Ahad, 20 Disember 2015

TAWASSUL


TAWASSUL
Alyasak bin Berhan

Definisi Tawassul

Wasilah (tawassul) adalah segala sesuatu yang dijadikan sebagai sebab oleh Allah Taala untuk taqarrub kepadaNya dan sebagai penyambung untuk memperolehi hajat (Mafahim, 126).

Tawassul adalah mendekatkan diri kepada Allah Taala melalui perantaraan, sama ada melalui nama-nama Allah (al-Asma’ al-Husna), sifat-sifat Allah, amal soleh, atau melalui makhluk Allah, baik dengan doanya atau kedudukannya yang mulia di sisi Allah (al-Mausu'ah al-Fiqhiyah 149-150/14).

Kefahaman Tentang Tawassul.

1) Tawassul adalah salah satu daripada cara berdoa dan pintu untuk bertawajjuh (menghadapkan sesuatu permintaan) kepada Allah Taala kerana matlamat asal tawassul yang sebenar adalah Allah Taala. Manakala orang yang dijadikan sebagai tempat bertawassul hanyalah berperanan sebagai perantaraan dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Justeru, sesiapa beriktikad selain yang demikian, maka sesungguhnya dia telah syirik.

2) Orang yang bertawassul tidak bertawassul dengan wasilah ini melainkan kerana perasaan kasihnya terhadap wasilah tersebut dan kepercayaannya bahawa Allah Taala mengasihi wasilah tersebut. Sekiranya tidak, sudah pasti orang yang bertawassul itu akan menjadi orang yang paling berusaha menjauhi dirinya daripada wasilah tersebut dan paling membencinya.

3) Sekiranya orang yang bertawassul beriktikad bahawa orang yang dijadikan perantaraan itu boleh mendatangkan manfaat dan mudarat dengan sendiri seperti Allah atau kurang daripada itu, maka dia telah mensyirikkan Allah Taala.

4) Amalan bertawassul bukanlah sesuatu perkara yang lazim atau wajib. Terkabulnya permintaan seseorang itu tidak terhenti kepada amalan ini. Bahkan, asalnya adalah dia berdoa kepada Allah secara mutlak. Firman Allah Taala;
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)..."(Surah al-Baqarah 186)


قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَٰنَ ۖ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "al-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia".(Surah al-Isra' 110)(Mafahim Yajibu An Tusahhah 118-119).

Hukum Bertawassul.

Terdapat 5 jenis utama tawassul yang telah dibincangkan oleh para fuqaha', iaitu;

1) Tawassul dengan nama-nama Allah Taala dan Sifat-sifatNya.

Para fuqaha' telah bersepakat mengatakan bahawa hukum bertawassul dengan nama-nama Allah Taala dan Sifat-sifatNya adalah sunat sama ada untuk urusan keduniaan atau akhirat (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 151/14).

2) Tawassul dengan keimanan dan amal soleh.

Para fuqaha' telah bersepakat mengatakan bahawa hukum bertawassul dengan dengan keimanan dan amal soleh adalah harus (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 152/14).

3) Tawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam.

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkaitan keharusan bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam dalam keadaan-keadaan berikut iaitu;

3.1 Bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa baginda masih hidup iaitu dengan makna meminta baginda mendoakan (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 154/14).

3.2 Bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam pada hari kiamat iaitu dengan makna meminta syafaat daripada baginda (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 153/14).

3.3 Bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam dengan makna keimanan dan kecintaan kepada baginda (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 156/14).

4) Tawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda.

Ulama berbeza pandangan berkaitan hukum bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda sepertimana berikut;

4.1 Majoriti ulama daripada kalangan mutaakkhirin mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafi'i dan qaul muktamad dalam mazhab Hanbali mengatakan bahawa hukumnya adalah harus (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 156/14).

4.2 Menurut Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhammad hukumnya adalah makruh (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 160/14).

4.3 Menurut Ibn Taimiyyah dan sebahagian ulama mazhab Hanbali hukumnya adalah haram (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 161/14).

5) Tawassul dengan orang-orang soleh selain para Nabi.

Sama seperti hukum bertawassul dengan Nabi sollallahu alaihi wa sallam di atas (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 164/14).
اليسع
Wallahu a'lam.

