutbah. Hal ini adalah berdasarkan;

عَنْ أبي هريرةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله - صلى الله عليه وسلم -: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أَتَى الجُمعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْن الجُمُعَةِ وَزِيادَةُ ثَلاثَةِ أيَّامٍ، وَمَنْ مَسَّ الحَصَا فَقَدْ لَغَا. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya, kemudian dia menghadiri solat Jumaat, lalu dia mendengar dan diam (meneliti khutbah), akan diampunkan baginya antara Jumaat itu dan Jumaat yang satu lagi serta tambahan 3 hari. Dan sesiapa yang menyentuh anak batu (bermain-main dengannya), maka sesungguhnya ia telah lagha.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal:

وَيُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ وَدَوْرَانُ الْإِبْرِيقِ وَالْقِرَبِ لِسَقْيِ الْمَاءِ وَتَفْرِقَةُ الأَوْرَاقِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِمْ لأَنَّهُ يُلْهِي النَّاسَ عَنْ الذِّكْرِ وَاسْتِمَاعِ الْخُطْبَةِ اهـ

“Dan makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta, mengedarkan kendi (termasuk juga tabung derma) dan qirbah (bekas air minuman yang diperbuat daripada kulit kambing) untuk minuman air dan membahagikan kertas-kertas serta memberi sedekah kepada mereka kerana yang demikian boleh melalaikan jemaah daripada berzikir dan mendengar khutbah.”(Futuhat al-Wahhab).

Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi pula menyatakan:

...يُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ أَوْ غَيْرِهِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِ اهـ

“...makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta atau selainnya serta memberikan sedekah padanya.”(Hasyiah al-Qalyubi).

Fatwa Mufti Negeri Sembilan

Soalan:

Apakah hukumnya memungut derma ketika imam sedang membaca khutbah?

Jawapan:

Hukumnya makruh, qias kepada hukum berkata-kata pada masa imam membaca khutbah (Himpunan fatwa Dato’ Haji Abu Hasan bin Haji Sail, Mufti ke-2 Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan).

Hukum Berkata-kata Semasa Khutbah Jumaat.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَالْجَدِيْدُ أَنَّهُ لَا يَحْرُمُ عَلَيْهِمُ الْكَلَامُ وَيُسَنُّ الإِنْصَاتُ

“Menurut qaul jadid (fatwa Imam Syafi‘i setelah berada di Mesir), bahawa tidak haram ke atas mereka berkata-kata. Dan disunatkan diam (dan mendengar khutbah dengan teliti)...”

Syeikh al-Ramli berkata:

نَعَمْ يُكْرَهُ الْكَلَامُ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ إذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ فَقَدْ لَغَوْتَ
"Bahkan, makruh berkata-kata ketika itu (khutbah) berdasarkan hadis riwayat Muslim;
 
"Apabila engkau berkata kepada temanmu padahal imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat dengan perkataan, 'diam', maka telah sia-sialah engkau (meninggalkan adab)..."(Nihayah Muhtaj).

SOLUSI :

1) Kutipan derma dan tabung digerakkan sebelum khutbah.

2) kutipan derma dan tabung digerakkan sejurus selepas solat Jumaat.

3) Sediakan banyak tabung di laluan dan pintu-pintu utama masjid. Individu yang ingin menderma tidak perlu tunggu tabung datang kepadanya, bahkan dia yang akan pergi ke tabung untuk menderma.
اليسع
Wallahu a‘lam.






Khamis, 26 Januari 2017

PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA


PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA
Alyasak bin Berhan

Terdapat perbezaan antara kelembapan faraj (air basahan faraj) dan cecair keputihan sepertimana berikut;

1. Kelembapan atau basahan faraj (رطوبة الفرج) terhasil daripada cecair jernih iaitu, antara warna air mazi dan peluh. Dikatakan bahawa basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh yang datang dari had zahir faraj wanita. Bandingannya adalah seperti air liur yang terdapat di dalam mulut manusia. Maka ia menjadikan faraj wanita sentiasa lembap untuk membantu mengelakkan kulit faraj daripada kering dan melekat. Justeru, basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita ini dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.

Had zahir faraj adalah bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung.

2. Keputihan pula adalah cecair yang datang dari bahagian batin faraj yang keluar seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Menurut penelitian, ia menyerupai gam pekat yang berwarna putih dan kadang-kadang warnanya bercampur ke arah kekuningan atau sedikit hijau. Justeru, keputihan ini adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari bahagian dalaman rongga faraj iaitu, bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib.

Had batin faraj adalah bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian dalaman rongga faraj.

Kesimpulannya, cecair atau kelembapan faraj ada yang keluar dari zahir dan ada yang keluar dari batinnya. Oleh itu, hukumnya dibahagikan kepada 3 iaitu;

1) Suci - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung (had zahir). Ia adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.

2) Najis - cecair atau kelembapan yang keluar dari batin faraj iaitu, bahagian dalaman rongga faraj yang tidak boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia adalah najis dan membatalkan wuduk.

3) Khilaf - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, tempat yang boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia boleh membatalkan wuduk. 

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan berkaitan kesuciannya sepertimana berikut:

a) Menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, ia adalah suci. 

b) Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk, Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh al-Irsyad, al-Khatib al-Syirbini dan Syeikh al-Ramli, ia adalah najis kerana dikira sebagai cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian dalaman rongga faraj
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah I‘anah al-Talibin 
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
Izalah al-Iltibas
- al-Ibanah wa al-Ifadhah
Tuhfah al-A‘izza'  

Ahad, 15 Januari 2017

Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i

PANDUAN HUKUM: Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i
Alyasak bin Berhan

Definisi Fasiq

Fasiq adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau orang yang sering melakukan dosa-dosa kecil dan kebaikan tidak melebihi maksiatnya, atau kedua-duanya (dosa dan kebaikan) sama banyak, maka orang tersebut dihukumkan sebagai fasiq.

Definisi Adil

Adil menurut bahasa adalah menuntut istiqamah (konsisten) dan lurus.

Adapun menurut ‘uruf pula adalah; memiliki naluri yang boleh menegah seseorang daripada melakukan dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil yang dipandang hina seperti mencuri beberapa suap makanan dan mencuri sedikit buah. Juga menegah daripada perbuatan-perbuatan harus yang dipandang buruk (dari segi ‘uruf) seperti berjalan tanpa menutup kepala dan makan di pasar.

Syarat Wali

Disyaratkan wali nikah tidak fasiq kerana adil tidak disyaratkan pada wali nikah. Oleh kerana itulah, apabila seseorang kanak-kanak yang sudah baligh dan dia tidak melakukan dosa-dosa besar serta tidak melazimi dosa-dosa kecil, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta walaupun dia bukanlah seorang yang adil dan bukan juga seorang yang fasiq. Begitu juga seseorang wali yang kafir apabila memeluk Islam, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta.

Disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Syatiri ;

شُرُوْطُ وَلِيِّ النِّكَاحِ ثَمَانِيَةٌ: الاخْتِيَارُ, وَالْحُرِّيِّةُ, وَالذُّكُوْرَةُ, وَالتَّكْلِيْفُ, وَعَدَمُ الْفِسْقِ, وَعَدَمُ اخْتِلَالِ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ, وَعَدَمُ الْحَجْرِ بِالسَّفَهِ, وَعَدَمُ الإِحْرَامِ
Yang bermaksud, “Syarat-syarat wali nikah ada 8 perkara iaitu; pilihan sendiri (tidak dipaksa), merdeka, lelaki, mukallaf, tidak fasiq, tiada kecacatan fikiran sama ada dengan sebab terlalu tua atau rosak fikiran (sakit), tidak terhalang urusan hartanya kerana safih (سفيه) dan tidak berihram.”

Sehubungan itu, orang yang fasiq tidak sah mewalikan nikah mengikut pendapat yang muktamad di sisi Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini secara mutlak. Justeru, hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali ab‘ad.

Namun, apabila wali yang fasiq bertaubat ketika ingin mengakadkan nikah iaitu dengan meninggalkan dosa-dosa yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya dan akan memulangkan hak orang yang dizaliminya jika berkesempatan, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta. Oleh kerana itulah, wali yang fasiq perlu ditaubatkan ketika ingin melaksanakan akad nikah agar akad tersebut sah.

Walaubagaimanapun, menurut apa yang zahir daripada perkataan Syeikh Ibn Hajar, wali fasiq harus mewalikan nikah sekiranya hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali hakim yang melakukan perkara-perkara fasiq yang sejenis atau lebih daripada yang dilakukan oleh wali fasiq tersebut. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Ghazali, al-Nawawi  di dalam Kitab al-Raudhah, Ibn al-Solah, al-Azra‘ei, al-Subki dan merupakan pendapat yang dipilih oleh segolongan ulamak lain.
اليسع

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Zaitunah al-Ilqah
- Hasyiah al-Baijuri
- I‘anah al-Talibin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
- Al-Yaqut al-Nafis
- Bughyah al-Najah

- Al-Dalil al-Nassah
-          
Wallahu a‘lam.