Jumaat, 2 Jun 2017

HUKUM PAKAI INHALER SEMASA PUASA

PANDUAN HUKUM: HUKUM PAKAI INHALER SEMASA PUASA
Alyasak bin Berhan

Di antara soalan yang seringkali diajukan setiap kali masuknya bulan Ramadhan adalah berkaitan hukum menggunakan inhaler semasa puasa, adakah ianya membatalkan puasa atau tidak?

Jawapan kami :

Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan. Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut (Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 18).

Sehubungan itu, jika kandungan inhaler yang digunakan itu sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung sekalipun sedikit, maka ia akan membatalkan puasa. Sebaliknya, jika tidak sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka ia tidak membatalkan puasa.

Dinyatakan oleh Imam Ibn al-Naqib al-Misri :

وضابط المفطر وصول عين وإن قلت من منفذ مفتوح إلى جوف

"Dan dhabit (penanda aras) bagi perkara yang membatalkan puasa adalah sampainya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit daripada lubang tubuh yang terbuka ke dalam jauf (rongga)."(‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik).

Disebutkan dalam Fath al-Mu‘in :

و يفطر بدخول عين وإن قلت إلى ما يسمى جوفا

"Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu ‘ain (benda) sekalipun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga)."

Fatwa Kontemporari

Di antara ulama yang pernah memfatwakan bahawa batal puasa seseorang yang menggunakan inhaler ini adalah;


- rujuk juga Kitab al-Siyam terbitan Dar al-Ifta' Mesir hal. 85.

2) Fatwa Dar al-Ifta' Jordan

- rujuk juga Mukhtasar Ahkam al-Siyam terbitan Dar al-Ifta' Jordan hal. 11.


4) Fatawa Syar‘iyyah yang dikeluarkan oleh Bahagian Fatwa dan Penyelidikan, Dairah al-Syuun al-Islamiyyah, Dubai, United Arab Emirates hal. 114/1.

5) Syeikh Omar al-Khatib Singapura (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Panduan Ilmu Fiqh Syeikh Omar al-Khatib hal. 26 Bab Puasa.

6) Syeikh ‘Atiyyah Saqr, mantan ketua Lajnah Fatwa al-Azhar al-Syarif di dalam himpunan fatwa beliau berjudul Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam hal. 19/2.

7) Dr. Muhammad Jabr al-Alfi al-Misri (bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab Mufattirat al-Soim fi Dhau'i al-Mustajiddah al-Tibbiyyah hal. 102.

8) Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas (bermazhab Syafi‘i) di dalam kitab al-Tibyan wa al-Ithaf fi Ahkam al-Siyam wa al-Iktikaf hal. 115.

9) Syeikh Muhammad Mukhtar al-Sulami, mantan mufti Tunisia (bermazhab Maliki) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

10) Dr. Ali Jumaah, mantan mufti Mesir (bermazhab Syafi‘i) di dalam himpunan fatwa beliau berjudul al-Kalim al-Tayyib hlm 109.

11) Habib Omar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz al-Husaini (bermazhab Syafi'i)  (http://www.alhabibomar.com/Fatwa.aspx?SectionID=5&RefID=42).

12) Dr. Wahbah al-Zuhaili (bermazhab Syafi'i) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

13) Syeikh Muhammad Taqi al-Uthmani (bermazhab Hanafi) sepertimana yang dicatatkan dalam Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah hal. 15.

14. Dr. Ahmad al-Hajji bin Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad ‘Assaf al-Kurdi al-Halabi (bermazhab Hanafi) di dalam fatwa beliau no.108 bertarikh 22-11-2005 (https://www.islamic-fatwa.com/fatwa/108).

15) Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus (bermazhab Syafi'i) di dalam kitab Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam hlm 71.

16) Sayyid Muhammad Amin bin Idrus Ba ‘Alawi al-Husaini yang merupakan murid al-Habib Zein bin Ibrahim bin Sumait (bermazhab Syafi‘i) di dalam buku Marhaban Ya Ramadhan hlm 90.

17) Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit (JAKIM) hlm 7.(http://www.e-fatwa.gov.my/…/garis_panduan_berpuasa_bagi_pes…)

Kesimpulan

Walaupun terdapat khilaf berkaitan hukum penggunaan inhaler semasa puasa ini, namun kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa ia akan membatalkan puasa kerana kandungan inhaler akan masuk ke dalam rongga melalui mulut. Ia selaras dengan pendapat tokoh-tokoh ulama yang menjadi rujukan ummah masa kini dan juga merupakan keputusan badan-badan yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum. Justeru, pendapat ini merupakan pandangan yang lebih cermat.