Rabu, 9 Disember 2015

Kewajipan Hubungan Kelamin Suami Isteri


PANDUAN HUKUM: Kewajipan Hubungan Kelamin
Alyasak Berhan



Kewajipan Hubungan Kelamin ke atas Suami



Pada prinsipnya, suami wajib bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik dan makruf. Ini sesuai dengan firman Allah Taala:



وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا



"Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah al-Nisa' 19)
Mengenai kewajiban memberikan nafkah batin (hubungan kelamin) kepada isteri, Imam al-Nawawi menyatakan;


وَهَلْ لَهَا مُطَالَبَتُهُ بِوَطْأَةٍ وَاحِدَةٍ؟ وَهَلْ يُجْبَرُ هُوَ عَلَيْهَا؟ وَجْهَانِ. أَصَحُّهُمَا: لَا ; لِأَنَّهُ حَقُّهُ، فَلَا يُجْبَرُ عَلَيْهِ كَسَائِرِ الْوَطَآتِ



"Apakah ada hak bagi isteri untuk meminta suami menyetubuhinya sekali?. Adakah boleh dipaksa suami untuk menyetubuhinya? Terdapat dua pendapat, pendapat yang lebih sahih tidak boleh dipaksa, kerana menyetubuhinya merupakan hak suami. Oleh itu tidak boleh dipaksa atas suami seperti dalam persetubuhan-persetubuhan lainnya”(Raudhah al-Talibin 7/196).



Syeikh Ibn Hajar al-Haitami mengatakan :



وَلَا يَجِبُ عَلَيْهِ وَطْؤُهَا؛ لِأَنَّهُ حَقُّهُ وَقِيلَ عَلَيْهِ مَرَّةٌ لِتَقْضِيَ شَهْوَتَهَا وَيَتَقَرَّرُ مَهْرُهَا.



“Tidak wajib atas suami menyetubuhi isterinya, kerana itu adalah haknya. Ada yang mengatakan wajib sekali (dalam tempoh perkahwinan), supaya isteri dapat menunaikan syahwatnya dan supaya tetap (thabit) maharnya”(Tuhfah al-Muhtaj 7/183).



Syeikh al-Syarwani mengatakan :



وَقَوْلُهُ وَطْؤُهَا أَيْ، وَإِنْ كَانَتْ بِكْرًا فَلَوْ عَلِمَ زِنَاهَا لَوْ لَمْ يَطَأْ فَالْقِيَاسُ وُجُوبُ الْوَطْءِ دَفْعًا لِهَذِهِ الْمَفْسَدَةِ لَا لِكَوْنِهِ حَقًّا لَهَا اهـ ع ش



“(Perkataan pengarang : “menyetubuhinya”), maksudnya meskipun isterinya anak dara. Justeru itu, seandainya dimaklumi isterinya akan berzina apabila tidak disetubuhi, maka menurut qias WAJIB menyetubuhinya bagi menghindari mafsadah ini (zina), bukan disebabkan alasan menyetubuhinya itu merupakan suatu hak isteri.” Ali al-Syabramallisi.



Kesimpulannya, menurut ulama Mazhab Syafi'i tidak wajib ke atas suami memberikan nafkah batin (menyetubuhi) isterinya, kerana menyetubuhi isteri merupakan hak suami. Namun, ada satu pendapat dari kalangan ulama Mazhab Syafi'i yang mengatakan wajib iaintu, minimumnya sekali. Walaubagaimanapun, seandainya dimaklumi bahawa isterinya akan berzina apabila tidak disetubuhi, maka ketika itu wajib bagi suami menyetubuhinya.


Kewajipan Hubungan Kelamin ke atas Isteri



Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:



إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ



“Apabila seseorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidurnya, lalu isteri tidak mendatanginya (memenuhinya), sehingga membuatkan suami bermalam dalam keadaan marah kepadanya, maka malaikat melaknatnya hingga ke pagi.” (Riwayat al-Bukhari, no.3237, 5193, Muslim, no.1436).



Imam al-Nawawi mengatakan bahawa laknat daripada malaikat tersebut akan berterusan hingga terbit fajar, sehinggalah suami memaafkan dan isteri tersebut bertaubat atau sehingga isteri melayani suaminya (Syarh Muslim 10/10).



Imam al-Munawi menjelaskan bahawa hadis ini memberikan petunjuk kepada isteri untuk membantu dan mencari reda suaminya. Hal ini adalah kerana seseorang lelaki lebih sukar menahan syahwat untuk melakukan hubungan intim daripada kaum wanita. Selain itu, salah satu perkara yang paling mengganggu fikiran seseorang lelaki adalah hasrat untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya. Oleh kerana itulah seseorang wanita diperintahkan untuk membantu suaminya dalam memenuhikan syahwatnya agar suami dapat fokus dalam beribadah (Faidh al-Qadir 1/344).



Namun begitu, ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat 6 keadaan yang mengharuskan seseorang isteri menolak ajakan suami untuk melakukan hubungan intim iaitu;



1. Ketika haid

2. Ketika nifas

3. Ketika iktikaf

4. Ketika puasa

5. Ketika ihram

6. Ketika dalam tempoh zihar sebelum membayar kafarah (al-Mausuah al-Fiqhiyyah 44/22-44).



Justeru, isteri tidak diharuskan untuk menolak ajakan suami melakukan hubungan intim tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak. Nabi sollallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:



وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّّهَا حَتَّى تُؤَدِّى حَقَّ زَوْجِهَا وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ



“Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di dalam kekuasaanNya, seseorang wanita tidak akan dikira menunaikan hak Allah sebelum dia menunaikan hak suaminya. Seandainya suami meminta dirinya (untuk digauli) padahal dia sedang berada di atas punggung unta, maka dia (isteri) tetap tidak boleh menegahnya.” (Riwayat Ibn Majah, no. 1853).

اليسع

Wallalahu a'lam.

QADHA' SOLAT

PANDUAN HUKUM: QADHA’ SOLAT
Alyasak Berhan

Hukum Qadha’ Solat

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda; “Sesiapa yang terlupa bersolat hendaklah melakukannya apabila teringat, tiada kafarah (penebusan) baginya melainkan demikian.”(Riwayat al-Bukhari, no. 572, Muslim, no. 684).

Imam al-Nawawi mengatakan ;

فرع- أَجْمَعَ الَّذِيْنَ يُعْتَدُّ بِهِمْ أَنَّ مَنْ تَرَكَ صَلاَةً عَمْدًا لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا وَخَالَفَهُمْ أَبُوْ مُحَمَّدٍ عَلِيُّ ابْنُ حَزْمٍ قَالَ: لاَ يُقَدَّرُ عَلَى قَضَائِهَا أَبَدًا وَلاَ يَصِحُّ فِعْلُهَا أَبَدًا قَالَ بَلْ يُكْثِرُ مِنْ فِعْلِ الْخَيْرِ وَالتَّطَوُّعِ لِيَثْقُلَ مِيْزَانُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَسْتَغْفِرُ اللهَ تَعَالَى وَيَتُوْبُ وَهَذَا الَّذِيْ قَالَهُ مَعَ أَنَّهُ مُخَالِفٌ لِلْإِجْمَاعِ بَاطِلٌ مِنْ جِهَةِ الدَّلِيْلِ

"Para ulamak muktabar telah bersepakat mengatakan, bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia wajib qadha’ (ganti). Pendapat mereka ini berbeza dengan pendapat Abu Muhammad Ali bin Hazm (Ibn Hazm) yang mengatakan bahawa dia tidak perlu qadha' selama-lamanya dan tidak sah dilakukan selama-lamanya. Namun dia sewajarnya perlu memperbanyakkan amal kebaikan dan solat sunat agar timbangan (amal baiknya) menjadi berat pada hari kiamat, serta beristighfar kepada Allah dan bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan ijmak dan merupakan pendapat yang batil berdasarkan dalil yang ada."(Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/68).

Justeru, majoriti ulamak daripada pelbagai mazhab sepakat mengatakan bahawa orang yang meninggalkan solat sama ada ditinggal dengan sebab uzur atau sebaliknya dituntut untuk mengqadha’kannya. Cuma perbezaan kedua-duanya ialah; meninggalkan solat tanpa keuzuran adalah berdosa, manakala meninggalkannya dengan sebab keuzuran adalah tidak dosa. (al-Fiqh al-Manhaji 26/1)

Adakah Solat Qadha’ Perlu Disegerakan

Ulamak telah memperincikan permasalahan ini sepertimana berikut;

1. Terluput kewajipan solat fardhu kerana UZUR seperti tertidur, lupa dan sebagainya, maka SUNAT diqadha’ dengan kadar segera.

2. Terluput kewajipan solat fardhu TANPA keuzuran seperti sengaja meninggalkannya, malas, lalai dan sebagainya;

a. Menurut pendapat yang asah (lebih sahih) di sisi Iraqiyyin, sunat diqadha’ dengan kadar segera.

b. Menurut pendapat yang asah (lebih sahih) di sisi Khurasaniyyin, ia wajib diqadha’ dengan kadar yang segera. Pendapat inilah yang telah diputuskan oleh kebanyakan ulamak. Imam al-Haramain telah menukilkan bahawa para ashab telah bersepakat berkaitannya dan inilah pendapat yang sahih (al-Majmuk 74/3)

Bahkan, menurut Ibn Hajar, seseorang yang meninggalkan solat tanpa keuzuran wajib meluangkan seluruh waktunya untuk mengqadha’kan solat fardhu yang luput tanpa keuzuran itu, selain daripada waktu yang diperlukan untuk melakukan perkara-perkara yang mesti atau tidak dapat tiada dilakukan seperti tidur, mencari nafkah dan seumpamanya. Malah ketika itu haram baginya mengerjakan perkara-perkara sunat (seperti solat sunat), namun ianya sah (Tuhfah al-Muhtaj 440/1, Hasyiah I’anah al-Talibin 39/1).

Walaubagaimanapun, menurut al-Habib al-Qutb Abdullah al-Haddad, kewajipan mengqadha’kan setiap kewajipan (seperti solat, puasa dan zakat) yang ditinggalkan itu sama ada kerana uzur atau tanpa keuzuran adalah merupakan tuntutan secara tarakhi (boleh ditangguhkan tanpa perlu disegerakan). Selain itu, kewajipan tersebut juga adalah berdasarkan kemampuan seseorang tanpa menyempitkan atau mempermudahkan-mudahkan agama. Oleh itu, menurut Ba ‘Alawi, pandangan ini adalah merupakan pandangan yang lebih diutamakan bagi mengelakkan kesulitan (Bughyah al-Mustarsyidin 36).  

Qadha’ Solat Pada Waktu Tahrim

Secara asasnya, solat qadha’ tidak ditegah untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang diharamkan solat. Walaubagaimanapun, jika seseorang itu sengaja bermaksud untuk melaksanakan sesuatu solat qadha’ dalam waktu yang diharamkan solat, maka hukumnya adalah haram dan solat itu tidak sah sekalipun ia adalah solat qadha’ yang wajib disegerakan (jika ditinggalkan tanpa keuzuran) kerana (alasan) dia dikira telah menentang hukum syarak.

Sebaliknya, jika dia melaksanakan sesuatu solat qadha’ dalam waktu yang diharamkan solat kerana kebetulan atau kerana sebab yang tertentu dan bukan dengan niat sengaja melakukannya pada waktu tahrim, seperti mengerjakan solat jenazah selepas solat Asar dengan harapan agar jemaah ramai, maka hukumnya adalah harus (Nihayah al-Muhtaj 386/1, Tuhfah al-Muhtaj 443/1, Hasyiah I‘anah Talibin 1/199-200). 

Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar radhiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

لَا تَحَرَّوْا بِصَلَاتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ وَلَا غُرُوبَهَا
"Janganlah kalian bermaksud (sengaja) melaksanakan solat kamu pada waktu matahari terbit dan juga waktu terbenamnya." (Riwayat al-Bukhari no. 582, Muslim no. 828, al-Nasaei no. 563, Ahmad no. 4598, Malik no. 513).

Cara Qadha’ Solat Yang Tidak Diketahui Jumlahnya

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulamak mazhab Syafi'i berkaitan cara mengqadha’kan solat yang tidak diketahui jumlah yang ditinggalkan iaitu;

1. Menurut Qadhi Husain, Ibn Hajar dan al-Ramli wajib mengqadha'kan solat (mengikut jumlah) yang tidak yakin dilaksanakan. Inilah pendapat yang rajih.

2. Menurut Imam al-Nawawi dan al-Qaffal wajib mengqadha'kan solat (mengikut jumlah) yang yakin ditinggalkan.

Disunatkan untuk mengqadha'kan solat-solat yang ditinggalkan itu mengikut tertibnya (Nihayah al-Muhtaj 383/1, Hasyiah al-Qalyubi 1/118, Hasyiah al-Bujairimi 42/2, Bughyah al-Mustarsyidin 36).
اليسع

Wallahu a'lam.

