Selasa, 15 Mei 2018

ZAKAT FITRAH DENGAN DUIT


PANDUAN HUKUM : Mengeluarkan Zakat Fitrah dalam Bentuk Duit
Alyasak Berhan

Mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan asasi adalah perintah asal yang telah disebutkan secara jelas di dalam hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam dan ini adalah pegangan majoriti fuqaha’ (ulama fiqah). Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

"Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah iaitu satu gantang daripada kurma, atau satu gantang daripada sya’ir (gandum), ke atas setiap hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan besar daripada kaum muslimin. Baginda juga memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum manusia keluar menunaikan solat (sunat Aidul Fitri)."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, terdapat juga sebahagian mereka yang mengharuskan pengeluaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang seperti ulama Mazhab Hanafi, sebahagian tabi‘in seperti al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz dan al-Thauri serta satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Manakala menurut Ishaq dan Abu Thaur, tidak harus mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang melainkan ketika darurat.

Justeru, mengeluarkan zakat fitrah dengan duit adalah tidak sah mengikut Mazhab Syafi‘i jika diniatkan duit itu sebagai zakat fitrah. Namun, makanan asasi tersebut harus digantikan dengan duit, dengan niat ‘sebagai ganti’ kepada makanan asasi yang wajib dikeluarkannya. Syeikh Syihab al-Ramli pernah menfatwakan bahawa harus bertaqlid kepada Mazhab Hanafi dalam masalah mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ‘sebagai ganti’ makanan asasi tersebut. Justeru, jika seseorang mengeluarkan zakat dalam bentuk duit, maka niatnya adalah seperti, 'ini duit ganti beras fitrah yang wajib atas diriku', 'inilah nilai harga beras fitrah yang wajib atas diriku'.

Selain itu, keharusan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk duit ‘sebagai ganti’ makanan asasi ini adalah kerana darurat (keperluan) dan kehendak daripada pemerintah. Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَمِنْ مَوَاضِعِ الضَّرُورَةِ الَّتِي تُجْزِئُ فِيهَا الْقِيمَةُ مَا إذَا أَلْزَمَهُمْ السُّلْطَانُ بِالْقِيمَةِ ، وَأَخَذَهَا مِنْهُمْ فَإِنَّهَا تُجْزِئُهُمْ

“Di antara tempat-tempat darurat yang memadai padanya nilaian matawang adalah apabila mereka diperintahkan oleh raja berzakat dengan nilaian matawang dan dipungutnya daripada orang ramai, maka sesungguhnya ia memadai daripada mereka itu (sah)…”.

Sehubungan itu, antara maslahat pembayaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ini dilaksanakan oleh pemerintah adalah:

  1. Asnaf yang lapan terutamanya golongan fakir dan miskin lebih gemar menerima duit berbanding beras.
  2. Kesukaran untuk menyimpan dan memelihara beras tersebut setelah ia telah dikumpulkan berbanding duit.
  3. Kos pemindahan dan penyimpanan yang diperlukan akan diambil daripada beras. Ini akan merugikan penerima zakat.
  4. Menyimpan duit lebih selamat daripada menyimpan beras.
  5. Beras akan menjadi rosak jika disimpan lama berbanding duit.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
- Al-Fatawa al-Ramli
- Al-Itharah 
- Kitab al-Siyam

Isnin, 7 Mei 2018

Syarat Sah Jemaah di Dalam Masjid


PANDUAN HUKUM: Ringkasan Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Masjid.
Alyasak bin Berhan

Berdasarkan ijmak ulama, salah satu syarat sah qudwah (mengikut imam) adalah mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya sama ada berjemaah di dalam masjid atau selainnya. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imam tersebut boleh terhasil melalui mendengar suara imam, atau melihat perbuatan imam. Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فِي حُجْرَتِهِ وَجِدَارُ الْحُجْرَةِ قَصِيرٌ فَرَأَى النَّاسُ شَخْصَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ أُنَاسٌ يُصَلُّونَ بِصَلَاتِهِ

"Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek (rendah), sehingga orang-orang dapat melihat Nabi sollallahu alaihi wa sallam, maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya..."(Riwayat al-Bukhari).

Selain itu, disyaratkan juga imam dan makmum tersebut berhimpun di sesuatu tempat. Disebutkan dalam Fath al-Muin:

وَمِنْهَا اجْتِمَاعُهُمَا أَيْ الإِمَامُ وَالْمَأْمُوْمُ بِمَكَانٍ كَمَا عُهِدَ عَلَيْهِ الجَمَاعَاتُ فِي الْعَصْرِ الْخَالِيَةِ

"Dan daripadanya (syarat sah qudwah) adalah berhimpun keduanya, iaitu imam dan makmum pada satu tempat sepertimana himpunan yang telah dilaksanakan oleh para jemaah pada zaman lalu..."

Sehubungan itu, antara syarat sah qudwah di dalam sesebuah masjid secara ringkasnya adalah sepertimana berikut;

a. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya berdasarkan ijmak ulama.

b. Disyaratkan tiada halangan untuk sampai kepada imam walaupun berbelok-belok (berkelok-kelok/berliku-liku) sehingga membelakangi kiblat sepertimana yang telah ditarjih oleh Ibn Qadhi dan yang telah disebutkan secara jelas dalam Hasyiah bagi Nihayah al-Muhtaj serta Hasyiah bagi Syarh al-Mahalli.

Selain itu, disyaratkan juga laluan tersebut boleh dilalui dengan berjalan biasa tanpa perlu melompat, menunduk sehingga sampai kepada had seseorang yang rukuk, berpaut atau jalan mengiring kerana laluan yang sempit.

Justeru, pintu yang ditutup atau dikunci tidak menjejaskan qudwah kecuali pintu yang dipaku atau dipateri. Hal ini kerana, disyaratkan bahawa dua binaan yang ada di dalam masjid mestilah boleh ditembusi atau dilalui antara keduanya walaupun pintu itu tertutup atau berkunci. Adapun, sudut masjid yang bersambung dan terbuka antara keduanya dihukumkan sebagai masjid yang satu. Justeru, ia tidak menjejaskan qudwah.

Selain itu, tidak disyaratkan juga makmum mesti nampak imam/makmum yang terakhir.

c. Tiada had jarak antara imam/makmum yang terakhir dengan makmum yang mengikut jemaah di belakang berdasarkan ijmak kaum muslimin. 

Walau bagaimanapun, jarak di antara imam dan saf pertama serta jarak antara tiap-tiap saf di belakangnya daripada jemaah lelaki sunat tidak melebihi 3 hasta (1 hasta bersamaan dengan 61.834 cm).
اليسع 
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah I‘anah al-Talibin
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Fath al-‘Allam
- Al-Fatawa al-Fataniyyah
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Jumaat, 23 Februari 2018

Syarat Sah Jemaah Dalam Bangunan Selain Masjid

PANDUAN HUKUM: Ringkasan Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Bangunan Selain Masjid.
Alyasak bin Berhan

Berikut adalah keterangan ringkas berkaitan syarat-syarat sah jemaah di dalam bangunan selain masjid:

a. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya berdasarkan ijmak ulama.

b. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa tanpa berbelok-belok (berkelok-kelok/berliku-liku) sehingga berpaling dari kiblat (membelakangi kiblat).

Sehubungan itu, jika terdapat halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya sekalipun ia tidak menghalang pandangan makmum tersebut seperti jendela, jaring-jaring, cermin dan seumpamanya, maka ia tetap tidak sah kerana di antara jemaah tersebut terdapat halangan yang menghalang untuk dilalui oleh makmum. Ia seumpama hukum dinding.

c. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir. Halangan tersebut termasuklah dinding, tirai atau tabir tebal yang dilabuhkan sehingga ia boleh menghalang pandangan makmum dan pintu yang tertutup sekalipun ia tidak dikunci serta boleh dilalui oleh makmum. Hal ini adalah kerana ia boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir.

Namun, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, jika tirai atau tabir tersebut jarang (nipis) sekira-kira ia tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir, maka sayugia dihukumkan sah qudwah (mengikut imam) tersebut. Ini kerana, ia tidak menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa, tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir dan tidak menghalang mereka daripada sempurna berhimpun di sesuatu tempat.

d. Menurut Syeikh Abdullah Basudan dan Syeikh al-Sayyid Abdul Rahman al-Masyhur, disyaratkan juga pandangan tersebut adalah dari tempat yang boleh dilalui oleh makmum.

e. Disyaratkan jarak mereka tidak terlalu jauh menurut majoriti ulama. Ditetapkan oleh Imam Syafi'i, jarak tersebut hendaklah tidak melebihi 3 ratus hasta (150 meter).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan;

Al-Majmuk
Hasyiah I‘anah al-Talibin
Bughyah al-Mustarsyidin
Fath al-‘Allam
Al-Fatawa al-Fataniyyah
- Al-Taqrirat al-Sadidah

Jumaat, 29 Disember 2017

10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR SURAH AL-KAHFI BENTENG DAJJAL

AMALKAN 10 AYAT AWAL DAN 10 AYAT AKHIR DARIPADA SURAH AL-KAHFI SEBAGAI BENTENG DARIPADA FITNAH DAJJAL.
Alyasak Berhan

1) Hafaz 10 ayat awal Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa menghafaz sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada (fitnah) dajjal.”(Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam‘an radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sollallahualaihi wa sallam bersabda :

فَمَنْ أَدْرَكَهُ مِنْكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عَلَيْهِ فَوَاتِحَ سُورَةِ الْكَهْفِ 
“Barangsiapa di antara kamu mendapati zamannya (dajjal), maka bacakan ke atasnya pendahuluan (awal) Surah al-Kahfi.”(Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra).

2) Baca 10 ayat akhir Surah al-Kahfi.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’ radhiallahu anhu, dia berkata bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِ الْكَهْفِ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ 
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada akhir Surah al-Kahfi, nescaya akan dipelihara daripada fitnah dajjal.”(Riwayat Ibn Hibban dan Ahmad).

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu anhu, dia berkata, Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

وَمَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ آخِرِهَا،ثُمَّ خَرَجَ الدَّجَّالُ لَمْ يُسَلِّطْ عَلَيْهِ 
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat daripada akhirnya (Surah al-Kahfi), kemudian dajjal keluar, nescaya ia (dajjal) tidak akan dapat menguasainya (pembaca).”(Riwayat al-Hakim, al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Nasaei dalam Sunan Kubra. Ia dinilai sahih oleh Imam al-Hakim atas syarat Imam Muslim dan dipersetujui oleh Imam al-Zahabi).

Imam al-Nawawi berkata : 
"Dikatakan sebab yang demikian itu adalah kerana di awal surahnya terkandung perkara-perkara yang menakjubkan dan tanda-tanda kekuasaan Allah Taala. Justeru, sesiapa yang mentadabburkannya, nescaya dia tidak akan terkena fitnah dajjal. Begitu juga yang terdapat pada 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ; 
أَفَحَسِبَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنْ يَتَّخِذُوا عِبَادِي مِنْ دُونِي أَوْلِيَاءَ

“Maka apakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka (dapat) mengambil (hamba-hamba Ku menjadi penolong selain Aku)”(Surah al-Kahfi : 102)."

Mudah-mudahan kita terpelihara daripada fitnah dajjal tersebut.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-dajjal”.(Riwayat Muslim).

PERINGATAN:

a) Menurut pengiraan ulama Hijazi (Madani Awwal, Madani Akhir dan Makki), sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

وَعَرَضْنَا جَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ لِلْكَافِرِينَ عَرْضًا
(Surah al-Kahfi ayat 100).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai satu ayat yang sama, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

b) Menurut pengiraan ulama Syami (Dimasyqi dan Himsi) dan Iraqi (Basri dan Kufi) pula, sepuluh ayat terakhir ini bermula dari ayat:

الَّذِينَ كَانَتْ أَعْيُنُهُمْ فِي غِطَاءٍ عَنْ ذِكْرِي وَكَانُوا لَا يَسْتَطِيعُونَ سَمْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 101).

Hal ini kerana mereka mengira ayat 103-104 sebagai dua ayat yang berlainan, iaitu;

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا
(Surah al-Kahfi ayat 103).

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
(Surah al-Kahfi ayat 104).

Hal ini disebutkan oleh Imam Abu al-Qasim al-Syatibi dalam nazamnya :

وَلِلصَّدْرِ أَعْمَالًا فَدَعْهُ لَدَى الْخَسْرِ
“Dan bagi ulama Hijazi (صدر) padaأَعْمَالًاyang di sisinya adaبِالْأَخْسَرِينَ(Surah al-Kahfi ayat 103), maka mereka tidak mengiranya satu ayat.”

Syeikh Muhammad al-Mutawalli juga berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا العِرَاقِ مَعْ شَامِيِّ
“Pada أَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Iraqi serta Syami mengiranya satu ayat.”

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkata dalam nazamnya :

أَعْمَالًا الشَّامِي مَعَ الْعِرَاقِ عَدْ
“Padaأَعْمَالًا(Surah al-Kahfi ayat 103) ulama Syami serta Iraqi mengiranya satu ayat.”

Justeru, saya berpandangan bahawa adalah lebih cermat pendapat yang pertama (Hijazi) di atas diamalkan demi untuk meraikan perbezaan kiraan 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi ini. Sekaligus, kedua-dua perbezaan ini dapat dihimpunkan dan diamalkan.  
اليسع
Wallahu a'lam.

Jom kita amalkan...


Isnin, 30 Oktober 2017

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

“5 KALI KENYANG” : KEFAHAMAN YANG PERLU DIPERBETULKAN.

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i, jumlah penyusuan yang memenuhi syarat seseorang bayi boleh dihukumkan sebagai anak susuan kepada wanita yang menyusukannya adalah sebanyak 5 kali penyusuan yang berasingan. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna Aisyah Radhiallahu anha, katanya:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْءَانِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ. ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّىَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْءَانِ
“Ayat al-Quran yang turun adalah 10 kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian dimansuhkan dengan 5 kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam wafat, ayat yang dimansuhkan ini masih dibaca sebagai sebahagian daripada ayat al-Quran.”(Riwayat Muslim).

Namun, sering terdengar daripada mulut beberapa tokoh-tokoh agamawan negara tatkala mereka menyebut tentang penyusuan yang mensabitkan mahram; “nak jadi anak susuan, mestilah bayi tersebut menyusu sebanyak 5 kali kenyang.” Malah, lebih membingungkan ada antara pihak-pihak berautoriti dalam bidang fatwa pun senada dengan ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini.

Timbul persoalan, benarkah ‘kenyang’ menjadi prasyarat seseorang bayi itu boleh disabitkan sebagai anak susuan???

Sehingga kini, kami masih tercari-cari rujukan muktabar Mazhab Syafi‘i yang menjadikan ‘kenyang’ sebagai salah satu syarat dalam setiap penyusuan tersebut.

Jika dirujuk kalam beberapa tokoh ulama Mazhab Syafi‘i seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, beliau berkata :

"Penanda aras 5 kali susuan itu adalah berdasarkan uruf (adat), SEKALIPUN TIDAK KENYANG..."

Syeikh Ibrahim al-Baijuri (Syeikh al-Azhar ke-19) berkata : 

"…diambilkira iaitu, sekalipun tempoh penyusuan tersebut terlalu lama atau terlalu singkat, sekalipun dalam setiap penyusuan tersebut tidak terhasil melainkan setitik. Maka TIDAK disyaratkan keadaannya mengenyangkan."

Disebutkan oleh Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz al-‘Alawi (ayahanda Habib Omar):

"Ukuran 5 kali susuan (yang berasingan) tersebut adalah berdasarkan uruf SEKALIPUN TIDAK MENGENYANGKAN."

Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata :

“…maka kaifiatnya dirujukkan kepada uruf, dengan seumpama keadaannya satu susuan yang sempurna WALAUPUN SUSUAN TERSEBUT TIDAK MENGEYANGKAN…” 

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf pula menyatakan :

TIDAK DISYARATKAN KENYANG DI SINI (bab penyusuan). Justeru, yang diambilkira adalah susu tersebut sampai ke dalam rongga bayi walaupun 5 titik yang berasingan.”

Berdasarkan beberapa kenyataan di atas, nyata dan terang disebut bahawa ‘kenyang’ bukanlah prasyarat dalam setiap 5 susuan tersebut. Bahkan, seandainya susu yang diminum oleh bayi berkenaan hanya sekadar setitik bagi setiap penyusuan tersebut sekalipun. Ia sudah cukup untuk menjadikan bayi itu sebagai anak susuan wanita yang menyusukannya.

Justeru, kami mempersilakan tok-tok guru dan asatizah yang pernah terjumpa ibarat kitab-kitab muktabar yang menyokong ‘mazhab 5 kali kenyang’ ini, mohon jasabaik tuan-tuan untuk memaklumkan kami supaya tulisan ringkas ini dapat diperbetulkan dan ditambahbaik. Namun, jika sebaliknya maka diharapkan agar tulisan ini dapat dipanjang-panjangkan. Mudah-mudahan kekeliruan yang timbul berkaitan isu ini dapat diperbetulkan. Sekian.
اليسع

Wallahu a‘lam.

Isnin, 11 September 2017

HUKUM MEMBURU DENGAN SENJATAPI

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMBURU DENGAN SENJATAPI
Alyasak Berhan

Hukum Memburu Menggunakan Senjatapi

Menurut ulama Mazhab Syafi'i, menembak binatang dengan menggunakan senjatapi hukumnya adalah haram kerana ia boleh menyebabkan kebinasaan terhadap binatang tersebut. Malah ia dikira sebagai perbuatan membunuh binatang secara sia-sia, walhal hukumnya adalah haram. 

Selain itu, peluru senjatapi juga tidak termasuk dalam kategori senjata tajam yang harus digunakan untuk menyembelih dan memburu. 

Disebutkan dalam Fath al-Muin;

فيحرم ما مات بثقل ما أصابه من محدد أو غيره كبندقة وإن أنهر الدم وأبان الرأس

"Maka haram apa yang mati dengan sebab berat apa yang menimpanya, daripada benda tajam atau selainnya seperti peluru sekalipun ia boleh mengalirkan darah dan memutuskan kepala..."
ويحرم قطعا رمي الصيد بالبندق المعتاد الآن - وهو ما يصنع بالحديد ويرمى بالنار - لانه محرق مذفف سريعا غالبا
قال شيخنا: نعم، إن علم حاذق أنه إنما يصيب نحو جناح كبير: فيشقه فقط، احتمل الجواز

"Haram secara pasti menembak binatang buruan dengan peluru yang biasa sekarang ini. Ianya adalah apa yang diperbuat daripada besi dan dilontarkan dengan api (senjatapi) kerana ia membakar lagi mengeluarkan nyawa dengan cepat pada ghalibnya. Kata syeikh kami, bahkan jika seorang yang cekap mengetahui bahawa ia hanya mengenai umpama kepak yang besar (hanya mencederakan), maka ia mengoyakkannya sahaja, ditanggungkan harusnya."
Walau bagaimanapun, jika penembak tersebut seorang yang mahir dan mengetahui bahawa tembakannya itu hanya mencederakan binatang tersebut sehingga ia dapat disembelih dalam keadaan masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap), maka hukumnya adalah harus.

Justeru, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi jika binatang tersebut masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap) selepas ia ditembak dan sempat disembelih. Misalnya seperti binatang itu besar dan tidak segera mati selepas ia ditembak atau ia ditembak di bahagian yang hanya mencederakan dan tidak terus mematikannya.



Status Binatang yang Ditembak

Jika binatang yang ditembak didapati masih mempunyai hayat mustaqirrah kemudian ia disembelih mengikut syarak, maka binatang buruan tersebut halal dimakan.

Sebaliknya, jika didapati binatang tersebut tidak mempunyai hayat mustaqirrah lagi, maka ia tidak halal dimakan. Hal ini kerana, binatang yang ditembak peluru senapang dan mati disebabkan tembakan peluru itu, ia dikira sebagai bangkai dan tidak halal dimakan.

Menurut Syeikh al-Azhar ke-19, Syeikh Ibrahim al-Baijuri, binatang buruan yang ditembak dengan senapang semata-mata, tidak halal dimakan, kerana binatang itu mati dengan sebab dihempap oleh peluru itu. Walhal peluru berkenaan bukan alat yang tajam seperti mata pisau dan binatang buruan itu mati dengan sebab peluru itu adalah bangkai yang dinamakan bangkai mauquzah (yang mati dipukul atau dihempap).

Manakala menurut pendapat ulama Mazhab Maliki pula, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi dan binatang buruan tersebut halal dimakan dengan syarat penembak bertasmiah (menyebut nama Allah) ketika menembaknya. Namun, jika penembak meninggalkan tasmiah (menyebut nama Allah) kerana terlupa, nescaya ia halal dimakan sepertimana yang telah difatwakan oleh Syeikh Husain bin Ibrahim al-Maliki al-Azhari, Mufti Mazhab Maliki di Mekah pada zamannya (salah seorang murid Syeikh Ibrahim al-Baijuri).

Berdasarkan kenyataan di atas, adalah disarankan agar pemburu-pemburu bertaklid kepada pendapat Mazhab Maliki ini semasa memburu menggunakan senjatapi. Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian dan pengetahuan kami, kebiasaannya binatang yang diburu menggunakan senjatapi seperti senapang patah, seringkali didapati tidak mempunyai hayat mustaqirrah setelah ia ditembak. Bahkan, hakikat ini seringkali juga sukar dielak lebih-lebih lagi jika peluru yang digunakan mempunyai kuasa tembakan yang kuat, jarak tembakan yang hampir atau binatang tersebut terdiri daripada binatang-binatang kecil seperti burung, ayam, kancil dan pelanduk. Justeru, dalam keadaan dan situasi tersebut, kami berpendapat bahawa pendapat Mazhab Maliki ini lebih sesuai untuk ditaklid dan diamalkan. 
اليسع
Wallahu a'lam.

Rujukan:

- Hasyiah al-Baijuri 
- Hasyiah I'anah al-Talibin 
- Tarsyih al-Mustafidin 
- Fatwa Dato' Said Alwe bin Tahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Negeri Johor
- Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei siri 30/1987 

Jumaat, 1 September 2017

Hukum Pindah Daging Korban

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMINDAHKAN DAGING KORBAN
Alyasak Berhan


Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu adalah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan di negeri tersebut.

Berikut adalah perincian berkaitannya menurut pandangan ulama Mazhab Syafi'i.

1. Orang yang berkorban/Wakil

1.1 Korban Wajib 

Haram bagi orang yang berkorban wajib, memindahkan kesemua daging korbannya ke tempat lain sepertimana hukum memindahkan zakat. Justeru, daging tersebut wajiblah diagihkan kepada fakir miskin di mana korban tersebut dilaksanakan (jika ada).

1.2 Korban Sunat

Hanya haram memindahkan daging ke tempat lain sekadar yang wajib disedekahkan kepada fakir/miskin (sedikit sahaja) dan bukan kesemuanya. Adapun, selebihnya harus dipindahkan ke tempat lain.

2. Penerima Daging Korban

2.1 Fakir/Miskin

Harus bagi mereka memindahkan daging korban yang diterima kerana pemberian berkenaan merupakan sedekah kepada mereka dan ia memberi faedah pemilikan (tamlik). Maka haruslah bagi mereka menguruskan pemberian sedekah tersebut mengikut cara yang sewajarnya.

2.2 Orang Kaya

Harus bagi mereka memindahkan daging korban yang diterima walaupun pemberian berkenaan atas dasar hadiah kepada mereka. Tambahan lagi, mereka hanya layak untuk menerima daging korban sunat sahaja, iaitu lebihan daripada kadar yang wajib disedekahkan kepada fakir/miskin. 

HUKUM MENGIRIM WANG UNTUK BERKORBAN DI TEMPAT LAIN

Memindahkan wang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban serta disembelih dan dibahagi-bahagikan di negeri tersebut hukumnya adalah harus

Al-Sayyid al-Bakri berkata,

“Adapun memindahkan wang dirham dari satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.”
Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya: 

“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (nusantara) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekah untuk dijadikan akikah dan korban sedangkan orang yang hendak berakikah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami?"
Lalu dijawabnya: 
"Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan akikah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan berakikah itu...”
اليسع
Wallahu a'lam.

Rujukan:

Nihayah al-Muhtaj
Mughni al-Muhtaj
Al-Manhaj al-Qawim
Hasyiah al-Syabramallisi
Hasyiah al-Jamal
Fatawa al-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi
Sabil al-Muhtadin 
Hasyiah I'anah al-Talibin
Hasyiah al-Tarmasi
Hasyiah al-Syarwani