Menghadiahkan Pahala Bacaan
al-Quran kepada Arwah Menurut Pandangan Ulamak Mazhab Syafi’i.
Alyasak Berhan
Permasalahan ini merupakan
salah satu daripada masalah-masalah khilafiyyah yang tidak disepakati
oleh ulamak-ulamak terdahulu. Secara kesimpulannya, terdapat dua pendapat ulamak
Mazhab Syafi’i berkaitannya sepertimana berikut;
Pendapat pertama
Menurut pendapat al-Masyhur
dalam Mazhab al-Syafi’i, pahala bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada arwah.
Walaubagaimanapun, pendapat ini merupakan pendapat yang dhaif di sisi ulamak
mutaakkhirin Mazhab al-Syafi’i.
Maklumat berkaitan Qaul al-Masyhur ini boleh dirujuk pada link;
Pendapat kedua.
Menurut pandangan sebahagian
besar ulamak Mazhab al-Syafi’i mengatakan harus menghadiahkan pahala
bacaan al-Quran kepada arwah. Pendapat ini adalah merupakan pendapat yang muktamad
di dalam Mazhab al-Syafi’i.
Antara ulamak Mazhab al-Syafi’i
yang berpegang dengan pendapat ini adalah seperti Ibn Solah, al-Muhib al-Tobari,
al-Subki, Ibn Abi al-Dam, pengarang al-Zakhair dan Ibn Abi ‘Asrun. Sesungguhnya
Imam al-Syafi’i telah menganjurkan supaya dibacakan al-Quran di sisi mayat dan
berdoa selepas bacaan tersebut supaya pahala bacaan al-Quran sampai kepada
arwah. Ini kerana berdoa ketika itu adalah lebih diharapkan penerimaannya serta
diharapkan juga supaya arwah akan memperolehi keberkatan daripada bacaan
tersebut sepertimana yang diperolehi oleh orang yang masih hidup.
Oleh kerana ulamak telah bersepakat
mengatakan bahawa doa kepada arwah adalah harus dan dapat memberi manfaat
kepadanya (sampai kepada arwah), maka sayugialah kepada pembaca supaya berdoa
selepas bacaan al-Quran tersebut agar pahalanya sampai kepada arwah seperti
contoh:
اللَّهُمَّ
أَوْصِلْ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُ لِفُلاَنٍ ...
“Ya Allah, sampaikanlah pahala (sepertimana pahala) apa yang telah aku bacakan ini bagi (kepada) fulan…..”
Ulamak Mazhab al-Syafi’i mengihtimalkan
(mengandaikan) pendapat al-Masyhur Mazhab al-Syafi’i yang menghukumkan pahala
bacaan al-Quran tersebut tidak sampai kepada arwah adalah sekiranya;
a)
Ia dibaca bukan di sisi mayat
atau
b)
pembaca tidak meniatkan pahala
bacaan tersebut dihadiahkan kepada arwah atau
c) pembaca hanya meniatkan pahala
tersebut sampai kepada arwah tanpa berdoa selepasnya.
Oleh itu, menurut Syeikh al-Ramli
pahala bacaan al-Quran boleh memberi manfaat kepada arwah (sampai pahala
bacaannya) jika terdapat salah satu daripada tiga perkara iaitu;
a) Pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya.
b) Berdoa untuk arwah sesudah membaca al-Quran yakni memohon
agar disampaikan pahala bacaan tersebut kepada arwah (walaupun jauh daripada mayat atau kubur).
c) Meniatkan pahala bacaan itu sampai kepada arwah.
Menurut Syeikh Ibn
Hajar dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari pula, pahala bacaan al-Quran tidak boleh memberi manfaat (tidak
sampai pahala bacaannya) kepada arwah jika
terdapat salah satu daripada dua perkara iaitu;
a) Pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya tanpa
meniatkan pahala tersebut untuk arwah atau
b) pembacaan dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya serta
pembaca hanya berniat sahaja supaya pahala sampai kepada arwah tanpa berdoa
sesudah membaca al-Quran tersebut.
Justeru itu, berdasarkan
pendapat Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ini pahala bacaan al-Quran hanya boleh memberi manfaat
kepada arwah (sampai pahala bacaannya) jika;
a) Sekiranya pembacaan dilakukan di sisi mayat atau kuburnya, maka
pembaca mestilah meniatkan pahala tersebut untuk arwah.
b) Sekiranya pembacaan
dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya, maka pembaca mestilah berniat dan
berdoa sesudah membaca al-Quran tersebut supaya
pahala bacaan sampai kepada arwah.
Oleh itu, sekiranya
pembacaan dilakukan bukan di sisi mayat atau kuburnya dan pembaca hanya
meniatkan pahala tersebut untuk arwah tanpa diiringi dengan doa, maka menurut
Syeikh al-Ramli pahala
bacaan al-Quran boleh memberi manfaat kepada arwah (sampai pahala bacaannya). Menurut
Syeikh Ibn Hajar pula, hanya hasil pahala manfaat sahaja (disempurnakan rahmat daripada bacaan al-Quran tersebut)
bukannya pahala bacaan (kepada arwah).
اليسع
ًWallahu A'lam.
Rujukan;
Khatam al-Quran dan
Permasalahan yang berkaitan dengannya. (Julai, 2014) http://tolibilmi.blogspot.my/2015/11/buku-khatam-al-quran-dan-permasalahan.html
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam