Jumaat, 1 Julai 2016

Hukum Mengucapkan Tahniah di Hari Raya

Hukum Mengucapkan Tahniah di Hari Raya
 Alyasak Berhan

Disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (470-471/1) dan al-Iqna’(beserta Hasyiah al-Bujairimi 454-455/2), Syams al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (401-402/2) ;

قال القمولي : لم أر لأصحابنا كلاما في التهنئة بالعيد والأعوام والأشهر كما يفعله الناس ، لكن نقل الحافظ المنذري عن الحافظ المقدسي أنه أجاب عن ذلك بأن الناس لم يزالوا مختلفين فيه ، والذي أراه أنه مباح لا سنة فيه ولا بدعة ا هـ .

وأجاب عنه الشهاب@شيخ الإسلام حافظ عصره ابن حجر بعد اطلاعه على ذلك بأنها مشروعة ، واحتج له بأن البيهقي عقد لذلك بابا فقال : باب ما روي في قول الناس بعضهم لبعض في يوم العيد تقبل الله منا ومنك ، وساق ما ذكره من أخبار وآثار ضعيفة لكن مجموعها يحتج به في مثل ذلك ، ثم قال : ويحتج لعموم التهنئة لما يحدث من نعمة ، أو يندفع من نقمة بمشروعية سجود الشكر والتعزية ، وبما في الصحيحين عن كعب بن مالك في قصة توبته لما تخلف عن غزوة تبوك أنه لما بشر بقبول توبته ومضى إلى النبي صلى الله عليه وسلم قام إليه طلحة بن عبيد الله فهنأه .

Kata al-Qamuli “Aku belum pernah melihat sebarang perbincangan oleh Ashabuna (ulama mazhab Syafi’i) tentang ucapan tahniah sempena Hari Raya, tahun-tahun dan bulan-bulan tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh orang ramai. Tetapi al-Hafiz al-Munziri ada menukilkan dari al-Hafiz al-Maqdisi bahawa beliau ada menjawab tentang masalah tersebut. Menurutnya, manusia masih terus berselisih mengenainya dan menurut pendapat saya, ianya adalah harus, iaitu tidak sunnah dan tidak pula bidaah padanya”.
 Jawab al-Sihab@Syeikh al-Islam, Hafiz pada zamannya Ibn Hajar mengenainya setelah beliau mentelaah isu berkenaan bahawa ianya (ucapan tahniah) adalah disyariatkan. Beliau berhujah bahawa al-Baihaqi telah meletakkan satu bab tentangnya dengan kata beliau; ‘Bab apa yang diriwayatkan mengenai kata-kata orang antara satu sama lain pada Hari Raya (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك)’, dan beliau mengemukakan beberapa khabar dan athar yang dhaif, tetapi boleh dibuat hujah dengan himpunan kesemuanya itu dalam perkara seumpama demikian. Kemudian katanya “ Juga dapat dibuat hujah berdasarkan keumuman ucapan tahniah kerana suatu nikmat yang diperoleh, atau suatu bencana yang terhindar, dengan disyariatkan sujud syukur dan ucapan takziah, dan juga dengan hadis yang terdapat dalam Sahihain; daripada Kaab bin Malik radhiallahu anhu dalam kisah taubat beliau kerana meninggalkan Perang Tabuk, bahawa beliau semasa diberitakan tentang penerimaan taubatnya dan berjalan menuju kepada Nabi sollallahu alaihi wa sallam, Talhah bin ‘Ubaidillah telah mendapatkannya dan mengucapkan tahniah kepada beliau (padahal Nabi sollallahu alaihi wa sallam telah mengiyakannya).”

قال ع ش : (قوله : تقبل الله منا ومنك) أي نحو ذلك مما جرت به العادة في التهنئة ومنه المصافحة ، ويؤخذ من قوله في يوم العيد أنها لا تطلب في أيام التشريق وما بعد يوم عيد الفطر ، لكن جرت عادة الناس بالتهنئة في هذه الأيام ، ولا مانع منه ؛ لأن المقصود منه التودد وإظهار السرور ، ويؤخذ من قوله أيضا في يوم العيد أن وقت التهنئة يدخل بالفجر لا بليلة العيد خلافا لما ببعض الهوامش فليراجع

Al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi (401-402/2) mengatakan; “...berhubung kata-kata (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك); dan juga yang seumpama demikian daripada perkara yang telah menjadi adat dalam mengucapkan tahniah, di antaranya adalah berjabat tangan. Difahami daripada kata-kata beliau (al-Ramli); “pada Hari Raya” bahawa ianya tidak dituntut pada hari-hari Tasyriq dan juga hari selepas Hari Raya ‘Aidil Fitri, tetapi telah menjadi adat manusia mengucapkan tahniah pada hari-hari tersebut, dan tiada sebarang halangan terhadapnya kerana maksudnya adalah untuk berkasih sayang dan melahirkan kegembiraan. Difahami daripada kata-kata beliau (al-Ramli) juga; “pada Hari Raya” bahawa waktu ucapan tahniah bermula dengan waktu fajar, bukannya dengan malam Hari Raya, berlawanan dengan apa yang ada dalam sesetengah catatan kitab, maka rujuklah.”

قال ش ر: وعبارة شيخنا : وتسن التهنئة بالعيد ونحوه من العام والشهر على المعتمد مع المصافحة إن اتحد الجنس فلا يصافح الرجل المرأة ولا عكسه ومثلها الأمرد الجميل وتسن إجابتها بنحو تقبل الله منكم أحياكم الله لأمثاله كل عام وأنتم بخير ا هـ

Al-Syarwani (56/3) mengatakan bahawa; ibarat syeikh kami (al-Baijuri); “Disunatkan mengucapkan tahniah sempena Hari Raya dan seumpamanya daripada tahun-tahun dan bulan-bulan tertentu mengikut pendapat yang muktamad beserta dengan berjabat tangan sekiranya sama jantina. Maka lelaki jangan berjabat tangan dengan wanita (ajnabiyyah) dan sebaliknya, seumpama perempuan itu adalah amrad yang cantik. Dan disunatkan menjawab ucapan tahniah dengan kata-kata seperti (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنْكُمْ), (أَحْيَاكُمْ اللَّهُ لِأَمْثَالِهِ) dan (كُلَّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ)”.

قال الجمل : وعبارة البرماوي: والتهنئة بالأعياد والشهور والأعوام مستحبة يستأنس لها بطلب سجود الشكر عند حدوث نعمة وبقصة كعب وصاحبيه حين بشر بقبول توبته لما تخلف عن غزوة تبوك وتهنئة أبي طلحة له وتسن إجابة فيها بنحو تقبل الله منكم أحياكم الله لأمثاله كل عام وأنتم بخير ا هـ
Sulaiman al-Jamal (105/2) mengatakan; “Dan ungkapan al-Birmawi; Ucapan tahniah sempena perayaan-perayaan (Hari Raya), bulan dan tahun itu adalah mustahab (dituntut), dan dapat dikompromikan dengan tuntutan sujud syukur ketika memperolehi sesuatu nikmat dan dengan kisah Kaab radhiallahu anhu serta dua orang rakannya ketika dia diberitakan dengan penerimaan taubatnya kerana meninggalkan Perang Tabuk dan ucapan tahniah Talhah radhiallahu anhu kepadanya. Dan disunatkan menjawab ucapan tahniah dengan kata-kata seperti (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنْكُمْ), (أَحْيَاكُمْ اللَّهُ لِأَمْثَالِهِ) dan (كُلَّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ)” tamat nukilan.

Waktu Mengucapkan Tahniah di Hari Raya

Ulamak berbeza pandangan berkaitan permulaan waktu yang dituntut untuk mengucapkan tahniah di Hari Raya sepertimana berikut;

Pendapat Pertama

Menurut pendapat pertama, masuknya waktu mengucapkan tahniah bagi Hari Raya ‘Aidil Fitri adalah dengan tenggelamnya matahari (malam raya) dan pada Hari Raya ‘Aidil Adha adalah dengan terbit fajar (masuk Subuh) hari 'Arafah sepertimana takbir raya. Disebutkan oleh Ba ‘Alawi;

فائدة: قال في الإيعاب و زي و ش ق: التهنئة بالعيد سنة، ووقتها للفطر غروب الشمس، وفي الأضحى فجر عرفة كالتكبير اهـ.

“Faedah : Disebutkan di dalam al-I'ab (Syarh al-'Ubab oleh Ibn Hajar al-Haitami), al-Zayyadi dan al-Syarqawi; "Ucapan tahniah sempena Hari Raya adalah sunat. Waktu ucapan tahniah bagi Hari Raya ‘Aidil Fitri adalah dengan tenggelamnya matahari (malam raya) dan pada Hari Raya ‘Aidil Adha adalah dengan terbit fajar (masuk Subuh) hari 'Arafah sepertimana takbir raya." (Bughyah al-Mustarsyidin 89)

Pendapat Kedua

Menurut pendapat kedua pula, masuknya waktu mengucapkan tahniah bagi Hari Raya ‘Aidil Fitri dan ‘Aidil Adha adalah dengan waktu fajar, bukannya dengan malam Hari Raya. Al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi (401-402/2) mengatakan;

ويؤخذ من قوله أيضا في يوم العيد أن وقت التهنئة يدخل بالفجر لا بليلة العيد خلافا لما ببعض الهوامش فليراجع

“Difahami daripada kata-kata beliau (al-Ramli) juga; “pada Hari Raya” bahawa waktu ucapan tahniah bermula dengan waktu fajar, bukannya dengan malam Hari Raya, berlawanan dengan apa yang ada dalam sesetengah catatan kitab...”
اليسع
Wallahu a’lam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan