Khamis, 26 Januari 2017

PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA


PANDUAN HUKUM: HUKUM KEPUTIHAN WANITA
Alyasak bin Berhan

Terdapat perbezaan antara kelembapan faraj (air basahan faraj) dan cecair keputihan sepertimana berikut;

1. Kelembapan atau basahan faraj (رطوبة الفرج) terhasil daripada cecair jernih iaitu, antara warna air mazi dan peluh. Dikatakan bahawa basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh yang datang dari had zahir faraj wanita. Bandingannya adalah seperti air liur yang terdapat di dalam mulut manusia. Maka ia menjadikan faraj wanita sentiasa lembap untuk membantu mengelakkan kulit faraj daripada kering dan melekat. Justeru, basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita ini dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.

Had zahir faraj adalah bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung.

2. Keputihan pula adalah cecair yang datang dari bahagian batin faraj yang keluar seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Menurut penelitian, ia menyerupai gam pekat yang berwarna putih dan kadang-kadang warnanya bercampur ke arah kekuningan atau sedikit hijau. Justeru, keputihan ini adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari bahagian dalaman rongga faraj iaitu, bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib.

Had batin faraj adalah bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian dalaman rongga faraj.

Kesimpulannya, cecair atau kelembapan faraj ada yang keluar dari zahir dan ada yang keluar dari batinnya. Oleh itu, hukumnya dibahagikan kepada 3 iaitu;

1) Suci - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, bahagian yang terzahir ketika duduk mencangkung (had zahir). Ia adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.

2) Najis - cecair atau kelembapan yang keluar dari batin faraj iaitu, bahagian dalaman rongga faraj yang tidak boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia adalah najis dan membatalkan wuduk.

3) Khilaf - cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian faraj yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak dan mandi wajib iaitu, tempat yang boleh sampai kepadanya zakar yang pertengahan panjang (normal). Ia boleh membatalkan wuduk. 

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan berkaitan kesuciannya sepertimana berikut:

a) Menurut Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj, ia adalah suci. 

b) Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk, Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh al-Irsyad, al-Khatib al-Syirbini dan Syeikh al-Ramli, ia adalah najis kerana dikira sebagai cecair atau kelembapan yang keluar dari bahagian dalaman rongga faraj
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah I‘anah al-Talibin 
- Bughyah al-Mustarsyidin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
Izalah al-Iltibas
- al-Ibanah wa al-Ifadhah
Tuhfah al-A‘izza'  

Ahad, 15 Januari 2017

Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i

PANDUAN HUKUM: Wali Fasiq Menurut Mazhab Syafi‘i
Alyasak bin Berhan

Definisi Fasiq

Fasiq adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau orang yang sering melakukan dosa-dosa kecil dan kebaikan tidak melebihi maksiatnya, atau kedua-duanya (dosa dan kebaikan) sama banyak, maka orang tersebut dihukumkan sebagai fasiq.

Definisi Adil

Adil menurut bahasa adalah menuntut istiqamah (konsisten) dan lurus.

Adapun menurut ‘uruf pula adalah; memiliki naluri yang boleh menegah seseorang daripada melakukan dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil yang dipandang hina seperti mencuri beberapa suap makanan dan mencuri sedikit buah. Juga menegah daripada perbuatan-perbuatan harus yang dipandang buruk (dari segi ‘uruf) seperti berjalan tanpa menutup kepala dan makan di pasar.

Syarat Wali

Disyaratkan wali nikah tidak fasiq kerana adil tidak disyaratkan pada wali nikah. Oleh kerana itulah, apabila seseorang kanak-kanak yang sudah baligh dan dia tidak melakukan dosa-dosa besar serta tidak melazimi dosa-dosa kecil, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta walaupun dia bukanlah seorang yang adil dan bukan juga seorang yang fasiq. Begitu juga seseorang wali yang kafir apabila memeluk Islam, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta.

Disebutkan oleh Syeikh Ahmad al-Syatiri ;

شُرُوْطُ وَلِيِّ النِّكَاحِ ثَمَانِيَةٌ: الاخْتِيَارُ, وَالْحُرِّيِّةُ, وَالذُّكُوْرَةُ, وَالتَّكْلِيْفُ, وَعَدَمُ الْفِسْقِ, وَعَدَمُ اخْتِلَالِ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ, وَعَدَمُ الْحَجْرِ بِالسَّفَهِ, وَعَدَمُ الإِحْرَامِ
Yang bermaksud, “Syarat-syarat wali nikah ada 8 perkara iaitu; pilihan sendiri (tidak dipaksa), merdeka, lelaki, mukallaf, tidak fasiq, tiada kecacatan fikiran sama ada dengan sebab terlalu tua atau rosak fikiran (sakit), tidak terhalang urusan hartanya kerana safih (سفيه) dan tidak berihram.”

Sehubungan itu, orang yang fasiq tidak sah mewalikan nikah mengikut pendapat yang muktamad di sisi Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini secara mutlak. Justeru, hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali ab‘ad.

Namun, apabila wali yang fasiq bertaubat ketika ingin mengakadkan nikah iaitu dengan meninggalkan dosa-dosa yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya dan akan memulangkan hak orang yang dizaliminya jika berkesempatan, maka ketika itu dia layak menjadi wali serta-merta. Oleh kerana itulah, wali yang fasiq perlu ditaubatkan ketika ingin melaksanakan akad nikah agar akad tersebut sah.

Walaubagaimanapun, menurut apa yang zahir daripada perkataan Syeikh Ibn Hajar, wali fasiq harus mewalikan nikah sekiranya hak perwalian tersebut akan berpindah kepada wali hakim yang melakukan perkara-perkara fasiq yang sejenis atau lebih daripada yang dilakukan oleh wali fasiq tersebut. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Ghazali, al-Nawawi  di dalam Kitab al-Raudhah, Ibn al-Solah, al-Azra‘ei, al-Subki dan merupakan pendapat yang dipilih oleh segolongan ulamak lain.
اليسع

Rujukan:

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Zaitunah al-Ilqah
- Hasyiah al-Baijuri
- I‘anah al-Talibin
- Al-Manhal al-Nadhdhakh
- Al-Yaqut al-Nafis
- Bughyah al-Najah

- Al-Dalil al-Nassah
-          
Wallahu a‘lam.