Isnin, 7 Disember 2015

MANDI WILADAH



Panduan Hukum: MANDI WILADAH

Alyasak Berhan

Perkara-perkara yang mewajibkan mandi adalah;

1) Memasukkan hasyafah ke dalam faraj
2) Keluar mani
3) Keluar haid
4) Keluar nifas
5) Wiladah (keguguran@kelahiran)
6) Meninggal dunia
(Safinah al-Naja)

Selain daripada 6 perkara tersebut, tidak diwajibkan mandi.

Justeru, wiladah termasuk dalam perkara yang mewajibkan mandi walaupun kelahiran atau keguguran tersebut hanya berbentuk zigot (sedikit darah beku) dan embrio (berbentuk sepotong daging), sekalipun ia keluar dalam keadaan kering (tanpa darah atau cecair)(Nihayah al-Muhtaj 212/1, Tuhfah al-Muhtaj 258/1, Mughni al-Muhtaj 116/1).

3 KEADAAN WANITA YANG MELAHIRKAN ANAK/KEGUGURAN:

1) Jika melahirkan anak ataupun keguguran tanpa diiringi nifas, maka wajib baginya mandi wiladah semata-mata untuk mensucikan diri daripada hadas besar agar dia boleh menunaikan ibadah wajib seperti solat, walaupun masih dalam pantang. Justeru, wanita yang wiladah diwajibkan mandi wajib ketika ingin mengerjakan solat jika tiada darah nifas (Sabil al-Muhtadin 101/1, 139/1).

2) Jika melahirkan anak atau keguguran, pada mulanya tanpa diiringi nifas, maka wajib baginya mandi wiladah dan mendirikan solat. Kemudian jika didatangi nifas pula (dalam tempoh kurang 15 hari selepas wiladah), maka dia hendaklah berhenti solat dan wajib mandi hadas sekali lagi apabila darah nifas kering. Tempoh maksimum darah nifas adalah sehingga 60 hari iaitu kiraannya bermula dari hari kelahiran atau keguguran mengikut pendapat yang muktamad (al-Taqrirot al-Sadidah 164).

3) Sekiranya wiladah itu disusuli oleh darah nifas, maka tiada keperluan untuknya menyegerakan mandi wiladah tersebut (Sabil al-Muhtadin 101/1, 139/1). Bahkan ketika itu, haram dan tidak sah bagi perempuan yang haid atau nifas (sebelum darah berhenti) bersuci (berwuduk dan mandi hadas) dengan niat untuk mengangkat hadas kerana ia dianggap bermain-main dengan ibadat (Tuhfah al-Muhtaj 386/1, Nihayah al-Muhtaj 330/1, Mughni al-Muhtaj 172/1).

Sehubungan itu, harus baginya menggabungkan mandi wiladah tersebut dalam satu mandian beserta mandi setelah selesai nifas.

Disebut oleh Ibn Ruslan;

 وَإِنْ نَوَى فَرْضًا وَنَفْلًا حَصَلاَ
أَوْ فَبِكُلٍّ مِثْلَهُ تَحَصَّلاَ

"Sekiranya dia niatkan sesuatu (mandi) wajib serta sesuatu (mandi) sunat, hasillah kedua-duanya. Atau dia niatkan setiap mandi yang seumpamanya (mandi wajib dengan mandi wajib), terhasillah."


Kesimpulannya adalah seperti berikut;

1) Mandi wajib kerana wiladah wajib dilaksanakan ketika ingin mendirikan solat jika darah nifas tidak keluar sejurus selepas wiladah

2) Mandi wajib kerana wiladah tidak wajib dilaksanakan segera jika darah nifas keluar sejurus selepas wiladah

3) Mandi wajib dengan mandi wajib yang lain boleh dihimpunkan dalam satu mandian dengan satu niat (al-Taqrirot 118).

4) Mandi sunat dengan mandi sunat yang lain boleh dihimpunkan dalam satu mandian dengan satu niat (al-Taqrirot 118).

5) Mandi wajib dan mandi sunat mestilah diniatkan setiap satunya (niat mandi wajib serta mandi sunat) jika ingin disekalikan dalam satu mandian (al-Taqrirot 118).
اليسع
Wallahu a'lam.