Sehubungan itu, apabila pesakit terpaksa menggunakan inhaler semasa berpuasa, maka haruslah baginya berbuka dan hendaklah dia mengqadha' puasanya setelah dia sembuh. Namun, jika sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka pesakit tersebut tidak diwajibkan berpuasa. Walau bagaimanapun, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang fakir atau miskin sebanyak hari yang dia tidak berpuasa itu. Firman Allah Taala:


ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

"...maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin..."(Surah al-Baqarah 184).
اليسع

Wallahu a'lam.

Khamis, 25 Mei 2017

NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN


PANDUAN HUKUM:  NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN
Alyasak bin Berhan

Niat Puasa Menurut Mazhab Syafi'i

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi'i, wajib untuk berniat puasa pada setiap malam. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya pada waktu malam hari, bahawa dia akan berpuasa yang tertentu pada keesokan harinya, maka itu sudah memadai baginya. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, Rasululllah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَصِيَامَ لَهُ

"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar (subuh), maka tiada puasa baginya." (Riwayat al-Daraqutni no. 2213 dan al-Baihaqi no. 7989. Menurut al-Daraqutni, semua perawinya adalah thiqah)

Syarat niat bagi puasa adalah;

1. Tabyit- Meniatkan pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar bagi puasa wajib. Manakala bagi puasa sunat pula diharuskan untuk berniat sebelum gelincir matahari selagimana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda kepadanya;

هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ غَدَاءٍ ؟ "، ... وَإِنْ قُلْنَا : لا , قَالَ : " إِنِّي صَائِمٌ.  قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ هَذاَ إسْنَادٌ صَحِيْحٌ

"Adakah pada kamu apa-apa untuk makan tengah hari?." Jika kami menjawab; "Tiada." Lalu baginda bersabda; "Kalau begitu aku berpuasa."(Riwayat al-Daraqutni no.2236).

2. Ta'yin- Menentukan jenis puasa yang ingin dilaksanakan seperti puasa Ramadhan.

3. Tikrar (berulang-ulang)- Meniatkan puasa pada setiap malam untuk berpuasa keesokan hari berikutnya (Al-Fiqh al-Manhaji 340-341/1, al-Muktamad 174-176/2).

Sehubungan itu, menurut ulama Mazhab Syafi‘i, berniat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada setiap malam kerana ibadat puasa pada setiap hari itu dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Oleh itu, jika seseorang berniat pada malam pertama bulan Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh, maka niat sedemikian hanya sah bagi hari pertamanya sahaja. Disebutkan oleh Ibn al-Muqri;

ولو نوى صوم الشهر كفاه لليوم الأول

"Jikalau seseorang berniat puasa untuk sebulan, nescaya ia memadai untuk puasa hari pertama..."(Raudhah al-Talib 225/2).

Selain itu, tidak memadai niat puasa jika hanya sekadar berniat untuk berpuasa esok hari sahaja, seperti niat "sahaja aku berpuasa esok hari". Hal ini kerana, sekurang-kurang niat yang memadai bagi puasa Ramadhan adalah, "sahaja aku berpuasa Ramadhan" walaupun tanpa diniatkan "FARDHU" Ramadhan menurut pendapat yang muktamad sepertimana yang telah disahihkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk kerana mengikut pendapat kebanyakan ulama (Hasyiah I'anah al-Talibin 350/2, Bughyah al-Mustarsyidin 111).

Manakala berLAFAZ niat, hukumnya adalah sunat bagi membantu niat di dalam hati. Ia diqiaskan dengan lafaz niat ihram ketika melaksanakan ibadat haji bertujuan untuk membantu niat di dalam hati seperti lafaz niat:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala."

Justeru, bagi yang tidak berniat, maka puasanya tidak sah kerana setiap perkara dimulakan dengan niat berdasarkan hadis riwayat Umar al-Khattab radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

"Hanyasanya setiap amalan adalah dengan niat dan seseorang hanya mendapat apa yang diniatkannya..."(Riwayat al-Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).

Niat Puasa Menurut Mazhab Maliki

Menurut pandangan ulama Mazhab Maliki pula, harus berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan. Hal ini adalah kerana, di sisi mereka puasa tersebut dianggap seolah-olah seperti ibadat yang satu dari segi keterikatan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain dan dari segi ia tidak harus dipisah-pisahkan. Justeru, niat tersebut harus dilakukan pada malam pertama puasa sahaja.

Disebutkan dalam Mukhtasar Khalil (kitab Mazhab Maliki);

وَكَفَتْ نِيَّةٌ لِمَا يَجِبُ تَتَابُعُهُ لَا مَسْرُودٍ وَيَوْمٍ مُعَيَّنٍ ، وَرُوِيَتْ عَلَى الِاكْتِفَاءِ فِيهِمَا ، لَا إنْ انْقَطَعَ تَتَابُعُهُ بِكَمَرَضٍ ، أَوْ سَفَرٍ

"Memadai satu niat bagi puasa yang wajib dikerjakan secara berturutan (seperti Ramadhan). Tidak harus bagi puasa yang tidak wajib dikerjakan secara berturutan (seperti puasa qadha) dan untuk puasa yang tertentu (seperti puasa Isnin dan Khamis). Diriwayatkan (iaitu pendapat yang lemah dalam Kitab al-Mudawwanah) atas memadai niat yang satu pada kedua-dua puasa tersebut. Tidak memadai jika terputus berturut-turutnya seperti sakit atau musafir..."

Sungguhpun demikian, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu terputus kerana sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syarak atau tidak, maka niat tersebut tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Justeru, niat puasa tersebut perlulah diperbaharui semula apabila tiada lagi perkara yang menghalangnya daripada berpuasa.

Sebab-sebab yang boleh memutuskan puasa yang berturutan menurut Mazhab Malik adalah:

1) Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu berbuka seperti sakit atau musafir, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa) mengikut pendapat yang muktamad.

2) Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa seperti kedatangan haidh, nifas, gila, pengsan dan mabuk.

3) Sengaja tidak berpuasa tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak (Hasyiah al-Dusuqi 521/1, Minah al-Jalil 128-129/2).

Taklid Mazhab Lain Dalam Masalah Niat Puasa

Demi menjaga kemaslahatan dan sebagai langkah berhati-hati kerana dikhuatiri terlupa berniat puasa pada setiap malam hari, maka ramai di antara ulama mazhab Syafi'i menghukumkan sunat juga berniat puasa sebulan dengan bertaqlid kepada Mazhab Maliki. Antara mereka adalah Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim al-Birmawi, Syeikh Ahmad al-Qalyubi, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh Sulaiman al-Jamal, Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id Ba 'Asyan, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdullah al-Jurdani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid al-Syarwani, Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal), Syeikh Husain Kedah.

Manakala, sebahagian mereka pula mengharuskannya. Antaranya adalah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani (Matla' al-Badrain), Syeikh Muhd Nur al-Fatani dan Syeikh Muhd al-Syatiri.

Malah, sebahagian ulama menghukumkan sunat bagi seseorang yang lupa berniat puasa sebelum masuk waktu Subuh untuk bertaklid kepada Mazhab Hanafi kerana menurut mazhab ini, harus dan sah puasa seseorang jika dia berniat setelah waktu Subuh dan sebelum waktu Zuhur. Antara mereka adalah Imam al-Nawawi, Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim al-Birmawi, Syeikh Sulaiman al-Jamal, Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id Ba 'Asyan, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdullah al-Jurdani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid al-Syarwani, Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal).

Disebutkan oleh Syeikh Hasan al-Syurunbulali (ulama Mazhab Hanafi);

فيصح بنية من الليل إلى ما قبل نصف النهار على الأصح ونصف النهار من طلوع الفجر إلى وقت الضحوة الكبرى

"Maka sah puasa dengan niat bermula dari malam hingga sebelum waktu setengah hari menurut pendapat yang lebih sahih. Waktu setengah hari adalah daripada terbit fajar hingga waktu dhuha kubra (gelincir matahari)...(Nur al-Idhah).

Perkara yang Membatalkan Puasa Menurut Mazhab Maliki

Terdapat beberapa perbezaan di sisi Mazhab Maliki berkaitan perkara-perkara yang  membatalkan puasa, berbeza dengan Mazhab Syafi'i. Ia seharusnya diketahui dan diraikan juga oleh orang berniat puasa sebulan kerana bertaklid kepada Mazhab Maliki agar puasa mereka sah di sisi mazhab yang ditaklid (Maliki), antaranya:

1. Pengsan ketika terbit fajar hari puasa (Mukhtasar Khalil 130/2).

2. Mengeluarkan air mazi ketika jaga (Mukhtasar Khalil 131/2).

3. Memasukkan sesuatu ke dalam mata kerana di sisi Mazhab Maliki, mata termasuk dalam rongga yang terbuka (Mukhtasar Khalil 133/2).

Walaubagaimanapun, menurut apa yang telah kami nukilkan daripada syeikhuna, Syeikh Dr. Muhammad bin Abdullah bin Ali Muhyiddin al-Qurasyi al-Syafi‘i (murid Syeikh Abdullah al-Nakhibi al-Yafi'ei al-Syafi‘i) daripada SEBAHAGIAN guru-gurunya. Jikalau seseorang terlupa berniat pada malam-malam berikutnya, padahal dia telah bertaklid kepada Mazhab Maliki dengan berniat sebulan Ramadhan pada malam pertama, maka sahlah puasanya sekalipun dia tidak mengikut sepenuhnya puasa dalam Mazhab Maliki kerana memberi keringanan dan kemudahan kepada orang-orang yang berpuasa.

Faedah Bertaklid Kepada Mazhab Maliki

Terdapat sekurang-kurangnya 2 faedah bagi seseorang yang bertaklid dengan niat sebulan berdasarkan Mazhab Maliki ini, iaitu;

1. Sah puasa bagi hari yang dia lupa berniat pada malamnya di sisi Mazhab Maliki.

2. Akan memperolehi pahala puasa yang sempurna seandainya dia meninggal dunia sebelum sempurna bulan Ramadhan kerana mengambilkira niatnya (al-Taqrirat al-Sadidah 440).

Lafaz Niat Puasa Sebulan Penuh

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانِ كُلِّهِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

"Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan sekaliannya tahun ini (bertaklid kepada Mazhab Maliki) kerana Allah Taala."
اليسع
Wallahu a'lam.

"SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA" 

رمضان كريم

كل عام وأنتم بخير

Isnin, 8 Mei 2017

HUKUM PEREMPUAN HAID MEMASUKI MASJID

PANDUAN HUKUM: HUKUM PEREMPUAN HAID MEMASUKI MASJID
Alyasak bin Berhan

Terdapat dua permasalahan utama berkaitan hukum perempuan haid memasuki masjid iaitu;

1.       LALU DI DALAM MASJID TANPA BERHENTI ATAU DUDUK DI DALAMNYA.

Hukumnya adalah harus dengan syarat darah haidnya itu tidak melumuri atau mengotori masjid. Disebutkan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari;

وعبور مسجد إن خافت تلويثه بالدم كسائر النجاسات الملوثة صيانة للمسجد. فإن أمنته كان لها العبور.

"(Haram dengan sebab haid)...dan melintas masjid jika dia takut melumurkannya dengan darah itu, sama seperti sekalian najis-najis yang melumurkan kerana memelihara masjid. Maka jika dia aman daripada melumurkan darah ke dalam masjid, maka harus baginya melintas masjid."(Tuhfah al-Tullab).

Namun, jika khuatir darahnya mengotori masjid, maka haram ke atasnya lalu di dalam masjid. Sebaliknya, jika tidak dikhuatiri darahnya mengotori masjid, maka makruh ke atasnya lalu di dalam masjid selagimana tiada keperluan untuknya berbuat demikian kerana berat hadasnya. Walaubagaimanapun, jika ada keperluan untuknya berbuat demikian, maka menurut Syeikh al-Ramli hukumnya adalah harus.

Selain itu, diharamkan juga ke atas perempuan haid berulang-alik di dalam masjid tanpa sebarang keuzuran. Imam Abdullah Ba Fadhl menyatakan;

...ومكث في المسجد وتردد فيه لغير عذر

"...dan haram menetap di dalam masjid dan berulang-alik di dalamnya dengan tanpa keuzuran..."(al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah).

Walaubagaimanapun, jika ada keuzuran maka harus baginya menetap di dalam masjid dan berulang-alik di dalamnya, seperti seseorang yang terkunci di dalam masjid, takut untuk keluar dari masjid kerana ada sesuatu yang merbahaya dan seumpamanya.

Justeru, kesimpulan mengenai hukum perempuan haid lalu di dalam masjid tanpa berhenti atau duduk di dalamnya adalah sepertimana berikut;

a.  Haram tanpa khilaf jika khuatir darahnya mengotori masjid.
b. Makruh jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid serta TIADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid.
c. Harus jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid serta ADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid menurut Syeikh al-Ramli.

Adapun menurut Syeikh Ibn Hajar pula, tidak ternafi hukum makruh (tetap dihukumkan makruh) bagi perempuan haid untuk lalu di dalam masjid jika TIDAK dikhuatiri darahnya mengotori masjid tersebut WALAUPUN ADA keperluan untuknya lalu di dalam masjid.

2.       DUDUK DAN MENETAP DI DALAM MASJID TANPA SEBARANG KEUZURAN.

Hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan beberapa riwayat, antaranya;

فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

"...maka sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”Riwayat Abu Daud (201).

 إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلَا لِحَائِضٍ

“Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”Riwayat Ibn Majah (637).

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;

يحرم على الحائض والنفساء مس المصحف وحمله واللبث في المسجد وكل هذا متفق عليه عندنا وتقدمت أدلته وفروعه الكثيرة مبسوطة في باب ما يوجب الغسل والحديث المذكور رواه أبو داود والبيهقي وغيرهما من رواية عائشة رضي الله عنها واسناده غير قوى وسبق بيانه هناك

“Haram ke atas perempuan haid dan nifas menyentuh mashaf dan membawanya, dan berdiam di dalam masjid. Semua itu telah disepakati di sisi kami (ulamak mazhab Syafi'i). Telah terdahulu disebutkan dalil-dalilnya, serta cabang masalahnya yang banyak juga telah dikemukakan panjang lebar pada bab Perkara Yang Mewajibkan Mandi. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Baihaqi dan selainnya daripada riwayat Aisyah radhiallahu anha dan sanadnya tidak kuat. Telah lepas penjelasannya di sana.”(Al-Majmuk).

Telah diputuskan oleh ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, bahawa haram ke atas perempuan haid berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan sepertimana berikut :

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 telah membincangkan Wanita Haid Memasuki Masjid Untuk Tujuan Pembelajaran semata-mata. Muzakarah telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada / duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan."

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada / duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan."
اليسع

Wallahu a'lam.

Rujukan

- Al-Majmuk
- Al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah
- Tuhfah al-Tullab
- Hasyiah al-Jamal
- Busyra al-Karim
- Fath al-A'lam
- Ithmit al-‘Ainain 
- Al-Manhal al-Naddhakh

Rabu, 19 April 2017

Hukum Membaca Basmalah Sebelum Berwuduk

PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMBACA BASMALAH SEBELUM BERWUDUK
Alyasak bin Berhan

Imam al-Syafi‘i rahimahullahu Taala berkata :

وَأُحِبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُسَمِّيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فِي ابْتِدَاءِ وُضُوئِهِ فَإِنْ سَهَا سَمَّى مَتَى ذَكَرَ وَإِنْ كَانَ قَبْلَ أَنْ يُكْمِلَ الْوُضُوءَ وَإِنْ تَرَكَ التَّسْمِيَةَ نَاسِيًا أَوْ عَامِدًا لَمْ يَفْسُدْ وُضُوءُهُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Aku suka bagi seorang lelaki menyebut nama Allah 'Azza wa Jalla pada permulaan wuduknya. Maka jika dia lupa, diucapkannya bila dia ingat dan jika ada ia sebelum sempurna wuduknya (sebelum selesai wuduknya). Dan jika dia meninggalkan ucapan Basmalah dalam keadaan lupa atau sengaja, nescaya tidak rosak (tidak batal) wuduknya Insya Allah (Al-Um 67/2).

Sehubungan itu, hukum membaca Basmalah pada permulaan wuduk adalah sunat di sisi Mazhab Syafi'i, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan pendapat yang lebih jelas dalam Mazhab Hanbali. Justeru, jika seseorang meninggalkannya secara sengaja, maka wuduknya sah (Al-Majmuk 387/1).

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

تَوَضَّئُوْا بِسْمِ اللهِ...

"Berwuduklah kamu dengan nama Allah..."(Riwayat al-Nasaei, no. 78 dengan sanad yang jayyid).

Manakala menurut satu pendapat daripada ulamak Mazhab Hanbali pula, hukum membaca Basmalah pada permulaan wuduk adalah wajib berdasarkan riwayat;

لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

"Tiada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah..."(Riwayat Abu Daud no. 101, Ibn Majah no. 399 dan lain-lain).

Disebutkan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari;

(وسن) للمتوضئ - ولو بماء مغصوب على الأوجه - (تسمية أوله) أي أول الوضوء - للاتباع - وأقلها باسم الله، وأكملها بسم الله الرحمن الرحيم. وتجب عند أحمد

"Disunatkan bagi seseorang yang berwuduk walaupun dengan air yang dirampas menurut pandangan yang lebih berwajah (muktamad), membaca Basmalah pada awalnya iaitu awal wuduk kerana ittiba' (mengikut Nabi). Sekurang-kurangnya ;
بِسْمِ اللهِ

dan paling sempurnanya

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Ianya wajib di sisi Imam Ahmad."

Walaubagaimanapun, ulamak Mazhab Syafi'i menolak pendapat yang mengatakan ia wajib dengan sekurang-kurangnya 4 alasan iaitu;

1. Sanad hadis tersebut dhaif (lemah). Imam al-Nawawi berkata :

وجاء في التسمية أحاديث ضعيفة ، وثبت عن أحمد بن حنبل رحمه الله أنه قال : لا أعلم في التسمية في الوضوء حديثاً ثابتاً

"Telah datang beberapa hadis yang dhaif pada bicara tentang tasmiyah (Basmalah sebelum wuduk) ini. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad, bahawa sesungguhnya beliau pernah mengatakan, “Tidak aku ketahui suatu hadis yang sabit (sahih) pada bicara tentang tasmiyah (Basmalah) ketika wuduk ini.” (al-Azkar, 71).

2. Ditanggungkan hadis tersebut dengan maksud "tidak sempurna wuduk" dan bukan dengan maksud "tidak sah wuduk."(Al-Majmuk 387/1, Asna al-Matalib 92/1, Tuhfah al-Tullab 12, I'anah al-Talibin 73/1).

3. Yang memalingkan perintah (al-amr) di sini dan selainnya adalah apa yang diriwayatkan, bahawa sesungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam telah bersabda kepada seorang badwi iaitu :

فَتَوَضَّأْ كَمَا أَمَرَكَ اللَّهُ

"...maka berwuduklah kamu sepertimana yang Allah telah perintahkan kamu."(Riwayat al-Tirmizi no. 302 dan beliau menghasankannya).

Sedangkan pada apa yang Allah Taala telah perintahkan itu, tidak terdapat sesuatupun mengenai kewajipan membaca Basmalah (Al-Majmuk 387/1, Tuhfah al-Tullab 111).

4. Menurut Rabi‘ah iaitu guru Imam Malik, al-Darimi, Qadhi Husain dan segolongan ulamak lainnya sepertimana yang telah dinukilkan oleh al-Khattabi, yang dimaksudkan dengan zikir (menyebut nama Allah) di dalam hadis :

لاَ وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ

"Tiada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah..."(Riwayat Abu Daud no. 101, Ibn Majah no. 399 dan lain-lain).

Ini adalah niat (Al-Majmuk 387/1).
اليسع

Wallahu a'lam.

Ahad, 9 April 2017

Kenali Kitab Tuhfah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (تحفة المحتاج بشرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Shihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami al-Sa‘di al-Ansari al-Syafi‘i. Beliau dilahirkan di perkampungan Abu al-Haitam, Mesir tahun 909H. Antara gurunya adalah seperti Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, Syeikh Abdul Haq al-Sinbati, Syeikh Ibn ‘Arus al-Misri, Syeikh Shihab al-Ramli, Syeikh Muhammad bin Salim al-Tabalawi dan lain-lain. Berhijrah ke Mekah dan tinggal di sana selama lebih kurang 34 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia tahun 974H. Karyanya melebihi seratus buah karangan dalam pelbagai bidang ilmu. Antara karya fiqahnya yang terkenal ialah Tuhfah al-Muhtaj, Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, al-Imdad Syarh al-Irsyad, al-Manhaj al-Qawim, al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) حج.

Justeru, apabila disebut Ibn Hajar di dalam kitab-kitab fiqah Mazhab Syafi‘i, maka ia merujuk kepada beliau (Ibn Hajar al-Haitami), bukannya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, iaitu pengarang Fath al-Bari dalam bidang hadis, yang juga bermazhab Syafi‘i.  

Kedudukan Kitab

Beliau mula menyusun Kitab Tuhfah al-Muhtaj pada 12 Muharram tahun 958H dan selesai pada malam 27 Zulkaedah tahun 958H. Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab Tuhfahnya pernah dipelajari daripadanya oleh sejumlah ulama al-Muhaqqiqin yang tidak terhitung ramainya sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Hadhramaut, Syam, Akrad, Yaman, Hijaz dan Daghistan. Oleh kerana itulah, apabila berlakunya perbezaan pendapat Syeikh Ibn Hajar di antara kitab-kitab beliau, maka didahulukan pendapat beliau di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, kemudian Fath al-Jawwad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Imdad Syarh al-Irsyad, kemudian al-Manhaj al-Qawim Syarh Ba Fadhal, kemudian al-I‘ab Syarh al-‘Ubab, al-Fatawa al-Kubra dan al-Fatawa al-Hadithiyyah.

Menurut pengkaji, penulisan beliau dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini banyak mengambil faedah daripada kitab hasyiah gurunya, iaitu Hasyiah Ibn Abdil Haq al-Sunbati bagi Syarh al-Mahalli. Selain itu juga, ibarat (gaya bahasa) yang digunapakai oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini lebih sulit difahami berbanding kitab gandingannya seperti Kitab Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj terutamanya dalam bab faraid.

Hasyiah Kitab

Terdapat tidak kurang daripada 20 lebih orang ulama yang pernah menghasyiahkan (menghuraikan) Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini. Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah tersebut hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini (10 jilid), iaitu Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi dan Hasyiah Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani (murid kepada Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan dialah yang dimaksudkan oleh al-Syarwani dengan ‘Syeikhuna’ dalam hasyiahnya ini). Bahkan, daripada sekalian hasyiah tersebut juga, Hasyiah Syeikh Ibn al-Qasim al-‘Abbadi adalah hasyiah yang lebih didahulukan oleh para ulama berbanding hasyiah-hasyiah yang lain. Sungguhpun demikian, di nusantara ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Ahad, 26 Mac 2017

Kenali Kitab Nihayah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin atau Jamaluddin Muhammad bin Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i. Beliau mula menyusun Kitab Nihayah al-Muhtaj pada bulan Zulkaedah tahun 963H dan selesai pada malam Jumaat 19 Jamadil Akhir tahun 973H. Beliau adalah seorang yang faqih dan mufti Mesir yang digelar “al-Syafi‘i al-Saghir”. Dikenali juga dengan gelaran “al-Ramli al-Saghir”, manakala bapanya dikenali dengan “al-Ramli al-Kabir”. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Shihabuddin al-Ramli, Syeikh al-Islam al-Qadhi Zakaria al-Ansari, Syeikh Burhanuddin bin Abu al-Syarif, Syeikh Sa‘duddin Muhammad bin Muhammad al-Zahabi dan lain-lain lagi. Beliau lahir pada tahun 919H di Kaherah dan meninggal dunia tahun 1004H. Antara karyanya yang masyhur adalah seperti Nihayah al-Muhtaj dan Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Raslan. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) م ر.

Kedudukan Kitab

Kitab Nihayah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab ini pernah dipelajari daripada pengarangnya sendiri oleh sejumlah tidak kurang daripada empat ratus orang ulama al-Muhaqqiqin sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Mesir seperti al-Zayyadi, al-Halabi, al-Syaubari, al-‘Inani, al-Qalyubi, al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi, al-Rasyidi, al-Jamal, al-Bujairimi, al-Syarqawi, al-Baijuri dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, jika berlaku perselisihan pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini dengan Kitab Syarh al-Idhah berkaitan permasalahan haji, maka pendapat beliau di dalam Kitab Syarh al-Idhah lebih dipegang (muktamad) berbanding pendapat beliau di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Hal ini adalah kerana, Kitab Syarh al-Idhah lebih terkemudian dikarang oleh beliau berbanding Kitab Nihayah al-Muhtaj.


Hasyiah Kitab

Antara ulama yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Nihayah al-Muhtaj ini adalah:

1. Syeikh Nuruddin Ali bin Yahya al-Zayyadi al-Misri (1024H).

2. Syeikh Muhammad bin Abdul Mun'im al-Taifi (1052H).

3. Syeikh Nuruddin Ali bin Ali al-Shabramallisi al-Qahiri (1087H).

4. Syeikh Ahmad bin Abdul Razzaq al-Maghribi yang dikenali dengan panggilan al-Rasyidi (1096H).

5. Syeikh Sulaiman bin Umar al-'Ajili al-Misri yang dikenali dengan panggilan al-Jamal (1204H).

6. Syeikh Khalid bin Husain al-Syahrazuri al-'Uthmani (1242H).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Anbabi al-Azhari (1313H) berjudul Taqrir al-Anbabi 'ala Nihayah al-Muhtaj li al-Ramli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Nihayah al-Muhtaj ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Shabramallisi dan Hasyiah Syeikh al-Rasyidi (8 jilid). Sungguhpun demikian, di zaman ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


Jumaat, 3 Februari 2017

HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT

PANDUAN HUKUM: HUKUM MENGUTIP DERMA SEMASA KHUTBAH JUMAAT
Alyasak bin Berhan

Mengutip dan memberi derma semasa khatib sedang berkhutbah hukumnya adalah MAKRUH kerana ia termasuk dalam perkara yang lagha dan boleh mengganggu tumpuan jemaah untuk mendengar khutbah. Hal ini adalah berdasarkan;

عَنْ أبي هريرةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله - صلى الله عليه وسلم -: مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أَتَى الجُمعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْن الجُمُعَةِ وَزِيادَةُ ثَلاثَةِ أيَّامٍ، وَمَنْ مَسَّ الحَصَا فَقَدْ لَغَا. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu, beliau berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya, kemudian dia menghadiri solat Jumaat, lalu dia mendengar dan diam (meneliti khutbah), akan diampunkan baginya antara Jumaat itu dan Jumaat yang satu lagi serta tambahan 3 hari. Dan sesiapa yang menyentuh anak batu (bermain-main dengannya), maka sesungguhnya ia telah lagha.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal:

وَيُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ وَدَوْرَانُ الْإِبْرِيقِ وَالْقِرَبِ لِسَقْيِ الْمَاءِ وَتَفْرِقَةُ الأَوْرَاقِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِمْ لأَنَّهُ يُلْهِي النَّاسَ عَنْ الذِّكْرِ وَاسْتِمَاعِ الْخُطْبَةِ اهـ

“Dan makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta, mengedarkan kendi (termasuk juga tabung derma) dan qirbah (bekas air minuman yang diperbuat daripada kulit kambing) untuk minuman air dan membahagikan kertas-kertas serta memberi sedekah kepada mereka kerana yang demikian boleh melalaikan jemaah daripada berzikir dan mendengar khutbah.”(Futuhat al-Wahhab).

Syeikh Syihabuddin al-Qalyubi pula menyatakan:

...يُكْرَهُ الْمَشْيُ بَيْنَ الصُّفُوْفِ لِلسُّؤَالِ أَوْ غَيْرِهِ وَالتَّصَدُّقُ عَلَيْهِ اهـ

“...makruh berjalan di antara saf-saf untuk meminta-minta atau selainnya serta memberikan sedekah padanya.”(Hasyiah al-Qalyubi).

Fatwa Mufti Negeri Sembilan

Soalan:

Apakah hukumnya memungut derma ketika imam sedang membaca khutbah?

Jawapan:

Hukumnya makruh, qias kepada hukum berkata-kata pada masa imam membaca khutbah (Himpunan fatwa Dato’ Haji Abu Hasan bin Haji Sail, Mufti ke-2 Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan).

Hukum Berkata-kata Semasa Khutbah Jumaat.

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَالْجَدِيْدُ أَنَّهُ لَا يَحْرُمُ عَلَيْهِمُ الْكَلَامُ وَيُسَنُّ الإِنْصَاتُ

“Menurut qaul jadid (fatwa Imam Syafi‘i setelah berada di Mesir), bahawa tidak haram ke atas mereka berkata-kata. Dan disunatkan diam (dan mendengar khutbah dengan teliti)...”

Syeikh al-Ramli berkata:

نَعَمْ يُكْرَهُ الْكَلَامُ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ إذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ فَقَدْ لَغَوْتَ
"Bahkan, makruh berkata-kata ketika itu (khutbah) berdasarkan hadis riwayat Muslim;
 
"Apabila engkau berkata kepada temanmu padahal imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat dengan perkataan, 'diam', maka telah sia-sialah engkau (meninggalkan adab)..."(Nihayah Muhtaj).

SOLUSI :

1) Kutipan derma dan tabung digerakkan sebelum khutbah.

2) kutipan derma dan tabung digerakkan sejurus selepas solat Jumaat.

3) Sediakan banyak tabung di laluan dan pintu-pintu utama masjid. Individu yang ingin menderma tidak perlu tunggu tabung datang kepadanya, bahkan dia yang akan pergi ke tabung untuk menderma.
اليسع
Wallahu a‘lam.