PANDUAN HUKUM: Kewajipan
Hubungan Kelamin
Alyasak Berhan
Kewajipan Hubungan Kelamin ke
atas Suami
Pada prinsipnya, suami wajib
bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik dan makruf. Ini sesuai dengan
firman Allah Taala:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ
تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
"Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah al-Nisa' 19)
Mengenai kewajiban memberikan
nafkah batin (hubungan kelamin) kepada isteri, Imam al-Nawawi menyatakan;
وَهَلْ لَهَا مُطَالَبَتُهُ بِوَطْأَةٍ
وَاحِدَةٍ؟ وَهَلْ يُجْبَرُ هُوَ عَلَيْهَا؟ وَجْهَانِ. أَصَحُّهُمَا: لَا ; لِأَنَّهُ
حَقُّهُ، فَلَا يُجْبَرُ عَلَيْهِ كَسَائِرِ الْوَطَآتِ
"Apakah ada hak bagi isteri untuk meminta suami menyetubuhinya sekali?. Adakah boleh dipaksa suami untuk menyetubuhinya? Terdapat dua pendapat, pendapat yang lebih sahih tidak boleh dipaksa, kerana menyetubuhinya merupakan hak suami. Oleh itu tidak boleh dipaksa atas suami seperti dalam persetubuhan-persetubuhan lainnya”(Raudhah al-Talibin 7/196).
Syeikh Ibn Hajar al-Haitami
mengatakan :
وَلَا يَجِبُ عَلَيْهِ وَطْؤُهَا؛ لِأَنَّهُ
حَقُّهُ وَقِيلَ عَلَيْهِ مَرَّةٌ لِتَقْضِيَ شَهْوَتَهَا وَيَتَقَرَّرُ مَهْرُهَا.
“Tidak wajib atas suami menyetubuhi isterinya, kerana itu adalah haknya. Ada yang mengatakan wajib sekali (dalam tempoh perkahwinan), supaya isteri dapat menunaikan syahwatnya dan supaya tetap (thabit) maharnya”(Tuhfah al-Muhtaj 7/183).
Syeikh al-Syarwani mengatakan :
وَقَوْلُهُ وَطْؤُهَا أَيْ، وَإِنْ كَانَتْ
بِكْرًا فَلَوْ عَلِمَ زِنَاهَا لَوْ لَمْ يَطَأْ فَالْقِيَاسُ وُجُوبُ الْوَطْءِ دَفْعًا
لِهَذِهِ الْمَفْسَدَةِ لَا لِكَوْنِهِ حَقًّا لَهَا اهـ ع ش
“(Perkataan pengarang : “menyetubuhinya”), maksudnya meskipun isterinya anak dara. Justeru itu, seandainya dimaklumi isterinya akan berzina apabila tidak disetubuhi, maka menurut qias WAJIB menyetubuhinya bagi menghindari mafsadah ini (zina), bukan disebabkan alasan menyetubuhinya itu merupakan suatu hak isteri.” Ali al-Syabramallisi.
Kesimpulannya, menurut ulama Mazhab Syafi'i tidak wajib ke atas suami memberikan nafkah batin (menyetubuhi)
isterinya, kerana menyetubuhi isteri merupakan hak suami. Namun, ada satu
pendapat dari kalangan ulama Mazhab Syafi'i yang mengatakan wajib iaintu, minimumnya
sekali. Walaubagaimanapun, seandainya dimaklumi bahawa isterinya akan berzina
apabila tidak disetubuhi, maka ketika itu wajib bagi suami menyetubuhinya.
Kewajipan Hubungan Kelamin ke
atas Isteri
Rasulullah sollallahu alaihi
wasallam bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى
فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ
حَتَّى تُصْبِحَ
“Apabila seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidurnya, lalu isteri tidak mendatanginya (memenuhinya), sehingga membuatkan suami bermalam dalam keadaan marah kepadanya, maka malaikat melaknatnya hingga ke pagi.” (Riwayat al-Bukhari, no.3237, 5193, Muslim, no.1436).
Imam al-Nawawi mengatakan
bahawa laknat daripada malaikat tersebut akan berterusan hingga terbit fajar,
sehinggalah suami memaafkan dan isteri tersebut bertaubat atau sehingga isteri
melayani suaminya (Syarh Muslim 10/10).
Imam al-Munawi menjelaskan bahawa
hadis ini memberikan petunjuk kepada isteri untuk membantu dan mencari reda
suaminya. Hal ini adalah kerana seseorang lelaki lebih sukar menahan syahwat
untuk melakukan hubungan intim daripada kaum wanita. Selain itu, salah satu
perkara yang paling mengganggu fikiran seseorang lelaki adalah hasrat untuk
melakukan hubungan intim dengan isterinya. Oleh kerana itulah seseorang wanita
diperintahkan untuk membantu suaminya dalam memenuhikan syahwatnya agar suami
dapat fokus dalam beribadah (Faidh al-Qadir 1/344).
Namun begitu, ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat 6 keadaan yang mengharuskan seseorang
isteri menolak ajakan suami untuk melakukan hubungan intim iaitu;
1. Ketika haid
2. Ketika nifas
3. Ketika iktikaf
4. Ketika puasa
5. Ketika ihram
6. Ketika dalam tempoh zihar
sebelum membayar kafarah (al-Mausuah al-Fiqhiyyah 44/22-44).
Justeru, isteri tidak
diharuskan untuk menolak ajakan suami melakukan hubungan intim tanpa sebarang
alasan yang dibenarkan syarak. Nabi sollallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ
تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّّهَا حَتَّى تُؤَدِّى حَقَّ زَوْجِهَا وَلَوْ سَأَلَهَا
نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ
“Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaanNya, seseorang wanita tidak akan dikira menunaikan hak Allah sebelum dia menunaikan hak suaminya. Seandainya suami meminta dirinya (untuk digauli) padahal dia sedang berada di atas punggung unta, maka dia (isteri) tetap tidak boleh menegahnya.” (Riwayat Ibn Majah, no. 1853).
اليسع
Wallalahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan