PANDUAN HUKUM: QADHA’ SOLAT
Alyasak Berhan
Hukum Qadha’ Solat
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا
لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda; “Sesiapa yang terlupa bersolat hendaklah melakukannya apabila teringat, tiada kafarah (penebusan) baginya melainkan demikian.”(Riwayat al-Bukhari, no. 572, Muslim, no. 684).
Imam al-Nawawi mengatakan ;
فرع- أَجْمَعَ الَّذِيْنَ يُعْتَدُّ بِهِمْ
أَنَّ مَنْ تَرَكَ صَلاَةً عَمْدًا لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا وَخَالَفَهُمْ أَبُوْ مُحَمَّدٍ
عَلِيُّ ابْنُ حَزْمٍ قَالَ: لاَ يُقَدَّرُ عَلَى قَضَائِهَا أَبَدًا وَلاَ يَصِحُّ
فِعْلُهَا أَبَدًا قَالَ بَلْ يُكْثِرُ مِنْ فِعْلِ الْخَيْرِ وَالتَّطَوُّعِ لِيَثْقُلَ
مِيْزَانُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَسْتَغْفِرُ اللهَ تَعَالَى وَيَتُوْبُ وَهَذَا
الَّذِيْ قَالَهُ مَعَ أَنَّهُ مُخَالِفٌ لِلْإِجْمَاعِ بَاطِلٌ مِنْ جِهَةِ الدَّلِيْلِ
"Para ulamak muktabar telah bersepakat mengatakan, bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia wajib qadha’ (ganti). Pendapat mereka ini berbeza dengan pendapat Abu Muhammad Ali bin Hazm (Ibn Hazm) yang mengatakan bahawa dia tidak perlu qadha' selama-lamanya dan tidak sah dilakukan selama-lamanya. Namun dia sewajarnya perlu memperbanyakkan amal kebaikan dan solat sunat agar timbangan (amal baiknya) menjadi berat pada hari kiamat, serta beristighfar kepada Allah dan bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan ijmak dan merupakan pendapat yang batil berdasarkan dalil yang ada."(Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/68).
Justeru, majoriti ulamak
daripada pelbagai mazhab sepakat mengatakan bahawa orang yang meninggalkan
solat sama ada ditinggal dengan sebab uzur atau sebaliknya dituntut untuk
mengqadha’kannya. Cuma perbezaan kedua-duanya ialah;
meninggalkan solat tanpa keuzuran adalah berdosa, manakala meninggalkannya
dengan sebab keuzuran adalah tidak dosa. (al-Fiqh al-Manhaji 26/1)
Adakah Solat Qadha’ Perlu Disegerakan
Ulamak telah memperincikan
permasalahan ini sepertimana berikut;
1. Terluput kewajipan solat fardhu kerana UZUR seperti
tertidur, lupa dan sebagainya, maka SUNAT diqadha’ dengan kadar segera.
2. Terluput kewajipan solat fardhu TANPA keuzuran seperti
sengaja meninggalkannya, malas, lalai dan sebagainya;
a. Menurut pendapat yang asah (lebih sahih) di sisi
Iraqiyyin, sunat diqadha’ dengan kadar segera.
b. Menurut pendapat yang asah
(lebih sahih) di sisi Khurasaniyyin, ia wajib diqadha’ dengan kadar yang
segera. Pendapat inilah yang telah diputuskan oleh kebanyakan ulamak. Imam
al-Haramain telah menukilkan bahawa para ashab telah bersepakat berkaitannya
dan inilah pendapat yang sahih (al-Majmuk 74/3)
Bahkan, menurut Ibn Hajar, seseorang
yang meninggalkan solat tanpa keuzuran wajib meluangkan seluruh waktunya untuk
mengqadha’kan solat fardhu yang luput tanpa keuzuran itu, selain daripada waktu
yang diperlukan untuk melakukan perkara-perkara yang mesti atau tidak dapat
tiada dilakukan seperti tidur, mencari nafkah dan seumpamanya. Malah ketika itu
haram baginya mengerjakan perkara-perkara sunat (seperti solat sunat), namun ianya
sah (Tuhfah al-Muhtaj 440/1, Hasyiah I’anah al-Talibin 39/1).
Walaubagaimanapun, menurut
al-Habib al-Qutb Abdullah al-Haddad, kewajipan mengqadha’kan setiap kewajipan (seperti
solat, puasa dan zakat) yang ditinggalkan itu sama ada kerana uzur atau tanpa
keuzuran adalah merupakan tuntutan secara tarakhi (boleh ditangguhkan tanpa
perlu disegerakan). Selain itu, kewajipan tersebut juga adalah berdasarkan
kemampuan seseorang tanpa menyempitkan atau mempermudahkan-mudahkan agama. Oleh
itu, menurut Ba ‘Alawi, pandangan ini adalah merupakan pandangan yang lebih
diutamakan bagi mengelakkan kesulitan (Bughyah al-Mustarsyidin 36).
Qadha’ Solat Pada Waktu Tahrim
Secara asasnya, solat qadha’
tidak ditegah untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang diharamkan solat.
Walaubagaimanapun, jika seseorang itu sengaja bermaksud untuk melaksanakan sesuatu
solat qadha’ dalam waktu yang diharamkan solat, maka
hukumnya adalah haram dan solat itu tidak sah sekalipun ia adalah solat qadha’
yang wajib disegerakan (jika ditinggalkan tanpa keuzuran) kerana (alasan) dia dikira telah menentang hukum syarak.
Sebaliknya, jika dia melaksanakan sesuatu solat qadha’ dalam waktu yang diharamkan solat kerana
kebetulan atau kerana sebab yang tertentu dan bukan dengan niat sengaja melakukannya
pada waktu tahrim, seperti mengerjakan solat jenazah selepas
solat Asar dengan harapan agar jemaah ramai, maka hukumnya adalah harus (Nihayah al-Muhtaj 386/1, Tuhfah al-Muhtaj 443/1, Hasyiah I‘anah Talibin
1/199-200).
Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar radhiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar radhiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
لَا تَحَرَّوْا بِصَلَاتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ
وَلَا غُرُوبَهَا
"Janganlah kalian bermaksud (sengaja) melaksanakan solat kamu pada waktu matahari terbit dan juga waktu terbenamnya." (Riwayat al-Bukhari no. 582, Muslim no. 828, al-Nasaei no. 563, Ahmad no. 4598, Malik no. 513).
Cara Qadha’ Solat Yang Tidak
Diketahui Jumlahnya
Terdapat perbezaan pendapat
dalam kalangan ulamak mazhab Syafi'i berkaitan cara mengqadha’kan solat yang
tidak diketahui jumlah yang ditinggalkan iaitu;
1. Menurut Qadhi Husain, Ibn
Hajar dan al-Ramli wajib mengqadha'kan solat (mengikut jumlah) yang tidak yakin
dilaksanakan. Inilah pendapat yang rajih.
2. Menurut Imam al-Nawawi dan
al-Qaffal wajib mengqadha'kan solat (mengikut jumlah) yang yakin ditinggalkan.
Disunatkan untuk mengqadha'kan
solat-solat yang ditinggalkan itu mengikut tertibnya (Nihayah al-Muhtaj 383/1, Hasyiah
al-Qalyubi 1/118, Hasyiah al-Bujairimi 42/2, Bughyah al-Mustarsyidin 36).
اليسع
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan