Sabtu, 1 Jun 2019

Terjemahan Safinatun Najah



Kitab Terbaru!!!
Terjemahan Matan Safinah al-Najah

Kategori: Fiqah
Pengarang : Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami

Penterjemah : Us. Alyasak bin Berhan

Ukuran : 6in x 9in
Tebal : 114 hlm
Penerbit : Persatuan Alumni Huffaz Negeri Sembilan
ISBN : 978-967-17193-0-5
Harga : RM12.00

Antara kelainan yang terdapat dalam terjemahan ini:

1. Memulakan terjemahan dengan pengenalan kitab dan biografi pengarang kitab.
2. Menterjemahkan teks asal kitab ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan terjemahan makna secara bebas tanpa terikat dengan terjemahan lama dan mengabaikan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis asal kitab.
3. Memberikan makna ringkas dan menyatakan perbezaan baris bacaan bagi kosa kata (perbendaharaan kata) yang difikirkan perlu.
4. Meletakkan tajuk yang sesuai bagi setiap perbincangan hukum supaya lebih mudah difahami.
5. Mengemukakan perbezaan pendapat antara ulama mutaakkhirin (terkemudian) tentang perbincangan hukum fiqah yang telah disebutkan oleh pengarang, terutamanya perbezaan pendapat antara Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli.
6. Mengemukakan ukuran moden berdasarkan Unit Sistem Antarabangsa (SI) pada kenyataan pengarang tentang 2 qullah, 300 hasta dan 2 marhalah.
7. Menyertakan tambahan bab puasa yang telah disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Stok terhad...

Dapatkan segera selagi stok masih ada.

Whatsapp kami :-

Selamat membaca!!!

Selasa, 7 Mei 2019

Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin



Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin 
Alyasak bin Berhan

Biodata Ringkas Pengarang

Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari. Beliau lahir di Kaherah pada bulan Syawal tahun 791 hijriah bersamaan tahun 1389 masihi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Jalaluddin al-Mahalli, iaitu dinisbahkan kepada Mahallah Kubra, wilayah Gharbiyyah, Mesir.

Imam Ibn al-‘Imad pernah menggelar beliau dengan gelaran ‘Taftazani Arab’ lantaran kecerdikan dan kefahaman yang dimilikinya. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad al-Mahalli (salah seorang faqih Mazhab Syafi‘i), Imam Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Anbasi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam Abu Hafs al-Bulqini, Imam Abu Zur‘ah Waliyuddin al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain lagi.

Antara ulama yang pernah menimba ilmu daripada beliau adalah seperti Imam Ibn ‘Atif al-Yamani, Imam Ibn al-Farra’ al-Hanafi, Imam al-Sakhawi, Imam al-Suyuti, Imam al-Asymuni, Imam Abu al-Fath al-Qalqashandi, Imam Ibn Abi al-Syarif dan seumpamanya.

Antara karyanya yang masyhur adalah seperti sebahagian Tafsir al-Jalalain (tafsir surah al-Fatihah serta sebahagian awal surah al-Baqarah dan dari surah al-Kahfi hingga akhir al-Quran), al-al-Badr al-Tali‘ Syarh Jam‘ al-Jawami‘, Syarh al-Waraqat, Syarh Minhaj al-Talibin dan lain-lain lagi. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) al-Syarih (dengan Alif serta Lam) atau al-Syarih al-Muhaqqiq.

Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari telah wafat pada hari Sabtu pertama tahun 864 hijriah. Al-Fatihah.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin adalah salah satu karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan di antara rujukan utama ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i. Kitab ini disusun oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli selama lebih kurang sepuluh tahun bagi menghuraikan Matan Minhaj al-Talibin, karya Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Kitab ini masyhur dengan nama Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin.

Namun, ulama berbeza pandangan tentang individu yang telah memberikan nama tersebut. Menurut salah seorang ulama Empayar Uthmaniah pada kurun ke-11 hijriah, iaitu Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah), individu yang  telah memberikan nama tersebut ialah pengarangnya sendiri.

Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Ahmad Maiqari Syumailah al-Ahdal pula, Imam Jalal al-Din al-Mahalli tidak pernah menamakan kitab tersebut dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Malah, tidak ditemui juga dalam kalangan murid-murid pengarang seperti Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuti yang pernah menyebut judul berkenaan. Oleh kerana itu, ramai tok-tok guru lama hanya menamakan kitab ini dengan nama “Syarh Mahalli” sahaja.

Sungguhpun demikian, kitab ini tetap masyhur dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Barangkali ia berasal daripada pandangan Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah) di atas, yang cukup dikenali sebagai salah seorang ulama yang luas telaah dan penelitiannya terhadap karya-karya manuskrip. Secara tidak langsung ia bertepatan dengan kaedah “الْمُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفْيِ(pensabitan didahulukan ke atas nafi).

Antara faktor yang menjadikan kitab ini istimewa dalam kalangan ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i adalah:

1. Kehebatan pengarangnya, iaitu Imam Jalaluddin al-Mahalli yang terkenal dengan penguasaan ilmu Naqliyyah dan ‘Aqliyyah.
2. Pengarang telah menghuraikan dan menjelaskan Matan Minhaj al-Talibin dengan penjelasan yang ringkas dan tidak menjela-jela mengikut kehendak pengarang asal matan. Selain itu, beliau juga telah mengemukakan beberapa faedah tambahan untuk menyempurnakan huraiannya.
3. Kitab ini menghimpunkan fiqah, dalil-dalil dan alasan-alasan hukum (‘illat) bagi setiap permasalahan fiqah yang dihuraikannya. 
4. Mengkritik sesetengah permasalahan fiqah dalam Matan Minhaj al-Talibin secara beradab menonjolkan lagi penguasaan dan kekuatan ilmu yang dimilikinya.
5. Mengemukakan beberapa pandangan di dalam Mazhab Syafi‘i tentang sesuatu perbahasan hukum fiqah selain pandangan yang kuat di sisi Mazhab Syafi‘i.


Disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hasan al-Attas, bahawa sesiapa yang ingin tahqiq tentang sesuatu masalah fiqah, maka hendaklah dia merujuk kepada Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini. 

Kitab ini biasanya digunakan sebagai silibus pengajian fiqah Mazhab Syafi‘i peringkat tinggi di beberapa pusat pengajian Islam seperti di al-Azhar, Mesir, di Yaman (seperti di Al-Marawi‘ah dan Tareem), Iraq, Madrasah al-Sawlatiyyah, Mekah dan pondok-pondok di nusantara.


Antara ulamak yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini adalah:

1. Syeikh Muhammad bin Abdul Rahman bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Bakri (891h) berjudul al-Ibtihaj bi Hawasyi al-Minhaj.

2. Syeikh Ali bin Hasan bin Yusuf al-Arbali al-Haskafi (Ibn al-Suyufi) (925h).

3. Syeikh Abdul Haq bin Muhammad al-Sunbati (931h), iaitu salah seorang guru kepada Syeikh Ibn Hajar.

4. Syeikh Ahmad al-Barallusi al-Misri (‘Amirah) (957h).

5. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Ghuzzi al-‘Amiri (984h).

6. Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (994h).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Kurkhi (1006h).

8. Syeikh Zainuddin bin Abdul Rauf al-Munawi al-Qahiri (1022h).

9. Syeikh Nuruddin Ali bin Ibrahim al-Halabi (1044h).

10. Syeikh Muhammad bin al-Naqib al-Bairuti (1064h) berjudul Fath al-Tajalli ‘ala al-Minhaj wa al-Mahalli.

11. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (1069h).

12. Syeikh Abdul Bar bin Abdullah al-Ajhuri (1070h).

13. Syeikh Ali al-Munir (ulama kurun ke-11 hijriah) berjudul al-Kasyf al-Majalli li Kalam al-Minhaj wa al-Syarih al-Mahalli.

14. Syeikh Muhammad bin Khalf bin Muhammad al-Misri al-Syazuli.

15. Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad al-Syirbini (1326h), iaitu Taqrirat bagi Syarh Jalal al-Din al-Mahalli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Qalyubi dan Hasyiah Syeikh ‘Amirah.
اليسع
Wallahu a‘lam.




Ahad, 9 Disember 2018

HUKUM MAKAN TUPAI MENURUT ULAMA ALAM MELAYU

PANDUAN HUKUM: HUKUM MAKAN TUPAI MENURUT ULAMA ALAM MELAYU (NUSANTARA)
Alyasak Berhan

Allah Taala berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ 


"...dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk..."(Surah al-A'raf 157).

Menurut Imam al-Qurtubi, kalimah al-Khabaith dalam ayat di atas adalah lafaz umum yang merujuk kepada segala benda-benda yang diharamkan oleh syarak dan benda-benda yang kotor. Oleh kerana itulah, diharamkan memakan kala jengking, kelawar, cicak dan seumpamanya. 

Hukum Makan Tupai

Telah difatwakan oleh sebilangan besar ulama Jawi (nusantara/alam Melayu) seperti Syeikh Nuruddin Muhammad al-Raniri al-Asyi (Aceh), Syeikh Arsyad al-Banjari (Banjarmasin), Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Ahmad al-Fatani, Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), Syeikh Muhammad Soleh bin Murid al-Rawi, Syeikh Omar al-Khatib (ulama Singapura) dan T.G. Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi, bahawa tupai haram dimakan.

Sehubungan itu, menurut Syeikh Muhd Idris Abdul Rauf al-Marbawi, sanjab atau sinjab yang dihukumkan halal dimakan adalah merujuk kepada sejenis spesis tupai yang pernah beliau lihat di taman mergastua Mesir. Bahkan, menurut Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, sinjab ini adalah spesis tha'alib Turki (rubah) dan kulitnya selalu dibuat pakaian. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, sinjab yang dimaksudkan ini menyerupai yarbu' serta bulunya halus dan lembut. Namun, saiznya lebih besar daripada tikus dan ia banyak terdapat di Sicily (Sicilia dalam Negara Itali) serta Turki. Kulitnya pula dijadikan pakaian oleh penduduk-penduduk di Istanbul, Syam dan Mesir.

Oleh kerana itulah, Syeikh Nuruddin Muhammad al-Raniri dan Syeikh Arsyad al-Banjari telah membezakan hukum memakan sinjab dan tupai, iaitu sinjab halal dimakan dan tupai pula haram dimakan. Ini jelas menunjukkan bahawa sinjab dan tupai adalah dua haiwan yang berbeza spesis dan hukum memakannya juga adalah berbeza.

Manakala menurut fatwa Dato' Syed Alwe bin Tahir al-Haddad (mantan Mufti Johor) pula, tupai halal dimakan.

Justeru, sebagai langkah berhati-hati, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengharamkan makan tupai ini.
اليسع
Wallahu a'lam.


Khamis, 8 November 2018

Hukum Mendoakan Pemimpin Dalam Doa Khutbah

PANDUAN HUKUM: Hukum Mendoakan Pemimpin Dalam Khutbah Ke-2

Alyasak Berhan



Imam Abu Ali al-Fudhail bin Iyadh  pernah berkata;

لَوْ أَنَّ لِي دَعْوَةً مُسْتَجَابَةً مَا جَعَلَتُهَا إِلاَّ فِي إِمَامٍ فَصَلاَحُ الِإمَامِ صَلاَحُ الْبِلاَدِ وَالْعِبَادِ

"Kalau seandainya aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya aku tidak jadikannya (doakannya) melainkan pada para pemimpin (untuk kebaikan para pemimpin) kerana kesolehan para pemimpin adalah kebaikan bagi negeri dan masyarakat."
Hukum Mendoakan Pemimpin Dalam Khutbah Ke-2


Mendoakan kebaikan untuk pemerintah secara umum dalam khutbah hukumnya adalah sunat

Namun, ulama berbeza pandangan mengenai hukum mendoakan kebaikan untuk pemerintah secara khusus (sebut nama) dalam khutbah ke-2 sepertimana berikut:

1) Menurut Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab, Syeikh Ibn Qasim al-'Abbadi dan apa yang difahami daripada nas Imam Syafii, hukumnya adalah makruh.

2) Menurut satu pendapat, hukumnya adalah sunat. Walau bagaimanapun, pendapat ini daif.

3) Menurut Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmuk, Syeikh al-Jalal al-Mahalli, Syeikh al-Qalyubi, Syeikh al-Bujairimi, Syeikh al-Syarqawi dan Syeikh al-Birmawi, hukumnya adalah harus selagimana tidak berlebih-lebihan dalam menyatakan sifatnya. Justeru, inilah pendapat yang terpilih.

Namun, sekiranya berlebih-lebihan dalam menyatakan sifatnya, maka hukumnya adalah makruh. Bahkan, jika khuatir akan berlaku fitnah atau ancaman daripadanya apabila tidak didoakan secara khusus, maka hukumnya adalah wajib.

Manakala menyatakan sifatnya dengan sifat-sifat yang tidak benar, hukumnya adalah haram melainkan dalam keadaan darurat.
اليسع
Wallahu alam.

Selasa, 10 Julai 2018

Hukum Mengucapkan Sayyidina Ketika Tasyahhud Menurut Ulama Mazhab Syafi‘i

PANDUAN HUKUM: Hukum Mengucapkan Sayyidina Ketika Tasyahhud Menurut Ulama Mazhab Syafi‘i.
Alyasak bin Berhan

Ulama Mazhab Syafi‘i berbeza pandangan mengenai hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud sepertimana berikut;

1) Menurut pendapat Syeikh al-Khatib al-Syirbini, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak sunat kerana mengikut lafaz asal yang didatangkan (warid) dalam hadis.

2) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam Syarh Ba Fadhl dan Syeikh Zainuddin al-Malibari, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah tidak mengapa (harus).

3) Menurut pendapat Syeikh Ibn Hajar di dalam al-I‘ab, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah lebih utama (awla) berbanding tidak mengucapkannya.

4) Menurut Syeikh Jalaluddin al-Mahalli dan Syeikh al-Ramli, hukum menambah lafaz sayyidina ketika berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam semasa tasyahhud adalah sunat (afdal) kerana meraikan adab dan sopan santun kepada Nabi sollallahu alaihi wa sallam. Pendapat inilah yang telah dipegang oleh kebanyakan ulama mutaakkhirin seperti Syeikh al-Zayyadi, Syeikh al-Halabi, Syeikh al-Jamal, Syeikh al-Baijuri, Syeikh al-Jurdani, Syeikh al-Syarwani dan lain-lain.

Bahkan, menurut Syeikh Said Ba ‘Asyan, sayugia juga ditambah lafaz sayyidina ketika mengucapkan nama Nabi Ibrahim alaihhissalam semasa tasyahhud akhir.

Justeru, berdasarkan pendapat-pendapat di atas dapat difahami bahawa tiada seorang pun daripada ulama Mazhab Syafi‘i yang mengatakan bahawa menambah sayyidina semasa tasyahhud hukumnya haram atau makruh, jauh sekali yang mengatakan ianya bidaah. Malah, menurut kebanyakan ulama Mazhab Syafi‘i ia termasuk dalam perkara-perkara yang dianjurkan semasa berselawat ke atas Nabi sollallahu alaihi wa sallam ketika tasyahhud.

Ini bertepatan dengan kenyataan Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ ءَادَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

“Saya adalah sayyid (penghulu) anak adam pada hari kiamat. Orang yang pertama bangkit dari kubur, yang pertama memberikan syafaat dan yang pertama kali diberi hak untuk memberikan syafaat.” (Riwayat Muslim).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Nihayah al-Muhtaj 
- Mughni al-Muhtaj 
- Hasyiah al-Jamal
- Ibn Qasim al-‘Abbadi 
- Busyra al-Karim 
- Tarsyih al-Mustafidin 
- Fath al-‘Ali 
- Hasyiah al-Tarmasi 
- Al-Manhal al-Nadhdhakh 
- Hasyiah al-Baijuri 
- Fath al-‘Allam 
- Hasyiah al-Syarwani 

Khamis, 17 Mei 2018

Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa


PANDUAN HUKUM: Ringkasan Hukum Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa.
Alyasak Berhan

Ulama berbeza pandangan mengenai hukum menggunakan jarum suntikan bagi orang yang sedang berpuasa sepertimana berikut:

Pendapat Pertama.

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa secara mutlak tanpa dibezakan antara suntikan melalui otot (intramuscular) atau suntikan melalui pembuluh darah (intravena). Ini kerana, setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga melalui lubang yang terbuka atau yang baru terbuka dikira sebagai perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Salim Sa‘id Bukayyir Ba Ghithan (mantan Ketua Majlis Fatwa Tareem, Hadhramaut), Syeikh Muhammad Najib al-Muti‘ei (pengarang Takmilah al-Majmuk), Syeikh Muhammad ‘Awadh Ba Wazir dan Syeikh Ahmad Sa‘id al-Suyuti.

Pendapat Kedua.

Menggunakan jarum suntikan tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga bukan melalui lubang yang terbuka tidak membatalkan puasa. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam perkara yang boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga). Ini adalah pandangan Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘ei al-Hanafi (mantan Mufti Mesir), Syeikh Abdul Rahman Taj (mantan Syeikh al-Azhar), Syeikh Abdullah ‘Awadh Bukayyir al-Kindi (mantan Qadhi Hadhramaut), Syeikh Ismail bin Abdullah al-Makhayi (mantan Mufti Bait al-Faqih, Tihamah), al-Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad bin Salim al-Kidadi al-Baihawi, Syeikh Mahmud Syaltut (mantan Syeikh al-Azhar), Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi, Dr. Muhammad Hasan Hito al-Azhari, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dar Ifta' Mesir.

Menurut al-faqir, pendapat kedua ini lebih mudah untuk diamalkan berbanding pendapat-pendapat yang lain.  

Pendapat Ketiga. 

Menggunakan jarum suntikan boleh membatalkan puasa jika suntikan tersebut dilakukan melalui pembuluh darah (intravena) sama ia boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga) atau hanya digunakan sebagai ubat.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan melalui otot (intramuscular), maka ia tidak membatalkan puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (mantan Qadhi Hadhramaut), al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait, al-Sayyid Hasan bin Ahmad al-Kaf, Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Hasan Ba Harun dan Dar Ifta' Jordan.

Menurut al-faqir, pendapat ketiga ini lebih cermat (ihtiyat) untuk diamalkan dan hujahnya juga lebih jelas.

Pendapat Keempat.

Jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan perubatan sama ada melalui otot (intramuscular) atau melalui pembuluh darah (intravena), maka ia tidak membatalkan puasa.

Adapun jika suntikan tersebut dilakukan untuk tujuan mengenyangkan (menghasilkan tenaga) kepada orang yang berpuasa, maka ia boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan fatwa Bahagian Fatwa dan Penyelidikan Kementerian Wakaf Emiriah Arab Bersatu.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Selasa, 15 Mei 2018

ZAKAT FITRAH DENGAN DUIT


PANDUAN HUKUM : Mengeluarkan Zakat Fitrah dalam Bentuk Duit
Alyasak Berhan

Mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan asasi adalah perintah asal yang telah disebutkan secara jelas di dalam hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam dan ini adalah pegangan majoriti fuqaha’ (ulama fiqah). Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata :

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

"Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah iaitu satu gantang daripada kurma, atau satu gantang daripada sya’ir (gandum), ke atas setiap hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan besar daripada kaum muslimin. Baginda juga memerintahkan agar ia ditunaikan sebelum manusia keluar menunaikan solat (sunat Aidul Fitri)."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, terdapat juga sebahagian mereka yang mengharuskan pengeluaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang seperti ulama Mazhab Hanafi, sebahagian tabi‘in seperti al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz dan al-Thauri serta satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Manakala menurut Ishaq dan Abu Thaur, tidak harus mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang melainkan ketika darurat.

Justeru, mengeluarkan zakat fitrah dengan duit adalah tidak sah mengikut Mazhab Syafi‘i jika diniatkan duit itu sebagai zakat fitrah. Namun, makanan asasi tersebut harus digantikan dengan duit, dengan niat ‘sebagai ganti’ kepada makanan asasi yang wajib dikeluarkannya. Syeikh Syihab al-Ramli pernah menfatwakan bahawa harus bertaqlid kepada Mazhab Hanafi dalam masalah mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ‘sebagai ganti’ makanan asasi tersebut. Justeru, jika seseorang mengeluarkan zakat dalam bentuk duit, maka niatnya adalah seperti, 'ini duit ganti beras fitrah yang wajib atas diriku', 'inilah nilai harga beras fitrah yang wajib atas diriku'.

Selain itu, keharusan mengeluarkan zakat fitrah dalam bentuk duit ‘sebagai ganti’ makanan asasi ini adalah kerana darurat (keperluan) dan kehendak daripada pemerintah. Disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَمِنْ مَوَاضِعِ الضَّرُورَةِ الَّتِي تُجْزِئُ فِيهَا الْقِيمَةُ مَا إذَا أَلْزَمَهُمْ السُّلْطَانُ بِالْقِيمَةِ ، وَأَخَذَهَا مِنْهُمْ فَإِنَّهَا تُجْزِئُهُمْ

“Di antara tempat-tempat darurat yang memadai padanya nilaian matawang adalah apabila mereka diperintahkan oleh raja berzakat dengan nilaian matawang dan dipungutnya daripada orang ramai, maka sesungguhnya ia memadai daripada mereka itu (sah)…”.

Sehubungan itu, antara maslahat pembayaran zakat fitrah dalam bentuk nilaian matawang ini dilaksanakan oleh pemerintah adalah:

  1. Asnaf yang lapan terutamanya golongan fakir dan miskin lebih gemar menerima duit berbanding beras.
  2. Kesukaran untuk menyimpan dan memelihara beras tersebut setelah ia telah dikumpulkan berbanding duit.
  3. Kos pemindahan dan penyimpanan yang diperlukan akan diambil daripada beras. Ini akan merugikan penerima zakat.
  4. Menyimpan duit lebih selamat daripada menyimpan beras.
  5. Beras akan menjadi rosak jika disimpan lama berbanding duit.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan:

- Al-Majmuk
- Al-Fatawa al-Ramli
- Al-Itharah 
- Kitab al-Siyam