PANDUAN HUKUM: Ringkasan Hukum
Menggunakan Jarum Suntikan Semasa Puasa.
Alyasak Berhan
Ulama berbeza pandangan mengenai hukum menggunakan jarum suntikan bagi orang yang sedang berpuasa
sepertimana berikut:
Pendapat Pertama.
Menggunakan jarum suntikan
boleh membatalkan puasa secara mutlak tanpa dibezakan antara suntikan melalui
otot (intramuscular) atau suntikan melalui pembuluh darah (intravena). Ini
kerana, setiap sesuatu yang boleh sampai kepada rongga melalui lubang yang
terbuka atau yang baru terbuka dikira sebagai perkara yang boleh membatalkan
puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Salim Sa‘id Bukayyir Ba Ghithan (mantan
Ketua Majlis Fatwa Tareem, Hadhramaut), Syeikh Muhammad Najib al-Muti‘ei
(pengarang Takmilah al-Majmuk), Syeikh Muhammad ‘Awadh Ba Wazir dan Syeikh
Ahmad Sa‘id al-Suyuti.
Pendapat Kedua.
Menggunakan jarum suntikan
tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana setiap sesuatu yang boleh sampai
kepada rongga bukan melalui lubang yang terbuka tidak membatalkan puasa. Selain
itu, ia juga tidak termasuk dalam perkara yang boleh mengenyangkan
(menghasilkan tenaga). Ini adalah pandangan Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti‘ei
al-Hanafi (mantan Mufti Mesir), Syeikh Abdul Rahman Taj (mantan Syeikh
al-Azhar), Syeikh Abdullah ‘Awadh Bukayyir al-Kindi (mantan Qadhi Hadhramaut), Syeikh Ismail bin Abdullah al-Makhayi (mantan Mufti Bait al-Faqih, Tihamah), al-Sayyid Sabiq, Syeikh Muhammad bin Salim al-Kidadi al-Baihawi, Syeikh Mahmud
Syaltut (mantan Syeikh al-Azhar), Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi, Dr.
Muhammad Hasan Hito al-Azhari, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Dar Ifta' Mesir.
Menurut al-faqir, pendapat kedua
ini lebih mudah untuk diamalkan berbanding pendapat-pendapat yang lain.
Pendapat Ketiga.
Menggunakan jarum suntikan
boleh membatalkan puasa jika suntikan tersebut dilakukan melalui pembuluh darah
(intravena) sama ia boleh mengenyangkan (menghasilkan tenaga) atau hanya
digunakan sebagai ubat.
Adapun jika suntikan
tersebut dilakukan melalui otot (intramuscular), maka ia tidak membatalkan
puasa. Ini adalah pandangan Syeikh Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (mantan Qadhi
Hadhramaut), al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumait, al-Sayyid Hasan bin Ahmad
al-Kaf, Dr. Zain bin Muhammad bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Muhammad
bin Husain al-‘Aidarus, al-Habib Ali bin Hasan Ba Harun dan Dar Ifta' Jordan.
Menurut al-faqir, pendapat ketiga
ini lebih cermat (ihtiyat) untuk diamalkan dan hujahnya juga lebih jelas.
Pendapat Keempat.
Jika suntikan tersebut
dilakukan untuk tujuan perubatan sama ada melalui otot (intramuscular) atau
melalui pembuluh darah (intravena), maka ia tidak membatalkan puasa.
Adapun jika suntikan tersebut
dilakukan untuk tujuan mengenyangkan (menghasilkan tenaga) kepada orang yang
berpuasa, maka ia boleh membatalkan puasa. Ini adalah pandangan fatwa Bahagian
Fatwa dan Penyelidikan Kementerian Wakaf Emiriah Arab Bersatu.
اليسع
Wallahu a‘lam.